Like Blog Ini...

Thursday, December 22, 2011

Kisah hidup 35 ulama



Oleh SITI AINIZA KAMSARI

KALAU bertemu dengan seseorang yang memakai baju dengan potongan tangan yang agak pelik - sebelah besar dan sebelah lagi pula kecil - tentu terus terlintas di fikiran mesti ada yang tidak kena atau gila.

Tetapi tahukah anda, itulah gaya Imam Abu Daud, salah seorang antara ulama hadis yang enam, seorang yang hafiz, warak dan kuat beribadat.

Dalam buku ini diceritakan betapa Imam Abu Daud dikatakan mempunyai hikmah serta falsafah di sebalik cara dia berpakaian. Pada masa dahulu, beliau mempunyai satu lengan (baju) yang luas dan satu lengan yang sempit. Apabila ditanya beliau menjawab: "Yang luas (lengan) itu untuk aku membawa (memasukkan) kitab-kitab di dalamnya manakala yang sebelah lagi pula tidak diperlukan. Jika diluaskan (dibesarkan) juga ia merupakan satu perbuatan membazir!"

Setiap kita tentunya suka untuk membaca kisah-kisah peribadi, memori hidup atau biografi mereka yang terkenal dan berjasa. Kisah-kisah dalam melalui liku-liku hidup pahit manis, suka duka mereka pastinya akan menyentuh perasaan, meninggalkan seribu satu pengajaran dan menjadi sumber inspirasi kepada para pembaca.

Tetapi jarang kita dapat mengikuti kisah-kisah kehidupan peribadi para ulama terutama yang telah lama meninggalkan kita, malah sehingga beratus-ratus tahun dahulu.

Kisah hidup mereka sama penting untuk kita ketahui sebagaimana kita mengikuti kisah sejarah atau sirah Rasulullah, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda.

Para ulama juga mempunyai kisah kehidupan mereka yang sangat unik, menarik dan sangat mengagumkan. Malah mereka juga sebenarnya menonjolkan kehidupan yang sangat sederhana tetapi mampu menguasai pelbagai kepakaran dan mempunyai hobi-hobi yang menarik.

Mereka mampu menterjemahkan segala falsafah yang dipegang dalam segenap kehidupan namun yang jelas ulama tidak sahaja pewaris nabi tetapi mereka sangat mencintai ilmu.

Dek kerana ilmu mereka sanggup menggembara ke merata tempat supaya tidak ketinggalan memiliki ilmu tersebut dan sanggup mengembara jauh juga semata-mata untuk menyebarkan ilmu. Begitu sekali komitmen yang mereka pamerkan kerana terlalu cintakan ilmu. Sesuai dengan Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Muslim, Abu Daud, Tirmidzi dan An Nasai yang bermaksud; Sesiapa yang berjalan supaya mencari ilmu nescaya Allah memudahkan baginya jalan ke syurga.

Muhammad Abdulloh berjaya mengumpulkan kisah hidup hampir 35 para ulama dari zaman silam Islam sehinggalah ulama-ulama tempatan di Malaysia.

Ditulis dalam catatan yang sangat menarik dan penulis yang berasal dari Sandakan Sabah itu benar-benar semakin mendekatkan diri kita kepada ulama-ulama tersebut walaupun mereka telah lama meninggalkan kita.

Bukan suatu yang gimik tetapi penulis melontarkan perkara berikut iaitu Imam Syafie dan Imam Ahmad pandai bersyair? Imam Malik suka menyanyi? Ibnu Firdaus, lakukan cubaan pertama terbang di udara? Ibnu Sina, selamatkan perut raja? Ibnu Sirin, pandai mentafsir mimpi? Ibnu Hazm, sibuk bercinta? Imam Nawawi sanggup membujang demi ilmu? Abuya Hamka, ceramahnya sangat memukau? Imam Bukhari, kuburnya harum dengan wangian Misk? Jenazah Imam Ahmad, Said Nursi dan Syeikh Albani dihadiri jutaan manusia?

Seperti tingkah laku yang ditunjukkan oleh ulama pentafsir mimpi terkenal, Ibnu Sirin apabila pada suatu hari iaitu pada waktu tengahari, ulama itu memasuki sebuah pasar yang sibuk.

Di tengah-tengah pasar itu, beliau akan bertakbir dan bertasbih berulang-ulang kali dengan suara yang kuat.

Apabila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, Ibnu Sirin menjawab: "Kerana pada masa-masa seperti sekarang inilah manusia lupa kepada Allah!" Menarik bukan?

Apabila kita menyoroti kehidupan ulama Tok Kenali dari Kelantan misalnya dari aspek pemakanan hari-harinya adalah sangat sederhana. Ini kerana beliau betul-betul mengamalkan makan untuk hidup.

Beliau hanya masak nasi yang dicampur serentak dengan ikan kering agar sekali gus terus menjadi nasi berlauk, iaitu dua dalam satu malah bertujuan untuk menjimatkan masa memasak!

Kisah ulama Sheikh Abdullah Fahim, iaitu datuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga menarik. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pada pertemuan untuk membincangkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu, Abdullah Fahim memberitahu Almarhum Tunku Abdul Rahman bahawa selepas mencapai kemerdekaan, akan bertukar namanya. Ramalan yang dibuat berdasarkan ilmu firasat yang beliau miliki ternyata benar apabila dengan kehendak Allah juga, Tanah Melayu telah bertukar namanya kepada Malaysia, lima tahun selepas kemerdekaan! Harus diingat, beliau jugalah individu yang bertanggungjawab memilih tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh keramat, kita merdeka!

Dan banyak lagi kisah-kisah menarik dan semuanya ada di dalam buku ini dan pastinya ia bukan satu kisah dongengan tetapi bahawa para ulama juga tidak sahaja mempunyai kisah benar tetapi juga mempunyai kisah-kisah luar biasa mereka!

Azab pasti datang

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SURAH Al-Maarij:

SURAH ini diturunkan selepas surah al-Haqqah dan sebagai penyempurna gambaran tentang keadaan Hari Kiamat dan azab neraka. Surah ini dikatakan sebagai surah makiyah dengan ijmak ulama.

Firman Allah SWT: Seseorang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa. Orang-orang kafir, yang tidak seorangpun dapat menolaknya. (al-Maarij: 1-2)

Ahli tafsir berkata: Ayat ini diturunkan kepada al-Nadir Ibn al-Haris ketka berkata: Ya Allah, jika ini yang dibawa oleh Muhammad, adalah benar disisi-Mu, maka turunkan ke atas kami balasan hujan daripada batu. Inilah pendapat jumhur ulama termasuk Ibnu Abbas dan Mujahid. Ada pendapat lain menyatakan ayat ini diturunkan kepada Abu Jahal. Inilah pendapat al-Rabi' Ibnu Anas.

Berkenaan dengan yang meminta dan berdoa. Di sini ada tiga pendapat:

* Berdoa supaya dikenakan bala azab sebagai tanda mengejek.

* Berdoa supaya Allah menimpakan azab pada dirinya.

* Berdoa supaya azab benar-benar berlaku dan terjadi.

Al-Maghari berkata: Seorang peminta telah meminta kedatangan azab yang pasti berlaku, meskipun ia diminta atau tidak diminta (ia tetap akan berlaku). Ini disebabkan azab itu pasti menimpa orang kafir di akhirat kelak dan tidak ada seorang pun yang berdaya menghalang kedatangan azab tersebut.

Firman Allah SWT: (yang datang) dari Allah, yang mempunyai tempat-tempat naik. (al-Maarij: 3)

Ibnu Kathir berkata: Azab yang pasti berlaku kepada orang kafir daripada Allah. Adapun perkataan zi al-ma'arij ada beberapa tafsiran:

* Allah yang bersifat Maha Tinggi kedudukan dan kelebihan. Inilah pendapat Ibn Abbas.

* Tangga-tangga langit. Inilah pendapat Mujahid.

* Allah mempunyai banyak kelebihan dan nikmat. Inilah pendapat Qatadah.

Syed Qutub berkata: Surah ini menceritakan ada orang yang meminta ditimpakan azab dengan segera kemudian menjelaskan bahawa azab ini memang tetap berlaku dari satu segi ia telah ditetapkan dalam perencanaan Allah SWT. Dari segi yang lain, ia sudah hampir berlaku dan tiada siapa mampu menolak dan menghalangnya. Oleh itu, orang yang meminta supaya azab disegerakan merupakan orang yang malang sama ada individu atau berkumpulan.

Azab ketika itu disediakan kepada seluruh orang kafir termasuk orang yang meminta azab disegerakan. Hari itu berlaku dengan perintah Allah Yang Maha Besar. Di dalam surah yang lain menceritakannya.

Firman Allah SWT: Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun. (al-Maarij: 4)

Berkenaan dengan 50,000 tahun ia merupakan masa pada hari Kiamat. Dan ia cukup panjang dan lama bagi orang kafir.

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibnu Abbas berkenaan kadar masa ini. Lantas jawabnya: Ia merupakan dua hari yang Allah sebut kedua-duanya dan aku tidak suka untuk menyebut dalam kitab Allah apa yang tidak aku ketahui.

Syed Qutub berkata: Menurut pendapat yang terkuat, maksud kata-kata hari yang disebutkan dalam ayat ialah hari Kiamat kerana susunan ayat itu sendiri menentukan maksud tersebut.

Pada hari tersebut, para malaikat dan Jibril akan naik menghadap Allah SWT. Maksud kata-kata al-ruh pula menurut pendapat yang sama, iaitu Jibril kerana beliau juga dinamakan dalam surah-surah yang lain. Beliau disebut khusus selepas para malaikat kerana kedudukannya yang istimewa.

Demikianlah juga istiadat para malaikat menghadap Allah SWT dan menunjukkan betapa istimewanya hari tersebut. Kita tidak dituntut untuk mengetahui tugasan yang penting pada hari tersebut, bagaimana caranya malaikat naik bertemu Allah SWT kerana semuanya urusan alam ghaib dan tidak mungkin kita mengetahuinya.

Firman Allah SWT: Maka Bersabarlah kamu dengan sabar yang baik. Sesungguhnya mereka memandang siksaaan itu jauh (mustahil). Sedangkan kami memandangnya dekat (mungkin terjadi). Pada hari ketika langit menjadi seperti luluhan perak. (al-Maarij: 5-8)

Ibnu al-Jauzi berkata: Bersabarlah atas pendustaan mereka terhadapmu dan ayat ini dikatakan diturunkan sebelum ayat diperintahkan memerangi mereka kemudian dinasahkannya.

Ibnu Kathir berkata: Berlakunya azab dan Kiamat pada sangkaan orang kafir amat jauh dan hampir mustahil berlaku sedangkan orang yang beriman yakin bahawa kiamat amat hampir berlaku kecuali waktunya tidak diketahui hanya Allah sahaja.

Firman Allah SWT: Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu (yang berterbangan). (al-Maarij: 9)

Al-Maghari berkata: Gunung-ganang hancur lebur, tidak tegak berdiri, gambarannya seperti bulu-bulu yang berterbangan ketika ditiup angin. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Hasan: Gunung-ganang itu bergerak bersama angin, kemudian menjadi hancur seperti pasir dan pada saat itu seolah-olah bulu yang berterbangan kemudian hancur berkecai sehingga menjadi debu-debu yang bertebaran.

Firman Allah SWT: Dan tidak ada seorang teman akrabpun menanyakan temannya. Sedang mereka saling memandang. Orang kafir ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya, Dan isterinya dan saudaranya, Dan kaum keluarganya yang melindunginya (di dunia). Dan orang-orang di atas bumi seluruhnya kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya. (al-Maarij: 10-14)

Kebanyakan ulama berpendapat pada ketika itu seseorang kerabat tidak bertanya tentang kerabatnya walaupun bertemu kerana masing-masing bimbang hal mereka sendiri. Ini kerana rasa gerun dan takut keadaan suasana tersebut. Inilah pendapat Muqatil.

Syed Qutub berkata: Manusia pada hari tersebut sibuk dengan masalah masing-masing. Mereka tiada masa memikirkan masalah orang lain. Kedahsyatan malapetaka Kiamat itu memutuskan segala perhubungan dan memenjarakan setiap orang dengan halnya yang tersendiri. Mereka tidak menghiraukan sesiapa walaupun ternampak sahabat karib. Kesusahan dan ketakutan menyelubungi semua orang.

Bagaimana pula orang yang bersalah? Seluruh perasaannya diselubungi ketakutan dan dia bercita-cita menebuskan dirinya daripada diazab dengan anak-anaknya, isterinya dan saudara maranya yang selalu memberi perlindungan kepadanya dan kerana terlalu ingin menyelamatkan diri dia berangan-angan menebuskan dirinya dengan seluruh penghuni bumi.

Itulah gambaran yang terharu dan mendesak dalam melepaskan diri dari seksaan. Semuanya tertulis dalam pengungkapan ayat al-Quran yang sangat menarik untuk dihayati bersama.

Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak dapat, sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergolak. Yang mengelupas kulit kepala. Yang memanggil orang yang membelakang dan yang berpaling (dari agama), serta mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya. (al-Maarij: 15-18)

Berkenaan dengan perkataan laza, ada beberapa pendapat:

* Al-Farra' berkata: Perkataan laza merupakan salah satu nama neraka jahanam yang demikian kerana mereka diheretnya.

* Ibn al-Anbari berkata: Dinamakan demikian kerana kepanasan dan sifat membuaknya.

* Ada pendapat menyatakan pada bahasa dengan nyalaan yang benar-benar hebat.

Sedangkan tafsiran berkenaan dengan kulit yang disiat ada empat pendapat:

* Kulit kepala. Inilah pendapat Mujahid.

* Kulit dan rupa wajah yang cantik. Inilah pendapat al-Hasan dan Abu al-'Aliyah.

* Tumit dan kaki. Inilah pendapat Ibn Jubair.

* Segala anggota seperti dua tangan, dua kaki dan kepala. Inilah pendapat al-Farra' dan al-Zajjaj.

Al-Maghari berkata: Tebusan itu tidak akan diterima meskipun dia membawa seluruh penghuni bumi atau membawa harta yang paling berharga, walaupun emas sepenuh bumi. Begitu juga jika dia membawa anaknya yang merupakan cahaya hatinya di dunia, atau membawa isteri dan keluarganya.

Syed Qutub berkata: Neraka itu memanggil mereka sebagaimana mereka pernah dipanggil di dunia untuk menerima hidayah Allah tetapi berpaling daripada panggilan itu. Akan tetapi apabila mereka dipanggil api neraka ketika itu tidak berupaya dan berdaya menidakkannya. Mereka tidak menghiraukan dakwah kerana sibuk dengan urusan dunia mengumpul harta tetapi hari yang dijanjikan dan neraka yang memanggil mereka, maka ketika itu tidak terdaya dan ada harapan untuk menidakkan kerana ia telah terpilih merasai azab yang telah dijelaskan oleh Allah SWT.

Api ini dapat menarik penghuni neraka yang telah diciptakan Allah SWT untuknya antara para penghuni padang al-Mahsyar (tempat berkumpul). Sememangnya telah ditakdirkan bahawa penghuni neraka ketika di dunia dahulu mengerjakan pekerjaan penghuni neraka. Mereka mengotorkan diri apabila berdusta dengan hati mereka. Kemudian meninggalkan amalan yang dilakukan dengan anggota badan malah mereka mengumpul harta dan menyimpannya tetapi mereka tidak menunaikan hak Allah SWT dan mereka pula disibukkan dengan harta itu sehingga lalai mengerjakan kewajipan-Nya sama ada dalam bentuk perintah atau larangan.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan hambanya yang soleh, seterusnya melayakkan kita menghuni syurga-Nya dan selamat daripada neraka-Nya. Amin.

Tuesday, December 20, 2011

Jadikan al-Quran pedoman hidup



"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebut nama Allah gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepada mereka, bertambahlah iman mereka, Dan kepada tuhan sahajalah mereka bertawakkal." (Surah Al-Anfal.Ayat:2)

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

ALLAH SWT telah menetapkan bahawa al-Quran itu diturunkan oleh Tuhan Semesta alam dan ia bukannya syair atau ramalan.

Lalu Allah SWT mengukuhkan bahawa bila Nabi Muhammad SAW melakukan perkara yang demikian (syair dan ramal), tentulah Kami akan membatalkan hujahnya. Begitu juga Kami akan hentikan dakwahnya dengan mencabut kekuatan bayan (bicara)nya sehingga Baginda SAW tidak dapat berbicara dengan melakukan pendustaan ini. Atau Kami akan membunuh Baginda SAW sehingga tidak dapat menyebarkan pendustaan. Menurut sunnah Kami, setiap orang yang sengaja mengada-adakan pembicaraan pasti tidak akan diterima dan ucapannya tidak akan di dengar orang.

Firman Allah SWT: Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebagian perkataan atas (nama) kami. Nescaya benar-benar kami pegang dia pada tangan kanannya. (al-Haqqah: 44-45)

Ibnu al-Jauzi berkata: Kalau Muhammad mereka-reka dan berdusta atas kami apa yang kami tidak firman kepadanya, nescaya kami hukum ke atasnya dengan sekuat-kuatnya. Inilah pendapat al-Farra, al-Mubarrad dan al-Zajjaj. Sedangkan Ibn Qutaibah pula berkata: Allah akan mendirikan sebelah kanan-Nya sebagai tempat kekuatan. Ini kerana kekuatan pada setiap sesuatu pada pihak kanannya.

Yang paling buruk

Al-Maghari berkata: Jika Nabi Muhammad SAW sengaja mengadakan perkataan yang batil dan menisbahkannya kepada Kami, pasti Kami akan segerakan seksaan kepadanya dan Kami pula akan membalasnya dengan balasan amat dahsyat. Maksud memegang tangan kanannya itu ialah pegangan ketika memancung leher dan melenyapkan nyawa. Oleh yang demikian ia disebut sebagai tamsil (kiasan) tentang apa yang dilakukan para raja terhadap orang yang mendustakan mereka. Lalu mereka tidak lagi memberikan tempoh kepadanya, bahkan mereka memenggal leher orang itu dengan segera.

Firman Allah SWT: Kemudian benar-benar kami potong urat tali jantungnya. (al-Haqqah: 46)

Perkataan watin dalam ayat ini ditafsirkan oleh Ibnu Abbas, Ikrimah, Sa'id bin Jubair, Qatadah dan al-Dahak dengan saraf dan urat-urat yang bersambung pada hati.

Al-Maghari berkata: Watin adalah urat besar yang merupakan tempat dikenakan pisau oleh orang yang melakukan sembelihan. Al-Shimah Ibn Dirar berkata: Apabila kamu telah menghantar aku, dan membawa barangan muatanku ke atas kenderaan, maka alirkan darah di urat jantungmu.

Ayat di atas bermaksud apabila dia mendustakan Kami, tentu Kami akan menghilangkan nyawanya sehingga dia bagaikan orang yang menghiris urat jantungnya. Ini adalah gambaran tentang kebinasaan yang paling buruk dilakukan para raja terhadap yang mereka murka. Ini disebabkan tangan kanan orang itu akan dipegang oleh tukang penyembelih lalu dipukul dengan pedang dan dipancung lehernya.

Firman Allah SWT: Maka sekali-kali tidak ada seorangpun dari kamu yang dapat menghalangi (Kami), dari pemotongan urat nadi itu. (al-Haqqah: 47)

Ibn Kathir berkata: Tiada seorang pun yang mampu untuk menghalang kami dan tindakan kami jika kami mahu melaksanakannya.

Memberi peringatan

Syed Qutub berkata: Maksud ayat ini dari sudut laporan ialah untuk menyatakan Nabi Muhammad SAW itu benar dalam segala yang disampaikan kepada mereka. Andainya Baginda mereka perkataan yang tidak diwahyukan Allah kepadanya, tentulah Allah SWT akan membunuhnya dengan cara yang diterangkan oleh ayat itu.

Oleh kerana seksaan Allah SWT tidak berlaku, maka inilah bukti bahawa Baginda seorang yang benar.

Inilah kedudukan isu ini dari sudut laporan tetapi pemandangan hidup yang dikemukakan untuk memberi bayangan yang ngeri dan menakutkan. Pemandangan ini bergerak dan hidup menyampaikan saranan, isyarat dan nada. Pemandangan itu menggambarkan penyeksaan Allah yang bertindak memotong saluran jantungnya. Ini suatu tindakan yang keras dan mengerikan dan di sebaliknya menyarankan betapa besarnya kudrat Allah dan lemahnya manusia di hadapan-Nya walaupun Nabi SAW itu disayangi dan dimuliakan Allah SWT. Dan di sebalik semuanya ini terdapat nada pernyataan yang membayangkan perasaan takut, cemas dan khusyuk.

Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar suatu pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa. (al-Haqqah: 48)

Al-Sobuni berkata: Ini kerana al-Quran boleh memberi peringatan kepada yang beriman lagi bertakwa yang takut kepada Allah khususnya golongan yang bertakwa disebut di sini kerana merekalah yang banyak mengambil manfaat dengan al-Quran.

Al-Maghari berkata: Al-Quran ini menjadi peringatan kepada orang yang takut terhadap seksaan Allah SWT sehingga dia mengerjakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Peringatan dan nasihat itu dikhususkan kepada para muttaqin kerana mereka terdiri daripada orang yang dapat memanfaatkannya.

Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya kami benar-benar mengetahui bahwa di antara kamu ada orang yang mendustakan(nya). (al-Haqqah: 49)

Ibnu Kathir berkata: Sekalipun keterangan dalam al-Quran amat jelas lagi nyata tetapi akan ada di kalangan kamu yang mendustakan al-Quran.

Al-Maghari berkata: Di antara kamu ada yang mendustakannya kerana cintakan dunia dan dengki terhadap pendakwah itu. Atas dasar itu, Kami akan membalasmu dengan sesuatu yang lebih adil. Kesimpulannya, antara kamu itu ada orang yang bertakwa kepada Allah SWT sehingga dia mengingati al-Quran dan dapat memanfaatkannya. Di antara kamu pula ada orang yang cenderung kepada dunia sehingga dia mendustakan dan berpaling dari al-Quran.

Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya Al Quran itu benar-benar menjadi penyesalan bagi orang-orang kafir (di akhirat). Dan Sesungguhnya Al Quran itu benar-benar kebenaran yang diyakini. (al-Haqqah: 50-51)

Syed Qutub berkata: Mereka menyesal kerana al-Quran telah mengangkatkan darjah orang yang beriman dan menjatuhkan orang kafir yang berdusta. Ini kerana al-Quran berjaya menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan yang dipegang oleh orang-orang kafir. Di samping itu, al-Quran menjadi hujah yang menentang mereka di hadapan Allah pada hari Akhirat kelak, di mana mereka akan diazab kerana al-Quran dan menyesal kerana menentang-Nya. Oleh itu al-Quran akan menjadi punca penyesalan kepada orang kafir dunia dan akhirat.

Walaupun didustakan oleh pendusta, al-Quran bukan semata-mata keyakinan tetapi kebenaran yang wujud dalam setiap keyakinan itu. Kata-kata Haqqul Yakin adalah ungkapan istimewa untuk menguatkan makna dan penegasan iaitu al-Quran amat mendalam dari segi kebenaran dan keyakinan. Al-Quran mengemukakan kebenaran yang tulen dalam setiap ayatnya membuktikan sumbernya ialah kebenaran yang utama dan sejati serta telus.

Firman Allah SWT: Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Maha Besar. (al-Haqqah: 52)

Al-Maghari berkata: Bertasbihlah kamu kepada Allah SWT dengan menyebut nama-Nya dan sebagai tanda membersihkan diri daripada mendakwa ia adalah suatu rekaan dan untuk melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana penganugerahan al-Quran yang agung ini telah diwahyukan kepadamu.

Penutup

Berdasarkan kepada ayat-ayat yang dibahaskan, antara yang ditekankan di sini berkenaan dengan al-Quran. Justeru, sewajarnya kita beriman dengannya dengan maksud membaca tadabbur ayat-ayat al-Quran, mengamali ayat al-Quran, merasa kebesaran ayat Allah dan menjadikan kalam Allah sebagai pedoman hidayah dalam melayari bahtera kehidupan di dunia ini. Hendaklah kita jadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian. Amin.

Hikmah dan natijah zakat

MUTAKHIR ini seruan agar berzakat bergema di mana-mana. Persoalannya, apakah hikmah zakat dan apakah natijahnya kepada umat?

JAWAPAN

Hikmah zakat sangat banyak. Sebahagian daripada hikmah zakat yang utama termasuk:

- Membersihkan harta daripada 'kotoran' batini, iaitu percampuran dengan harta milik orang lain (asnaf zakat).

- Membersihkan jiwa orang-orang kaya daripada sifat-sifat mazmumah (jelik atau keji) seperti kedekut, tamak dan cinta dunia;

- Menyuburkan jiwa mereka dengan sifat-sifat terpuji seperti zuhud, pemurah dan qana'ah (berpada dengan apa yang ada).

- Menyemai sensitiviti yang tinggi dalam kalangan umat Islam sehingga menumbuhkan sifat pengasih dan penyayang dalam diri orang-orang kaya terhadap asnaf zakat; dan menghakis sifat iri hati dan buruk sangka asnaf zakat terhadap orang-orang kaya.

- Membina jambatan ukhuwah antara orang-orang kaya dan asnaf zakat, sekali gus menumbuhkan perasaan kasih sayang yang padu dalam masyarakat.

- Mengurangkan kadar jenayah dalam negara yang dilakukan akibat perasaan dengki dan iri hati orang-orang miskin terhadap golongan kaya atau akibat kesempitan hidup.

- Dapat memajukan ekonomi umat Islam menerusi perancangan penggunaan dana zakat yang berkesan dan menjadi sumber pendapatan kepada negara.

- Mewujudkan masyarakat yang seimbang dari segi kekayaan dan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

- Membantu memenuhi keperluan hidup orang-orang miskin dan menyelamatkan mereka daripada terjebak dengan perkara-perkara keji seperti pelacuran dan kekufuran.

- Memperkasakan negara dan umat Islam melalui penyelidikan yang dijalankan menggunakan dana zakat, misalnya dalam aspek teknologi persenjataan sehingga berupaya mengangkat ketinggian darjat Islam di mata dunia.

- Menjadi 'payung' kepada umat Islam yang memerlukan 'tempat berteduh', iaitu berupaya memenuhi keperluan mereka yang kurang bernasib baik.

Manakala, daripada aspek natijahnya, zakat menjadi sebab bagi datangnya kasih-sayang Allah dan juga datangnya keberkatan dalam kehidupan. Firman Allah SWT: Jikalau penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan oleh perbuatan mereka itu sendiri. (al-A'raf: 96)

Apabila keberkatan memayungi sesebuah negara, maka negara akan menjadi aman dan makmur. Golongan kaya tidak khuatir kekayaan mereka dicuri, manakala golongan miskin merasa nasib mereka terpelihara.

Walau bagaimanapun keadaan ini perlu diperkukuhkan dengan pemerkasaan syariat Allah dalam semua aspek kehidupan. Kemakmuran negara Islam semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a. boleh dijadikan contoh kehidupan yang dipenuhi keberkatan.

Rasulullah SAW pernah mengungkapkan: "Sebenarnya harta itu sangat menggoda. Bagi orang yang mendapatkannya dengan kemurahan hati (misalnya suka bersedekah dan berzakat), dia akan beroleh berkat; dan orang yang mendapatkannya dengan rakus (tamak dan hanya mementingkan diri sendiri), maka dia tidak akan memperoleh keberkatan - samalah dengan orang yang makan, tetapi tidak beroleh kekenyangan. (riwayat Abu Daud)

Maka, menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk memastikan hak Allah SWT yang tersimpan di dalam hartanya dikeluarkan sebagai zakat.

Amalan ini bukan sekadar membersihkan harta daripada unsur-unsur yang tidak halal kerana termakan harta milik asnaf, bahkan dapat melestarikan keberkatan. Zakatlah satu cara bagi menjamin keberkatan yang dapat pula menjamin kebahagiaan umat manusia. Wallahua'lam.

Menjalankan amar makruf

Perkara ini berlaku di selatan tanah air, seorang anak lelaki jiran kami selalu membawa pulang perempuan ke rumah ketika ahli keluarga dia tiada di rumah.

Melihat maksiat yang yang berlaku kami jawatankuasa surau menasihatkan ahli keluarga budak tersebut. Tapi nasihat kami disalah tafsir dan ahli keluarga budak itu mempertahankan anak lelaki mereka. Selepas pada itu kami tidak ditegur oleh ahli keluarga tersebut. Apa pandangan ustaz dalam hal ini.

JAWAPAN

Mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab setiap individu Muslim. Lebih-Lebih lagi kemungkaran yang berlaku di hadapan mata. Sebab itu kerja mengajak orang kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran ada risikonya. Jarang yang berterima kasih tapi ramai yang bermusuh. Sebab jiwa manusia yang bergelar Muslim tidak sihat semuanya, banyak yang berpenyakit.

Jiwa yang baik pasti akan berterima kasih kerana masih ada orang mengambil cakna terhadap dirinya dan ahli keluarganya. Sepatutnya si ayah atau ahli keluargalah yang mencegah kemungkaran di kalangan ahli keluarga, mungkin kerana sibuk, atau terlepas pandang maka ahli keluarga dari luar rumahlah yang menegur atau mencegah.

Alangkah nikmatnya, sekiranya kita yang mengaku beragama Islam merasakan kita adalah satu keluarga yang besar di Malaysia. Tapi kehidupan kita hari ini, tidak lagi bertunjangkan kasih sayang sesama Islam, malah kehidupan kita sudah jadi aku, aku, engkau engkau, kehidupan nafsu nafsi. Ini di antara sebab kenapa masyarakat kita tidak diberkati.

Keengganan sesuatu kaum daripada melakukan amar makruf nahi mungkar boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Inilah yang berlaku ke atas Bani Israel seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) daripada perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (al-Maidah:78&79).

Saya dapat merasakan betapa murkanya Allah SWT melalui ayat ini ke atas Bani Israel. Puncanya, mereka tidak melakukan amar makruf nahi mungkar. Kemurkaan Allah SWT tidak sekadar ke atas mereka yang melakukan kemungkaran semata-mata malahan turut menimpa orang yang tahu kesalahan yang dilakukan oleh Bani Israel tapi mendiamkan diri.

Nah, kegagalan para pendita Bani Israel, atau mereka yang tahu mana baik dan mana yang buruk lalu mendiamkan diri daripada mencegah kemungkaran yang berlaku dalam Bani Israel menyebabkan kaum itu sehingga hari ini melakukan kemungkaran yang berterusan dengan menceroboh hak orang lain, sama ada di Palestin mahupun di peringkat global.

Sehingga ke hari ini satu-satunya bangsa yang tidak peduli dengan hak orang lain, yang penting dapat apa yang mereka hendak. Ayat di atas tertera di dalam Taurat dan zabur, kenapa Allah SWT ingatkan kita ayat dari Zabur dan Taurat di dalam al-Quran? Jawapannya supaya kita umam Nabi Muhammad SAW tidak mewarisi sikap Bani Israel dalam meninggalkan amar makruf nahi mungkar.

Salah satu kumpulan manusia yang lain, yang hidup di khalayak orang Islam ialah golongan munafiqin, mereka ini lagi dahsyat dari golongan Bani Israel tadi, kerana menyuruh dan membantu dalam melakukan kemungkaran. Yang demikian di dalam al-Quran, Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik...(al-Taubah: 67).

Golongan ini menjadi perosak dari dalam Islam. Islam dipandang serong pun kerana puak ini. Lagi ramai munafik lagi bertambah rosaklah masyarakat Islam. Lebih-Lebih lagi, jumlah orang yang sukakan Kebaikan semakin hilang atau juga pupus, mungkin juga kerana banyak penyakit yang menimpa orang Islam.

Di antara ayat-ayat al-Quran yang menyuruh kita melakukan amar makruf nahi mungkar ialah, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104).

Di dalam ayat ini ada suruhan melakukan amar makruf dan nahi mungkar secara fardu, ia bermaksud wajib. Melakukan kerja dakwah mengajak orang ke arah kebaikan bukan sunat, bukan makruh tapi wajib. Setiap harus merasakan bahawa dialah orang diperintah oleh untuk melakukan kerja-kerja dakwah. Walaupun ada yang berpendapat sebahagian buat kerja dakwah maka gugurlah kefarduan ke atas yang bakinya.

Ada yang menganggap ia bukan wajib tapi fardu kifayah. Orang kita pakar dalam membezakan fardu kifayah dan fardu ain, sebab fardu kifayah tidak wajib atas semua. Maksudnya kalau dia tak buat pun tidak mengapa, tidak berdosa.

Pemikiran sebeginilah yang menjadi punca kenapa kita masih mundur dan ketinggalan. Kerana kita tidak endahkan fardu kifayah, sedangkan fardu kifayahlah yang menjadi nadi sesebuah masyarakat.

Contohnya belajar sains, kita kata fardu kifayah... orang lain kuasai sains, kita kata bertani fardu kifayah... kita terpaksa bergantung kepada sayur-sayuran yang diimport dari Thailand, China dan sebagainya. Kita kata belajar ekonomi fardu kifayah, orang lain kuasai ekonomi umat Islam.

Saya tidak bermaksud memfardukan perintah Allah SWT yang sunat atau fardu kifayah. Matlamat saya ini supaya orang kita tidak terus menerus memahami salah terhadap fardu kifayah.

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah... (Ali Imran: 110) Menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar adalah tugas khas umat Nabi Muhammad SAW sepanjang zaman.

Bilangan hadis juga banyak, antaranya; daripada Nu‘man bin al-Bashir berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ditegah dengan tangannya, jika tidak mampu dengan lisannya, jika tidak mampu juga dengan hatinya, yang demikian itulah selemah-lemah iman. Cuma dalam menjalankan amar makruf nahi mungkar kita kena ada uslub, iaitu cara-cara melakukan amar makruf. Ada kalanya orang tidak terima nasihatkan kita atau ajakan kita kerana cara kita mengajak tidak disenangi. Ini kerana lapisan masyarakat di negara kita tidak sama. Perbincangan mengenai kaedah amar makruf mungkin boleh kita bincangkan pada minggu seterusnya.

Pengajaran dari bumi Sepanyol

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

PADA tahun ini kami sekeluarga mengambil keputusan bercuti ke bumi Eropah. Bukan teruja dengan tamadun barat tetapi ingin menyelusuri kegemilangan Islam di Eropah. Antara negara yang kami lawati ialah Sepanyol.

Berbanding negara yang kami kunjungi tahun lepas iaitu mengunjungi Jordan dan Syria, Sepanyol menambat hati kerana terdapat pelbagai pengajaran yang boleh diambil daripada sejarah tamadunnya.

Satu ketika dahulu Sepanyol gah sebagai benteng akhir negara Islam yang menyinari seluruh benua Eropah. Jatuh bangun Sepanyol menyulami banyak pengajaran bagi kita tekuni bersama. Bumi Islam itu kini sudah menjadi milik orang.

Kota warisan Islam pula sudah hanya tinggal nama sahaja tanpa pengisian yang sebenarnya.

Sepanyol yang juga dikenali sebagai Costa Del Sol yang bermakna Pantai Rohani menyimpan jutaan nostalgia kegemilangan dan kejatuhan Islam. Kebanyakan kota-kota di sana masih lagi mempunyai tinggalan sejarah Islam yang dipelihara oleh Allah.

Dengan kuasa Yang Maha Esa nama-nama tempat masih lagi bercirikan kearaban bagi kita merenung kembali asal usul dan susur galur sejarah Sepanyol. Kami bernasib baik kerana mendapat pemandu pelancong beragama Islam yang mahir dengan sejarah Islam di Sepanyol. Toriq yang berasal dari Kashmir begitu tekun menyebarkan sejarah Islam Sepanyol kepada kami.

Tidak hanya dengan lawatan, siri jelajah kami juga dipenuhi dengan ceramah dan kesedaran beragama di sana. Malah sekiranya kami dapat meluangkan lebih banyak masa di sana kami juga berkesempatan untuk mengunjungi orang Islam Sepanyol yang suatu ketika dahulu dihalau ke gunung ganang kerana mempertahankan akidah mereka. Begitu juga cerita turun temurun mereka hanya ingat mengucap dua kalimah syahadah sahaja tetapi tidak tahu bagaimana mengamalkan Islam kerana tekanan pemerintah Kristian ketika itu.

Rata-ratanya cerita sedih Islam di Sepanyol amat menginsafkan kami sekeluarga. Akibat perbalahan sesama sendiri umat Islam berpecah dan diperdayakan oleh orang lain. Kerajaan yang suatu ketika dahulu kukuh hancur kerana perpecahan sesama sendiri.

Program yang dianjurkan oleh Spain Islamic Tour itu amat bermanfaat bagi kita menilai kembali sejauh manakah sayangnya kita kepada agama Allah ini. Walaupun ia dilakukan secara santai namun jauh di lubuk hati memberi kesan yang mendalam.

Di Cordoba umpamanya kita dapat menyaksikan kota terancang yang pertama di dunia yang dinamakan Medina al Zahra. Kota yang begitu tersusun itu menunjukkan tamadun Islam yang begitu tinggi nilainya tidak ada tolok bandingnya pada zaman tersebut.

Tidak dijangka akal ketika itu tanpa teknologi yang canggih umat Islam dapat membangunkan bangunan yang begitu tersergam dan tersusun yang melambangkan kekuatan dan keilmuan masyarakat Islam ketika itu.

Begitu juga dengan Masjid Cordoba yang begitu mengujakan. Walaupun sehingga kini masih lagi dipanggil Mezqueta (masjid) namun sayangnya ketika ini umat Islam tidak lagi dibenarkan bersembahyang di sana kerana telah ditukarkan menjadi gereja. Ciri-ciri keislaman masih lagi kekal di dalamnya termasuklah tulisan-tulisan Arab yang membawa maksud keesaan Allah masih terpelihara.

Uniknya, banyak nama-nama tempat di Sepanyol yang masih mengekalkan nama Arabnya walaupun disebut di dalam bahasa Sepanyol. Mungkin inilah hikmah Allah mengekalkan nama-nama tersebut agar rakyat Sepanyol memikir semula susur galur mereka suatu ketika dahulu.

Di Granada pula, Al Hambra iaitu sebuah bangunan yang penuh dengan ciri matematik yang begitu sempurna tersergam indah. Dikatakan sehingga kita dengan teknologi yang moden dan canggihpun manusia tidak dapat menandingi ciri kesempurnaan matematik al Hambra.

Semasa kami mengunjungi Al Hambra terdapat ramai kanak-kanak sekolah sedang melawat bangunan bersejarah tersebut. Perkara yang menarik perhatian saya ialah guru-guru pengiring pelajar-pelajar tersebut memberi penerangan tentang sejarah Al Hambra dan ada ketikanya membaca tulisan-tulisan yang tertulis di dinding Al Hambra dalam bahasa Arab yang bermaksud "Tiada Penakluk selain Allah".

Saya tersenyum mendengar mereka membaca kalimah-kalimah tersebut sambil berdoa agar Allah menakluk hati-hati mereka agar menerima Islam sebagai agama mereka sebagaimana nenek moyang mereka.

Sesungguhnya terdapat seribu pengajaran yang boleh diambil dari bumi Sepanyol. Kunjungan di Sepanyol dapat menambahkan kesedaran dan meningkatkan ketakwaan. Saya juga amat teruja apabila diberitahu tentang usaha rakyat Sepanyol yang beragama Islam menyebarkan Islam di tanah watan mereka.

Strategi yang mantap yang dilakukan telahpun membuahkan hasil yang amat besar dalam kalangan penduduk Sepanyol. Agama Islam sudah tidak lagi dianggap asing dari bumi Sepanyol kerana suatu ketika dahulu Islam adalah agama utama di negara itu.

Setelah kejatuhan umat Islam di sana, Islam telah dipinggirkan dan sampai satu ketika rakyat Sepanyol diharamkan daripada memeluk agama Islam. Umat Islam ketika itu ditindas dan dizalimi.

Sebaliknya pada zaman pemerintahan Islam tidak terdapat walau seorangpun yang dipaksa memeluk agama Islam. Pemelukan Islam oleh warga tempatan adalah atas kerelaan sendiri dan berdasarkan kesedaran dan teladan yang ditunjukkan oleh umat Islam sendiri.

Thursday, December 8, 2011

Azabnya seksaan neraka

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Setelah Allah SWT menyebut perihal orang yang berbahagia memperoleh kegembiraan setelah menerima lembaran amalan perbuatan mereka, kemudian Dia menjelaskan pula keadaan mereka yang baik dalam kehidupan dan tempat tinggal.

Kemudian Allah SWT menambahkan lagi dengan menyebut kedukaan dan kesedihan orang yang celaka dan kafir dengan diletakkannya belenggu dan ikatan pada leher serta tangan mereka dan diberinya kepada mereka ghislin sebagai makanan.

Kemudian Allah SWT pun menyebut faktor berlakunya semua itu kerana pada ketika dahulu tidak beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Mereka juga tidak mahu memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan dan orang yang ditimpa nasib malang.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang diberi kepadanya kitabnya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: Wahai alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini). (al-Haqqah: 25)

Muqatil berkata: Ayat ini diturunkan kepada al-Aswad bin Abd al-Asad yang telah dibunuh oleh Hamzah dalam peperangan Badar. Beliau adalah saudara kepada Abi Salamah. Sedangkan pendapat yang lain pula ia diturunkan kepada Abu Jahal.

Ibn Kathir berkata: Ia merupakan perkhabaran yang tegas daripada Allah berkenaan golongan yang mendapat kecelakaan. Apabila diberi catatan amalannya pada hari kiamat dengan tangan kirinya, maka mereka amat menyesal.

Firman Allah SWT: Dan Aku tidak mengetahui apa hisab terhadap diriku. Wahai kiranya kematian itulah yang menyelesaikan segala sesuatu. Hartaku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku. Telah hilang kekuasaanku daripadaku. (al-Haaqah: 26-28)

Al-Sobuni berkata: Seolah-olah dia berkata bahawa dia tidak mengetahui betapa dahsyatnya perhitungan dan persoalan yang ditanya.

Ini untuk menggambarkan kehebatan dan gerun yang amat sangat sehingga mereka bercita-cita harapan supaya kematian yang telah berlaku di dunia dulu bersifat kekal dan tidak ada lagi kebangkitan untuk dikenakan azab.

Qatadah berkata: Dia bercita-cita mati sedangkan tiada suatu pun perkara yang dibenci lebih dari kematian. Ini kerana dia telah melihat keadaan yang menakutkan, pahit dan memedihkan melebihi daripada kematian yang pernah dirasainya.

Syed Qutub berkata: Dia berdiri lama. Dia menyesal dan merintih panjang dan mengeluarkan keluhan putus asa yang tidak habis. Itulah keindahan gaya penerangan al-Quran.

Ia memanjang atau memendekkan cerita sesuatu peristiwa mengikut saranan yang mahu diterapkan ke dalam jiwa manusia.

Di sini ia mahu menerapkan sikap menyesal dan sedih di sebalik pemandangan yang sayu itu kerana itulah ceritanya dipanjangkan. Si malang itu bercita-cita agar dia tidak berdepan dengan keadaan ini tidak diserahkan buku amalannya dan tidak tahu hisabnya.

Seterusnya dia berangan-angan agar kiamat menamatkan riwayat hidupnya buat selama-lamanya tidak dibangkitkan kembali.

Kemudian dia merintih kerana kini tiada apa pun dari harta kekayaan yang disayangi dan dikumpulkannya di dunia itu berguna kepadanya.

Firman Allah SWT: (Allah berfirman): "Peganglah dia lalu belenggulah tangannya ke lehernya. Kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh. (al-Haaqah: 29-32)

Ibn Kathir berkata: Allah perintahkan malaikat Zabaniah supaya mengambil dan mengganyang mereka dengan keras dibawa ke mahsyar dalam keadaan dirantai pada lehernya kemudian diseret ke neraka jahanam seterusnya dibakar di dalamnya.

Berkenaan dengan rantaian sebanyak 70 rantai dikatakan bahawa ia mengikut hasta para malaikat seperti kata Ibn Abbas: Seorang ulama bernama Nauf al-Syami berkata: Setiap hasta jaraknya seperti 70 depa yang jumlahnya cukup jauh. Dikatakan semua ahli neraka dirantaikan.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah yang Maha besar. Dan juga dia tidak mendorong (orang lain) untuk memberi makan orang miskin. (al-Haaqah: 33-34)

Ibn Jauzi berkata: Mereka tidak pernah benarkan dengan ke-Esaan dan keagungan Allah. Tambahan lagi tidak pernah menjamu dan memberi makan orang miskin bahkan lebih parah dari itu tidak menyuruh supaya diberi makan kepada orang miskin.

Syed Qutub berkata: Kerana hatinya kosong dengan keimanan kepada Allah dan kosong dari rahmat kasihan belas kepada manusia. Oleh itu, hati ini tidak layak melainkan api neraka.

Hatinya kosong daripada iman kerana ia laksana bumi gersang, tanah runtuhan dan tanah kesang. Dia tidak mempunyai nur.

Dia adalah makhluk ganjil yang tidak menyerupai makhluk yang hidup dan tidak pula menyerupai kejadian yang tidak bernyawa.

Ini kerana seluruh makhluk beriman dan bertasbih memuji Tuhannya serta menjalinkan hubungan dengan sumber kewujudannya tetapi dia putus hubungannya dengan Allah dan putus hubungannya dengan makhluk yang beriman kepada Allah.

FB dan blog ustaz, ustazah diminati ramai

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

TERKINI dikatakan terdapat 600,000 blogger dan 12 juta pengguna laman sosial yang sangat popular iaitu Facebook (FB) di seluruh Malaysia. Melihatkan angka yang cukup memberangsang ini maka pelbagai pihak mengambil kesempatan untuk menangguk apa sahaja yang boleh membawa untung.

Sama ada keuntungan di dunia dan kepada golongan pendakwah tentunya untuk menangguk untung di akhirat.

Bukan untuk mereka, tetapi tentunya untuk golongan yang menjadi sasaran dakwah.

Sehinggakan ada pihak yang sanggup berbelanja besar mengupah perunding teknologi maklumat (IT) untuk membangunkan laman web dan pengendali kepada laman FB.

Sedangkan semua itu boleh dilakukan sendiri tanpa perlu berbelanja besar, malah selaku hos atau tuan punya kepada mana-mana blog dan laman FB secara individu mereka mampu mempunyai ramai pengikut.

Lebih menarik, ia mampu mewujudkan satu komuniti kecil yang saling berinteraksi antara satu sama lain.

Maka timbullah satu istilah yang dinamakan cybertrooper yang peranan mereka sangat penting terutamanya dalam mengembangkan fahaman dan gerakan politik terutama politik berparti.

Pada makna yang mudah, seorang cybertrooper bertindak melalui dunia maya untuk mempertahankan mana-mana ahli politik dan parti politik yang mereka wakili sehingga ketitisan 'darah' terakhir. Ini menjadikan kerjaya seorang ahli politik semakin mencabar, jika beliau tidak disokong dan didokong oleh mana-mana cybertrooper.

Tetapi seorang pendakwah wanita popular negara, Datuk Siti Norbahyah Mahmud tentulah dilihat sebagai satu pencapaian yang tersendiri.

Ini apabila laman FB beliau menduduki tangga teratas daripada hampir 16 nama pendakwah yang mempunyai pengikut dan original page masing-masing di laman FB.

Siti Norbahyah mempunyai 727,669 pengikut diikuti Dr. Zahazan Mohamed (452,578), Ustaz Zamri Zainudin (426,443), Ustaz Mohd. Zawawi Yusoh (348,473), Dr. Zaharuddin Abd. Rahman (291,462 pengikut).

Kedudukan paling bawah dengan 17,463 pengikut di laman Fb adalah milik bekas johan qariah tilawah antarabangsa, Sharifah Khasif Fadzillah Badiuzzaman.

Ini bererti golongan pendakwah dan agama di negara ini mempunyai pengaruh yang cukup besar melalui hubungan yang terjalin di alam maya. Keadaan ini cukup berbeza berbanding dulu dengan apabila para pendakwah mendekati sasaran mereka melalui rakaman kaset yang boleh dibeli dan diulang dengar berkali-kali.

Akan tetapi dipercayai muka baru dalam dunia dakwah hari ini dengan pendekatannya yang tersendiri, iaitu Ustaz Azhar Idrus menggunakan kelebihan bercakap dalam loghat pantai timur menarik begitu ramai perhatian peminat dan pendengar terutamanya dalam laman You tube.

Setiap hari ada sahaja, mereka yang menghantar atau posting rakaman You tube beliau ke laman Fb untuk tujuan penyebaran dan ia begitu mendapat sambutan orang ramai.

Pada masa yang sama ceramah atau tazkirah oleh Azhar bergema dan berkumandang melalui rakaman kaset di premis-premis perniagaan seperti kedai buku, kedai menjual baju dan sebagainya sebagai satu daya tarikan kepada para pembeli untuk berada lama dalam premis perniagaan mereka.

Beliau juga boleh ditemui melalui buku terbitan terbaru Syarikat PTS; Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab Berkenaan Permasalahan Semasa. Beliau menjawab lebih 100 soalan dalam buku tersebut.

Begitulah pelbagai cara dan pendekatan digunakan untuk para pendakwah hari ini untuk menyebarkan Islam.

Dikatakan dengan cara ini menyebabkan gerakan dakwah semakin berkurangan terutamanya di peringkat institut pengajian tinggi tempatan (IPT) apabila semudah berada di hadapan skrin komputer kita beroleh apa sahaja ilmu mengenai Islam yang sekali gus boleh menimbulkan keinsafan dan kesedaran.

Dakwah secara maya ini juga dikatakan menyebabkan semangat ukhuwah dan berjemaah itu turut terjejas. Ini cukup berbeza apabila dakwah disampaikan secara bersua muka dalam jumlah jemaah yang ramai.

Kaabah musnah tanda kiamat?

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

AGAK tertarik apabila dicatatkan bahawa buku yang ditulis oleh pendakwah muda dari Indonesia ini diulang cetak sebanyak tiga kali walaupun baru diterbitkan pada tahun ini.

Buku ini telah dicetak 10,000 naskhah bagi memenuhi permintaan dan minat pembaca di negara ini.

Persoalannya, mengapa minat pembaca yang agak luar biasa ke arah untuk mengetahui mengenai Bencana Akhir Zaman yang bermakna akan berlakunya kiamat itu?

Tidak dinafikan sedikit sebanyak kerana terdapatnya ramalan demi ramalan oleh pelbagai pihak yang menyatakan pendapat mereka bahawa kiamat pasti akan berlaku pada tahun 2012, iaitu hanya beberapa hari sahaja lagi mulai sekarang.

Ini termasuk kesan dari propaganda yang ditinggalkan oleh filem 2012, kisah dunia dilanda kiamat dengan dahsyatnya yang digarap atau diadaptasi pembikinan filem tersebut daripada buku terlaris, Fingerprints of God oleh Graham Hancock.

Sehinggakan Kaabah di Mekah yang menjadi kiblat umat Islam turut hanyut dan hilang dilanda bah besar dalam filem tersebut.

Walaupun ia merupakan peristiwa kiamat mengikut propaganda Yahudi, namun bukan sedikit kesan yang ditinggalkan oleh filem tersebut kepada kita semua.

Maka kehadiran tahun 2012 dinanti dengan penuh debaran.

Namun sebagai umat Islam, mengapa perlu bimbang bahawa kiamat itu pasti akan berlaku pada tahun hadapan? Ini kerana berlakunya kiamat itu adalah rahsia Allah.

Malah junjungan besar Nabi Muhammad SAW juga tidak mengetahui dengan pasti akan bila akan berlakunya bencana akhir zaman itu.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW meninggalkan kepada kita satu ajaran dari Allah yang cukup besar dan wajib diketahui dan dihayati oleh umat Islam, iaitu tanda-tanda kiamat, sama ada tanda-tanda kecil mahupun besar.

Jika kita percaya dan mengimani kepada apa yang ditinggalkan Rasulullah itu, wajarkah kita bimbang bahawa kiamat akan berlaku pada 2012?

Jika melalui filem 2012 digambarkan Kaabah juga akhirnya hancur ditelan kiamat tetapi jika dilihat daripada perspektif Islam sendiri, bagaimana 'nasib' Kaabah itu sendiri?

Menurut penulis yang juga Pengarah di Madrasah Diniyah Islamiah di Surakarta, Indonesia, memang berlakunya kehancuran kaabah sebagai salah satu yang termasuk dalam tanda-tanda besar berlakunya kiamat.

Diceritakan saat itu kaabah sudah tidak mempunyai apa-apa makna. Tiada yang menjaga dan menjadikannya sebagai rumah ibadat utama umat Islam dari seluruh dunia.

Sehingga datang seorang lelaki berkulit hitam yang botak kepalanya dari Habsyah (Ethopia) bernama Dzu Suwaiqatain yang terus menghancurkan Kaabah. Dia merosakkan segala yang ada pada Kaabah. Mengoyak dan menjatuhkan kelambu (kiswah) dan mengambil batu-batu dinding dengan pencedok dan cangkul.

Ini sebagaimana yang diambil dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, iaitu bererti sebuah hadis sahih.

Melihatkan pada keadaan cuaca panas, sejuk, hujan, ribut dan banjir yang kebelakangan ini yang tidak diduga dan menentu berlakunya di seluruh dunia, maka dikatakan juga termasuk sebagai tanda-tanda akhir zaman.

Sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Tidak berlaku kiamat selagi hujan tidak mencurah-curah di atas manusia sehingga rumah-rumah dan tembok tidak lagi dapat bertahan. Tiada yang dapat berlindung daripadanya kecuali khemah-khemah yang berada di padang pasir."

Mengandungi lima bab, buku ini sebenarnya tidak sekadar menghuraikan mengenai rukun iman yang kelima, iaitu percaya kepada hari kiamat. Tetapi kehadiran buku ini sangat tepat pada masa manusia yang ramai mendabik dada bahawa tidak takut mati. Namun, buku ini meminta kita agar sekurang-kurangnya takut pada kehadiran hari kiamat.

Jika kita meletakkan iman dan kepercayaan yang cukup tinggi kepada hari kiamat maka tentulah tiap manusia akan sedar akan janji Allah bahawa setiap kita akan tetap mati.

Maka kita akan melakukan persediaan untuk menghadapi detik-detik kematian dan kiamat itu sendiri.

Agak menarik apabila penulis dapat menyenaraikan hampir 16 tanda-tanda walaupun disifatkan sebagai kecil tetapi semua ini memberi peringatan kepada kita semua.

Ini termasuklah riba yang bermaharajalela, meluasnya perbuatan seks luar nikah, minum arak dianggap perkara biasa, berlumba-lumba meninggikan bangunan, manusia bermegah-megah membangunkan masjid, pasar-pasar semakin dekat jaraknya, meniru tingkah laku mereka yang bukan Islam, muncul-munculnya wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, orang tua menyerupai orang muda, banyaknya pembohongan dan kesaksian palsu.

Malah tersebarnya buku dan hasil karya juga dikatakan termasuk dalam tanda-tanda ke arah berlakunya hari kiamat yang Allah sahaja mengetahui bila akan berlaku.

Mungkin kita sudah biasa mendengarkan semua ini dan kita menyedari perkara tersebut telah banyak pun berlaku di sekeliling kita pada hari ini. Tetapi sudah begitupun adakah kita menyedari akan natijah yang menanti?

Jawapannya, tidak! Manusia tidak pernah mengambil pengajaran dari apa yang terjadi. Tetapi masih percayakan hari kiamat hanya jika ditunjukkan bukti-bukti atau tanda-tanda yang besar?

Sehingga di saat itu, adakah manusia itu sendiri mempunyai umur yang panjang yang penuh diberkati?

Maka percayakan sahaja pada buku ini kerana ia berdasarkan dalil-dalil sahih yang diambil daripada al-Quran dan hadis.

Jangan percaya kepada propaganda Yahudi dan Nasrani sama ada melalui filem mahupun buku-buku mereka walaupun mereka juga mempunyai mempercayai akan berlakunya Kiamat itu mengikut dogma dan perspektif mereka sendiri.

Bagi mereka, kiamat itu bererti musnahnya semua agama di muka bumi ini (maka ia menjadi sedutan dalam filem pemimpin spiritual Buddha, Dalai Lama turut hanyut dalam ombak besar yang menghampiri pergunungan Tibet dalam filem 2012) dan anda tahu siapa sebenarnya yang terselamat ketika kiamat itu berlaku, bukan Islam tetapi mereka!

Monday, December 5, 2011

Hijrah: Merancang hidup lebih baik


Oleh IBRAHIM ABDULLAH

SETIAP kali memasuki tahun baharu Islam, umat Islam sepatutnya memiliki semangat baharu untuk merancang dan melaksanakan hidup ini secara yang lebih baik dan terancang.

Ingatlah apa yang diucapkan oleh sahabat Rasulullah SAW, Sa'ad bin Rabi': "Aku adalah penduduk Madinah (Ansar) yang kaya raya."

Ucapan itu ditujukan kepada Abdul Rahman bin 'Auf (Muhajirin). Sa'ad tidak bermaksud menyombongkan dirinya, tetapi hendak meyakinkan Abdul Rahman agar mahu menerima tawarannya.

"Silakan pilih separuh hartaku dan ambillah," tegas Sa'ad. "Semoga Allah memberkati harta anda. Tunjukkan lokasi pasar agar aku dapat berniaga," ujar Abdul Rahman.

Rakaman peristiwa dan dialog antara Sa'ad dan Abdul Rahman itu sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik, ketika Rasulullah SAW mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah.

Sa'ad adalah penduduk Madinah, sedangkan Abdul Rahman termasuk kaum Muhajirin. Sa'ad bukan sahaja seorang kaum Ansar yang menjadi penolong kaum Muhajirin tetapi ramai lagi.

Dengan semangat penghayatan persaudaraan Islam, ketika umat Islam Mekah berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah, umat Islam Madinah dengan sukacita menyambut kedatangan mereka, memberi bantuan dan bersama-sama membangun negeri Islam Madinah.

Keindahan ukhuwah Islamiah kaum Muslimin generasi awal itu, antara Ansar dan Muhajirin, seakan-akan nampak di hadapan mata kita ketika memasuki tahun baharu Hijrah 1433 ini.

Kitapun sayugia bermuhasabah diri menghayati kembali hikmah di sebalik peristiwa hijrah yang dijadikan momentum awal perhitungan tahun hijriah.

Tahun hijriah mulai berlaku pada masa khalifah Umar bin al-Khattab di mana saidina Ali bin Abu Talib yang mencadangkannya, kemudian disetujui oleh para sahabat.

Sebelumnya dipergunakan tarikh tahun Masihi yang diambil dari gelaran Nabi Isa al-Maseh atau messiah ibrani.

Penetapan nama Tahun Hijrah (al-sanah al-hijriah) merupakan kebijaksanaan khalifah Umar.

Seandainya beliau bercita-cita mengabadikan namanya dengan menamakan tarikh itu dengan 'Tahun Umar' sangatlah mudah baginya melakukan hal itu.

Namun Umar tidak mementingkan keharuman namanya atau membangga diri sebagai pencetus idea sistem pentarikhan Islam tersebut.

Sebaliknya, beliau menjadikan pentarikhan itu sebagai zaman baharu pengembangan Islam.

Sebabnya, tarikh itu mengandung makna batiniah dan nilai-nilai sejarah yang amat tinggi harganya bagi agama dan umat Islam.

Dalam buku Kebangkitan Islam dalam Pembahasan (1979), Sidi Gazalba, cendekiawan Islam Malaysia menuliskan: "Dipandang daripada ilmu strategi, hijrah merupakan taktik. Strategi yang hendak dicapai adalah mengembangkan iman dan mempertahankan kaum mukminin."

Hijrah adalah momentum perjalanan menuju daulah islamiah yang membentuk tatanan masyarakat Islam, yang diawali dengan eratnya jalinan solidariti sesama Muslim (ukhuwah Islamiah) antara kaum Muhajirin dan kaum Ansar.

Jalinan ukhuwah yang menciptakan integrasi umat Islam yang sangat kukuh itu membawa Islam mencapai kejayaan dan mengembangkan sayapnya ke berbagai penjuru bumi.

Kaum Muhajirin-Ansar membuktikan ukhuwah Islamiah boleh membawa umat Islam berjaya dan disegani.

Dapat difahami, umat Islam sekarang yang tidak disegani oleh musuh-musuhnya, menjadi umat yang tertindas, serta menjadi bahan permainan umat lain, antaranya adalah akibat jalinan ukhuwah Islamiah yang tidak seerat kaum Muhajirin-Ansar.

Daripada situlah mengapa konsep dan hikmah hijrah perlu diulang kaji dan diamalkan oleh umat Islam.

Setiap pergantian waktu, hari demi hari, hingga tahun demi tahun, biasanya mewujudkan harapan baharu akan keadaan yang lebih baik.

Membaiki diri

Setiap Muslim dituntut menjadi umat yang lebih baik daripada hari ke hari.

Hadis Rasulullah yang sangat popular menyatakan maksud: "Barang siapa yang hari ini lebih baik dari kelmarin, adalah orang yang beruntung. Bila mana hari ini sama dengan kelmarin, bererti orang yang merugi, dan jika hari ini lebih buruk dari kelmarin, adalah orang yang celaka."

Firman Allah SWT bermaksud: Hendaklah setiap diri memperhatikan (melakukan muhasabah diri) tentang apa-apa yang telah diperbuatnya untuk menghadapi hari esok (akhirat). (al-Hasyr: 18).

Tahun baharu hijriah umat Islam boleh merancang hidup agar lebih baik iaitu mengubah perbuatan dan tingkah laku buruk menjadi baik, melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

"Muhajir adalah orang yang meninggalkan segala larangan Allah," sabda Rasulullah. Bermakna kita mengubah dan mengambil berat terhadap kaum yang lemah dengan semangat zakat, infak, membantu saudara kita, bersedakah dan sebagainya.

Selain itu juga mengubah permusuhan dan konflik sesama Islam menjadi persaudaraan dan kerjasama serta perpaduan ummah. Menolong umat Islam di bumi Palestin, Somalia dan lain-lainnya.

Mengubah pola hidup yang malas menjadi rajin bekerja, mengelak penipuan dan rasuah, mengubah hidup pengangguran menjadi pekerja, dan tidak bergantung pada belas kasihan orang lain.

Lihat bagaimana teladan yang ditunjukkan oleh Abdul Rahman bin 'Auf, dengan semangat usahanya, ia memilih untuk mencari nafkah hidupnya dengan usahawan niaga di pasar daripada menerima tawaran dan belas kasihan orang lain (Sa'ad bin Rabi'), walaupun ditawar dengan harta kekayaan dan wanita untuk dijadikan isteri.

Hikmah hijrah harus menjadi titik perubahan bagi umat Islam, dari permusuhan menjadi persaudaraan dan persahabatan serta perpaduan bangsa dan negara.

Semangat hijrah harus menjadi titik peralihan pilihan dalam era politik dan pemerintahan yang tidak baik kepada yang lebih baik.

Dengan kekuatan iman dan persaudaraan ukhuwah Islamiah seperti kaum Muhajirin dan Ansar, umat Islam boleh menjadi ummatan wasata yang menjadi saksi kepada seluruh umat manusia.

Oleh sebab itu, Allah dan Rasul-Nya serta umat muslimin menjadi saksi atas segala perbuatan kita.

Thursday, November 17, 2011

Remaja dan media baru

Oleh NURUL IZZAH SIDEK


MEDIA baru merupakan fenomena terkini dalam jaringan komunikasi dan telekomunikasi dan juga teknologi siber. Sifatnya merentasi benua dan budaya dan memberi kesan kepada pemikiran dan gaya hidup pengguna.

Para remaja masa kini amat terpukau dengan media baru seolah-olah ia suatu rahmat yang turun yang mencerahkan suasana.

Pada hakikatnya media baru merujuk kepada kemajuan dan kegunaan alat. Dalam tradisi Islam teknologi selamanya alat bukannya matlamat. Oleh itu media baru tidak sahaja difahamkan sebagai bentuk atau alat yang sifatnya canggih tetapi menuntut perisian input dan program yang canggih juga.

Canggih di sini merujuk kepada kandungan maklumat isi dan ilmu yang mampu mengangkat martabat diri remaja.

Amat penting bagi para remaja dalam era media baru memiliki asas ilmu, pengetahuan dan sistem nilai yang memiliki upaya menyaring yang tinggi. Jika tidak limpahan maklumat, data dan fakta bakal memberi kesan pengaruh mengikut orientasi datangnya sumber itu. Jika ia datang daripada faktor Barat, tidak ada jaminan mutlak ia bermanfaat dalam semua perkara.

Memiliki kuasa menyaring yang tinggi boleh menyebabkan para remaja dapat membezakan yang baik dan yang buruk, yang bermanfaat dan yang bermusibah. Para remaja yang tidak memiliki kualiti yang disebutkan di atas mudah terjebak dan terpengaruh dengan sumber maklumat, budaya popular, corak hiburan yang menyebabkan faham hedonistik (kecenderungan berpoya-poya) menjadi sumber ikutan dan sumber pengaruh.

Para remaja Islam terutamanya harus memiliki pedoman dan panduan yang membolehkan upaya memilih dan mengetahui baik buruk akan sesuatu difahami dengan betul.

Media baru ini memiliki ciri upaya penerobosan yang tinggi. Ia boleh memberi kesan kepada akal dan pemikiran serta menyebabkan pola berfikir remaja berada dalam pola Barat. Ia juga boleh menyebabkan gelagat remaja menjadi tidak terkawal kerana pengaruh media baru boleh menghasilkan watak yang sedemikian.

Justeru para remaja harus memiliki ketangkasan minda hasil daripada kekuatan kefahaman yang dimiliki yang membolehkan para remaja melakukan perbezaan antara yang buruk dan baik dan antara yang makruf dan yang mungkar.

Satu cabaran di kalangan kita iaitu ilmuwan Islam tidak sahaja meraikan aspek-aspek positif daripada media baru tetapi dalam masa yang sama mesti bersifat selektif (memilih) dimana yang baik dan yang buruk.

Sekiranya hal ini berlaku para remaja memiliki kekuatan, ibarat ikan di laut masin, semasin mana air di sekitarnya tetapi dagingnya tetap tawar, tidak pernah terpengaruh dengan sekitarnya.

Inilah asas jati diri yang perlu dipupuk dan disuburkan di kalangan pemikiran hati dan amalan para remaja.

Jati diri Islami

Jati diri Islami menjadikan remaja mempunyai ketahanan mental, intelektual dan rohani supaya watak remaja terus terbina dalam membentuk insan soleh dan solehah.

Agama Islam bukan sekadar satu sistem kepercayaan tentang baik buruk sesuatu tetapi ianya adalah cara hidup yang diatur mengikut pedoman daripada Allah. Pedoman daripada Allah sentiasa ingin mensejahterakan manusia.

Apabila produktiviti rohaniah menjadi kuat dan tinggi, ianya harus mampu mendukung produktiviti amaliah dalam bentuk yang lebih langsung dalam sistem.

Al-Quran memberikan asas dalam surah Al-Asr (ayat 2-3) iaitu kekuatan rohaniah yang tinggi yang diterjemahkan dalam produktiviti amaliah yang tinggi juga bakal memberi kesan contoh mengenai model Islami itu sendiri.

Model Islami tidak sekadar diukur pada percakapan dan idea tetapi harus terlihat dalam model model amali. Jika model ini terlihat pada watak dan amalan ia bakal memberi kekuatan dan jati diri kepada remaja.

Remaja yang berjiwa muttaqin (takwa) mempunyai upaya memilih antara yang hak dan yang batil, makruf dan mungkar. Para remaja yang kekosongan dengan jiwa muttaqin sering terjebak dan menjadi mangsa kepada media baru yang bertindak ibarat jerat kepada yang lupa dan lalai.

Memang sifat manusia seperti remaja memiliki sifat leka dan lalai. Tetapi para remaja yang cintakan ilmu dan pengalaman yang baik akan sentiasa terpandu dengan pedoman-pedoman yang baik dan membolehkan para remaja membuat pilihan yang betul dan tepat.

Meraikan persamaan harus lebih dititikberatkan daripada menumpu pada perbezaan. Jurang pemikiran yang terhasil antara generasi atau antara kaum dan agama harus diraikan dalam perspektif yang harmoni dan toleransi terutama sekali dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Inilah asas-asas binaan yang perlu dilalui oleh para remaja Islam supaya ia tidak menjadi mangsa kepada pengaruh media baru. Media baru harus digunakan dengan sebaik-baiknya agar tidak menjadi pisau yang memakan diri sendiri.

Pengendalian maklumat menggunakan media baru harus dilakukan secara berhati-hati kerana bimbang jika maklumat yang diberi tidak benar, ia akan menjadi omong kosong malahan fitnah kepada pihak lain.

Asas Islam yang kukuh

Pengetahuan dan kemahiran fardu ain semata-mata tidak cukup bagi para remaja mendepani perubahan zaman yang berlaku kini. Corak cabaran yang sedang dihadapi kini sedang berkembang kearah kecenderungan intelektual, ideologi dan silang budaya yang memerlukan para remaja memiliki ilmu dan kesiapsiagaan rohaniah binaan hati dan juga kejelasan amal.

Jika tidak ia bakal melahirkan remaja yang keliru dan celaru. Remaja seperti ini mudah menjadi mangsa kepada pengaruh media baru yang negatif.

Oleh itu para remaja Islam harus kukuh dengan asas-asas pembelajaran ilmu Islam supaya keupayaan membanding membeza dan menyamakan faktor-faktor di luar tradisi sendiri dapat berjalan dengan baik.

Mencari yang baik dan bermanfaat adalah suatu tradisi Islam yang baik. Islam menganjurkan umatnya supaya mencari ilmu yang berfaedah agar manfaatnya dapat disebarkan ke serata alam.

Sungguhpun pergaulan dan jaringan komunikasi yang terhasil daripada penggunaan media baru adalah lebih luas dan melangkaui sempadan agama, negara dan budaya, syariat dan etika Islam hendaklah sentiasa dipatuhi oleh para remaja Islam agar ia menjadi sesuatu yang bermanfaat dan berpedoman.

Inilah cabaran terbesar remaja hari ini. Remaja yang tidak memiliki asas ilmu dan faham agama yang kuat boleh menyebabkan mereka terjebak dalam simpang siur pengaruh Barat yang sangat meluas.

Para remaja Islam tidak ditegah untuk memanfaatkan sesuatu yang baik daripada tradisi tamadun berbanding tetapi dalam masa yang sama secara jangka panjang harus mampu meneroka bidang-bidang ilmu yang berkaitan dan mampu menawarkan acuan baru dalam tradisi keilmuan Islam yang teguh dan kukuh.

Guru agama agen tajdid

Oleh MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

ISLAM menggalakkan umatnya berhijrah ke arah kebaikan. Seruan ini meliputi semua aspek kehidupan termasuklah mengubah cara pemikiran dan membuat pembaharuan atau tajdid untuk maslahah umat.

Antara agen penting bagi merubah pemikiran dan sikap manusia adalah golongan guru terutamanya guru agama.

Untuk itu, diadakan Muzakarah Tajdid Pemikiran Islam Era Globalisasi Gagasan Pembangunan Ummah Guru Pendidikan Islam Peringkat Negeri Johor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada 12 November lalu.

Program sehari itu disertai oleh 300 guru Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia daerah Johor Bahru, Kulai Jaya dan Pasir Gudang.

Ia mendapat kerjasama Jabatan Pelajaran Johor, Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Malaysia (Pekdis) Cawangan Johor dan Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru, Kulai Jaya dan Pasir Gudang.

Pegawai Tajdid Pemikiran Islam Perkim, Siti Munirah Sayed Mohamad Hamdan berkata, program itu bertujuan menggerakkan guru-guru pendidikan Islam dalam pembangunan umat selain meningkatkan mereka untuk memandu masyarakat iaitu murid dan pelajar sekolah serta menjadi contoh yang cemerlang.

"Ia dilaksanakan beberapa kali mengikut peringkat negeri iaitu di Selangor, Melaka, Pahang dan kali ini diadakan di Johor bagi memberi kefahaman berkenaan gerakan liberalisasi serta daya tipu pemikiran barat yang menular di kalangan masyarakat Islam," katanya.

Menurut Munirah, muzakarah itu juga mengangkat martabat pendakwah negara dalam membawa perubahan minda dan sikap umat Islam menjadi umat yang terbaik.

Selain itu, ia juga merapatkan hubungan pendakwah negara dengan pemimpin negara serta agensi kerajaan.

Muzakarah itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman.

Dalam ucapannya, beliau menyeru umat Islam perlu perbaharui pemikiran dengan melaksanakan tajdid bagi menyemarakkan semangat juang pendakwah negara untuk melahirkan generasi rabbani yang unggul.

Katanya, orang Islam hendaklah memahami isi al-Quran dan harus gigih berusaha dengan mengeluarkan makanan sendiri yang secukupnya.

Menurut beliau, umat Islam perlu membuang pandangan yang ditanamkan oleh penjajah yang tidak menggalakkan rakyat mengeluarkan bahan makanan secara besar-besaran supaya terus bergantung kepada negara luar.

"Kalau difahami dalam surah al-Baqarah, Allah SWT menghendaki kita memelihara lembu dan mengusaha ternakan itu sebagai sumber makanan daripada kita membeli daging beku daripada pengimport.

"Demikian juga dengan air hujan, ia tidak patut di biar mengalir begitu sahaja tetapi hendaklah ditakung dengan membina empangan-empangan untuk menakung air bagi kegunaan minuman dan pertanian serta kegunaan tatkala musim kemarau," katanya.

Sebanyak dua kertas kerja dibentangkan pada muzakarah tersebut.

Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Felo Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (ISTAC), Dr. Muhammad Uthman El Muhammady dengan tajuk Pembangunan dan Keutuhan Umat Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Satu lagi kertas kerja bertajuk Pembangunan Manusia Melalui Pendekatan Quran dan Sains dibentangkan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Arif Kasmo.

Dr. Uthman antara lain menerangkan kepada peserta ahli sunnah wal jamaah iaitu ajaran dan amalan yang berdasarkan al-Quran, hadis, ijmak dan kias mengikut huraian usuluddin atau akidah mengikut Imam al-Ash'ari seperti yang dihuraikan dalam al-Ibanah dan Mawalat al-Islamiyyin.

Thursday, October 20, 2011

Syurga penuh nikmat



ALLAH SWT telah menyebut keadaan duniawi para pemilik kebun dan azab yang menimpa mereka disebabkan kebun itu apabila mereka menderhaka dan menyalahi perintah-Nya.

Allah SWT menambahkan perkara ini dengan penjelasan bahawa orang yang bertakwa dan mentaati-Nya akan mendapat kebun-kebun yang penuh dengan kenikmatan dan tidak akan binasa serta tidak akan musnah di perkampungan akhirat nanti.

Seterusnya Allah SWT menjawab dakwaan orang kafir yang berkata: "Jika benar kami akan dibangkitkan sebagaimana yang disangkakan oleh Muhammad dan para sahabatnya, sudah pasti mereka tidak akan dapat menandingi kami.

"Bahkan kami lebih baik keadaannya jika dibandingkan dengan mereka kerana yang berbaik dengan kami di dunia akan berbaik dengan kami di akhirat.

"Bagaimana kamu menyamakan di antara orang yang taat dengan orang yang derhaka sehingga kamu lebih mengutamakan orang yang derhaka dari mereka yang taat kepada Allah SWT".

Firman Allah SWT: Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya. (al-Qalam: 34)

Ibn Kathir berkata: "Tatkala Allah menceritakan keadaan ahli kebun di dunia dan apa yang ditimpa kepada mereka dengan pembalasan kerana derhaka dan melanggar perintah Tuhan lantas Allah menerangkan balasan bagi orang yang bertakwa dan taat kepada-Nya di negeri akhirat dengan syurga-syurga penuh kenikmatan yang tidak menerima kerosakan dan hilangnya nikmat."

Al-Maraghi berkata: "Orang yang bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan-Nya, pasti mereka ini akan menerima syurga yang di dalamnya mereka akan menikmati pelbagai nikmat yang terbaik.

"Tidak ada sebarang kekeruhan yang boleh mengurangkannya, sebagaimana bercampurnya kebun-kebun di dunia."

Muqatil berpendapat: "Ayat ini turun ketika orang kafir Mekah berkata kepada kaum muslimin: Sesungguhnya Allah telah melebihkan kami berbanding kamu di dunia ini, oleh itu tentu Allah SWT akan melebihkan kami berbanding dengan kamu di akhirat."

Andainya Allah tidak melebihkan kami di akhirat tapi sekurang-kurangnya Dia akan memberikan kami persamaan. Allah SWT menjawab apa yang mereka katakan dan mengurniakan kejayaan kepada orang yang bertakwa menerusi firman-Nya.

Bagaimana Allah SWT akan menyamakan orang yang taat dengan orang yang derhaka.

Firman Allah SWT: Maka apakah patut kami menjadikan orang-orang Islam itu sama dengan orang-orang yang berdosa (orang kafir)? Atau Adakah kamu (berbuat demikian): bagaimanakah kamu mengambil keputusan? (al-Qalam: 35)

Syed Qutub berkata: "Pertanyaan ini dituju kepada mereka yang disebutkan dalam ayat yang terdahulu. Ia adalah satu pertanyaan yang hanya mempunyai satu jawapan iaitu tidak mungkin.

Orang Islam yang mengaku dan menyerah diri kepada Allah tidak sekali-kali sama dengan orang kafir yang melakukan dosa kekufuran dengan penuh kedegilan. Allah sifatkan mereka dengan sifat yang keji ini.

Oleh itu adalah tidak rasional dan tidak adil andainya orang Islam itu dijadikan sama dengan orang kafir yang berdosa ketika menerima balasan dan kesudahan. Mengapa kamu begitu? Dengan pertimbangan apakah kamu membuat keputusan itu?

Bagaimana cara kamu menimbangkan nilai-nilai dan darjat hingga darjat orang Islam sama dengan darjat orang kafir yang berdosa dalam pertimbangan kamu?

Firman Allah SWT: Atau Adakah kamu mempunyai sebuah Kitab (yang diturunkan Allah) yang kamu membacanya? Bahawa di dalamnya kamu benar-benar boleh memilih apa yang kamu sukai untukmu. (al-Qalam: 37-38)

Al-Maghari berkata: "Apakah di tanganmu ada kitab yang diturunkan dari langit yang kamu pelajari dan kamu edarkan lalu diterima oleh generasi khalaf dari generasi salaf yang mengandungi hukum yang benar sebagaimana yang kamu sangkakan.

"Justeru, kamu boleh memilih apa yang kamu senangi, adakah urusan itu diserahkan kepadamu dan tidak diserahkan kepada orang lain selain kamu."

Kesimpulannya apakah akalmu telah rosak sehingga sanggup menghukum sedemikian rupa atau tidakkah telah datang kepadamu kitab yang memberi kebebasan kepada kamu memilih dan menyerahkan urusan itu kepadamu?

Remaja dan isu akidah

Oleh NURUL IZZAR SIDEK



ISU akidah adalah perkara pokok bagi remaja Islam. Di tengah-tengah simpang siur aliran pemikiran yang pelbagai, landasan akidah adalah amat penting bagi remaja. Akidah diambil daripada akar kata aqa'id iaitu tautan atau ikatan diri terhadap Allah.

Akidah tauhid memberi landasan ikatan kepada Allah yang satu. Terdapat banyak aliran ideologi yang berkembang dalam hidup manusia sejak dahulu sehingga kini. Terdapat juga pemikiran falsafah dan silang budaya yang terkait dengan isu akidah.

Fahaman liberal dan pluralis umpamanya mempunyai kesan langsung kepada isu akidah.

Usaha-usaha agama lain terutama Kristian melakukan pemurtadan adalah sesuatu yang bercanggah dengan akidah tauhid.

Akidah bukan sekadar pernyataan mengesakan Allah dan mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh-Nya. Sebaliknya, yang amat penting adalah pemahaman dan aplikasi terhadap Allah yang satu dalam keyakinan, kata-kata, amalan dan juga manifestasi ilmu.

Para remaja tidak sahaja menjadi penganut Islam berasaskan warisan keturunan tetapi hendaklah memahami ilmu tentang akidah tauhid, mengukuhkan ibadah, memahami jalur syariah dan fikah di samping memiliki akhlak yang mulia.

Asas ini sangat penting bagi remaja kerana keyakinan tanpa pemahaman boleh membawa jiwa remaja kepada kekosongan. Keyakinan tanpa didukung oleh ilmu tidak akan memberi kekuatan, memahami hakikat kewujudan dan kaitan dengan penciptaan.

Memahami Islam bukan sekadar memahami hal-hal yang nyata dan tampak, tetapi ia terhubung dengan faktor-faktor ghaibiyat. Di sini pentingnya para remaja memahami al-Quran sebagai sumber petunjuk kepada yang nyata dan kaitannya dengan yang ghaib.

Sekiranya para remaja diberi fahaman Islam dan tauhid secara ilmu, ia bakal memantapkan lagi keyakinan remaja terhadap perkara tauhid.

Berlakunya kelonggaran dan ketidakfahaman remaja terhadap isu akidah ini adalah akibat daripada kekosongan ilmu dan kelompangan keyakinan yang menyebabkan anutan terhadap agama menjadi tidak teguh dan kukuh.

Keteguhan dan kekukuhan akidah bersumberkan pemahaman yang jelas terhadap pencipta dan juga pemahaman yang nyata terhadap kaitan wahyu Allah dengan penciptaan-Nya sebagai contoh.

Al-Quran memberikan asas yang sangat jelas tentang faktor ghaibiyat yang terhubung dengan faktor yang nyata supaya keyakinan kita terhadap wujudnya Allah dan kaitannya dengan alam ini menjadi teguh.

Dalam surah Al-Alaq, Allah menyebutkan khalaqal insanamin alaq... membawa makna bahawa kejadian manusia itu bermula daripada seketul darah beku.

Dalam surah Al-Mukminun pula, Allah menyatakan bahawa punca kejadian manusia adalah daripada sari pati tanah. Apakah kaitannya sari pati tanah dengan pokok-pokok dan buah-buahan yang menyumbang terhadap kejadian air mani?

Ia adalah sesuatu yang saintifik. Apabila kromosom X dan kromosom Y bertemu, ia menghasilkan zigot. Ia disebut dalam bahasa al-Quran sebagai nutfah.

Apabila proses pembenihan itu subur menghasilkan susuk dan bentuk, Allah tiupkan roh ke dalam embrio tersebut. Ia menghasilkan manusia dalam rahim yang mempunyai kekuatan. Roh walaupun tidak nampak, tetapi bagi yang hidup merasakan ia ada.

Al-Quran menyebutkan roh itu adalah milik Allah dan yang diketahui oleh manusia hanyalah sedikit sekali. Adanya roh (yang ghaib) menyebabkan akal berfikir, hati merasa dan daya melakukan amal. Tanpa roh, seluruh jasad dan potensi yang ada pada manusia akan kaku dan tidak boleh berbuat apa-apa.

Asas berfikir seperti ini boleh menanamkan landasan akidah yang teguh di kalangan remaja. Mengkaji benda dan fenomena tidak terputus dengan hakikat Penciptaan. Daripadanya lahir hikmah yang tinggi memahami yang nyata dengan ghaib.

Pertimbangan saintifik tidak hanya dalam batas akal, uji kaji dan hasil tetapi merentasi terhadap hikmah di sebalik kejadian dan manfaatnya kepada manusia.

Kelemahan akidah remaja, kelonggaran pemahaman ilmu, kealpaan melakukan reflektif terhadap kekuatan tamadun silam menyebabkan para remaja mudah terpengaruh dengan fahaman popular Barat yang menyesatkan.

Apabila kekaguman terhadap Barat sifatnya melampaui, pemahaman secara ritual dan berkala terhadap Islam tidak boleh menyebabkan para remaja memiliki kekentalan akidah tauhid.

Keadaan seperti ini mendedahkan remaja kepada kerosakan akhlak, kemuflisan ilmu Islami dan akhirnya mudah terjebak kepada fahaman hedonisme (berpoya-poya), melupakan agama, terjebak dengan ajaran sesat dan juga boleh menjadi murtad.

Ilmu dan amal

Oleh itu, amat penting para remaja Islam memahami agamanya secara ilmu dan amal. Kadangkala para remaja memiliki kekuatan rohani yang tinggi, tetapi lemah dalam amal Islamnya. Islam sebagai sistem kepercayaan perlu diperlihatkan dengan kekuatan amal.

Keindahan Islam sejak dahulu zaman tamadunnya hingga kini terlihat daripada pekerti dan amal manusia. Ini yang menyebabkan orang lain tertarik dengan Islam bukan sahaja kerana kebenaran yang terdapat dalam al-Quran dan agama ini, tetapi keindahan peribadi pemeluknya memiliki daya tarik yang tinggi.

Cabaran yang mendatangi zaman ini memerlukan remaja untuk sentiasa mencari jalan mempertingkatkan ilmu dan pemantapan iman di samping keupayaan diri untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.

Pelbagai pergolakan serta perubahan yang berlaku dalam masyarakat ada kalanya menguji tahap ketahanan diri. Tanpa asas serta pemahaman yang betul terhadap akidah tauhid, remaja boleh terjebak dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat agama.

Justeru, para remaja harus bertitik tolak dengan pemahaman akidah yang mantap atas dokongan ilmu yang benar dan akhirnya bakal mampu menjadi agen perubahan terhadap kebaikan dan kesejahteraan umat manusia.

Menjadi pengagum kepada kemajuan Barat adalah tidak salah sekiranya remaja sendiri berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk umat Islam dan manusia.

Di Barat sendiri, krisis agama menjadi suatu yang meruncing. Fahaman liberal, pluralis serta fahaman tidak beragama juga menjadi pegangan hidup masyarakat Barat.

Hampir 700 tahun Barat membina tamadun kebendaan, ia memikat umat Islam dan setengahnya menjadi penciplak setia tanpa melihat keperluan manfaat berbanding.

Ada di kalangan umat membeku dalam lingkungan tradisi dan hilang keupayaan untuk melakukan perubahan yang mampu merintis perubahan dalam kerangka Islam.

Malah, wujud secara rakus melulu dalam menciplak Barat sehingga faktor jati diri tidak menjadi pertimbangan lagi.

Inilah krisis mendepani umat yang memerlukan kepemimpinan berkualiti, responsif dan kreatif pada segenap lapangan.

Remaja sewajarnya reflektif terhadap puncak kepemimpinan Islam tatkala Tamadun Andalusia berkembang di Sepanyol, di mana orang Kristian dan Yahudi berasa terlindung di bawah kepemimpinan Islam yang berasaskan kepada akidah tauhid.

Islam tidak hanya dilihat sebagai suatu agama, tetapi digarap hasilnya sebagai sumber tamadun. Islam mendukung risalah alamiah yang tidak saja menjadikan Islam dan umatnya sejahtera, tetapi pada masa sama memberi erti mengenai kemanusiaan itu sendiri.

Pemikiran dan tradisi keilmuan umat Islam menyumbang kepada kebangkitan Barat dan Eropah.

Justeru, para remaja dalam berfikir tidak harus berfikir secara ringan dan mudah terhadap Islam. Sebaliknya, pemikiran Islam harus ditunjangi dengan kefahaman ilmu Islami dan tamadunnya.

Monday, October 17, 2011

Infak, sedekah dan zakat



Dalam Islam, ada tiga perkara yang sering dikaitkan dengan harta kekayaan, iaitu infak, sedekah dan zakat. Bolehkah dijelaskan perbezaan di antara ketiga-tiga perkara ini?

Ketiga-tiga perkara di atas, adalah merujuk kepada bagaimana seseorang Muslim itu membelanjakan harta kekayaannya ke jalan yang diredai oleh Allah SWT.

Apabila harta itu dibelanjakan ke jalan kemaksiatan, maka ia tidak lagi dinamakan dengan nama-nama di atas. Dalam ajaran Islam, harta itu perlu dimanfaatkan ke arah kebaikan sama ada yang hukumnya wajib atau sunat.

Misalnya memberi belanja kepada ahli keluarga dan menunaikan zakat, ia adalah wajib. Dengan cara itu harta dapat menyelamatkan manusia daripada diazab pada hari akhirat.

Infak bermaksud membelanjakan harta pada jalan Allah SWT secara umum.

Dalam al-Quran, kalimah infak disamakan maksudnya dengan nafkah. Infak terbahagi kepada dua iaitu infak wajib dan infak yang tidak wajib.

Infak wajib termasuk zakat, bayaran kafarah, menunaikan nazar dan keperluan tanggungan wajib termasuk makan minum dan tempat tinggal untuk anak-anak, isteri dan ibu bapa.

Infak yang tidak wajib termasuk derma kepada pertubuhan kebajikan dan orang perseorangan, membantu program dakwah, bersedekah atas nama kemanusiaan dan sebagainya. Allah SWT menyebut perkataan infak dan nafkah sebanyak 49 kali dalam al-Quran. (Antaranya, ayat 215 surah al-Baqarah)

Saad bin Abi Waqas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelanjaan rumah tangga) juga akan diberi pahala oleh Allah. (riwayat al-Bukhari)

Sedekah juga mempunyai makna yang umum. Sedekah boleh jadi infak atau zakat, malah sedekah boleh melibatkan apa-apa sahaja kebaikan yang dilakukan, sama ada melibatkan pemberian harta ataupun tidak melibatkan harta.

Tanggapan yang mengatakan sedekah adalah pemberian sunat semata-mata tidak tepat. Hakikatnya sedekah boleh jatuh hukum wajib dan boleh jatuh hukum sunat.

Hal ini berlaku demikian kerana ada ayat-ayat al-Quran yang memberi makna zakat pada perkataan sedekah. (rujuk firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 60)

Dalil untuk sedekah yang sunat pula adalah hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa bersedekah seberat biji kurma daripada usaha yang baik, dan tidak naik (sampai) kepada Allah melainkan yang baik, maka sesungguhnya Allah menyambutnya dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Allah memelihara sedekah itu untuk pemiliknya, sebagaimana seorang kamu memelihara anak-anak kudanya sehingga menjadilah sedekah itu setinggi gunung. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sedekah bukan mesti dengan harta

Dalil sedekah tidak semestinya dengan harta adalah hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis (senyuman) dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya". (Riwayat Ahmad)

Bagi zakat pula, hukum mengeluarkannya adalah wajib secara mutlak. Oleh kerana itulah, Islam telah memperincikan zakat sebagai ibadah yang mempunyai syarat-syarat yang tertentu.

Selagi seseorang Muslim itu belum memenuhi syarat-syarat yang melayakkannya berzakat, maka tidak wajib baginya mengeluarkan zakat.

Misalnya, jika anak dan isteri tidak mempunyai makanan pada hari raya, maka seorang suami berhak untuk tidak mengeluarkan zakat fitrah ke atas mereka kerana tidak mampu.

Bahkan jika dia masih berzakat sehingga menyebabkan tanggungan wajibnya tidak mendapat makanan yang cukup dan kelaparan, dia dihukumkan haram dan berdosa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Mereka bertanya kepada kamu (wahai Muhammad) tentang apakah harta yang perlu mereka nafkahkan? Maka jawablah: Apa yang berlebih daripada keperluan (diri dan tanggungan wajib). (al-Baqarah: 219)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. (riwayat Muslim).

Terus martabat agama Islam

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

WALAUPUN negara digemparkan dengan pelbagai ancaman pelbagai pihak yang cuba menjatuhkan dan menggugat kedaulatan institusi Islam di negara ini, namun kedudukan agama Islam masih terpelihara dan berada pada tahap yang baik.

Sebagai contoh, kes penyebaran buku fahaman Syiah yang diedarkan ke masjid-masjid di seluruh negara, gerakan agama Kristian yang cuba menarik orang Islam secara halus dengan menawarkan kemewahan, permainan video yang mengandungi unsur penyelewengan dilaporkan semakin berleluasa di negara ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Dr. Abdul Syukur Husin berkata, kestabilan umat Islam di negara ini masih dalam keadaan yang baik dan terkawal di mana masyarakat bebas mengamalkan ajaran Islam di mana-mana sahaja.

Justeru, umat Islam di negara ini harus bersyukur dengan keamanan yang dikecapi berbanding negara Islam lain yang mengalami krisis sehingga sukar untuk melaksanakan ibadah.

Menurutnya, salah satu kaedah meningkatkan martabat umat Islam serta mengelakkan pelbagai unsur penyelewengan yang berlaku di negara ini, Kongres Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) Seluruh Malaysia yang berlangsung pada 26 dan 27 September lalu merupakan medium yang terbaik.

"Sistem pentadbiran dan kegiatan sosial berlandaskan Islam perlu diketengahkan supaya dapat menangani permasalahan negara dan global selaras dengan perkembangan teknologi dan kepesatan pembangunan negara.

"Usaha menganjurkan kongres ini adalah satu inisiatif yang baik dalam memperbaiki kelemahan sistem pentadbiran Islam di negara ini, di samping membina persefahaman seluruh ummah untuk terus membina negara Islam yang maju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kongres MAIN Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Bumi Putra (PWTC) di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, perbincangan berkaitan masalah dan cabaran semasa terhadap agama Islam sangat penting bagi menyedarkan masyarakat mengenai ajaran Islam.

"Telah termaktub di dalam Perlembagaan Negara bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan, dan agama lain bebas diamalkan di negara ini.

"Oleh itu, majlis ini sangat penting dalam usaha menambah baik sistem pentadbiran Islam di negara ini sekali gus menyedarkan umat Islam melalui pendekatan Islam yang akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berharap, 20 resolusi yang diputuskan pada kongres itu dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak dan kerajaan dapat mengambil serius semua keputusan resolusi tersebut.

Masjid An-Nur kelima terbaik di Kuala Selangor

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Menguruskan masjid atau rumah Allah tidak semudah yang dilihat. Sebabnya, masjid adalah institusi paling tinggi dalam Islam kerana ia melambangkan kekuatan dan perpaduan umat.

Tidak kira bangsa dan warna kulit, asalkan seseorang itu mengucap syahadah maka berhaklah mereka berada di rumah Allah.

Inilah asas yang diletakkan oleh Rasulullah SAW dalam pembinaan sesebuah masjid. Kehebatan masjid bukan sekadar terletak pada binaannya yang tersergam indah tetapi masjid yang dibina atas asas takwa.

Alhamdulillah, Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini diumumkan antara lima terbaik dalam pengurusan masjid di daerah Kuala Selangor.

Berita itu dimaklumkan oleh wakil Penolong Pengawai Hal Ehwal Islam Daerah Kuala Selangor, Hazizul Masdin.

"Saya ingin maklumkan bahawa Masjid An-Nur adalah yang kelima terbaik daripada segi pengurusan di daerah Kuala Selangor.

"Tahniah dan syabas diucapkan kepada Nazir dan Ahli Jawatankuasa masjid serta para jemaah yang membantu mengimarahkan masjid ini," katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung (AGM) MAN kali ketiga, 24 September lalu.

Beliau mewakili Pegawai Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Nasrul Hadi Rohani. Hadir sama ialah Nazir MAN, Harun Abdul Rahman.

Tiada pemilihan pada AGM kali ini kerana pemilihan hanya akan diadakan pada bulan Mac tahun 2012.

MAN yang dinaik taraf sebagai masjid pada 1 Mei 2009 asalnya adalah surau yang dibina hasil usaha dan kerjasama penduduk setempat. Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menyumbang dana bagi pembangunan surau yang siap dibina pada Oktober 2002 ini.

Oleh kerana AGM diadakan dalam bulan Syawal maka turut diadakan jamuan Aidilfitri. Ia adalah kerjasama MAN dan Persatuan Penduduk Saujana Utama 1 (Sutra1).

Harun berkata, jamuan Aidilfitri itu bagi memeriahkan lagi majlis di samping menghargai para jemaah yang memberi komitmen dan turut serta dalam program-program MAN.

Katanya, kebanyakan juadah seperti 50 batang lemang, nasi himpit dan dodol disediakan secara gotong-royong oleh anak-anak kariah.

"Kerja-kerja penyediaan makanan dan memasak dimulakan selepas waktu Isyak dan siap sepenuhnya pada kira-kira pukul 4 pagi keesokan harinya," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Kanak-kanak turut mendapat duit raya sumbangan masjid dan beberapa dermawan.

Sementara itu, Setiausaha Sutra1, Wan Ismail Hashim berkata, ini adalah kali pertama pihaknya bekerjasama mengadakan jamuan hari raya bersama MAN.

Katanya, juadah yang dibiaya oleh Sutra1 adalah 3,000 sate, cendol dan air krim.

"Alhamdulillah sambutan penduduk amat menggalakkan di mana lebih 500 orang hadir. Antara yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Zulkifli Ahmad.

"Terima kasih juga kepada Majlis Daerah Kuala Selangor yang membekalkan empat khemah kepada kami untuk program ini," tambahnya.

Balasan Allah tidak boleh dielak

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

ALLAH SWT menyebut pada ayat yang lepas bahawa orang yang mempunyai harta benda dan anak-anak telah kafir, bersikap derhaka dan menyelewengkan nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepadanya.

Allah SWT menambahkan penjelasan apa yang diberikan kepadanya itu hanya cubaan dan ujian semata-mata agar Dia melihat sama ada orang itu taat dan bersyukur kepada Allah SWT sehingga ditambahkan kenikmatan kepadanya. Atau orang itu akan menggunakannya untuk menimpakan kepadanya dengan pelbagai bencana dan seksaan.

Contohnya para pemilik kebun ketika mereka menjalankan sedikit kederhakaan, kebun mereka dibinasakan oleh Allah SWT. Oleh itu, bagaimana pula dengan orang yang menentang Allah SWT dan rasul-Nya yang tetap bersikap keras berada dalam kekafiran dan mengerjakan maksiat.

Al-Sabuni berkata: Kami telah uji ahli Mekah dengan kemarau dan kelaparan supaya mengikut dakwah Rasulullah SAW sebagaimana kami menguji pemilik-pemilik ladang yang mempunyai pelbagai jenis buah-buahan.

Kami taklifkan ahli Mekah supaya bersyukur kepada Tuhan mereka atas segala nikmat sebagaimana kami taklifkan pemilik ladang-ladang untuk bersyukur dengan memberi kepada fakir miskin akan hak mereka.

Sebahagian ahli tafsir berkata ia berkenaan seorang lelaki muslim dan tinggal berhampiran Sana'a yang mempunyai pelbagai jenis tanaman dan buah-buahan.

Apabila sampai waktu menuai dan memetik buah-buahan dia memanggil fakir miskin serta memberi hak masing-masing dengan banyak. Di samping itu memuliakan mereka.

Sebaliknya apabila mati si kaya yang bersyukur ini, anak-anak mereka yang bertiga mewarisi harta bapa mereka seraya berkata: "Keluarga kita ramai dan harta kita sedikit. Tidak mungkin kita boleh bagi kepada fakir miskin seperti yang dilakukan oleh ayah kita. Mereka berbincang sesama mereka untuk tidak memberi kepada seorang pun fakir miskin. Justeru, mereka berpakat untuk memungut buah-buahan pada waktu pagi ketika fakir miskin tidak menyedari."

Tiba-tiba pada waktu malam tersebut Allah turunkan api membakar tanaman dan buah-buahan. Apabila waktu pagi, mereka pergi ke kebun dan mendapati tidak ada pohon kayu dan buah-buahan.

Mereka menyangka tersilap jalan apabila mereka memastikan hal tersebut mereka tahu ini hukuman Allah dengan niat jahat mereka lantas mereka sesal dan bertaubat. (antara terjemahan ayat 17-20 surah al-Qalam)

Muhammad Quraish Shihab berkata: Ayat-ayat lalu menyebut beberapa sifat buruk dari al-Mukazzibin iaitu para pengingkar ayat Allah (baca ayat 8 dan seterusnya) kini dijelaskan bahawa apa yang dialami oleh mereka itu serupa dengan kisah sekelompok pemilik kebun yang agaknya pengalaman mereka telah dikenal luas oleh masyarakat Mekah ketika itu.

Di sisi lain, ayat yang lalu juga menghuraikan sebab sifat-sifat buruk oleh kelompok orang derhaka disebabkan sikap angkuh mereka kerana memiliki harta yang banyak.

Ayat di atas mengingatkan keangkuhan dengan pemilikan harta yang melampau dan hakikatnya ia adalah ujian Tuhan kepada manusia. Ujian Allah tidak sama dengan ujian oleh manusia sehinggakan apabila diuji mereka tidak dapat mengelak sama sekali.

Firman Allah SWT: Lalu mereka panggil memanggil di pagi hari. Pergilah diwaktu pagi (ini) ke kebunmu jika kamu hendak memetik buahnya.

Al-Maghari berkata: Sesetengah mereka menyeru kepada sesetengah yang lain. Marilah kita ke kebun pada awal pagi untuk memetik buah dari kebun kamu jika kamu hendak melakukannya.

Mereka menyembunyikan urusan itu sehingga tidak ada seorang pun yang mendengar perancangan mereka sebagaimana firman Allah SWT.

Firman Allah SWT: Maka pergilah mereka saling berbisik-bisik. Pada hari Ini janganlah ada seorang miskinpun masuk ke dalam kebunmu.

Sayid Qutub berkata: Seolah-olah kita yang mendengar atau membaca al-Quran tahu apa yang tidak diketahui oleh tuan-tuan kebun tentang malapetaka yang telah menimpa kebun itu.