Like Blog Ini...

Thursday, January 28, 2010

Remaja dan dialog peradaban

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

JIKA disebut soal berbincang dan berbahas, ia berlaku dalam interaksi seharian sama ada secara formal atau tidak. Namun apabila disebutkan mengenai dialog peradaban, tidak dinafikan bahawa dialog peradaban adalah sesuatu yang asing di kalangan remaja di Malaysia pada hari ini.

Meskipun begitu, ia tidak bermakna remaja tidak boleh mula membincangkannya dalam batas pemikiran yang ada.

Pendedahan kepada pelbagai maklumat dan ilmu melalui akses dunia siber, media cetak atau media elektronik yang lain telah mencambahkan suatu bentuk baru dalam corak pemikiran dan tahap pemahaman remaja terhadap sesuatu perkara.

Lambakan maklumat yang terdapat di dalam alam maya melalui tulisan-tulisan di dalam blog, laman-laman sosial dan rantaian emel mengenai isu-isu antara kaum, agama dan sosial secara umumnya adalah baik untuk proses perkembangan idea dan pemikiran.

Namun jika tidak dikawal dan tiada berpedoman, sedikit sebanyak ia akan memberi tanggapan yang salah dan tidak tepat terhadap sesuatu perkara dan akhirnya boleh menyebabkan emosi akan lebih berpengaruh daripada asas ilmu.

Justeru apakah erti dialog peradaban kepada remaja? Mengapakah remaja mesti mula mengambil berat akan kepentingan dialog peradaban dan apakah asas-asas berdialog secara beretika?

Fahami persamaan dan perbezaan

Dalam tradisi Islam, agama adalah sumber peradaban. Tentu wujud perbezaan antara peradaban yang lahir dari sumber wahyu dengan sistem kepercayaan yang lahir dari faktor falsafah, budaya, tradisi nenek moyang dan fahaman tertentu.

Perbezaan seperti itu memang berlaku kerana faktor sejarah, interpretasi, kepentingan kelompok dan sebab-sebab yang lain.

Asas ini menarik untuk dibincangkan kerana masyarakat Malaysia sifatnya berbilang agama, kepercayaan malah sumber tamadun juga tidak serupa.

Sudah tentu kelainan dan perbezaan terus wujud sedangkan proses bina negara dan integrasi menuntut adanya toleransi di kalangan pengamal agama dan juga peradaban. Yang penting di sini apakah etika untuk berbeza yang membolehkan lahirnya sifat toleransi supaya tidak wujud salah faham yang boleh menjejaskan akidah dan juga sistem kepercayaan.

Yang berbeza biarlah berbeza tetapi aspek yang merintis titik persamaan yang banyak patut disuburkan dan menjadi jambatan kepada hubungan interaktif manusia dan kemanusiaan.

Nilai-nilai menghormati manusia sama ada guru dalam kalangan semua bangsa, ibu bapa, orang tua, orang yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa, jiran umpamanya adalah nilai-nilai fitrah dan perlu diamalkan oleh generasi muda.

Perbuatan seperti ini walaupun kelihatan ideal tetapi jika ia menjadi amalan generasi muda ia mempunyai kualiti kemanusiaan yang baik dan patut menjadi amalan. Sekiranya konteks sosial hanya berlaku secara perkauman, ia menyebabkan tidak berlakunya interaksi atau hubungan sesama manusia yang sihat dalam membantu ke arah integrasi.

Dalam konteks Malaysia, acuan bernegara sudah bermula sejak lama. Perjalanan sejarah di Melaka menjadikan kota itu sebuah kota antarabangsa kerana aktiviti dagang dan kestabilan yang wujud hingga menyebabkan Cina Peranakan, India Peranakan merasa selesa mengadaptasi budaya setempat tanpa perlu menukar agama dan sistem kepercayaan.

Di saat Tanah Melayu mencapai kemerdekaan banyak peristiwa kompromi berlaku di mana status orang-orang yang mendatang diberikan status kekal dan taraf kerakyatan di samping kesediaan mereka melakukan kontrak sosial menghormati status agama Islam, Bahasa Melayu, Hak Istimewa, Tanah Simpanan dan lain-lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Asas-asas teras dalam proses bina negara ini amat penting difahami oleh generasi muda. Ini supaya tidak timbul ungkitan atas asas zaman dan suasana sudah berubah maka asas-asas kontrak sosial juga harus berubah sama.

Memahami perjalanan sejarah pembentukan Tanah Melayu dan Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Integrasi kaum dilihat sebagai suatu kekuatan tetapi ia juga boleh menjadi suatu asas kebimbangan.

Tidak dapat dinafikan api konflik amat mudah dinyalakan sekiranya pemahaman tentang kenegaraan tidak difahami oleh seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu amat penting generasi muda Islam memahami sejarah kontrak sosial yang menjadi landasan terbinanya Malaysia pada hari ini.

Perkembangkan dialog peradaban

Dialog peradaban adalah sebagai satu disiplin ilmu dan kebudayaan merupakan satu tuntutan yang paling mendesak dalam konteks negara Malaysia masa kini, apatah lagi dalam atmosfera Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama.

Generasi muda kini amat mudah memandang sesuatu yang lebih moden dan maju sebagai sumber rujukan dalam kehidupan bernegara. Prinsip demokrasi sering disalahertikan dalam kebebasan bersuara.

Namun apakah mengagumi Barat tanpa adanya usul periksa tentang falsafah dan hala tujunya adalah sesuatu yang baik atau sebaliknya? Apakah meremehkan budaya dan sistem kepercayaan sendiri merupakan jalan terbaik ke arah maju dan moden?

Oleh itu, dialog tamadun harus berkembang dalam generasi muda. Dialog peradaban adalah tanda kesediaan dan keupayaan sesuatu kelompok agama dan kaum memberi respons terhadap sebarang permasalahan yang berbangkit. Sama ada perkara tersebut melibatkan kelompoknya sendiri atau pun orang lain.

Dalam memberi tindakbalas tersebut, ia hendaklah mengambil kira kepentingan bersama, menerusi rundingan dan persetujuan. Dalam hal-hal yang tidak dapat dipersetujui bersama atas sebab-sebab tertentu, hendaklah ada sikap berlapang dada dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

Dialog antara kaum dan agama bukanlah sesuatu yang pelik. Tetapi sewajarnya ia didasari dengan persediaan dan keupayaan ilmu. Ini meliputi kemampuan pengetahuan tentang asas dan tasawwur agamanya sendiri serta juga memahami dengan sempurna konsep dan asas citra agama rakan dialognya.

Di samping itu, setiap pihak harus benar-benar menyedari tentang permasalahan yang berbangkit berhubung persoalan dan permasalahan yang ingin didialogkan. Tanpa semua ini, dialog akan menjadi pincang kerana fokus perbincangan akan tersasar dari landasan yang sebenar.

Seiring dengan itu, generasi muda Islam harus melihat pengukuhan jiwa agama terhadap mereka sebagai faktor kestabilan. Tanpa kekuatan agama yang mendasari pembentukan peribadi dan komitmen hidup, generasi muda Melayu boleh menjadi amat liberal dalam berfikir hingga suasana keterbukaan menyebabkan mereka hilang jati diri dan tidak melihat kepentingan agama, nilai dan etika sebagai sesuatu yang amat bermakna dalam masyarakat majmuk.

Asas-asas Islam seperti amanah, adil, jujur, ikhlas, tulus dan telus jika mendasari amalan generasi muda bakal menjadi binaan kukuh apabila mereka dewasa nanti. Dalam memberikan daya kepimpinan terhadap orang lain, mereka tidak lupa asas-asas di atas sebagai sesuatu yang amat tinggi nilainya.

Pada masa yang sama generasi muda bukan Islam harus juga memiliki nilai-nilai murni yang sama. Ini supaya jalur kemajuan yang berkembang adalah atas nilai-nilai bersama dan kemanusiaan tinggi yang amat diperlukan dalam proses bina negara.

Kesimpulan

Adalah menjadi harapan supaya remaja di Malaysia didedahkan dengan budaya berdialog secara berilmiah dan beretika. Dialog peradaban antara kaum dan agama boleh menjadi agenda yang penting dalam menambahkan kefahaman tentang integrasi dan mencantumkan titik-titik persamaan serta meraikan perbezaan. Yang baik sewajarnya dimanfaati bersama, yang berbeza harus diketahui batas sempadannya.

No comments: