Like Blog Ini...

Friday, June 12, 2009

Perkukuh prinsip kesopanan, kesusilaan

BETA bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dari-Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Wacana Ilmu yang dianjurkan sempena ulang tahun hari keputeraan Beta ke-81.

Ilmu amat penting dalam kehidupan insan. Ilmu itu terus bercambah dan berkembang, terus diterokai dan dirintis, terus dipelajari dan dikuasai sepanjang hidup. Kaedah penyampaian dan kaedah penyebaran ilmu terus berubah selaras dengan dinamik berkomunikasi, bermula secara lisan beralih melalui perantaraan tulisan dan kini mengoptimumkan sepenuhnya saluran teknologi moden komunikasi elektronik. Perkembangan teknologi komunikasi itu juga adalah hasil daripada kejayaan penyelidikan yang hari ini memberi manfaat memenuhi peranan penyebaran dan penyampaian ilmu secara lebih berkesan.

Hari ini dunia kaya dengan sumber ilmu dan mendapat manfaat daripada saluran komunikasi yang semakin pantas, mudah dan canggih. Hari ini keupayaan menguasai teknologi komunikasi menjadi satu keperluan wajib dalam proses menimba ilmu.

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi, insan yang gagal dan tertinggal daripada keupayaan menguasai teknologi komunikasi boleh dianggap tidak literate atau buta huruf.

Teknologi komunikasi dan teknologi penyelidikan telah memesatkan proses penemuan dan proses penyebaran ilmu.

Pelbagai disiplin baru dan pelbagai cabang ilmu kini ditemui. Kini ilmu juga turut memiliki nilai komersial lalu mendorong kepada kelahiran industri pendidikan yang memiliki kapasiti dan potensi mencetuskan sumber kekayaan baru.

Susulan daripada itu, institusi ilmu kini memiliki sifat baru, beralih daripada peranan asal bertujuan semata-mata untuk mengembangkan ilmu, kepada tujuan komersial kerana turut dipengaruhi oleh elemen-elemen keuntungan dan pemasaran.

Dalam sistem ekonomi bebas atau laissez-faire, apabila urusan diserahkan sepenuhnya kepada kelok permintaan dan bekalan, akan tercetuslah keadaan tidak saksama kepada golongan yang berpendapatan rendah. Oleh itu, dasar yang dapat mengimbangkan berlakunya kesaksamaan perlu dilaksanakan secara berkesan supaya rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah tidak akan tertinggal dan tersisih malah turut berpeluang mendapat ilmu dan mendapat tempat dalam pusat-pusat pengajian tinggi.

Berlandaskan semangat tersebut, atas kesedaran bahawa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak masih jauh tertinggal secara perbandingan dengan kaum-kaum lain di negara ini, Fasal 153-(2), Perlembagaan Negara memperuntukkan kuasa tertentu kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak daripada segi biasiswa dan tempat pengajian.

Perkara 27B-(2) Perlembagaan Negeri Perak, memperuntukkan tanggungjawab yang sama kepada Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan.

Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri ini adalah persetujuan yang telah dicapai secara bersama dalam semangat memberi dan menerima, dan dalam semangat memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.

Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-Raja Melayu. Oleh itu apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan perkara ini, bukan sahaja telah melanggar peruntukan asas di dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri malah turut mempertikaikan kedaulatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong begitu juga kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Para pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan tanggungjawab kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis; iaitu asas-asas yang telah dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka.

Penyimpangan daripada semangat asal yang telah dicapai, tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.

Pada masa yang sama, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalah gunakan di peringkat pelaksanaan hingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas.

Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri, memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum-kaum lain yang sah dari segi undang-undang (legitimate interests) turut dilindungi.

Amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku. Setiap warga negara yang sah adalah rakyat Baginda yang harus diberikan keadilan yang setimpal.

Manusia biasanya dapat berfikiran rasional jika asas pertimbangan senantiasa didasarkan kepada ilmu lalu sesuatu peristiwa ditafsirkan secara objektif berdasarkan fakta.

Manusia yang mengasaskan tafsiran berdasarkan ilmu dapat memisahkan diri daripada pengaruh sentimen dan pengaruh emosi lalu dapat membezakan tentang apa yang dianggap fakta dengan apa yang diharapkan berlaku.

Ilmu menjadi bernilai jika ilmu yang telah dipelajari itu dapat diamalkan dalam kehidupan harian. Ujian sebenar terhadap penguasaan ilmu adalah di peringkat aplikasi. Manusia yang berjaya menghayati ilmu akan memperlihatkan penguasaannya terhadap ilmu di peringkat aplikasi.

Insan berilmu akan memperlihatkan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan. Kesopanan dan Kesusilaan adalah prinsip kelima dalam Rukun Negara.

Lima puluh tahun yang lalu, ketika negara masih kurang bilangan cerdik pandai dan kurang bilangan profesional, kesopanan dan kesusilaan merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat di negara ini, merupakan komponen yang ditekankan dalam proses pendidikan dan penyampaian ilmu, merupakan elemen penting untuk mewujudkan kestabilan.

Institusi keluarga, institusi masyarakat dan institusi negara senantiasa dihormati. Hari ini negara telah memiliki bilangan cerdik pandai dan bilangan profesional yang jauh lebih ramai. Namun telah mula memperlihatkan kelunturan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan.

Hari ini institusi ilmu tumbuh bercambah, tetapi aspek kesopanan dan kesusilaan bagaikan tidak diutamakan lagi. Institusi keluarga, institusi masyarakat dan institusi negara bukan sahaja tidak dihormati malah dipersendakan dan dicabar secara terbuka.

Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian; atau kemungkinan sedang berlakunya satu keadaan tidak seimbang, di antara pendekatan menyampai dan menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing hingga teralpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan.

Kesopanan dan kesusilaan berperanan penting dalam membina sahsiah seseorang insan. Kesopanan dan kesusilaan itu adalah sebahagian daripada budaya masyarakat kita yang harus disemai di kalangan warga ketika negara menuju untuk mencapai status negara maju.

Tamadun dan budaya agung sesuatu bangsa dibangunkan atas prinsip kesopanan dan kesusilaan. Nilai-nilai tersebut jangan sama sekali disisihkan. Nilai-nilai tersebut penting dalam membina jati diri dan daya tahan warga terutama ketika warga menghadapi pengaruh dari budaya asing dalam era globalisasi ini.

Ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat. Semoga komponen kesopanan dan kesusilaan diberikan perhatian penting dan dianyam dengan bijak oleh setiap insan dan setiap institusi yang terlibat dengan aktiviti keilmuan.

No comments: