Like Blog Ini...

Wednesday, December 1, 2010

Remaja dan hijrah sikap

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

SIKAP hidup adalah sesuatu yang utama membentuk tingkah laku remaja. Ia terbina hasil adanya persepsi terhadap sesuatu dan sedikit pengalaman yang ditempuh. Kadangkala ia tidak terbina hasil daripada ilmu dan kefahaman yang baik.

Sikap hidup remaja lazimnya belum teruji lagi. Ia baru separuh matang dan memerlukan pengukuhan. Oleh itu perlu berlaku proses hijrah di kalangan remaja membina sikap hidup yang lebih sempurna.

Pendedahan dalam hidup yang dilalui oleh remaja adalah pelbagai. Naluri ingin tahu, keinginan mencuba rasa ingin bergaya, suka terpengaruh dengan rakan sebaya banyak mengambil tempat dalam membentuk sikap remaja.

Remaja yang matang memerlukan ilmu, pengalaman dicampur dengan rasa kedewasaan dalam menanggapi atau membuat persepsi terhadap sesuatu.

Ada sikap yang bertanggungjawab di kalangan remaja yang sentiasa merasakan sesuatu sikap yang diambil dalam hidupnya belum sempurna lalu ia terdorong bertanya mendapat penjelasan, membanding-bandingkan, dan membuat analisis yang kritis supaya terdapat keserasian antara sikap yang dibina dan persepsi yang dilakukan.

Hasil proses ini menyebabkan sikap hidup yang dibina menuju ke arah kematangan dan kedewasaan. Sering berlaku tanggapan terhadap sesuatu berasaskan cakap dengar semata-mata.

Tidak wujud ketelitian terhadap fakta kajian terhadap maklumat dan penelitian terhadap perkhabaran. Akhirnya ramai remaja terjebak di blog-blog, forum atau rangkaian Internet yang menyebabkan elemen propaganda dan sangka buruk menjadi subur.

Semangat Hijrah

Sempena peristiwa hijrah yang bakal berlangsung dan peristiwa pengorbanan serta haji, para remaja harus menginsafi perlu wujudnya perganjakan minda daripada sikap berprasangka melulu ke arah sikap yang rasional dan objektif.

Orang yang berdaya maju dalam pemikiran dan tindakan terdiri di kalangan mereka yang melakukan sesuatu berasaskan hujah ilmu dan pemikiran kritis.

Dalam Islam, al-Quran dan Sunnah dijadikan sumber rujukan menentukan salah benarnya sesuatu perkara.

Dengan bahasa yang mudah, sesuatu perkhabaran yang tersebar atau diterima harus diperiksa dari mana datangnya supaya kesahihan ditemui.

Proses ini menuntut kejujuran dan keikhlasan remaja kerana mengutip maklumat yang tidak sahih boleh membawa kepada salah faham keliru.

Jika kaedah ini dijadikan pegangan dan sikap hidup para remaja, ia bakal mengelakkan remaja daripada terus melakukan kesilapan yang serupa.

Hijrah sikap hidup di sini bermakna para remaja harus bersikap peka dan prihatin terhadap sesuatu yang dibaca, ditonton, didengar atau disebarkan lalu ia mendorong remaja untuk mencari dan meneliti hujah-hujah ilmu dan rasional supaya ia menjadi lebih objektif.

Maksud objektif di sini adalah tidak berlaku cetusan sentimen negatif dan propaganda yang cuba mencorakkan sikap hidup remaja. Remaja Islam adalah kelompok manusia yang berpotensi dipengaruhi dan mempengaruhi.

Oleh itu, amat penting proses pemikiran remaja berasaskan ilmu yang bermanfaat dan latihan berfikir yang baik. Kesukaan remaja kepada ilmu yang bermanfaat bakal menjadikan para remaja berfikir secara objektif.

Pemikiran yang objektif mampu membina sikap yang bertanggungjawab. Proses ini akan menjadikan para remaja yang mengamalkan budaya ilmu yang tinggi dan jalur berfikir yang berkualiti.

Apa lagi peristiwa hijrah memberi anjakan antara sistem berakidah dengan kejahilan. Sistem berakidah membentuk sikap hidup dan watak remaja supaya sentiasa menghubungkan remaja dengan Pencipta.

Rasa ketuhanan yang tinggi mampu memberi pedoman kepada remaja mengambil jalan berfikir dan sikap hidup yang Allah redai.

Sekiranya para remaja menerima jalur berfikir yang membimbing ke arah kebaikan, natijah akhirnya kehidupan remaja adalah ke arah kebaikan jua. Demikian sebaliknya.

Melihat gelagat dan kecenderungan di kalangan sesetengah remaja hari ini, ada kebimbangan bahawa ketidakmatangan dalam sikap hidup dan kecelaruan remaja dalam pemikiran boleh menyebabkan zaman dewasanya menjadi kacau-bilau.

Keengganan merujuk sumber ilmu khasnya al-Quran dan hadis menyebabkan remaja hilang petunjuk dan terjebak dalam kejahilan dan kefasadan.

Yang tertampil adalah ego yang tinggi, merasakan diri sudah sempurna, tidak perlu dinasihati. Akhirnya tidak mampu menyumbang ke arah pembangunan diri dan umat di zaman dewasanya.

Sebaliknya remaja yang menginsafi bahawa hidup ini adalah proses bertatih, jatuh dan bangun, proses kehidupan itu menjadi guru yang terbaik untuk sumber teladan dan ikutan walaupun citarasa remaja selalunya meluap-luap dan remaja dapat mengimbangi antara cita-cita yang ideal dengan realiti yang serba mencabar. Daripada situ para remaja mampu bertitik tolak dengan idealisme yang tinggi untuk dijadikan pedoman secara strategik supaya sesuatu yang dilakukan bertitik tolak daripada jiwa yang matang dan dewasa.

No comments: