Like Blog Ini...

Friday, December 4, 2009

Kau Di Hatiku 2 mendekatkan hati dua generasi

Oleh MOHD. ROSLAN MD. ISA

BERHIBUR sambil beramal adalah antara teras utama ahli Komuniti Teman Inteam (KTI) menganjurkan program amal bersama masyarakat. Mereka menggunakan kuasa kerjasama antara mereka yang terdiri daripada pelbagai umur, pendidikan dan kawasan bergabung memeriahkan majlis itu.

Program Kau Di Hatiku 2 yang dijalankan di rumah anak yatim Baitu Saidati Khadijah, Gombak, Selangor baru-baru ini memaparkan ukhuwah rasa tanggungjawab mereka pada khalayak.

Program sehari itu dihadiri oleh 20 orang ahli KTI dan 30 orang anak-anak yatim di situ.

Majlis itu diceriakan lagi dengan kehadiran kumpulan Inteam bagi berkongsi ilmu, pengalaman kepada anak-anak yatim itu dan diselangselikan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan Inteam.

Ahli kelab KTI terdiri daripada pelajar universiti yang begitu komited dan mesra bersama anak yatim. Mereka bersemangat menganjurkan aktiviti bersama anak yatim. Menariknya, anak yatim dan KTI begitu mesra dan mudah bergurau senda. Paling memanfaatkan apabila mereka dapat bersama dengan kumpulan Inteam bagi memberi nasihat menggunakan medium nasyid.

Antara aktiviti yang dianjurkan adalah sesi taaruf, permainan 'kelopak-jantung' dan 'bom-bom' serta 'bola beracun'. Persembahan istimewa daripada anak-anak yatim menyerlahkan bakat mereka dan suasana begitu ceria apabila mereka mendapat sokongan ahli KTI.

Anak-anak yatim turut menyampaikan dua lagu iaitu, Syurga Mu daripada kumpulan Ungu dan Keluarga Bahagia daripada Saujana. Ahli KTI yang juga terdiri daripada peminat nasyid juga turut menyampaikan nasyid dendangan Inteam.

Di samping itu, KTI menjalankan aktiviti-aktiviti peningkatan minda dan sahsiah diri melalui program motivasi, aktiviti kesenian dan kebudayaan Islam, riadah dan rekreasi, dan pelbagai aktiviti yang menarik dan berfaedah.

Program-program ini diharap dapat menjadi platform dakwah kepada ahli untuk menyalurkan tenaga, masa dan idea untuk kebaikan sejagat. Layari www.inteam..com.my bagi menyertai komuniti itu.

No comments: