Like Blog Ini...

Thursday, January 28, 2010

Konsep ilmu faraid

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

"RM471 juta harta pusaka masih gagal diagih." seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 30 September 2005 mungkin memeranjatkan kita semua. Tetapi itulah hakikatnya apabila kita gagal membuat perancangan pengurusan harta. Barangkali apa yang disebut di kalangan ahli-ahli pengurusan ada benarnya, "Apabila kita gagal merancang sebenarnya kita merancang untuk gagal."

Situasi ini berlaku mungkin berpunca daripada kejahilan masyarakat tentang ilmu faraid kerana ada yang beranggapan bahawa hukum faraid dapat menyelesaikan pengurusan harta. Pembahagian harta pusaka tidak dapat diselesaikan semuanya menerusi sistem faraid.

Sistem faraid dapat menyelesaikan permasalahan pembahagian harta apabila harta berkenaan berada dalam keadaan nyata, tidak tersembunyi, tidak bertindih penama dan jelas pemilikannya atau dalam erti kata lain ia secara jelas termaktub dalam wasiat. Maka untuk memastikan senario di atas tidak berlaku, pemilik harta semasa hayatnya perlu membuat perancangan dengan mewariskan harta kekayaan mereka itu melalui wasiat atau amanah.

Sangat mulia

Usaha perlu digembleng untuk meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap pentingnya menulis wasiat, pentingnya pengetahuan berkaitan faraid dan hibah supaya harta dapat diagihkan dengan sempurna dan tidak berlaku sebarang pertelingkahan sesama ahli keluarga akibat merebut harta pusaka.

Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah. Ia adalah satu keperluan yang bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan di akhirat menerusi hartanya.

Harta mempunyai kedudukan yang sangat mulia di sisi Islam. Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana. Dari kaca mata Islam, harta merupakan alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa. Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia, sama ada bersyukur atau sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al-Munafiqun ayat sembilan.

Oleh yang demikian, Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik dan bijaksana. Jika sebaliknya ia akan menjadi faktor keruntuhan manusia dan kemurkaan Allah. Sebagaimana dalam surah Saba' ayat 15 hingga 16 dan surah an-Nisaa' ayat 10.

Bagi mencapai matlamat di atas, harta yang dimiliki seharusnya menjadi wasilah mencapai takwa di sisi Allah dan bukannya membawa bencana khususnya selepas kematian. Di antara langkah persedian yang boleh diambil ialah meningkatkan pemahaman tentang Ilmu Faraid. Ilmu faraid itu ialah "Ilmu berkenaan kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh hukum Syarak tentang pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam dan habuan yang bakal diterima oleh waris-waris yang sah dan layak seperti anak, isteri, suami, ibu, bapa dan lain-lain. Hal ini dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran surah an-Nisaa' ayat 11 hingga 13.

Di dalam Islam, terdapat dalil-dalil yang sangat jelas menggalakkan umatnya mempelajari, memahami dan menguasai ilmu faraid. Sabda Rasulullah SAW; "Belajarlah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada orang lain kerana ia adalah separuh ilmu. Dia akan dilupakan dan dia akan menjadi perkara pertama dicabut dari umatku". (Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.). Dan berkata Saidina Umar r.a.: "Pelajarilah ilmu as-Sunnah, ilmu Faraid dan ilmu Bahasa (Arab) sebagaimana kamu mempelajari al-Quran."

Ibnu Majah meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amr bin al-Ash ra. berkata bahwa Nabi saw. bersabda: "Ilmu itu ada tiga, selain yang tiga hanya bersifat tambahan iaitu ayat-ayat muhakkamah (yang jelas ketentuannya), sunnah Nabi SAW yang dilaksanakan dan ilmu faraid."

Ibnu Mas'ud r.a. berkata bahawa Nabi SAW bersabda: "Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang-orang, kerana aku adalah orang yang akan wafat, sedang ilmu itu akan diangkat dan fitnah akan tampak, sehingga dua orang yang bertengkar tentang pembahagian warisan, mereka berdua tidak menemukan seorang pun yang sanggup meleraikan (menyelesaikan perselisihan pembahagian hak waris) mereka." (riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi, dan al-Hakim)

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahwa Nabi SAW bersabda: "Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang lain, kerana sesungguhnya, ilmu faraid setengahnya ilmu; ia akan dilupakan, dan ia ilmu pertama yang akan diangkat dari umatku." (riwayat Ibnu Majah dan ad-Darquthni).

Dalam riwayat lain disebutkan, "Pelajarilah ilmu faraid, kerana ia termasuk bahagian dari agamamu dan setengah dari ilmu. Ilmu ini adalah yang pertama kali akan dicabut dari umatku." (riwayat Ibnu Majah, al-Hakim dan Baihaqi)

Objektif kenapa Islam sangat menggalakkan umatnya mempelajari dan memahami ilmu faraid ialah agar dapat mengetahui cabang-cabang nasab, siapa ahli waris dan siapa bukan ahli waris, kadar atau bahagian yang akan diwarisi oleh setiap ahli waris dan kaedah atau cara mengira.

Ikatan keturunan

Dengan itu setiap waris yang layak dapat ditentukan haknya di samping dapat mengelakkan pertelingkahan atau perebutan harta di kalangan waris-waris. Dalam ilmu faraid Tarikah adalah subjek utama yang menjadi aspek perbahasan. Tarikah atau harta peninggalan bermaksud segala harta yang ditinggalkan si mati selepas kematiannya, sama ada aset tetap (seperti tanah, rumah, bangunan dan sebagainya) atau aset berubah (seperti mata wang, emas, perak dan sebagainya).

Apabila meninggalnya seseorang itu, harta yang ditinggalkan hendaklah ditunaikan segala kewajipan ke atasnya iaitu, pertama; diambil darinya untuk kos pengurusan jenazahnya. Kedua; untuk membayar hutang-hutangnya; (pertama) hutangnya dengan hamba-hamba Allah dan (kedua) hutangnya dengan Allah. Ketiga; dilaksanakan wasiatnya dengan syarat tidak melebihi 1/3 dari harta yang tinggal setelah ditolak hutang. Keempat; diagihkan kepada ahli-ahli warisnya.

Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang si mati, sama ada berbentuk agama (seperti zakat, nazar, dan lain-lain) atau hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.

Sebagaimana dalam bab ibadat seperti solat, puasa dan zakat yang mempunyai rukun-rukun tertentu, begitu juga dalam perwarisan, ia juga mempunyai rukun yang perlu dipenuhi, iaitu Muwarrith iaitu orang yang mewariskan harta (yakni si mati), Warith iaitu orang yang bakal mewarisi harta si mati dan Mauruth iaitu harta yang diwariskan oleh si mati.

Dalam perwarisan, untuk membolehkan seseorang itu layak mewarisi harta peninggalan si mati ia mestilah mempunyai ikatan keturunan atau kekeluargaan dengan si mati seperti ibu bapa, datuk, nenek, anak, cucu, cicit dan seterusnya. Syarat seterusnya seseorang itu hendaklah mempunyai ikatan perkahwinan iaitu ikatan suami dan isteri. Dan syarat yang lebih penting ialah perlu ada ikatan akidah. Jika seorang Muslim yang mati tidak mempunyai sebarang ahli waris melalui sebab-sebab di atas, maka harta peninggalannya akan menjadi hak kaum muslimin yakni dimasukkan ke dalam Baitulmal.

Seseorang itu boleh mewarisi harta daripada seseorang apabila Muwarrith iaitu orang yang mewariskan harta telah pasti matinya dan ketika itu Warith iaitu orang yang mewarisi masih hidup ketika kematian si mati. Seseorang waris itu layak mewarisi harta juga apabila tidak terdapat sebarang tegahan yang menghalang dari mewarisi harta si mati.

Di antara sebab yang menghalang seseorang daripada mewarisi harta si mati ialah perhambaan, di mana seorang hamba tidak akan mewarisi kerana hartanya akan berpindah kepada tuannya. Seseorang itu terhalang juga daripada mewarisi harta jika waris berkenaan membunuh orang yang mewariskan harta sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Orang yang membunuh tidak mewarisi (harta dari orang yang dibunuhnya)". (riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.).

Di samping itu, berbeza agama (yakni antara Islam dan kafir) juga adalah sebab yang menghalang dalam perwarisan, sabda Rasulullah SAW: Tidak mewarisi seorang Muslim dari seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir dari seorang Muslim. (Riwayat Muslim dari Usamah bin Zaid r.a.)

Demikianlah, Allah telah menjadikan harta suatu yang penting dalam hidup manusia maka dengan sebab itulah Allah juga telah menetapkan peraturan mutlak yang mesti diikuti dalam menguruskan harta yang telah dikurniakan-Nya agar digunakan secara betul sesuai dengan ketentuan dan perintah-Nya.

Menerusi sistem faraid ini, Islam menetapkan pembahagian harta dilakukan secara adil. Sekiranya pembahagian faraid diabaikan, dikhuatiri akan berlaku memakan harta anak yatim, memakan harta saudara-mara atau memakan harta Baitulmal.

Perkara yang perlu difikirkan, walaupun telah disediakan mekanisme yang sangat baik dalam perwarisan ini namun masih banyak kes berlakunya pertelingkahan dan perselisihan di kalangan umat Islam kerana merebut harta pusaka dan lebih malang dan amat menyedihkan ada yang menyebut bahawa ALLAH tidak adil dalam menentukan bahagian faraid.

No comments: