Like Blog Ini...

Tuesday, December 21, 2010

Kem Ibadah Masjid Negara

SELAGI belum berlabuh tirai 2010, selagi itulah rancak kedengaran promosi penganjuran pelbagai program perkhemahan serta tidak terkecuali bermacam-macam reaksi positif kanak-kanak yang berpeluang mengikuti kem-kem sempena musim cuti sekolah tahun ini.

Menariknya, penganjuran kem-kem seumpama ini yang membawa bermacam-macam konsep dan pendekatan, semuanya bertujuan memastikan golongan sasaran mereka melakukan penghijrahan diri ke arah yang lebih baik. Jika tidakpun, sekurang-kurangnya berjaya memenuhi cuti persekolahan secara berhemah.

Masjid Negara juga adalah antara institusi yang aktif menganjurkan kem-kem perkhemahan, acap kali bila tibanya cuti sekolah.

Pada cuti panjang persekolahan baru-baru ini, Masjid Negara menganjurkan Kem Ibadah Kanak-Kanak.

Program tiga hari itu berlangsung pada 10 hingga 12 Disember di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Seramai 98 peserta dari sekitar Lembah Klang termasuk dari Sabah menyertai program tahunan ini.

Tujuan kem itu diadakan ialah untuk memberi peluang dan ruang kepada ibu bapa mengisi musim cuti sekolah anak-anak mereka dengan aktiviti berbentuk kerohanian.

Objektif yang lain ialah memberi didikan dan kesedaran peserta tentang tanggungjawab mereka terhadap agama dan kedua ibu bapa.

Pengisian Kem Ibadah pada kali ini lebih kepada Latihan Dalam Kumpulan (LDK) atau permainan yang mampu memberi mesej dan kesan yang lebih mendalam berbanding dengan pengisian yang berbentuk ceramah.

Uniknya, pada penganjuran kali ini, para peserta ditempatkan dalam khemah-khemah bagi menimbulkan rasa seronok dan kelainan berbanding dengan kem-kem yang dianjurkan sebelum ini.

Malah sepanjang program, ia dikendalikan oleh penceramah dan fasilitator-fasilitator daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri termasuklah dari Pusat Pemantapan Akidah Jelebu, Negeri Sembilan, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan Bahagian Kemajuan Islam.

Majlis penutup disempurnakan oleh wakil Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Amru Al-Haz Adnan.

No comments: