Like Blog Ini...

Friday, June 12, 2009

Pelajar Selatan Thai ikuti diploma hafiz

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

SEMEMANGNYA umat Islam diseru untuk membantu sesama Islam tidak kira apa juga bangsa dan keturunan. Berlandaskan kepada prinsip inilah kerajaan Malaysia sentiasa berusaha membantu mana-mana juga umat Islam yang memerlukan pertolongan.

Ia termasuklah di wilayah-wilayah penduduk Islam yang diancam konflik perang saudara atau peperangan. Umat Islam di kawasan berkenaan sudah pastilah memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka mengecapi keamanan dan kemakmuran.

Salah satu usaha kerajaan Malaysia yang kini giat dijalankan ialah membawa kembali cahaya keamanan di wilayah Selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Bagi melaksanakan hasrat tersebut Task Force 2010 (Malaysia) yang diterajui Ketua Pengarahnya, Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar diberi tanggungjawab mengatur pelbagai program bagi membantu penduduk Islam di wilayah itu.

Semua program yang dilakukan bertujuan mendedahkan penduduk tersebut dengan kehidupan Islam sebenar yang sentiasa menyeru umatnya berusaha untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Untuk tujuan itu, mereka tidak harus menumpukan perhatian kepada bidang agama semata-mata tetapi juga bidang-bidang lain.

Selain mengadakan program vokasional dan kejururawatan kepada belia Islam, Task Force 2010 (Malaysia) juga membawa para imam dan ulama dari Selatan Thailand melawat Malaysia bagi melihat kehidupan masyarakat Islam di negara ini.

Tujuan program itu adalah bagi mendedahkan mereka kepada sistem pendidikan Islam di Malaysia.

Selain itu, Task Force 2010 Malaysia turut mengadakan sesi penerangan kepada penduduk Islam supaya mereka memahami betapa pentingnya keamanan dalam usaha mencapai kemakmuran. Sesi berkenaan turut pernah disertai oleh Mejar Jeneral Datuk Mohd. Jamil Khir Baharom yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam usaha memastikan golongan belia di Selatan Thailand mendapat pendidikan yang bukan sahaja tertumpu kepada bidang agama semata-mata, pada 24 Mei lalu, Task Force 2010 (Malaysia) dengan kerjasama Task Force 960 Thailand melaksanakan satu lagi program.

Kali ini ia lebih menarik apabila dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sembilan pelajar dari Selatan Thailand dipilih mengikuti peringkat Diploma Hafalan Quran di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu.

Kesemua mereka akan mengikuti pengajian selama tiga tahun dengan segala kos ditanggung oleh kerajaan Malaysia. Melalui pendekatan itu, mereka bukan sahaja mempelajari bidang agama malah akan turut didedahkan dengan mata pelajaran akademik lain.

Darul Quran ditubuhkan pada Mac 1966 sebagai Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat ilham Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj dan disokong oleh Rektor Universiti Al-Azhar, Sheikh Mahmod Syalyut, ketika perasmian Masjid Negara.

Pada tahun 1997, Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat dinaikkan taraf sebagai salah satu bahagian di Jakim dan diberi nama Darul Quran. Pada 1 November 1998, Darul Quran ditempatkan ke kampus tetap di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Dengan visi Darul Quran untuk melahirkan generasi al-Quran yang bertakwa, berilmu dan bermanfaat kepada pembangunan negara dan ummah, sudah pastilah pelaksanaan program yang melibatkan pelajar Selatan Thailand itu adalah amat bertepatan.

Ini kerana melalui pengajian di institut itu, ia akan mampu memberikan mereka peluang bukan sahaja menghayati isi kandungan al-Quran serta menjadi huffaz (hafiz dan hafizah) yang mahir malah akan membolehkan mereka menjadi pembimbing kepada umat Islam lain di wilayah tersebut apabila tamat pengajian nanti.

Namun begitu segala perancangan dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia melalui Task Force 2010 (Malaysia) tidak akan ke mana jika tidak mendapat sokongan padu kerajaan Thailand.

Biarpun pemimpin-pemimpin negara itu majoritinya beragama Buddha, namun di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, penduduk-penduduk Islam di selatan semakin menikmati kebebasan yang sebenar.

Mereka bukan sahaja diberi perhatian oleh kerajaan negara itu, malah kerajaan Thailand sentiasa memberi sokongan penuh terhadap sebarang usaha bagi membantu penduduk berkenaan. Begitu juga dalam program menghantar pelajar ke Darul Quran tersebut.

Kehadiran Pengerusi Task Force 960 Thailand, Jeneral Kasem Yuktavira di majlis penyerahan pelajar itu kepada rombongan Task Force 2010 (Malaysia) yang diketuai oleh Kolonel Ramli Saidin membuktikan ketelusan dan keterbukaan pemerintah Thailand dalam membantu penduduk Islam.

Adalah diharap kerjasama erat yang ditunjukkan antara kedua-dua kerajaan ini melalui Task Force masing-masing akan berterusan demi kebaikan dan masa depan umat Islam di Selatan Thailand.

No comments: