Susunan SITI AINIZA KAMSARI
ORIENTALIS terkenal Itali, Profesor Dr. Laura Veccia Vaglieri (1893-1989) yang banyak menulis artikel mengenai Islam, pernah menulis mengenai Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, yang antaranya, "Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah Yang Maha Esa, Muhammad (Nabi) tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau (Baginda) tidak menggunakan pendekatan-pendekatan magis, yang memukau penglihatan dan tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan.
"Apakah yang beliau lakukan? Muhammad menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh mereka membaca "Buku Alam" dan berfikir mengenainya supaya dengannya mereka yakin pada kewujudan Ilahi."
Jika dalam bahasa yang terjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, Dr Vaglieri menyebut; "He simply called them to contemplate." Contemplate sama ada tepat atau layak untuk dirujuk, tetapi tentulah di sini dimaksudkan dengan berkhalwat, yang berasal daripada perkataan khulwah bermakna bersunyi-sunyian
Kisah Nabi Muhammad berkhalwat di gua Hira sebelum Baginda diperintahkan secara rasmi oleh Allah SWT menjadi seorang Rasul merupakan catatan sejarah yang sangat dipegang atau menjadi pengetahuan setiap umat Islam.
Ini kerana di gua itulah Nabi Muhammad menerima wahyu pertama, iaitu surah al-Alaq, ayat 1-3 yang disampaikan oleh malaikat Jibrail.
Menyendiri
Namun mengapa Nabi Muhammad lebih memilih untuk menyendiri di Gua Hira' sedangkan Baginda sudah mempunyai kehidupan yang cukup baik terutama selepas mengahwini Siti Khadijah dan dikurniakan putera dan puteri.
Mungkin kita pernah mendengar, kerana Baginda seorang yang bersifat pendiam, maka tidak menghairankan jika Baginda suka hidup menyendiri di Gua Hira' itu. Tetapi benarkah hanya kerana Baginda seorang pendiam?
Maka di sini, mungkin terdapatnya amalan-amalan yang harus kita dapat bezakan atau persamaan makna setiap satunya, iaitu sama ada beruzlah, berkhulwah, bertahanuth dan bertahanuf apabila merujuk kepada tindakan Nabi Muhammad yang mengasingkan diri itu.
Dari aspek kebudayaan itu sendiri, sebenarnya telah ada amalan yang menjadi kebiasaan orang-orang Arab pada masa itu, di mana golongan berfikir, mereka selama beberapa waktu pada setiap tahun menjauhkan diri daripada keramaian dan majlis-majlis untuk berkhalwat semata-mata mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka dengan bertapa dan berdoa.
Mereka mengharapkan agar diberi rezeki dan pengetahuan. Pengasingan untuk beribadat seperti ini mereka namakan bertahannuth.
Namun penulis sejarah Islam terkemuka, Hussein Haekal menyebut perbuatan Nabi Muhammad itu sebagai bertahannuf (asal perkataan tahannafa atau Hanif) iaitu perbuatan yang cenderung kepada kebenaran dengan meninggalkan penyembahan berhala dan beribadat kepada Allah semata-mata.
Maka jika dikatakan, Baginda seorang yang pendiam itu tetapi harus difahami sebagai keadaan Baginda banyak memberikan laluan kepada mindanya untuk berfikir daripada berkata-kata demi untuk mencari kebenaran.
Atas sifat fitrah dan akhlak Baginda yang bersih, Baginda melihatkan pelbagai kebejatan yang semakin hidup subur dalam masyarakat Arab. Melihatkan kepada segala urusan-urusan, aktiviti dan hal ehwal masyarakat itu menyebabkan Baginda semakin tidak mampu menerimanya.
Ini lebih-lebih lagi melibatkan soal penyembahan berhala, sebagaimana sejak usia kecilnya dan Baginda semakin jengkel dengan sembahan-sembahan yang palsu ini, sehinggakan tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh Baginda melainkan berhala-berhala itu.
Baginda tidak tahan mendengar orang bersumpah dengan menyebut nama al Lata dan al Uzza itu.
Tersayat pedih
Hati Baginda turut tersayat pedih mengenangkan bangsanya yang suka berjudi. Malah dikisahkan pada suatu hari di pasar Mekah, Baginda melihat sendiri seseorang yang berjudi.
Akibatnya si kaki judi itu kehilangan unta dan rumahnya sendiri kerana menjadi mangsa pertaruhan. Tidak cukup unta dan rumah, malah dia juga bertaruh akan kehilangan 10 tahun daripada hidupnya.
Apakah maknanya itu, sehingga begitu teruk sekali ketagihan berjudi menyebabkan bertaruh pada perkara yang tidak masuk akal!
Baginda sangat tergugat hatinya oleh peristiwa malang ini dan terus pergi ke bukit-bukit berdekatan dan duduk memikirkan kembali tabiat-tabiat buruk bangsanya itu. Baginda berfikir dan hairan atas kebodohan mereka yang tersesat jauh itu.
Kebodohan lain yang tidak mampu Baginda terima termasuklah minum arak dan tidak akan makan sembelihan-sembilan haiwan yang dikorbankan untuk berhala. Baginda juga tidak pernah datang untuk menyertai perayaan atau keramaian di tempat-tempat berhala itu.
Ini membawakan Baginda untuk memisahkan dirinya dengan tanpa sebarang gangguan di Gua Hira' di samping Baginda semakin tercari-cari akan rahsia alam, sebagaimana yang disebut oleh orientalis Itali itu tadi.
Gua Hira' terletak di Gunung atau Bukit Nur (Jabal Nur) iaitu kira-kira enam kilometer dari utara Kota Mekah tanpa ada sebarang tanda-tanda kehidupan manusia di situ.
Gua itu sendiri dikatakan yang mempunyai laluan masuk yang tidak lebih daripada tinggi manusia sahaja. Iaitu sebuah gua yang kecil yang sebahagian gua ini ditembusi cahaya, manakala sebahagian yang lain dalam keadaan yang sangat gelap.
Dikatakan di dalam gua itu hanya boleh memuatkan dua orang sahaja masuk ke dalamnya.
Dikatakan Nabi Muhamad akan memanjat atau mendaki laluan yang sukar dan curam semata-mata untuk berkhalwat di Gua Hira', iaitu hanya sepanjang bulan Ramadan setiap tahun.
Ini kerana pada masa-masa lain, seperti yang diceritakan oleh Haekal, Baginda sebenarnya sebagaimana anggota masyarakat yang lain, ada masa-masanya tetap bermasyarakat dengan para penduduk yang lain.
Bahkan Baginda lebih dihormati di tengah-tengah masyarakat itu. Ini disebabkan sifatnya yang suka merendah diri, bila ada yang ajak berbicara, Baginda akan mendengar tanpa menoleh kepada orang lain.
Bicaranya sedikit kerana lebih banyak mendengar. Tetapi apabila berbicara, Baginda akan berbicara bersungguh-sungguh namun tetap tidak lupa untuk berkata-kata yang lucu dan bersenda gurau.
Malah kadang kala Baginda ketawa sehingga menampakkan gerahamnya. Pendek kata, Baginda tetap bijak dan mudah bergaul. Ini menimbulkan rasa hormat yang tinggi di kalangan masyarakat Arab terhadap Baginda.
Ini sebagaimana Baginda berada di tengah-tengah masyarakat dalam peristiwa Majlis Tahkim atau La'aqat'd-Damm (jilatan darah) apabila Bani Abd'd-Dar dan Adi tidak dapat membenarkan kabilah yang lain untuk campur tangan dalam urusan meletakkan batu Hajaral Aswad (Batu Hitam) selepas Kaabah berjaya dibina semula selepas berlaku peristiwa Banjir Besar (Aram).
Namun timbul juga persoalan-persoalan berhubung tindakan Baginda meninggalkan isteri, keluarga dan masyarakatnya semata-mata untuk menyendiri dalam gua yang gelita dengan hanya membawa sedikit bekalan setiap hari.
Ibadat
Dalam melakukan ibadat selama dalam tahannuth itu, adakah Baginda menganut syariat tertentu? Dalam hal ini ulama-ulama berlainan pendapat. Dalam Tarikhnya Ibnu Kathir menceritakan sedikit tentang pendapat-pendapat mereka mengenai syariat yang digunakan oleh Baginda sepanjang berada dalam Gua itu.
Ada yang mengatakan menurut syariat Nabi Nuh, ada yang mengatakan mengikut Nabi Ibrahim, yang lain berkata menurut syariat Nabi Musa dan Isa as dan ada pula yang mengatakan tiada kepastian.
Mengikut Yunus Ali Al Muhdhor dalam bukunya, Kehidupan Nabi Muhammad SAW dan Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib R.A (Victory Agencie, KL 1993) syariat Nabi Muhammad ketika berada di gua Hira' itu adalah mengikut syariat Nabi Ibrahim kerana sesuai dengan persekitaran yang diwarisi oleh kebanyakan kaum keluarga Baginda.
Tetapi mengapa Baginda tidak melakukan sahaja uzlah di dalam Kaabah sahaja, sebagai rumah ibadat pertama dibina di muka bumi ini? Atau mengapa Baginda tidak berguru dengan ramai pendita-pendita Yahudi dan Nasrani seperti Waraqah Bin Naufal yang merupakan sepupu isterinya sendiri? Ikuti jawapannya semua persoalan ini dan kisah seterusnya di keluaran akan datang!
No comments:
Post a Comment