Like Blog Ini...

Wednesday, December 1, 2010

Bengkel latihan saudara Muslim

DAKWAH adalah ungkapan yang mudah disebut tetapi sukar dilaksanakan. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan usaha dakwah kepada golongan bukan Islam daripada pelbagai kaum yang ada di negara kita.

Justeru, Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan bengkel bagi melahirkan pendakwah profesional di kalangan saudara baru.

Bengkel Training of Trainers (TOT) itu diadakan selama tiga hari di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi mulai 26 November 2010.

Ia disertai oleh seramai 31 peserta yang mewakili lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antaranya, Pertubuhan Kebangsaan Islam Malaysia (Perkim), Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Persatuan Tionghua Muslim Melaka (PERTIM), Pertubuhan Ansarul Islam Malaysia (AL-ANSAR) dan Persatuan Darul Saadah.

Antara fokus utama TOT kali ini adalah penumpuan kepada pemahaman dan pelaksanaan Sistem dan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Saudara Muslim (SMPPSM).

Selain itu, peserta turut mendalami kaedah-kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang bersesuaian agar meningkatkan keberkesanan pendidikan kepada golongan sasaran.

Antara penceramah yang menjayakan bengkel ialah pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Abdul Ghafar Don dan Anuar Puteh, Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Fardilah Mustaffa dan wakil Perkim, Amran Ambarassu Abdullah.

Perasmian penutupannya dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, Abdul Halid Sintol.

No comments: