Like Blog Ini...

Wednesday, June 17, 2009

Khidmat masyarakat Perkim dengan Orang Sungai

Oleh MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Panduan iman, amal dan ilmu adalah faktor-faktor penting bagi melahirkan generasi pendakwah muslim unggul. Lebih-lebih lagi sebagai pendakwah merupakan suara atau jurubicara kepada masyarakat.

Elemen-elemen inilah yang membentuk rohani muslim yang mantap. Ia membolehkan mereka menongkah arus dunia muslim yang cukup mencabar pada abad ini. Seterusnya menjadi pewaris yang berintelek dan berakhlak.

Menyedari hakikat ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bersama Kelab Perkim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan aktiviti khidmat masyarakat dan kebajikan sosial di Kampung Usaha Jaya Bukit Garam, Kota Kinabatangan, Sandakan, Sabah pada 14 hingga 19 Mei lalu.

Program yang dinamakan Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) dengan temanya 'Membangun Masyarakat Dinamis dan Berakhlak Mulia' ini telah berjalan lancar.

Ia juga menepati hasrat utamanya iaitu merapatkan hubungan dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di kalangan masyarakat suku kaum Sungai di kampung berkenaan.

Jalinan kerjasama pelbagai pihak lain seperti UKM, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Ketua Kampung Usaha Jaya Bukit Garam dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) membolehkan pelbagai pengisian diadakan sepanjang program.

Pengerusi Jawatankuasa Ketua Kampung Usaha Jaya Bukit Garam, Aliasa Ismail berkata, Perlembagaan Persatuan Bangsa Sungai Sabah (Sabas) menetapkan bangsa Sungai adalah istilah generik dan label etnik menyeluruh yang merangkumi dialek dan suku kaum.

Katanya, terdapat 30 suku kaum bangsa Sungai di kampung itu. Antaranya adalah Idahan, Milian, Liwago, Begahak, Bengkoka, Bulud Upi, Dewara, Dumpas, Inokang, Kalabuan, Kuamut, Lingkabau, Makiang, Mangkaak, Minokok, Paitan, Pingas, Puawang, Rumanau, Segilitan, Sinobu, Sinorope, Subpan, Sugud, Sukang, Suyat, Tambangan, Tengara, Tinagas dan Tindakon.

Jelas Aliasa lagi, kampung itu telah beberapa kali meraih penganugerahan kampung terbaik dan mendapat pengiktirafan sebagai Gerakan Daya Wawasan dari aspek kejayaan dalam bidang pertanian, perladangan, ekonomi, muafakat dan kebersihan.

Sementara itu, Penyelaras Program yang juga Yang Dipertua Kelab Perkim UKM, Mohd. Shahnizam Azmi berkata, aktiviti yang menjadi teras utama kejayaan program ini adalah konsep keluarga angkat walaupun penduduk kampung itu berbilang agama dan budaya.

"Para pelajar Kelab Perkim UKM diterima sebagai anak angkat kepada penduduk kampung dan mereka dibahagikan lapan blok di mana setiap blok mempunyai 10 rumah.

"Mereka telah diberi ruang untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di samping dapat bertukar pandangan dan ilmu pengetahuan serta motivasi bersama keluarga angkat mereka," katanya.

Menurut Shanizam, tujuan Opkim adalah memupuk kreativiti dan kebijaksanaan berkomunikasi dalam menyeru kepada kebaikan serta daya juang yang tinggi dalam menghadapi arus cabaran realiti kehidupan.

Selain itu, pelajar juga merungkaikan kejumudan yang membelenggu pemikiran masyarakat Islam, memecahkan taklid serta dapat menyelamatkan pemikiran umat Islam dari menumpukan hanya sebahagian urusan agama ini sehingga mengabaikan sebahagian yang lain dan kesyumulan Islam itu sendiri.

"Malah program operasi kali ini juga turut diadakan forum perdana bertajuk 'Perpaduan Menjana Masyarakat Rababani' yang dihadiri oleh 400 penduduk kampung," ujar Shahnizam.

Pelbagai aktiviti juga diadakan seperti ziarah dan sumbangan kepada penduduk kampung, klinik solat, motivasi pelajar, pertandingan azan, membaca puisi dan juga nasyid. Turut diadakan pertandingan sukaneka, bolasepak, bola jaring, tiup belon, boling kelapa, mencari gula-gula dalam tepung dan rebut kerusi.

Aktiviti kebudayaan turut dipersembahkan pada Malam Kesenian Kebudayaan di Dewan Kampung Usaha Jaya Bukit Garam yang bertemakan Kebudayaan Pemangkin Masyarakat Harmoni.

Antara acara yang dipersembahkan adalah bacaan al-Quran, persembahan seni silat, kulintangan (gamelan), persembahan kumpulan nasyid Syababul Qowi, sajak, teater dan tarian kebudayaan orang sungai yang dipersembahkan oleh kumpulan Sri Milian.

Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi berkata, Islam adalah bersifat membimbing manusia ke arah kebaikan dan juga kejayaan. Ia bukanlah agama yang menyusahkan atau membawa manusia kepada permusuhan.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberi kepercayaan dan mandat kepada Perkim dalam usaha-usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan untuk membantu golongan Islam dan menyediakan kemudahan infrastruktur bagi kemajuan masyarakat Islam.

Beliau juga menyeru masyarakat kampung agar menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam supaya masyarakat yang lain melihat keindahan Islam sebagai agama contoh, dihormati, dicintai dan menjadi tunggak perpaduan ummah.

Dr. Suhaimi berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian penutup program lima hari empat malam itu .

Turut memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, Ketua Pengarah Pusat Perkembangan Pelajar UKM, Datuk Dr. Shaharuddin Ahmad dan Ketua Kampung Usaha Jaya Bukit Garam, Piko Tiam.

Bung Mokhtar dalam ucapannya berharap, program operasi seperti itu akan diperbanyakkan supaya dapat merapatkan lagi ikatan ukhuwah antara mahasiswa bersama masyarakat kampung yang berbilang kebudayaan, kaum, bahasa, bangsa dan keturunan.

Katanya, aktiviti seperti motivasi pelajar, program di surau, modal insan dan pendidikan memberi manfaat dan pendedahan untuk masa depan dan hala tuju belia muslim kerana ilmu tersebut adalah teras penting dan menjadi wajib pada masa kini.

"Hanya dengan pendidikan dan pelajaran Orang Sungai akan bertambah maju serta mampu menguruskan hidup mereka dengan sempurna di masa akan datang," tambah beliau yang menyumbangkan RM5,000 untuk program tersebut.

Dengan kerjasama berbagai pihak usaha dakwah yang dijalankan kepada masyarakat Orang Sungai semakin menunjukkan kesan yang positif dari semasa ke semasa khusus dalam aspek membudayakan cara hidup Islam di kalangan mereka.

No comments: