Like Blog Ini...

Wednesday, December 1, 2010

Warsy Perawi kedua Imam Nafie'

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

SABAN tahun Malaysia menganjurkan majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa. Banyak negara Islam yang menghantar wakil sebagai peserta sama ada yang serantau dengan negara kita seperti Indonesia, Brunei atau negara dari benua afrika seperti Algeria, Mauritania, Morocco dan lain-lain.

Menariknya, apabila peserta dari benua Afrika diundang mempersembahkan bacaan al-Quran mereka akan membacanya mengikut riwayat yang diamalkan di negara mereka.

Kebanyakan negara di utara benua Afrika seperti Morocco, Algeria, Mauritania membaca al-Quran mengikut riwayat Warsy dari Imam Nafie'.

Warsy adalah satu gelaran yang diberikan oleh gurunya Imam Nafie'. Nama sebenar Warsy ialah Uthman Ibn Said al-Qibti al-Misri.

Kalimah warsy mempunyai dua makna, pertama terlalu putih. Ia diberikan kepada warsy kerana tubuhnya yang sangat putih. Kedua, ringan pergerakan atau aktif.

Warsy sangat aktif dan Imam Nafie' selalu bertanya di manakah Warsy? Mari ke sini Warsy dan lain-lain.

Warsy lahir pada tahun 110 hijrah di Mesir dan meninggal pada tahun 197 hijrah. Pada tahun 155 hijrah, Warsy bermusafir ke Madinah al-Munawarah untuk menuntut ilmu Qiraat.

Ketika itu, tokoh al-Quran yang masyhur di Madinah ialah Imam Nafie'.

Imam Syafie pernah menyatakan untuk menuntut ilmu dan memperolehinya mesti ada enam syarat iaitu cerdik, berkehendak, bersungguh-sungguh, bekalan, melazimi guru dan tempoh yang panjang.

Ciri pertama iaitu cerdik adalah syarat utama. Dan syarat ini wujud pada Imam Warsy. Beliau telah membaca al-Quran sebanyak empat kali khatam sahaja di hadapan gurunya Imam Nafie'.

Ada juga ulama yang menyatakan tempoh empat kali khatam di hadapan Imam Nafie' berlangsung hanya selama sebulan.

Ciri bacaan Warsy adalah membaca dengan enam harakat pada kebanyakan mad seperti mad wajib muttasil dan mad jaiz munfasil.

Mad wajib muttasil berlaku apabila huruf mad iaitu alif, wau yang sebelumnya berbaris hadapan dan ya yang sebelumnya berbaris d bawah berada bersama dengan huruf hamzah dalam satu kalimah seperti

Dan jika huruf mad dan huruf hamzah berpisah dalam dua kalimah seperti

Ia dipanggil mad jaiz munfasil. Kedua-dua mad ini Warsy membaca dengan kadar enam harakat.

Selain itu kalimah yang mempunyai huruf ya seperti warsy membacanya dengan taqlil. Kaedah bacaan taqlil ini tidak wujud dalam bacaan Hafs. Justeru untuk menyebutnya dengan tepat perlu kepada talaqqi atau mempelajarinya dari guru.

Di Terengganu, Maahad Tahfiz al-Quran yang sekarang dikenali Institut Quran Terengganu menganjurkan kelas pengajaran Qiraat Imam Nafie' melalui dua perawinya Warsy dan Qalun.

Kelas Qiraat tersebut yang terbuka kepada golongan dewasa mendapat sambutan orang ramai sejak ia mula diwujudkan pada tahun 1996 hingga ke hari ini.

Pada peringkat permulaan, penulis pernah menjadi tenaga pengajar untuk kelas tersebut. Alhamdulillah, dengan wujudnya kelas pengajian Qiraat di kebanyakan tempat pada hari ini sama ada dari pihak berwajib atau persendirian dapat memenuhi keperluan fardu kifayah.

No comments: