Like Blog Ini...

Wednesday, December 8, 2010

Operasi Sariyyah Nakhlah berbeza

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SEBELUM tercetusnya Perang Pertama dalam Islam, iaitu Perang Badar Al Kubra, dikatakan terdapat lapan Operasi Sariyyah atau Ghazwah yang disebutkan sebelum ini. Tujuannya menyekat penguasaan jalan perdagangan yang dilalui oleh kafir Quraish antara Mekah-Madinah-Syam.

Namun sebelum bercerita lanjut sejarah Perang Badar, mungkin menarik untuk berkongsi kisah mengenai Operasi Sariyyah Nakhlah yang berlaku pada bulan Rejab tahun 2 Hijrah, iaitu beberapa bulan sebelum meletusnya Perang Badar, pada bulan Ramadan tahun tersebut.

Operasi Nakhlah ini agak berbeza dengan yang lain kerana Islam dituduh melakukan satu kesalahan yang sangat besar. Umat Islam dituduh sengaja melanggar adat dan budaya yang dipegang dan diamalkan, iaitu berperang di bulan haram.

Operasi ini bermula apabila Rasulullah SAW mengutuskan Abdullah bin Jahsyi Al Asadi ke Nakhlah bersama 12 lelaki Muhajirin di mana setiap dua orang bergilir-gilir menunggang seekor unta untuk mengintip pergerakan puak Quraisy.

Dalam operasi itu Rasulullah memberi sepucuk surat kepada Abdullah dan meminta surat itu dibaca selepas dua hari mereka berjalan.

Selepas dua hari Abdullah membaca surat tersebut yang antara lain, baginda menulis: "Apabila engkau membaca suratku ini maka teruslah berjalan hingga sampai ke Nakhlah, iaitu yang terletak antara Mekah dan Taif. Di situ engkau intiplah rombongan dagang pihak Quraisy dan kumpulkan maklumat mereka untuk kami."

Lalu Abdullah pun memberitahu para sahabat dalam anggota misinya itu bahawa beliau tidak memaksa mereka untuk terlibat dalam menjayakan operasi ini.

"Siapa yang takut mati, sampai setakat di sini sahaja, kamu boleh pulang. Tetapi siapa yang ingin mati syahid, dia boleh terus bersama-sama denganku kerana aku sendiri akan meneruskan misi ini," katanya.

Tidak ada seorang pun yang berpatah balik dan pulang. Semuanya berikrar untuk terus bersama Abdullah. Soal hidup atau mati mereka berserah kepada Allah menentukannya.

Bagaimanapun, di pertengahan jalan, Saad bin Abi Waqas dan Utbah bin Ghazwan tidak dapat menyertai operasi ini. Sebabnya unta tunggangan mereka didapati hilang dan terpaksalah mereka berundur untuk mencari unta tersebut.

Abdullah dan ahli-ahli rombongan yang lain tetap meneruskan perjalanan mereka sehinggalah mereka sampai ke Nakhlah.

Di situ rupa-rupanya telah ada rombongan dagang Quraisy yang sedang dalam perjalanan pulang ke Mekah.

Mereka dikatakan membawa pelbagai aneka barang dagangan termasuk anggur kering dan lauk pauk.

Antara yang mengikuti rombongan itu termasuklah Amru bin al Hadrami, Uthman dan Nawfal yang kedua-duanya merupakan anak Abdullah bin Al Mughirah dan seorang lagi al Hakam bin Kaysan, iaitu khadam kepada Bani Al Mughirah.

Pasukan umat Islam yang diketuai oleh Abdullah bin Jahsy kemudiannya berbincang sesama mereka mengenai rancangan terhadap rombongan dagang pihak Quraisy itu.

Lalu ada yang berkata: "Sekarang kita berada di hari terakhir bulan Rejab, iaitu bulan haram. Kalau kita memerangi rombongan pihak Quraisy itu bererti kita menceroboh kesucian bulan haram. Tetapi kalau kita biarkan, pasti pada malam ini mereka dapat memasuki Mekah tanpa sebarang halangan. Misi kita pasti gagal untuk menyekat dan memberi pengajaran kepada puak-puak kafir Quraisy itu."

Akhirnya mereka bersetuju untuk menghalang rombongan kafilah Quraisy itu walaupun bakal mencetuskan satu pertempuran.

Rombongan tersebut akhirnya diserang oleh Abdullah Jahsy dan anak-anak buahnya menyebabkan seorang rombongan Quraisy, Amru bin al Hadrami mati akibat dipanah oleh mereka.

Pasukan dari Madinah itu juga berjaya menawan Uthman dan al Hakam sementara saudara si Uthman, Nawfal berjaya melarikan diri.

No comments: