Like Blog Ini...

Friday, June 12, 2009

Jawhar anjur Konvensyen Baitulmal Kebangsaan

Oleh DR. SOHAIMI MOHD. SALLEH

Konsep Baitulmal pada masa kini agak berbeza daripada apa yang diamalkan pada zaman awal Islam, malah segelintir masyarakat bepersepsi bahawa peranan dan kemampuan institusi ini kian tersasar dari semasa ke semasa.

Pada hari ini, institusi Baitulmal dilihat mempunyai fungsi yang agak kecil dan terhad dengan wujudnya pelbagai agensi atau badan lain yang juga diiktiraf sebagai institusi kewangan Islam bukan perbankan. Beberapa cabaran dan halangan dari segi perundangan serta tenaga kerja dan kepakaran juga memungkinkan institusi ini kian tersisih.

Sewajarnya isu ini tidak dipandang sepi, khususnya oleh mereka yang menyedari betapa pentingnya peranan dan fungsi yang dimainkan oleh Baitulmal pada zaman awal kedatangan Islam dahulu.

Baitulmal seharusnya dilihat sebagai institusi perbendaharaan dan kewangan yang tertinggi dalam negara yang mengamalkan ajaran Islam.

Peranannya dalam menjana kekuatan dan keseimbangan ekonomi perlulah diperhebat supaya kekayaan sebenar umat Islam dapat dimanfaatkan secara bersama seoptimum yang mungkin.

Dalam hal ini, sejarah telah membuktikan dengan jelas peranan dan kemampuan institusi Baitulmal dalam menjana kekuatan ekonomi umat dan negara Islam, contohnya di era pemerintahan Rasulullah SAW dan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Justeru, atas dasar peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan untuk menyelaras dan memperkasakan tadbir urus harta wakaf, zakat, mal dan haji di Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) bagi pihak Jabatan Perdana Menteri telah terpanggil untuk menganjurkan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 1430H/2009M.

Program anjuran bersama Jawhar dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ini akan diadakan pada 24 hingga 25 Jun 2009 di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Perasmiannya akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang juga akan menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian tersebut. Majlis Penutupnya pula akan disempurnakan keesokan harinya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 1430H/2009M dengan tema 'Baitulmal: Masihkah Relevan?' ini disasarkan untuk menjana idea-idea yang baru dan lebih praktikal dalam memperkasakan institusi Baitulmal serta menyemak kembali fungsi dan peranan Baitulmal yang sebenar seperti mana pada zaman kegemilangan Islam.

Gagasan resolusi yang bakal dihasilkan daripada pembentangan kertas-kertas kerja dan juga percambahan idea oleh para cendekiawan Islam yang terdiri daripada ahli akademik, pakar undang-undang dan juga wakil pentadbiran hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan juga negeri diharapkan akan membawa lembaran baru dalam sejarah pembangunan institusi Baitulmal di negara kita.

Antara lain, objektif penganjuran Konvensyen ini adalah untuk:

- Menjana dan mengumpul idea serta pemikiran para cendekiawan Islam dari pelbagai lapangan seperti pentadbiran, akademik, undang-undang dan sebagainya dalam memperkasa institusi Baitulmal;

- Perkongsian pengalaman dan pengetahuan dalam pentadbiran dan pembangunan institusi Baitulmal oleh para ahli akademik, pakar undang-undang dan juga wakil agensi agama Islam dari seluruh negara;

- Mengkaji fungsi, peranan dan konsep Baitulmal pada zaman kegemilangan Islam untuk diterapkan kembali dalam usaha memperkasa institusi Baitulmal di semua negeri;

- Memartabatkan institusi Baitulmal di negara kita selari dengan realiti dan perkembangan semasa seperti kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan juga Kerajaan Elektronik (e-Government); dan

- Menggilap potensi-potensi Baitulmal sebagai tonggak pembangunan ekonomi ummah melalui pemantapan sumber sedia ada dan penerokaan sumber baru yang berpotensi untuk memperkasakan dana Baitulmal.

Sebanyak 13 kertas kerja akan dibentang, dibincang dan dirumuskan untuk menghasilkan gagasan resolusi yang boleh dipanjangkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk dikaji dan diambil tindakan susulan sewajarnya dalam memperkasa institusi Baitulmal di Malaysia.

Para pembentang dipilih dari kalangan ahli akademik tersohor, wakil pentadbiran Baitulmal di Negeri-negeri, agensi-agensi korporat dan juga pakar perundangan. Pakar Syariah dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia juga tidak ketinggalan mengambil bahagian.

Konvensyen ini dijangka akan dihadiri oleh 300 peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada ahli-ahli akademik di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta, agensi korporat, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN), Perbadanan/Tabung Baitulmal, Syarikat Mengurus Zakat (SMZ), para mufti dan pegawai-pegawai dari agensi berkaitan serta penuntut dalam bidang yang berkenaan.

Penyertaan dari mereka yang berminat untuk mendalami isu dan bidang berkaitan Baitulmal juga amatlah dialu-alukan.

Penyertaan adalah percuma. Mereka yang berminat boleh menghubungi Urus Setia Konvensyen Baitulmal Kebangsaan di talian 03-88837400 atau e-mel ke jawhar_mal@jawhar.jpm.my.

Maklumat lanjut mengenai konvensyen ini boleh didapati dengan melayari laman web Jawhar di alamat www.jawhar.gov.my atau menghubungi Pengarah Bahagian Mal, Jawhar, Norhazimah Che Hassan di talian 03-88837444 atau menerusi e-mel: norhazimah@jawhar.jpm.my.

No comments: