Like Blog Ini...

Saturday, December 19, 2009

Kecekalan menjadi bekalan

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID
www.hamizul.com

KECEKALAN adalah ubat kepada penderitaan. Acapkali hidup kita teruji dengan pelbagai cabaran. Ia ibarat gelombang yang menghempas lautan dan di tengah-tengahnya ada kapal yang teroleng-oleng ganas.

Demikianlah gambaran seorang wanita cekal bernama Afidah Sahit, 33. Pada wajah lembutnya terisi ketegaran. Pada lunak tuturnya terisi kesungguhan.

Beliau adalah model ibu tunggal yang tidak tega menyerah kepada nasib tanpa usaha. Justeru pada dirinya tergalas harapan.

Padanya juga bernaung empat insan cilik yang baru mengenal kehidupan iaitu Muhammad Abdul Hadi, 13; Siti Nur Ain, 10, Siti Nur Aisah, 6, dan Siti Nur Sarah, 4..

"Suami saya hanya seorang buruh kasar. Semasa hayatnya, beliau bekerja sebagai buruh kontrak di sebuah syarikat di Pelabuhan Klang. Biar pun gaji beliau tidak besar, namun kami hidup bahagia.

"Saya tidak bekerja kerana mengurus keperluan rumah tangga. Alhamdulillah, keberkatan sentiasa memugari kami sekeluarga," demikian tutur lunaknya memulakan bicara.

Menurut Afidah, tarikh 10 September 2002 masih segar di lipatan memorinya. Suami yang baru kebah dari demam, nampak begitu bersedia meneruskan rutin kehidupan seperti biasa.

"Pagi itu, suami saya masih sempat meriba anak yang ketiga. Beliau baru sahaja menikmati sarapan pagi dan mahu keluar berkerja. Namun, takdir Allah SWT tiada siapa menduga.

"Seusai anak yang diribanya saya ambil, suami saya terus mengadu sakit dan itulah saat terakhir kami berbicara. Tidak lama kemudian, beliau meninggal dunia," kata Afidah.

Demikianlah nilai kehidupan, nafas yang dianugerah Tuhan ini rupanya pada bila-bila masa mampu ditahan dari mengungsi ruang dada.

"Kematian suami begitu mengejut. Hati saya berbaur, antara sedih yang mencengkam dan pilu yang menekan.

"Manakan tidak, ketika itu kandungan saya sendiri sudah mencecah usia matang. Bertambah gusar memikirkan anak-anak yang ditinggalkan," jelas beliau.

Namun, mujurlah menurut Afidah keluarga di sebelah suaminya amat memahami. Merekalah yang banyak memberikan sokongan, menguatkan hati dan meniupkan kekuatan.

Beberapa bulan setelah pemergian suaminya, Afidah banyak dibantu oleh sanak-saudara khususnya ibu mertua.

Bagaimana dengan harta atau wang peninggalan suami?

"Suami saya memang ada sedikit wang simpanan. Namun, wang itu telah habis beliau keluarkan untuk membaiki dan membesarkan rumah kami.

"Kebetulan arwah suami saya agak pandai bertukang, maka beliau membuat sendiri kerja-kerja bertukang. Sebab itulah, kosnya dapat dijimatkan. Namun rumah kami belum pun sempat disempurnakannya saat dia kembali ke rahmatullah," jelas Afidah tenang.

Menurutnya, biar pun dipagut pilu namun dia reda dengan takdir. Dengan sedikit wang sedekah sanak saudara dana tetangga yang menziarahi jenazah suaminya, beliau berdikit-dikit agar tidak keputusan dalam perbelanjaan.

Wang kira-kira RM3,000 itulah juga digunakan semasa beliau menghadapi saat-saat getir melahirkan anak keempat.

"Untuk hidup saya harus berkerja. Allah SWT sendiri tidak suka orang yang malas dan hanya tahu meminta-minta. Namun, perkara yang mudah diucap belum tentu senang dibuat.

Pergerakan terbatas

"Apatah lagi dengan kehadiran anak-anak kecil, pergerakan saya terbatas. Maka, saya selalu memikirkan jalan terbaik dalam mencari rezeki.

"Saya mengidamkan tempat kerja yang membolehkan saya sentiasa dekat dengan anak-anak. Pendek kata, biarlah mereka membesar di hadapan mata.

"Apalah gunanya saya memerah keringat di kilang sedang anak-anak terbiar. Pendapatan pun tidaklah seberapa, sedang masa bersama mereka itulah amat berharga," katanya.

Demikianlah wawasan seorang ibu muda dalam melakar rancangan kehidupannya pada hari muka.

"Setiap saat saya menadah tangan kepada Allah, agar diberi jalan keluar dalam merungkai kemelut kehidupan. Sehingga ke saat ini juga, saya amat berterima kasih kepada guru saya, seorang ustazah yang begitu banyak memberi peringatan dan motivasi.

"Tanpa jemu beliau menyarankan agar saya membina hubungan yang baik dengan Tuhan dan jangan sesekali berprasangka dengan Allah. Ingatlah bahawa Allah tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya, kerana pilihan hidup sentiasa terbuka," jelasnya.

Akhirnya, menurut Afidah beliau telah dibukakan jalan oleh seorang kenalan yang menziarahinya.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Makcik Manisah, Afidah boleh mengajukan masalahnya di pejabat zakat berdekatan. Manalah tahu, ada masalah yang dapat dibantu.

"Pada mulanya saya hanya memohon bantuan persekolahan anak-anak. Tidak terlintas langsungi, rupa-rupanya di Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut disediakan pelbagai jenis bantuan lain.

"Dari situlah saya menyedari, banyak peluang yang boleh saya terokai. Apatah lagi saya memang ada sedikit kemahiran dalam bidang masakan," katanya.

Rupa-rupanya, Afidah merupakan wanita yang bijak merebut peluang. Setelah mendapat tahu LZS (MAIS) turut menyediakan peluang perniagaan kepada asnaf yang berpotensi, beliau terus mendaftar sebagai peserta di bawah Skim Bantuan Modal LZS.

"Saya jujurnya amat-amat berterima kasih kepada LZS. Banyak manfaat yang saya dapati setelah mengikuti kursus-kursus anjuran LZS.

Bukan sekadar kursus kemahiran diri dan kursus untuk menjalankan perniagaan, bahkan yang paling mengesankan ialah kursus-kursus bina insan yang dianjurkan. Terasa kekuatan tumbuh dalam diri dan nasib masih terbela.

"Dari situlah saya mulai yakin dengan keupayaan diri dan mengorak langkah dengan lebih berani," tegasnya.

Berkat bantuan LZS (MAIS), Afidah sekeluarga diberikan peluang kedua untuk membina kehidupan. Bukan sekadar wang saraan bulanan sebanyak RM250, mereka turut diberikan bantuan pendidikan.

Afidah juga memohon bantuan modal dan diberi bantuan RM5,000.

Pada hari ini, Afidah sudah mampu tersenyum lebar. Sementelah Ramadan 2007 mencatatkan satu sejarah manis dalam diari hidupnya sekeluarga.

Alhamdulillah, beliau kini sudah keluar daripada garisan kemiskinan. Bahkan tangannya bakal menjadi saksi di akhirat kelak, justeru zakat buat pertama kalinya telah beliau lunasi.

"Saya amat terharu. Sungguh saya tidak menyangka, kini saya merupakan seorang pembayar zakat pula," katanya.

Nota: Daily Deliveries Chocolate Muffin turut menerima tempahan dan boleh dihubungi di talian 016 - 6736 584.

No comments: