Like Blog Ini...

Saturday, December 19, 2009

Petua bina ‘syurga’ dunia dan akhirat

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Sudah pastinya, doa di atas ini sentiasa meniti di bibir kita, lebih-lebih lagi seusai solat fardu mahupun sunat. Sesungguhnya rumah tangga yang menjadi impian dan harapan setiap daripada kita ialah rumah tangga yang di dalamnya bersemarak suasana sakinah (ketenangan), mawaddah dan rahmah.

Malah setiap pasangan yang akan, sedang dan sudah mendirikan rumah tangga tentunya mendambakan sebuah institusi perkahwinan yang dibina dengan disirami kasih sayang yang berpanjangan, harmoni dan sejahtera yang tiada tepian.

Pun pada masa yang sama, kita terpaksa berusaha mengemudi bahtera perkahwinan itu agar tidak musnah, waima dilanda ombak dan badai dalam kehidupan.

Ini kerana, kejayaan mengharungi pahit manis alam rumah tangga akan menjadikan suami isteri itu bertambah matang, sekali gus lebih menghargai pasangan hidup masing-masing serta mendapat reda Allah SWT.

Lantaran itu, terpulang kepada suami isteri itu sendiri bagaimana untuk mencorakkan rumah tangga mereka agar selaras dengan konsep rumahku syurgaku atau baiti jannati.

Apatah lagi, apabila dikurniakan cahaya mata. Amanah Allah untuk membesar, memelihara dan mendidik anak-anak turut terpikul di bahu ibu dan bapa.

Pokok pangkalnya, perlu ada ilmu, kemahiran dan aspek paling penting ialah pegangan agama yang kukuh. Barulah hubungan suami isteri itu bukan sekadar hubungan untuk memudahkan naluri manusia, hubungan tubuh atau sebagai wahana untuk melahirkan keturunan. Hakikat sebenarnya adalah hubungan atau ikatan yang wujud atas dasar cinta, kasih sayang, kesenangan dan ketenangan.

Ini ditegaskan oleh Allah SWT dengan firman-Nya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan jadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (al-Rum: 21)

Bahawasanya, cinta suami isteri adalah jauh lebih mulia berbanding di antara cinta sepasang kekasih. Ini kerana perkahwinan adalah satu ikatan yang terlalu suci dan menjadi landasan terbaik untuk menjalin kasih sayang antara lelaki dan wanita yang halal berkahwin.

Melihat kepada betapa pentingnya peranan suami dan isteri dalam memperoleh syurga dunia ini, maka Telaga Biru Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menerbitkan buku yang berjudul, 10 Terminal Syurga Rumah Tangga.

Buku hasil nukilan penceramah terkemuka dan tidak perlu diperkenalkan lagi khasnya di Malaysia, Singapura dan Brunei iaitu Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood serta gandingan seorang guru, Siti Nur Fatimah Hasan mengandungi petua-petua juga ilustrasi menarik.

Ia dapat memberi suntikan baru serta motivasi diri dalam meneliti dan mencorak rumah tangga supaya berkekalan bukan sahaja di dunia tetapi teramat manis, jika mampu melayari ke alam syurga yang abadi.

Semoga buku dengan teks dalam bentuk yang mudah dan menarik, nota ringkas, mengandungi rujukan daripada al-Quran, hadis sahih dan disulami kisah-kisah serta fakta-fakta menarik ini menjadi santapan kepada gandingan suami isteri untuk membetulkan diri mencari jawapan yang pasti terhadap tanggungjawab dan amanah yang perlu mereka laksanakan sebaik mungkin sebagai wadah yang paling dominan dalam membina baiti jannati. Insya-Allah.

No comments: