Like Blog Ini...

Friday, December 17, 2010

Motivasi remaja dengan Al-Quran

Oleh ZUARIDA MOHYIN

APABILA tiba musim cuti sekolah, banyak kem cuti sekolah yang ditawarkan. Apatah lagi ia dipromosikan dengan pelbagai pendekatan dan nama.

Ada yang memfokus kem ibadah, kem motivasi, kem tarbiah dan tidak kurang juga kem-kem tahsin. Kesemuanya boleh dikatakan bermatlamat mengisi ruang waktu cuti persekolahan dengan aktiviti bermanfaat.

Lumrahnya, rata-rata ibu bapa yang beragama Islam suka menjurus dengan mendaftarkan anak-anak mereka ke kem-kem yang berunsur keagamaan.

Pun begitu, sejauh manakah keberkesanan kem-kem tersebut kepada individu selepas menghadiri kem-kem berkenaan?

Segelintir kanak-kanak ini berjaya berubah daripada baik kepada lebih baik. Malahan ibu bapa yang pernah menghantar anak-anak mereka ke kem-kem cuti sekolah, memberikan reaksi positif. Tidak kurang juga yang tiada perubahan dan sedikit sangat yang menjadi semakin teruk.

Ramai pesertanya yang pernah mengikuti program ini mengakui asalnya mereka mengikuti program Motivasi al-Quran ala Madrasah anjuran Tahsin Al-Quran Training Centre (TQTC) ia diiringi dengan perasaan yang berat kerana tempoh programnya yang panjang serta tidak kurang juga yang pergi sekadar mengikut arahan ibu bapa masing-masing.

Namun, selepas 14 hari berjauhan dengan keluarga serta tinggal di kawasan terpencil, perasaan 'terpaksa' telah bertukar menjadi seronok, bersyukur dan ia dianggap pembuka peluang menimba suatu pengalaman yang lain daripada lain. Malah tidak kurang juga, ada di antara mereka telah dan sanggup menyertainya untuk beberapa kali.

Di samping itu juga, pengasas program ini yang juga selaku Pengarah Urusan TQTC, Mohd. Nasir Rustam al-hafiz berkata, perkhemahan itu sebenarnya memberi peluang para peserta yang terdiri daripada golongan remaja untuk meningkatkan kemahiran dalam pembacaan al-Quran dan mempelajari perkara-perkara lain berkaitan pembinaan sahsiah peribadi Muslim.

"Kita perlu menjadikan al-Quran sebagai cara hidup. Isikan hati-hati mereka dengan ayat-ayat suci al-Quran sebelum melangkah lebih jauh lagi. Sebab itulah, modul latihan yang dianjurkan menekankan matlamat untuk melahirkan anak yang menjadikan al-Quran sebagai budaya hidup, di samping menerapkan nilai-nilai murni di dalam kehidupan seharian mereka.

"Anak-anak yang dididik dengan nilai-nilai agama lebih mudah menerima pendidikan akademik kerana hati mereka yang sudah dibersihkan," kata Mohd. Nasir yang memiliki cita-cita yang sama bersama isteri tercinta, Asni Mansor Al-Hafizah iaitu mengelakkan remaja terlibat dengan gejala tidak sihat pada peringkat awal pengwujudan program ini, kira-kira 10 tahun yang lalu.

Dengan keyakinan dan kepercayaan bahawa kebanyakan ibu bapa tidak mahu anak mereka menghabiskan cuti sekolah yang panjang dengan perkara yang sia-sia. Maka, mereka suami isteri bertekad menganjurkan perkhemahan yang memberi peserta pengalaman menikmati suasana riadah sambil mendapat pengetahuan tambahan. Apatah lagi, ilmu yang ditimba itu adalah pengukuhan al-Quran.

Malah tambah Mohd. Nasir, penekanan program ini bukan sahaja kepada bacaan dan hafalan al-Quran tetapi penerapan nilai-nilai positif agar mereka memiliki motivasi diri yang tinggi dan berkeyakinan melalui kelas-kelas penampilan diri yang diadakan.

"Di sini kami bukan mencari peserta yang pandai membaca al-Quran tetapi mengajak mereka meningkatkan kefasihan membaca dengan bimbingan fasilitator. Malah, bagi yang tidak tahu membaca al-Quran, di dalam program ini mereka akan diajar asas untuk mendalami ilmu tersebut," kata Mohd. Nasir, baru-baru ini.

Pada program siri pertama pada cuti akhir tahun 2010 bermula pada 21 November hingga 4 Disember, seramai 115 pelajar yang terdiri daripada 83 pelajar lelaki dan 32 pelajar perempuan dari seluruh negara berumur antara sembilan hingga 16 tahun telah mengikuti program perkhemahan menyerupai pengajian di madrasah.

Manakala siri kedua pula akan tamat pada esok hari. Sesi ketiga pula, khas untuk pelajar lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula pada 19 Disember dan berakhir pada 1 Januari 2011.

Seiring dengan slogan 'Al-Quran Budaya Hidup', program yang memasuki tahun ke-10 itu mendedahkan peserta kepada ilmu tajwid, kepentingan menunaikan solat wajib dan solat sunat dan ilmu fardu ain melalui kaedah pembelajaran latihan dalam kumpulan kecil serta bengkel.

Maklumat lanjut mengenai program Motivasi al-Quran Latihan Ala Madrasah boleh diperoleh dengan menghubungi Mohd. Nasir di talian 019-6955930 atau layari laman web www.tahsinquran.com

No comments: