Like Blog Ini...

Wednesday, December 8, 2010

Wujudkan garis panduan guna al-Quran

AL-QURAN adalah kitab suci bagi umat Islam. Dengan demikian ayat-ayatnya sebanyak 6,236 itu tidak boleh dipermainkan oleh sesiapa.

Ia mengandungi petunjuk, cahaya dan penjelasan bagi seluruh umat manusia yang bertakwa. Ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Kitab al-Quran ini, tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (al-Baqarah: 2)

Lebih-lebih lagi apabila kini ada kecenderungan ahli-ahli politik termasuk yang bukan Islam menggunakannya dalam ceramah atau kempen mereka.

Hal ini kembali dibangkitkan berikutan tindakan Ahli Dewan Negeri Hutan Melintang, S. Kesavan membaca terjemahan petikan ayat al-Quran secara salah.

Kesavan dilaporkan membacakan terjemahan yang salah membabitkan ayat 190 dan 191 dari surah Ali-Imran ketika sesi perbahasan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat 2010, pada 28 November lalu.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Jabatan Al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mustafa Abdullah bagi mengulas isu ini.

Mega: Dalam aspek dakwah di negara kita, apakah kesan polemik berhubung isu ini?

DR. MUSTAFA: Dalam sistem di Malaysia, apabila orang bukan Islam cuba merujuk kepada al-Quran mereka patut diberi bimbingan.

Bimbingan itu boleh sahaja diperolehi oleh institusi atau parti yang diwakilinya melalui lujnah di dalam parti ataupun mana-mana institusi agama Islam yang diiktiraf.

Kalau di Malaysia, institusi tertinggi mengenai hal ehwal agama Islam adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Yang terbaik rujuk kepada Jakim.

Ini supaya tidak berlaku sebarang kesilapan dalam memetik mana-mana ayat Allah. Kita kena ingat al-Quran itu adalah kalam Allah maka ia perlu dibaca dengan betul. Terjemahannya juga perlu tepat dan betul.

Sepatutnya di Malaysia, bab merujuk ini tidak jadi isu. Sebabnya, ada banyak pihak atau tokoh-tokoh Islam. Baik dalam parti-parti politik, Jakim atau pun yang non partisan seperti di institusi pengajian tinggi (IPT).

Jika ahli politik pembangkang misalnya tidak selesa untuk merujuk hal ini kepada Jakim mereka boleh saja merujuknya kepada pakar-pakar agama Islam di IPT.

Ini juga yang diajar oleh al-Quran menerusi firman Allah yang bermaksud: Bertanyalah kamu kepada orang yang mempunyai pengetahuan kalau kamu tidak mengetahui. (an-Nahl: 43).

Saya berpendapat, kesilapan yang berlaku dalam memetik atau membaca terjemahan itu mungkin kerana terlepas pandang atau kerana tidak menggunakan kemudahan-kemudahan untuk merujuk yang sedia ada bagi menjelaskan maksud sebenar ayat al-Quran.

Apabila bukan Islam rujuk al-Quran, bagaimana sepatutnya sambutan atau respons umat Islam kepada perkara itu?

DR. MUSTAFA: Al-Quran itu membawa mesej sejahtera kepada umat sejagat. Ia merentasi ras, warna kulit, tempat dan sebagainya.

Justeru, apabila ada orang bukan Islam yang cenderung rujuk kepada al-Quran, kita patut memberi respons positif kepada mereka.

Kesempatan ini sepatutnya kita gunakan sepenuhnya untuk menggerakkan dakwah dengan memberi pemahaman tentang Islam kepada mereka. Bukannya mereka dikritik dan dihentam.

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik... (an-Nahl: 125)

Ini juga yang ditekankan oleh Nabi SAW melalui sabda baginda yang bermaksud: Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan... (riwayat Bukhari)

Sebab itu, saya mencadangkan kita menyediakan garis panduan supaya mereka ini boleh dibimbing. Kalau kesilapan itu (S. Kesavan) tidak disengajakan maka kita bantu dia mendapat maklumat yang tepat. Kalau disengajakan pun, kita betulkan kesilapan itu.

Ini supaya akhirnya, maksud sebenar al-Quran itu dapat dihayati dan supaya al-Quran itu mesra umat.

Apakah antara garis panduan yang perlu ada?

DR. MUSTAFA: Bagi yang Muslim, kita telah didedahkan dengan adab dan etika apabila menafsir dan menterjemah al-Quran. Namun, dalam pengetahuan saya, garis panduan bagaimana bukan Islam boleh merujuk al-Quran masih belum ada.

Dalam tradisi Islam, kita ada dua kaedah dalam membuat tafsiran al-Quran.

1) Tafsir bil ma'tsur: kaedah yang Nabi SAW gunakan iaitu dengan merujuk kepada firman Allah dan juga wahyu melalui hadis.

Kaedah ini jika digunakan, pasti tafsirannya tepat. Inilah juga kaedah yang digunakan oleh para ulama terutama ahli tafsir.

2) Tafsir bil ra'yi- tafsir dengan menggunakan akal atau ijtihad. Tetapi akal di sini perlulah berilmu dan terbimbing sifatnya.

Maknanya, orang yang menafsir itu mestilah terikat dengan wahyu dan ilmu al-Quran. Ini untuk membebaskan mereka daripada nafsu.

Bagi orang Islam, kita tidak menghadapi masalah. Masalahnya adalah kepada yang bukan Islam.

Justeru, ada keperluan untuk kerajaan menyediakan badan khusus bagi menguruskan interaksi sebegini dan penjelasan berhubung al-Quran itu hendaklah mengikut kedua-dua kaedah yang disebut tadi.

Apabila ada badan khusus, setiap kali ada masalah yang berkaitan bolehlah orang bukan Islam merujuk ke sana supaya kesilapan boleh dielakkan.

No comments: