Like Blog Ini...

Friday, June 12, 2009

Perkim ziarah Hospital Besar Melaka

Oleh MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

YANG berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing. Bertitik tolak daripada peribahasa di atas ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bersama Perkim Bahagian Negeri Melaka berkesempatan menziarahi 200 pesakit di Unit Hemodialisis, Hospital Besar Melaka di samping menghulurkan sedikit 'buah tangan' kepada para pesakit pada 30 Mei lalu.

Program ini mendapat kerjasama dari Hospital Besar Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Rombongan ziarah itu diketuai oleh Datuk Abu Pit selaku Pengerusi Perkim Bahagian Negeri Melaka, Abdul Hanif Harun selaku Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan dan Datuk Wahab Abdul Jalil selaku Setiausaha Kehormat Perkim Bahagian Negeri Melaka serta beberapa orang kakitangan dan sukarelawan Perkim menziarahi sambil menyumbangkan 200 hamper kepada pesakit.

Abdul Hanif berkata, rombongan menziarah pesakit seperti ini adalah kali kedua dilakukan di luar kawasan Lembah Klang dan kali pertamanya telah dilancarkan di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan.

"Program kebajikan hospital seperti ini adalah hasrat utama Perkim yang harus diperkembangkan serta diperluaskan ke seluruh Malaysia selain dakwah dan pendidikan. Ia bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim malah mengeratkan perpaduan tidak kira agama, bangsa dan keturunan," jelas Abdul Hanif.

Abu Pit yang juga selaku Pengerusi Tetap Perkim Kebangsaan berkata, mereka memilih untuk menziarahi dan menyampaikan sumbangan hamper kepada pesakit-pesakit di Blok D, Wad Ortopedik, empat tingkat hospital yang terdiri daripada pesakit lelaki dan wanita dan disusuli pesakit di wad hemodialisis."

"Dengan menziarahi pesakit-pesakit kita dapat menyelami dan menghayati penderitaan mereka yang sedang menghadapi musibah," kata Abu Pit.

Antara pesakit yang ditempatkan di sini ialah mereka yang menghadapi kecederaan tulang, gangguan saraf, kecederaan kepala disebabkan kemalangan, mendapat rawatan saraf susulan, melakukan pembedahan disebabkan ketumbuhan, strok dan keabnormalan semula jadi.

Dr. Hadi Mat Junid selaku Pengarah Hospital Melaka ketika menyampaikan ucapan terima kasih kepada rombongan Perkim dalam satu majlis ringkas berkata, kedatangan rombongan pada hari itu sedikit sebanyak memberi keceriaan dan kesyukuran kepada pesakit-pesakit.

Beliau juga berharap kerjasama yang terjalin di antara Hospital Melaka dengan Perkim akan terus dilakukan untuk memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan dan berharap agar Perkim dapat mendedahkan aktivitinya melalui pameran untuk maklumat umum.

Turut hadir, Prof. Dr. Siti Normala Sheikh Obid selaku Ahli Majlis Kebangsaan Perkim dan Mohd. Faisal Rahman selaku Pembantu Pengarah Kanan Hospital Melaka.

No comments: