Like Blog Ini...

Saturday, December 19, 2009

Larangan sembunyi harta perang

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menganjurkan agar berjihad dan menyatakan penderitaan yang ditanggung oleh orang yang berjihad pada jalan-Nya, lalu disusuli pula dengan keterangan mengenai hukum jihad.

Antara hukum berjihad pada jalan-Nya ialah larangan menyembunyikan harta rampasan perang.

Iktibar dan fiqh ayat ke-161:

i. Ibn Kathir berkata: Yang demikian itu merupakan penyucian terhadap diri Nabi SAW daripada pelbagai bentuk pengkhianatan dalam menjalankan amanat, pembahagian harta rampasan dan sebagainya.

ii. Al-Qurtubi berkata: Datang dalam keadaan terikat merupakan kehinaan yang Allah azabkan kepada pembohong dan penipu dan Allah menjadikan balasan ini setimpal dengan apa yang dilakukannya di dunia.

iii. Al-Maraghi berkata: Sepanjang tempoh sejarah kenabian, tidak pernah ada seorang nabi yang melakukan perbuatan khianat dengan menyembunyikan harta rampasan perang.

Ini kerana Allah SWT telah memelihara para nabi-Nya daripada berbuat demikian. Sememangnya ia tidak layak dilakukan oleh para nabi yang mempunyai darjat kenabian atau dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Lagipun darjat kenabian dianggap sebagai taraf yang tertinggi.

Oleh itu, mereka yang mendapat kedudukan tersebut tidak akan sanggup melakukan tindakan yang bersifat merendahkan diri dan tercela.

iv. Hamka berkata: Dalam ayat ini terdapat kalimah yaghulla atau yaghlul, yang kita terjemahkan ke dalam bahasa Melayu bermaksud curang.

Ia bermaksud seseorang mengambil barang sesuatu lalu memasukkan secara sembunyi ke dalam kumpulan barang-barangnya yang lan. Kemudian dipakailah kalimah ini untuk orang yang mendapat harta rampasan perang (ghanimah), lalu sebelum barang itu dibahagi dengan adil oleh ketua perang, terlebih dahulu disembunyikannya ke dalam penaruhannya, sehingga barang tersebut tidak termasuk dalam pembahagian. Maka samalah barang itu dengan mencuri.

Iktibar dan fiqh ayat ke-162:

i. Ibn Kathir berkata: Tidak ada kesaksamaan antara orang yang mengikuti keredaan Allah SWT dengan menerapkan syariat-Nya sehingga demikian itu ia berhak mendapatkan keredaan dan pahala-Nya yang besar.

Ini berbeza dengan orang yang berhak mendapatkan murka Allah, yang sudah menjadi kepastian baginya serta tidak dapat dipalingkan darinya. Pada hari kiamat kelak tempatnya adalah neraka jahanam sebagai tempat kembali yang paling buruk.

ii. Al-Maraghi berkata: Adakah mereka yang bertawakal dan mentaati Allah SWT untuk mendapatkan keredaan-Nya serta tidak menggelapkan harta rampasan perang atau melakukan dosa-dosa lain balasannya sama dengan mereka yang melakukan perbuatan yang dimurkai Allah SWT, melakukan sesuatu yang mendatangkan kekotoran pada jiwanya seperti mencuri, khianat, merampas, membunuh, tidak melakukan perbuatan baik dan amalan soleh?

iii. Hamka berkata: Apakah orang yang jujur, taat, menyerah kepada pemimpin berapa patut diberi atau dibahagi harta rampasan kerana di turut berperang semata-mata kerana mengharapkan reda Allah SWT sama dengan orang yang pulang dengan murka Allah SWT kerana mencuri, curang dan menggelapkan harta rampasan perang?

Orang yang curang ini laksana perosak. Di dunia dia dikutuk dan di akhirat kelak, neraka adalah tempatnya.

iv. Al-Sonhaji berkata: Allah menjelaskan, setiap amalan itu ada upahnya dan upah orang yang taat tentu sekali tidak serupa dengan upah orang yang jahat atau derhaka.

Iktibar dan fiqh ayat ke-163

i. Al-Qurtubi berkata: Siapa yang tidak terikat dia mendapat darjat yang tinggi dalam syurga dan siapa yang diikat mendapat balasan dalam neraka.

ii. Al-Hasan al-Basri dan Muhammad bin Ishaq berkata: Iaitu orang-orang yag berbuat kebaikan dan orang-orang yang berbuat kejahatan itu bertingkat-tingkat.

iii. Abu Ubaidah dan Kisa'ie berkata: Iaitu mempunyai tingkatan yang berbeza-beza sama ada di syurga mahupun di neraka.

iv. Al-Maraghi berkata: Golongan yang taat dalam usaha mencari keredaan Allah SWT dan golongan yang derhaka kepada Allah masing-masing mempunyai darjat dan kedudukan berbeza-beza, begitu juga dengan pelaksanaan hukumannya.

Perbezaan darjat antara satu sama lain sudah ditetapkan oleh Allah SWT yang pernah diminta oleh Nabi SAW menjelang ajal baginda dengan dirasakan penderitaan yang paling berat sewaktu dalam tempoh nyawa dicabut.

Perbezaan darjat ini mempunyai pengaruh terhadap tabiat manusia. Ini kerana setiap perbuatan baik akan mengangkat martabat manusia, begitu juga sebaliknya.

Iktibar dan fiqh ayat ke-164:

i. Ibn Kathir berkata: Ini adalah kurnia yang paling besar, di mana rasul yang diutuskan kepada mereka itu adalah dari kalangan mereka sendiri, sehingga mereka akan dapat berkomunikasi dan menjadikannya tempat rujukan dalam memahami firman-firman-Nya.

ii. Al-Maraghi berkata: Allah SWT menyebutkan sifat-sifat Rasulullah SAW yang menggambarkan keluhuran budi baginda:

l Baginda datang daripada kalangan mereka iaitu berbangsa Arab.

l Baginda membacakan kepada mereka beberapa ayat Allah SWT yang menyentuh mengenai kekuasaan, keesaan dan ilmu-Nya. Baginda membimbing manusia ke arah jalan yang benar dan mendapat keredaan di sisi Allah SWT.

l Baginda membersihkan mereka dari segala akidah yang sesat dan kekotoran penyembahan berhala. Ini kerana bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain memiliki akhlak, akidah, dan budaya yang sesat sebelum kedatangan Islam.

l Baginda mengajarkan al-Quran dan al-hikmah kepada mereka.

Pengajaran al-Quran bererti menyatakan pengajaran pengetahuan syariat secara formal. Mengajar hikmah bererti menyatakan pengajaran untuk memahami rahsia, sebab dan faedah syariat.

iii. Hamka berkata: Allah SWT telah memberikan kurniaan yang tinggi kepada mereka itu. Mereka yang mula-mula didatangi itu adalah bangsa Arab dan rasul yang dibangkitkan itu adalah antara mereka sendiri, orang Arab juga, keluarga mereka yang terdekat.

Bahkan dari mereka sendiri memakai bahasa mereka sendiri yang dapat mereka fahami. Diajarkan kepada mereka kitab, iaitu menulis dan membaca. Ayat yang mulai turun di Gua Hira' adalah menyuruh membaca dan menggunakan pena.

Ini kerana peredaran zaman dari purbakala sehingga sekarang, menulis dan membaca adalah pengikat dan pencatat pelbagai ilmu.

iv. Quraish Shihab berkata: Setelah selesai tumpuan yang lalu dan jelas juga melalui peristiwa Uhud betapa berharga bimbingan Nabi Muhammad SAW.

Ayat ini mengingatkan mereka, bahkan seluruh manusia betapa besarnya anugerah Allah SWT, yang antara lain telah memberi kurnia kepada mukmin.

Ini apabila Allah SWT mengutus di antara mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri. Seorang manusia yang terkenal dengan kejujuran dan amanahnya, kecerdasan kemuliaan sebelum kenabian yang berfungsi terus-menerus membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah SWT.

Ayat ini juga dapat dihubungkan dengan ayat lalu di mana Allah SWT telah menyucikan nabi-Nya dari segala jenis pengkhianatan, maka dalam ayat ini menetapkan buat beliau aneka kemuliaan dan keutamaan beliau.

No comments: