Like Blog Ini...

Wednesday, September 3, 2008

Tingkatkan Iman Dengan Alam

www.iLuvislam.com 
oleh: fazirah 


Sesungguhnya Allah bahagikan kita kepada 3 komponen iaitu rohani, jasmani dan akal. Kita diamanahkan untuk menjaga ketiga-tiga komnponen ini dalam rangka untuk menjadi insan yang bertaqwa. Dari segi jasmani, kita hendaklahmenjaga pemakanan dengan memakan makanan yang berzat dan seimbang dalam masa yang sama kita perlu bersenam untuk membantu badan kita sentiasa sihat. Untuk akal, kita belajar dan berfikir untuk memenuhi tuntutan aqli . Semantara itu, untuk roh kita perlu penuhi dengan bekalan sebagaimana perut yang sentiasa memerlukan makanan. Terutama sekali bila mana kehidupan kita yang dari sehari ke sehari sentiasa dipenuhi dengan kegelapan jahiliyah. Jadi roh perlukan kekuatan untuk melalui suasana-suasana kegelapan yang pekat ini. Keperluan roh hendaklah sentiasa dilazimkan dengan baca Qur’an, berzikir, iman yang subur. 

Hakikat nilai insan disisi Allah adalah Allah menilai hamba yang hebat adalah hamba yang bertaqwa. Allah tidak pandang seseorang itu melalui kepandaian, kekuatan jasmani, atau kecantikan. Kenapa kita riadah, kenapa kita makan, kenapa kita menuntut ilmu adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan keimanan dan ketaqwaan di sisi Allah. Bila kita perhatikan keindahan alam yang luas terbentang, kita dapat melihat kekuasaan Allah yang Maha Hebat. Penciptaan yang unik dan berbeza-beza. Kalau kita cari daun yang terdapat pada sebatang pokok, dapatkah kita temui daun yang betul-betul serupa dan sama. Begitu bijaksananya Allah menciptakan semua ini. 

Cubalah kita berinteraksi denga alam kita dapat merasai hebatnya Allah jadikan alam. Marilah kita sama-sama merenung ayat suci Al-Quran. Ayat suci di mana sewaktu Allah turunkan ayat ini kepada Rasulullah SAW, baginda menangis sedih. Andailah semua manusia faham ayat ini, Surah Ali Imran:190-194 

190. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal; 

191. (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka. 

192. Wahai Tuhan kami! sebenarnya sesiapa Yang Engkau masukkan ke Dalam neraka maka Sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang Yang zalim tidak akan beroleh seorang Penolong pun; 

193. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) Yang menyeru kepada iman, katanya: ` berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka Kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada Kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah Kami bersama orang-orang Yang berbakti; 

194. Wahai Tuhan kami! berikanlah kepada Kami pahala Yang telah Engkau janjikan kepada Kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan Kami pada hari kiamat; Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji". 





Allah hamparkan bumi kepada kita sebagai sebuah kitab yang terbuka sedangkan Al-Qur’an adalah sebuah kitab yang tertutup. Apa yang Allah ceritakan dalam Al-Quran, Allah hamparkan kepada kita dalam bentuk yang paling nyata dan jelas. Di dalam Al-Quran Allah ceritakan bahawa Allah Maha Menghidupkan, Allah Maha Menjadikan dan Allah Maha Mematikan. Kepercayaan kita terbina dengan melihat kejadian alam. Allah menjadikan daripada ada kepada tidak ada, Allah menjadikan dengan ketentuanNya pada suatu masa sebatang pohon berbuah dan pada satu ketika kemudian pohon tersebut mati. Setelah itu Allah tumbuhkan semula pohon yang baru bagi menggantikan pohon yang lama. Begitulah kitaran alam yang Allah dah susun. 

Oleh itu, marilah kita perhatikan sekeliling kita bagaimana burung boleh terbang, ikan berenang di lautan, keunikan ular dan cacing bergerak tanpa kaki. Allah Maha Berkuasa yang menjadikan semua ini. Allah boleh menghidupkan dan mematikan dan tidak mustahil Allah boleh menjadikan dunia ini kiamat. Telah disebutkan di dalam Al-Quran yang mulia bahawa Allah menjadikan alam ini sebagai kitab yang terbuka kerana Allah berfirman bahawa apa yang Allah telah janjikan itu benar, malaikat itu benar, hari akhirat itu benar, rasul-rasul itu benar, Al-Quran itu benar. 

Allah boleh menjadikan dan Allah boleh memusnahkan. Contohnya kita lihat peristiwa tsunami. Siapa sangka air yang lembut itu boleh memusnahkan. Kita lihat sendiri dari sudut sains, air yang lembut sekiranya diletakkan di dalam freezer peti sejuk, maka air akan bertukar sifatnya daripada lembut kepada keras. Renungkan betapa uniknya ciptaan dan kekuasaan Allah. 

Cuba kita perhatikan betapa damainya mata memandang rimbunan pohon-pohon yang kehijaun, tenangnya langit membiru yang terbentang luas memayungi kita. Cuba bayangkan sekiranya Allah jadikan langit berwarna merah dan pokok berwarna jingga, apakah perasaan kita? Gusarkah kita melihat warna-warna yang tidak tenang? Dari situ kita dapat lihat betapa sayangnya Allah pada kita, betapa Allah sangat memahami keperluan dan kehendak hati kita denagn member ni’mat yang macam-macam kepada kita. Betapa kita dapat merasai satu perasaan yang indah saat kita memandang langit yang biru, laut yang terbentang luas dan pohoh-pohon yang segar merimbun. 

Biarkanlah akal kita berfikir tentang ciptaan Allah dan kejadian alam dikala berdiri, duduk atau berbaring supaya setiap amalan dan setiap nafas kita dihitung sebagai ibadah supaya tidak sia-sia kehidupan kita di sisi Allah. Syed Qutb menerangkan bahawa orang-orang mu’min kagum terhadap ciptaan Allah dan khusyu’ beribadah kepada Allah sehingga timbul perasaan takut kepada Allah lantas mereka berdoa, “ Ya Allah, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau lindungilah kami dari azab neraka” 

Allah jadikan diri kita sebaik-baik kejadian. Allah memberi kita terlalu banyak ni’mat dan kelebihan. Malah, Allah telah jadikan bumi ini untuk tunduk kepada manusia. Cuba kita bayangkan jika Allah perintahkan air yang turun ke bumi itu memilih orang-orang beriman sahaja menggunakannya bagaimanalah jadinya. Apabila orang yang tidak beriman kepada Allah menggunakan air, maka air akan bersuara “ Aku tidak mahu melayan dan memenuhi hajat engkau kerana engkau tidak beriman kepada Allah, engkau tidak boleh menggunakan aku kerana engkau melupakan Allah..” Bayangkan bumi yang kita pijak ini marah bila orang yang tidak beriman berpijak di atasnya “ Engkau tidak beriman, aku tidak redha kakimu berpijak padaku”. Dari situ kita dapat lihat bagaimana hebatnya kasih sayang Allah. Betapa Rahman dan Rahim Allah terhadap sekelian makhlukNya. 

Kita sebagai manusia, di mana kita letakkan Allah di hati kita?? Berapa banyak kasih sayang kita kepada Allah jika benar kita cintakan Allah?? Oleh itu, apabila kita merenung alam, bertambahlah iman kita kepada Allah, betapa kita merasa kerdilnya kita di sisi Allah. Hanya Allah yang berkuasa terhadap alam ini. Macam mana kita nampak alam ini hebat sebegini dan macam mana kita nak kaitkan rasa hebat kita kepada Allah. Bagaimana kita hendak timbulkan dalam hati kita kehebatan ciptaan Allah, bagaimana kita gunakan akal kita untuk berfikir sehingga meresap rasa kehebatan itu dalam hati kita. Adakah kita melihat alam ni hanya untuk seronok-seronok sahaja?, adakah hanya melafazkan Subhanallah sahaja tanpa kita ambil pelajaran daripadanya? Tidak cukup hanya lafaz Subhanallah dan kita pun rasa tak puas dengan ucapan-ucapan tersebut apabila kita memerhatikan kehebatan-kehebatan yang Allah beri. 

Cubalah tingkatkan keimanan kita kepada Allah dengan mengambil isi pelajaran yang dapat dicungkil dari isi alam. Wallahu ‘alam.

No comments: