NABI Ismail cukup terkenal dengan kisah penyembelihan agung. Pada Hari Raya Aidiladha, peristiwa ini pasti meresap kembali dalam ingatan seluruh umat Islam di seluruh dunia. Bagi umat Islam yang berkemampuan mereka akan menyembelih haiwan ternakan sebagai korban bersempena dengan peristiwa penyembelihan Nabi Ismail.
Peristiwa penyembelihan ini bermula apabila Nabi Ibrahim bermimpi bahawa Allah memerintahkan baginda untuk menyembelih anaknya.
Nabi Ibrahim sungguh sedih dan terkejut. Sebelum ini pun Allah telah mengujinya dengan berbagai-bagai ujian dan cabaran. Ujian pertama yang diterimanya adalah setelah berkahwin dengan Sarah. Isterinya itu didapati tidak dapat melahirkan anak sedangkan usia Nabi Ibrahim pada waktu itu telah lanjut.
Kemudian baginda berkahwin dengan Hajar dan mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Ismail. Baginda sungguh gembira dan amat menyayangi anaknya itu. Tiba-tiba ujian kedua menimpanya. Allah menurunkan wahyu supaya baginda meninggalkan Hajar dan anak kesayangannya di satu kawasan ketika itu Ismail masih kecil.
Akhir sekali dugaan yang paling mencabar diterimanya dalam mimpi baginda. Allah memerintahkan baginda supaya menyembelih Ismail. Pada masa itu Ismail telah remaja. Nabi Ibrahim berasa sedih kerana itulah satu-satunya anak yang dimilikinya bersama Hajar.
Nabi Ibrahim juga telah tua ketika menerima wahyu tersebut. Namun, baginda tetap taat kepada perintah Allah. Lalu baginda bertemu dengan Ismail.
"Wahai anakku, sesungguhnya aku telah bermimpi seolah-olah aku menyembelihmu. Apakah pendapatmu tentang perkara ini?," tanya Nabi Ibrahim.
Sebagaimana yang diterjemahkan di dalam al-Quran, Ismail pun menjawab, "Wahai bapaku, kamu laksanakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu mendapatiku termasuk dalam golongan orang-orang yang sabar".
Nabi Ibrahim sungguh terharu mendengar kata-kata anaknya itu. Baginda tahu anaknya seorang yang tabah dan taat kepada Allah. Kemudian, baginda bersiap sedia menyembelih Ismail.
Sebelum disembelih, Ismail berpesan kepada bapanya: "Wahai ayahku, ikatlah badanku dengan kuat agar aku tidak meronta-ronta. Kemudian tanggalkanlah pakaianku agar tidak terkena darahku. Aku tidak mahu ibu bersedih apabila melihat pakaianku nanti. Tajamkanlah pisaumu dan percepatkanlah penyembelihanku agar dapat meringankan kesakitanku. Kemudian sampaikanlah salamku kepada ibu dan berikannya pakaianku sebagai tanda kenang-kenangan."
Nabi Ibrahim terus memeluk dan mencium anaknya.
"Aku sungguh bahagia mempunyai anak sepertimu yang taat kepada perintah Allah, berbakti kepada orang Allah, berbakti kepada orang tua dan ikhlas hatinya," kata Nabi Ibrahim dalam nada sedih.
Selepas itu, Nabi Ibrahim pun menjalankan perintah tersebut. Baginda melakukannya seperti yang diminta oleh Ismail, tetapi pisau yang digerakkan di leher Ismail tidak berfungsi dan menjadi tumpul. Beberapa kali dicubanya tetapi gagal. Nabi Ibrahim berasa hairan lalu berdoa kepada Allah dan Allah terus berseru kepadanya:
"Wahai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah melaksanakan mimpimu itu, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berbuat kebaikan."
Nabi Ibrahim amat bersyukur kerana Ismail telah terselamat daripada disembelih. Tempat Ismail telah diganti dengan seekor kibas.
lPetikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment