Mengapa rundingan damai Israel-Palestin boleh dikatakan gagal?
DR. HAFIDZI: Ia dikatakan gagal kerana Israel tidak mahu berganjak daripada meneruskan membina penempatan haram Yahudi yang menjadi antara tiga isu utama syarat rundingan berkenaan yang dibangkitkan oleh Palestin.
Apabila Israel berdegil, maknanya rundingan yang dimulakan pada 2 September 2010 di Washington, Amerika Syarikat (AS) menemui jalan buntu, gagal dan sia-sia.
Israel sebaliknya mendesak Palestin menerima syarat-syarat rundingan damai yang ditentukan oleh mereka. Namun, Israel tidak pernah mahu akur dengan syarat damai oleh Palestin.
Sebab itu, Presiden Israel, Mahmoud Abbas tetap mengisytiharkan negara Palestin yang bebas (merdeka) pada tahun 2011.
Pastinya Israel tidak mengendahkan kenyataan Mahmoud Abbas itu. Tetapi, baru-baru apa yang menarik perhatian dunia termasuk AS berkaitan isu ini?
DR. HAFIDZI: Isu ini kembali menjadi perhatian disebabkan peralihan sokongan secara terbuka beberapa negara Amerika Selatan. Ia bermula dengan keputusan Brazil mengiktiraf Palestin sebagai negara bebas pada 3 Disember lalu.
Diikuti oleh Argentina beberapa hari kemudian dan Uruguay dijangka akan mengisytihar sokongan yang sama.
Apa yang menjadi persoalan, mengapa negara-negara Amerika Selatan ini mendahului negara lain dalam memberi sokongan terbuka kepada Palestin?
Pertama, situasi ekonomi negara-negara berkenaan sangat baik. Brazil yang dulu menanggung hutang dengan Bank Dunia sebanyak RM45 bilion pada tahun 2005 sudah pun melangsaikan hutang mereka.
Malah pada tahun 2009, Brazil memberi pinjaman kepada Bank Dunia sebanyak RM30 bilion. Maknanya, mereka sudah mencapai tahap ekonomi yang sara diri.
Begitu juga dengan Argentina dan Uruguay. Ini yang menjadi asas membentuk sikap dan ketegasan negara-negara berkenaan kepada Israel dan sekutu rapatnya, AS.
Adakah sokongan mereka ini baru timbul sekarang?
DR. HAFIDZI: Sebenarnya sokongan mereka kepada Palestin bukan baru. Cuma, ini kali pertama dibuat secara terang-terang.
Sejak empat lima tahun lalu, negara-negara Amerika Selatan ini paling kehadapan dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan Palestin.
Contohnya, apabila Israel menyerang Lubnan pada tahun 2006 disebut juga Perang Israel-Hizbullah, Presiden Venezuela, Hugo Chavez bertindak balas dengan memanggil pulang duta negara itu dari Israel.
Chavez kemudiannya bertindak mengusir duta Israel ke Venezuela apabila Israel melancarkan dasar genoside (pembersihan etnik) di Palestin.
Bolivia turut mengusir duta Israel ke negara itu ekoran serangan rejim zionis ke atas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara yang diserang dan ditawan oleh Israel pada 31 Mei lalu.
Malah, Presiden Bolivia, Evo Morales juga pernah mengusir duta AS ke negara itu pada tahun 2006 kerana mencampuri urusan dalaman Bolivia.
Bolehkah kita menaruh harapan kepada Kesatuan Eropah (EU) dalam isu ini?
DR. HAFIDZI: Dalam tempoh sehari dua ini, EU dikatakan akan membuat pendirian jika Israel terus gagal menghentikan projek penempatan haram Yahudi di Palestin.
Jika Israel teruskan juga, maka EU akan mengiktiraf Palestin sebagai negara yang bebas. Ini adalah suatu perkembangan yang di luar jangkaan. Sebabnya, selama ini EU memihak kepada AS dalam menentukan dasar luarnya. Inilah kali pertama EU mengambil dasar yang berlainan dengan AS.
Kali ini EU tidak merujuk kepada dasar luar AS dalam mengiktiraf negara Palestin. Bagi mereka, penyelesaian secara kedua-dua negara perlu dibuat. Malah, EU juga sudah tidak boleh lagi terima dolak dalih Israel selama ini.
EU pun sudah menukar nada sokongannya. Kalau dulu, mereka sehaluan dengan AS tetapi kini mereka ada pendirian sendiri. Ini sudah tentu boleh ditafsir sebagai mencabar AS sebagai penentu dasar di Timur Tengah.
Selain itu, Perjanjian Palestin kini tidak lagi tertumpu kepada masyarakat Arab. Sebaliknya isu politik antara Hamas dan Fatah akan menjadi konflik dunia.
No comments:
Post a Comment