Like Blog Ini...

Friday, January 8, 2010

Tengok gerhana bulan separa di Masjid Negara

PROGRAM Gerhana Bulan Separa anjuran Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dengan kerjasama Masjid Negara yang berlangsung di ambang tahun baru 2010 bermula pukul 1 hingga 6 pagi telah disertai oleh kira-kira 1,500 orang tidak kira usia.

Program yang diadakan di Perkarangan Luar Masjid Negara (berhampiran tapak ekspo) ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhamad dan Pengarah Bahagian Pendidikan & Sains Angkasa (Angkasa), Azreena Ahmad.

Sebanyak 10 teleskop disediakan untuk memastikan orang awam berpeluang menyaksikan fenomena ini secara lebih dekat.

Antara pihak yang terlibat dalam menyediakan kemudahan teleskop ialah Angkasa, Jakim, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Persatuan Astronomi Star Hunter dan Persatuan Falak Syarie Malaysia.

Seawal pukul 10 malam, orang ramai mula membanjiri perkarangan luar Masjid Negara bagi memastikan mereka berpeluang menyaksikan fenomena ini di lokasi yang strategik.

Pelbagai pengisian program turut diadakan sepanjang ia berlangsung antaranya; Pencerapan Planet Zuhal dan Marikh, taklimat gerhana dari sudut Sains dan sudut Islam, kuiz gerhana, pameran bulan, Solat sunat gerhana bulan (solat sunat khusuf) serta khutbah gerhana.

Tidak ketinggalan sesi astro fotografi turut dijalankan oleh semua peminat astronomi dan pihak media.

Siaran langsung fenomena ini turut disaksikan menerusi laman web Angkasa di www.angkasa.gov.my bagi memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia menyaksikan fenomena khususnya bagi mereka yang tidak berkesempatan ke Masjid Negara.

Faktor cuaca yang berawan iaitu mulai pukul 1 hingga 3.20 pagi menyukarkan kenampakan fenomena ini dan rata-rata orang awam kecewa kerana tidak berpeluang melihat perubahan fenomena Gerhana Bulan untuk kali ini.

Pada pukul 3.20 pagi hingga 5.30 pagi planet Zuhal dan Marikh berjaya dicerap menerusi teleskop dan ia meredakan kekecewaan orang ramai.

Program yang mendapat sambutan hangat ini akan diteruskan bagi memastikan minat serta penglibatan rakyat Malaysia terhadap astronomi ini berterusan.

Secara tidak langsung ia mendorong masyarakat awam memahami kepentingan bidang ini dalam pembangunan sosio ekonomi negara.

No comments: