Like Blog Ini...

Wednesday, December 9, 2009

Jangan kacau Mahkamah Syariah

DALAM Islam, ibu atau bapa wajib mempertahankan akidah anak-anak jika berlaku perceraian dengan isteri yang bukan Islam. Namun, pindaan ini jika diluluskan akan memberi kesan kepada hal tersebut. Apa penyelesaiannya?

MOHAMAD ISA: Kesan ini memang ada dan ia tidak boleh dielak. Apabila berlaku konflik antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, maka kita kena cari penyelesaian. Sebab itu, Jabatan Peguam Negara (AG) cari jalan menyelesaikannya. Kali ini dengan cadangan meminda Seksyen 51 (LRA).

Bagaimanapun, pindaan yang dicadangkan itu nampaknya tidak selari dengan hukum syarak. Kedua, ia seolah-olah mengurangkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Bagi menyelesaikan perkara ini, sewajarnya sebarang pindaan undang-undang hendaklah melihat kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di kedudukan istimewa. Di mana Perlembagaan negara meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan mengikut Perkara 3 (1) seperti berikut:

Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.

(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Di samping itu, sebarang pindaan yang dicadangkan juga harus melihat kepada Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan di mana Perkara 12(4) tersebut sendiri ditafsirkan Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini lawan Saravanan @ Mohd Shafi beberapa tahun lalu.

Dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Perkara 12(4) itu hanya memerlukan salah seorang ibu, bapa atau penjaga yang sah sahaja mendaftar keislaman anak kecil di bawah 18 tahun.

Pada masa yang sama Artikel 121 (1A) dalam Perlembagaan menyatakan dengan jelas menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Ini menunjukkan ada pemisahan kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Jika pindaan ini berlaku, mualaf yang telah jelas Islam akan kehilangan hak mempertahankan agama anaknya. Ia tidak lagi mewujudkan keharmonian dalam negara kerana orang Islam adalah majoriti di Malaysia. Sedangkan kewujudan 121 (1A) tidak pernah menghilangkan hak orang bukan Islam.

Apakah implikasi cadangan pembubaran perkahwinan sivil selepas tiga bulan seseorang disah bergelar mualaf?

MOHAMAD ISA: Menurut Jabatan AG, bagi pasangan yang memeluk Islam, pindaan itu secara automatik membatalkan sesuatu perkahwinan dalam tempoh tiga bulan.

Ini dibantah oleh Majlis Peguam. Kata mereka, ini tidak adil pada pasangan yang bukan Islam dan akan mengikat hak pihak yang memeluk Islam.

Dengan pindaan ini, mana-mana pihak sama ada yang mualaf atau yang bukan mualaf boleh memohon pembubaran perkahwinan di mahkamah.

Dalam hal ini, seseorang yang memeluk Islam tidak boleh diberi pilihan untuk meneruskan perkahwinan sivil dengan pasangan yang bukan Islam seperti mana hajat Majlis Peguam.

Perkahwinan terdahulu seorang mualaf dengan pasangan yang bukan Islam adalah terbatal dengan sendirinya mengikut hukum Islam.

Sebab itu jika pandangan Majlis Peguam diterima, ia dengan sendirinya meletakkan perkahwinan mualaf yang terdahulu dalam keadaan tidak ada sebarang kesudahan. Jadi apa gunanya perkahwinan itu diteruskan lagi dalam keadaan tergantung?

Mualaf itu tidak boleh memilih meneruskan perkahwinan yang terdahulu kerana ia bertentangan dengan hukum. Maka perkahwinan terdahulu mesti ditamatkan.

Sebenarnya, peruntukan itu adalah selari dengan hukum syarak. Di mana selepas seseorang itu memeluk Islam, dia hendaklah berusaha mengajak pasangannya berbuat yang sama dalam tempoh idah (tiga bulan). Jika pasangannya enggan, maka perkahwinan itu akan terbatal.

Namun, bagi membatalkan perkahwinan ini telah ada peruntukan dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, sebagai contoh, di mana pembatalan tersebut dibuat oleh pihak yang memeluk Islam dengan disahkan oleh Mahkamah Syariah.

Dengan kata lain, tidak perlu kes begini dibawa ke Mahkamah Sivil sebab Mahkamah Syariah pun sudah ada peruntukan tersebut.

Bantahan oleh Majlis Peguam tersebut menunjukkan pertubuhan itu tidak berapa jelas dengan undang-undang Islam.

Beberapa pindaan yang dicadangkan nampaknya memberi kesan langsung kepada umat Islam di Malaysia. Adakah ini mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan?

MOHAMAD ISA: Secara tidak langsung ia mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Perlembagaan dengan jelas memberi hak keistimewaan agama Islam.

Kedudukan Islam dijelaskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Mohd Noor Abdullah dalam penghakiman beliau dalam kes Meor Atiqulrahman Ishak lawan Fatimah Sihi dan kemudiannya kes ini telah diputuskan di Mahkamah Persekutuan.

Dalam penghakimannya beliau menyatakan: "Peruntukan Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai".

Bermakna Islam adalah agama utama di antara agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran.

Maknanya, kerajaan bertanggungjawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti yang termampu dilakukan kerajaan sekarang.

Oleh itu, undang-undang syariah perlu didaulatkan termasuk kepada orang mualaf kerana undang-undang diri bagi mereka adalah undang-undang syariah.

Dalam banyak aspek, seolah-olah bab Mahkamah Syariah pun hendak ditentukan oleh orang bukan Islam. Adakah ini disebabkan kita terlalu lembut sehingga gagal mempertahankan undang-undang syariah?

MOHAMAD ISA: Memang jelas, di dalam keadaan tertentu kita terlalu toleransi dengan orang lain. Hinggakan bab akidah dan yang telah jelas termaktub di dalam perundangan syariah serta perkara yang telah jelas termaktub di dalam Perlembagaan berkaitan agama Islam pun hendak kita bertolak-ansur.

Ini menunjukkan seolah-olah kita tidak berani mempertahankan undang-undang yang sedia ada. Itu belum cerita bab nak buat hukum hudud dan lain-lain.

Persoalannya, mengapa kita harus tunduk kepada desakan bukan Islam untuk nafikan kedudukan kuasa Mahkamah Syariah?

Kita selalu sebut Islam itu syumul atau sempurna tetapi kenapa kita tidak jemput orang bukan Islam mendengar penjelasan tentang undang-undang syariah?

Sistem kehakiman Islam menekankan keadilan yang tinggi dan tidak membenarkan ia digunakan dalam keadaan yang boleh menimbulkan kezaliman. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (al-Maidah: 42).

Masalahnya, ada di kalangan umat Islam sendiri yang tidak yakin dan tidak menghormati Mahkamah Syariah. Sebab itu, kerap berlaku, masyarakat tidak mengambil berat perintah Mahkamah Syariah terutama dalam kes membabitkan perintah nafkah isteri, nafkah anak, idah dan perintah lain.

Sepatutnya, umat Islam berusaha memartabatkan undang-undang syariah kerana ia berasaskan keadilan di bawah neraca Allah. Islam melarang umatnya mengambil hak orang lain dengan jalan batil. Ini ditegaskan menerusi firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188.

Sesuatu pindaan undang-undang itu biasa dibuat berdasarkan keadaan semasa. Tetapi dalam Islam, bukan semua undang-undang boleh dipinda. Apakah batas-batasnya?

MOHAMAD ISA: Sumber utama hukum Islam adalah al-Quran, sunnah, ijmak ulama dan qias. Kita tidak boleh melangkaui lebih daripada itu. Undang-undang tidak boleh dibuat hanya atas prinsip untuk maslahah melainkan tidak ada dalil qatie (jelas) tentangnya.

Contohnya, mengikut undang-undang Islam penentuan agama bagi anak yang berusia di bawah 18 tahun akibat perceraian adalah mengikut ibu atau bapanya yang beragama Islam.

Hal ini turut dijelaskan dalam hadis Nabi SAW.

No comments: