PROGRAM Jejak Warisan Masjid diadakan bersempena sambutan Kuala Lumpur yang telah dipilih sebagai Kota Kebudayaan Islam atau Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO).
Pemilihan Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam adalah berdasarkan kepada sejarah dan budaya yang unik dan kukuh. Selain itu, Kuala Lumpur juga mempunyai pusat penyelidikan saintifik, arkeologi dan manuskrip yang menjadi rujukan kepada penyelidik.
Program ini telah dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di lokasi pertama lawatan iaitu di Masjid Negara.
Bersempena dengan itu, Jabatan Warisan Negara turut melancarkan sebuah buku yang bertajuk The Mosque and Musollas in Kuala Lumpur yang menerangkan secara ringkas tentang perkembangan seni bina Islam yang terdapat di masjid dan surau di sekitar Kuala Lumpur.
Buku tersebut diterbitkan dalam bahasa Inggeris oleh Jabatan Warisan Negara dan diberi secara percuma di lokasi yang dipilih oleh jabatan tersebut.
Timbalan Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Profesor A. Ghafar Ahmad berkata, tujuan program Jejak Warisan Masjid ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran berkaitan warisan dan fungsi masjid kepada generasi remaja masa kini.
Rombongan Jejak Warisan Masjid itu disertai oleh 300 peserta terdiri dari pelajar sekolah rendah, menengah, institusi pengajian tinggi awam, persatuan penduduk dan persatuan belia dari pelbagai bangsa di sekitar Lembah Klang.
Menurut A. Ghafar, pemilihan tujuh masjid tersebut dibuat kerana ia memiliki pelbagai ciri dan reka bentuk berbeza.
"Dari lawatan ini, peserta boleh melihat kepelbagaian dan perkembangan reka bentuk sesebuah masjid dari unsur tradisional dalam ragam hias hinggalah unsur moden yang dibina selepas era kemerdekaan.
Tujuh masjid iaitu Masjid Negara, Masjid Jameul Ehsan, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid India, Masjid As-Syakirin dan Masjid Wilayah dipilih kerana kepelbagaian seni bina dan reka bentuk yang berbeza," ujarnya ketika ditemui di majlis penutup program yang berakhir di Masjid Wilayah, Jalan Duta.
Program ini juga mendapat kerjasama dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudi menjadi polis iringan sepanjang lawatan dari satu masjid ke satu masjid.
Ahli rombongan juga diberi penerangan dari aspek seni bina dan teknikal oleh arkitek bertauliah, Mariyah Pit.
Mariyah yang juga wakil dari Persatuan Arkitek Malaysia berkata, dari program ini, satu persepsi boleh diubah bahawa masjid tidaklah semestinya berkubah.
"Masjid Negara berjaya mengubah persepsi orang ramai bahawa masjid tidak semestinya berkubah. Dari segi seni bina pula Masjid Negara memang paling efektif sebab mempunyai anjung yang luas dan peredaran udara yang baik.
Masjid India pula tidak menekankan nilai estetika tetapi lebih kepada fungsinya yang membolehkan seberapa ramai umat bersolat di dalamnya.
Jika dilihat pada binaan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad pula lebih kepada ciri Inggeris kerana terdapat pavilion untuk peredaran udara yang baik," ujar Mariyah yang juga menjadi jurucakap kepada peserta rombongan tersebut.
Sementara itu, Pengarah Akademi Pembangunan Budaya dan Etnik Linguistik Nusantara, A. Najib Ariffin berkata, lawatan seperti ini amat penting kepada anak-anak muda di Malaysia demi memastikan warisan tidak hilang begitu sahaja.
"Kita tidak boleh mengharapkan kurikulum sekolah sahaja. Sejarah perlu diwariskan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Sebagai contoh apa itu mihrab dan mimbar kalau tidak diceritakan oleh ibu bapa, pasti anak-anak muda tidak akan tahu maksud dan fungsinya.
Saya harap agar program seperti ini dapat diteruskan demi kesinambungan warisan," akhirinya.
No comments:
Post a Comment