Like Blog Ini...

Wednesday, December 1, 2010

Wajib jaga kesihatan

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Rasulullah SAW bersabda: "Mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah". (riwayat an-Nasa'ie)

Hadis di atas membuktikan bahawa Islam mementingkan umatnya yang sihat dan kuat. Sebabnya, badan yang sihat bukan sahaja membolehkan kita melaksanakan pelbagai ibadat khusus tetapi ia juga mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti bekerja.

Justeru, kita wajib menjaga kesihatan kerana tanpanya nikmat hidup akan berkurang. Ia juga bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan. (al-Baqarah: 195)

Menyedari hal ini, Persatuan Penduduk Saujana Utama 1 (Sutra1), Sungai Buloh, Selangor dengan kerjasama Masjid An-Nur mengambil inisiatif menganjurkan 'Hari Sihat', November lalu.

Program seawal pukul 7 pagi itu dimulakan dengan acara senamrobik yang disertai oleh kira-kira 40 peserta.

Selepas membakar kalori selama hampir sejam, diadakan pula sesi taklimat mencegah denggi oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Daerah Kuala Selangor, Nik Azmi Nik Muhamad.

Turut diadakan adalah kempen derma darah dengan kerjasama Tabung Darah Negara yang menyediakan sembilan kakitangan termasuk seorang doktor.

Seramai 33 penduduk menderma darah pada kempen yang berlangsung daripada pukul 10 pagi hingga 3 petang itu.

Kaunter pemeriksaan tahap kandungan gula yang disediakan oleh syarikat Green Farmasi turut menjadi tumpuan penduduk.

Ia menunjukkan bahawa masyarakat kini semakin peka tentang tahap kesihatan masing-masing dan mahu mengambil langkah awal mengesan dan mencegah penyakit.

Setiausaha Sutra1, Wan Ismail Hashim berkata, program itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk tentang pentingnya penjagaan kesihatan.

Katanya, ini kerana kesihatan amat mahal nilainya dan tidak boleh dibeli atau diganti dengan wang ringgit.

"Pada masa yang sama, program begini dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama penduduk di taman ini yang dibuka 10 tahun lalu," katanya.

Bagi memeriahkan acara, turut diadakan pertandingan melukis berkaitan 'Hari Sihat'. Acara itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Pertandingan diadili oleh pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Prof. Dr. Muliyadi Mahamood.

Kepada ibu bapa, diadakan teka silang kata berkaitan kesihatan di mana para pemenang mendapat hadiah hamper yang disediakan oleh penganjur.

No comments: