Like Blog Ini...

Saturday, December 19, 2009

Hamas terus berjihad

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Salah seorang anggota Hamas memikul replika pelancar roket bagi menunjukkan kekuatan pasukan itu.

WALAUPUN menghadapi pelbagai tentangan dan cabaran namun perjuangan gerakan Hamas atau nama penuhnya Harakat al-Muqawama al-Islamiya (Gerakan Pembela Islam) tidak pernah luntur.

Sebaliknya pada Isnin lalu, pemimpin utama yang juga Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniya menyatakan komitmen di hadapan ribuan penyokong gerakan itu bahawa, ‘‘Kami tidak akan menyerahkan Palestin dari sungai hinggalah ke laut.’’

Ismail melontarkan laungan amaran itu, ketika hadir pada ulang tahun ke-22 pembentukan Hamas. Kenyataan itu juga sekaligus membuktikan bahawa Hamas biarpun menghadapi pelbagai tekanan tidak pernah undur walaupun setapak daripada membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman pencerobohan rejim Israel.

‘‘Tidak cukup bagi Hamas untuk membebaskan Gaza, mahupun mendirikan pemerintahan di Gaza, mahupun negara, mahupun entiti merdeka ... Hamas berjuang untuk membebaskan seluruh Palestin,’’ kata Ismail lagi.

Ternyata sekali semangat jihad yang dicetuskan oleh pengasas Hamas, Allahyarham Ahmed Yassin sentiasa menyala di lubuk sanubari setiap pemimpin dan rakyat Palestin yang menyokong gerakan tersebut.

Atas sebab itulah, ketika berlangsung sambutan berkenaan ribuan mereka membawa gambar Ahmed Yassin, ulama berkerusi roda yang terbunuh dalam serangan kejam oleh Israel pada tahun 2004.

‘‘Dalam 22 tahun sejak pembentukannya, Hamas telah dapat merealisasikan sebahagian besar tujuannya dan mengatasi setiap rintangan yang dihadapi, dari penjara, pengasingan, pembunuhan dan pilihan raya.

‘‘Pengetahuan kami mengenai perlawanan itu adalah total, dan tidak terbatas pada konflik bersenjata,’’ kata pemimpin kanan Hamas Mahmud Zahar.

Sementara itu, jurucakap sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qqassam, yang bertanggungjawab ke atas beberapa serangan maut dan bom berani mati di Israel, Abu Obeida, memuji evolusi kelompok itu.

‘‘Kita telah dapat membangun ketenteraan untuk melawan dan menghantui Zionis. Briged Qassam telah mencipta senjata dengan tangan kosong dan ia termasuklah membuat roket yang sehingga kini amat menakutkan Israel,’’ katanya.

Hamas juga menggunakan ulang tahun itu untuk membuat kenyataan terbuka yang jarang dilakukan mengenai perbincangan yang diketuai oleh Jerman berhubung pertukaran tawanan untuk seorang tentera Israel yang ditahan di Gaza selama lebih dari tiga tahun. Hamas menegaskan, anggota tentera itu tidak akan dibebaskan tanpa perjanjian.

‘‘Tentera Zionis itu tidak akan melihat cahaya kecuali membebaskan anggota Hamas yang berada dalam tahanan Israel,” katanya.

Dalam beberapa minggu ini, Israel dan Hamas dilihat hampir mencapai perjanjian untuk membebaskan Gillard Shalit sebagai pertukaran bagi ratusan tawanan Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Ditubuhkan pada 1987 tidak lama setelah permulaan intifadah pertama terhadap pendudukan Israel di Tebing Barat dan Semenanjung, penubuhan Hamas diilhamkan oleh Ikhwanul Muslimin Mesir.

Dari semasa ke semasa, perjuangan Hamas sentiasa mendapat sokongan rakyat Palestin, malah pada suatu ketika Hamas dilihat lebih berani berbanding ‘pesaingnya’ Fatah yang diketuai oleh Mahmoud Abbas yang kini menjadi Presiden Palestin.

Fatah adalah sebuah lagi gerakan di Palestin tetapi ia dilihat lebih cenderung disokong oleh negara-negara barat. Berikutan pengaruhnya yang semakin meluas, Hamas memperolehi undi paling banyak pada pilihan raya Palestin pada tahun 2006.

Hamas sejak itu memperkukuhkan cengkamannya ke atas wilayah Gaza walaupun ada sekatan yang cukup keras oleh Israel yang diterapkan setelah pengambilalihan itu.

Namun begitu, Hamas tidak pernah menjadi sebuah gerakan yang lemah, dari semasa ke semasa ada sahaja serangan yang dilakukan bagi mengusir Israel daripada bumi Palestin.

Hamas memahami mereka harus berjuang secara bersendirian kerana tidak banyak negara yang mahu menyokong gerakan tersebut.

Agresif

Sebab itulah, Ismail Haniya menggesa supaya semangat jihad terus dinyalakan di kalangan setiap anggota dan penyokong Hamas. Ia kerana melalui langkah itu sahaja matlamat mereka untuk memerdekakan Palestin akan tercapai.

Bagaimanapun sikap agresif Hamas termasuklah enggan bekerjasama erat dengan Fatah dilihat hanya akan menguntungkan Israel. Selagi kedua-dua gerakan itu tidak bersatu, maka selagi itulah Palestin akan terus berada dalam keadaan huru-hara.

Apa yang malangnya, pertelingkahan antara kedua-dua gerakan tersebut menyumbangkan kepada tindakan lebih ganas Israel yang menyebabkan ribuan rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Bagaimanapun perjuangan Hamas diteruskan kerana Palestin tetap memerlukan sebuah gerakan seperti itu bagi menentang kezaliman Israel yang tidak pernah mempedulikan apa juga kata masyarakat dunia kepada mereka.

Apa pun, ulang tahun ke-22 Hamas dan dengan kehadiran lautan manusia pada majlis sambutannya sudah membuktikan hakikat bahawa selagi Hamas wujud selagi itulah Israel bukan sahaja tidak mampu lena malah akan menerima pembalasan terhadap kekejaman yang mereka lakukan kepada rakyat Palestin.

No comments: