Susunan ZUARIDA MOHYIN
IDRIS Tawfiq memperoleh gelaran kesarjanaan dari Universiti Manchester dalam bidang sastera, manakala gelaran uskup (paderi besar) dari Universiti Saint Thomas Aquinas di Rom, Itali. Ggelaran tersebut melayakkan beliau mengajar fahaman Katholik kepada pengikut ajaran tersebut.
Namun siapa sangka, individu yang merupakan ketua pusat pengajian di beberapa sekolah sekitar selatan London dan sudah bertahun mengajar mengenai agama-agama utama di dunia seperti; Kristian, Yahudi, Buddha, Islam, Sikh dan Hindu, kini beralih mengajar agama Islam sebaik dirinya mengucap dua kalimah syahadah.
Apa yang berlaku ke atas Idris ini bertepatan dengan ayat ke-25 dalam surah Yunus yang bermaksud: Allah menyeru manusia ke Darussalam (Syurga), dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (Islam).
Ayat di atas menjelaskan bahwa Allah SWT akan memberikan hidayah (jalan kebaikan) kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya. Tidak kira status, latar belakang, waima agama anutan nenek moyang mereka sebelum ini.
Hakikatnya, ayat tersebut layak disematkan pada Idris Tawfiq, seorang pastor Roman Katolik dan kini sudah menetap di Mesir.
Idris bergelar mualaf setelah mempelajari Islam dan tertarik kepada agama ini sejurus melihat kelembutan serta kesederhanaan sikap umat Islam itu sendiri.
"Dulu saya senang menjadi pastor atau paderi, selain berpeluang membantu masyarakat menerangkan tentang kewujudan kepelbagaian agama dan kepercayaan di dunia ini, terutamanya berkaitan agama Kristian.
"Namun, semuanya berubah apabila saya melihat sendiri kelebihan agama Islam terutamanya menerusi akhlak anak-anak murid saya yang beragama Islam. Yang pastinya, bulan Ramadan menjadi titik tolak kepada tarikan saya terhadap Islam," akui Idris yang tidak pernah menyesal bergelar Muslim meskipun kedudukannya di dalam gereja pada masa itu sudah kukuh.
Hidayah yang diperoleh oleh Idris menyingkap kembali kepada tempoh dakwah Rasulullah SAW, salah satu punca yang membawa kepada pengislaman masyarakat Arab jahiliah pada ketika itu ialah disebabkan kehebatan akhlak Rasulullah.
Kata Idris, apa yang berlaku ke atas dirinya adalah ketentuan Allah. Sungguhpun ramai tidak menyedarinya, namun setiap peristiwa sama ada kecil mahupun besar kesan yang cukup penting dalam keseluruhan kehidupan seseorang itu.
Muhasabah diri
"Ini mungkin disebabkan kita terlalu sibuk dengan rutin harian sehingga tidak berpeluang atau tidak mengambil pusing soal muhasabah diri. Padahal, kita mengakui bahawa keberadaan kita sekarang ini adalah natijah daripada ketentuan dahulu. Bahawasanya juga dengan melihat semula ke belakang akan menjadikan kita seorang yang lebih bersyukur dan reda dengan perancangan Allah ke atas umat-Nya.
"Bagi saya, kenangan Ramadan sebagai seorang Muslim menjadikan saya seorang insan yang amat menghargai setiap yang berlaku di dalam hidup ini. Di samping, dua kali Ramadan yang sempat dilalui adalah saat paling bermakna di dalam diari kehidupan saya," cerita Idris.
Terang beliau, semuanya bermula apabila para pelajarnya yang beragama Islam melaksanakan solat di dalam biliknya. Pertama kerana, bilik itu adalah satu-satunya yang berkarpet dan mempunyai tempat mengambil wuduk.
Apa lagi sebagai pensyarah yang sentiasa menjadikan asas toleransi sesama pelajar walaupun pelbagai agama dan bangsa, sekali gus memberi pemahaman agar semua pihak menghormati di antara satu sama lain.
Katanya, kefahaman beliau tentang Islam tambah mendalam sejak mengunjungi Mesir, di mana beliau melihat sendiri cara hidup orang Islam. Sebelum ini, pandangannya mengenai Islam lebih ke arah negatif.
"Bagi saya, Islam sinonim dengan keganasan, potong tangan, diskriminasi terhadap perempuan dan sebagainya.
"Namun, pandangan itu mulai berubah sedikit demi sedikit, ketika di Mesir inilah. Sebenarnya, Islam jauh berbeza sebagaimana yang digambarkan oleh media barat," jelasnya.
Di samping itu, kata Idris, untuk menyediakan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar, terpaksalah beliau banyak membaca, meskipun ketika itu belum bergelar Muslim.
"Pada masa yang sama, para pelajar di situ memohon kebenaran menggunakan bilik saya sebagai ruang bersolat sepanjang bulan Ramadan. Mahu tidak mahu, saya akur dengan permintaan mereka, ditambah mahu memberi contoh yang baik kepada kakitangan dan pelajar di situ," akui Idris yang langsung tidak terlintas dirinya akan memeluk Islam.
Jelas Idris , itulah cara Allah merapatkan diri beliau dengan agama Islam.
Tambahnya, sepanjang Ramadan, beliau melihat solat lima waktu umat Islam serta yang paling menyentuh hatinya, adalah ukhuwah yang ditunjukkan hasil solat berjemaah dan kemeriahan berbuka puasa.
Sehinggalah pada penghujung Ramadan, Idris sudah mampu untuk membaca sesetengah ayat-ayat yang ringkas walaupun tanpa mengetahui maksudnya. Malah bilik yang sama juga telah digunakan untuk mengerjakan solat fardu Zuhur sehinggalah pada tahun-tahun seterusnya.
Cerita Idris lagi, pada Ramadan berikutnya, beliau telah mengikut para pelajar Muslim itu berpuasa walaupun dirinya belum Islam.
Pada awalnya sebagai membuktikan rasa perpaduan di antara mereka. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, beliau akhirnya mengucap dua kalimah syahadah.
Ayat al-Maidah
Dari saat itu, Idris mula mempelajari al-Quran. Ia membaca ayat-ayat suci daripada terjemahannya. Dan ketika membaca ayat 83 surah al-Maidah, dirinya kaku dan hatinya tersentuh. Secara tiba-tiba, beliau menitiskan air mata.
"Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (al-Quran). (al-Maidah: 83).
Idris semakin serius mempelajari Islam. Bahkan, ketika berlakunya peristiwa 11 September 2001, timbul juga kekhuatiran pada peringkat awal tetapi keyakinannya terhadap agama Islam mangatasi apa yang digambarkan media. Ditambah pula dengan pengalaman ketika di Mesir, yang menguatkan kepercayaan Idris kepada agama Islam.
Pertuturan Idris yang lembut sikapnya yang sopan turut membuatkan masyarakat mesra dengan beliau. Gaya berbicaranya juga baik , sangat sederhana dan lemah lembut menyentuh hati. Beliau kini giat berceramah dan menulis buku tentang keindahan Islam.
Idris menyampaikan ceramah di berbagai-bagai tempat dengan satu tujuan - menyebarkan dakwah Islam. Beliau juga banyak memberikan bimbingan dan latihan penulisan serta berpidato untuk siswa maupun orang dewasa.
Kesempatan itu digunakannya untuk mengajar orang lain, termasuk menjelaskan Islam pada dunia Barat yang majoritinya bukan beragama Islam.
Idris juga dikenali sebagai penulis. Tulisannya tersebar di berbagai akhbar, majalah, jurnal, dan laman web di London. Ia juga menjadi penyumbang kepada laman web www.islamonline.net dan www.readingislam.com
No comments:
Post a Comment