Like Blog Ini...

Thursday, May 17, 2012

Amar makruf Yadim di bumi Ireland

Oleh AZMAN ANUAR
(Yang mengikuti rombongan dakwah Yadim ke Ireland)

Dalam cuaca dingin di Dublin, Ireland 12 anggota rombongan Program Pengantarabangsaan Dakwah Yadim 1Malaysia 2012 pada pertengahan April lalu menginap di bangunan Malaysia Hall.

Dengan kebenaran Kementerian Pelajaran untuk menginap di sana maka dapatlah 12 pendakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menemui pelajar Malaysia yang majoritinya mengikuti pengajian perubatan serta masyarakat Malaysia yang bertugas dan menetap di Ireland.

Rakyat Malaysia yang berada di Ireland boleh dikategorikan kepada tiga golongan. Selain daripada mereka yang bertugas di kedutaan dan syarikat swasta, mereka ialah rakyat Malaysia yang sudah bersara tetapi masih tinggal di Dublin dan Belfast.

Kedua, golongan profesional rakyat Malaysia yang bekerja sebagai doktor atau akauntan tetapi menetap di Dublin dan Belfast; dan ketiga ialah golongan pelajar sama ada yang baru menuntut atau sedang menyambung belajar dalam bidang ijazah sarjana (Master) atau ijazah kedoktoran (PhD).

Secara ringkas, ketika berada di Dublin, rombongan Yadim mengunjungi Duta Besar Malaysia ke Ireland, Datuk Ramli Naam dan pegawai kedutaan, mengadakan Seminar Kepimpinan Profesional Muslim 1Malaysia dan majlis ramah mesra bersama masyarakat dan pelajar Malaysia, melawat Masjid Dublin, melawat penempatan masyarakat Malaysia di Clonskeagh, Dublin.

Rombongan itu juga singgah di pasar raya Hibiscus Store yang dimiliki oleh anak Perak, Kamar Abdul.

Ketika mengunjungi Belfast pula, rombongan Yadim singgah bersolat Jumaat di Pusat Islam Belfast yang azannya dilaungkan oleh pelajar Malaysia, dikenali sebagai Amin. Malah salah seorang ahli jawatankuasa pusat ini ialah Raja Mohamad Raja Harun, juga rakyat Malaysia.

Dalam kesempatan itu juga kira-kira 20 pelajar Malaysia dijamu makan tengah hari oleh Yadim di sebuah restoran makanan segera halal.

Daripada pemerhatian dan perbincangan, rata-rata pelajar yang ditemui berfikiran terbuka. Mereka mudah terdedah dengan anasir-anasir yang tidak diingini, sama ada golongan anti-establishment, golongan ekstrem ataupun fanatik.

Apabila golongan seumpama ini datang menemui para pelajar ini, mereka mudah terdedah dan menerima sebarang bentuk maklumat, sama ada benar atau palsu.

Oleh itu, kehadiran Yadim dialu-alukan kerana selain membantu, ia juga membimbing memperkasakan pegangan pelajar kepada Islam.

Hal ini dijalankan kerana terdapat sesetengah pelajar sudah jauh menyimpang dan terpengaruh dengan hegemoni Barat.

"Mereka mudah terdedah dengan budaya tersebut kerana berasa sunyi, berjauhan dengan keluarga dan persekitaran pembelajaran yang tidak kondusif.

"Jadi tugas Yadim sebagai pendakwah wajib untuk menjelaskan perkara sebenar. Kami membuat konsep mencegah daripada kemungkaran, beramal dengan kebenaran dan kebaikan bersesuaian dengan konsep amar makruf, nahi munkar," kata Yang Dipertua Yadim, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir.

Program seumpama ini adalah antara salah satu aktiviti pendakwahan Yadim di peringkat antarabangsa untuk mendekati rakyat Malaysia di luar negara terutama pelajar.

"Mereka perlu didekati, dibelai dan difahami masalah mereka. Jadi semua pihak perlu prihatin sama ada kerajaan atau masyarakat Malaysia perlu mendekati pelajar di luar negara supaya masalah dalaman di tanah air dapat diperjelaskan.

"Pelajar-pelajar yang kita temui masing-masing mempunyai masalah peribadi dan mereka berharap supaya pihak-pihak berkenaan dapat membantu mereka dan memberikan galakan kepada mereka untuk belajar," kata Aziz Jamaludin.

Beliau turut menyeru agar badan-badan dakwah Islam yang lain prihatin dan memberikan kerjasama kepada Yadim dalam menjalankan tugas murni ini.

"Saya memohon pihak-pihak tertentu tidak menganggap perkara ini menguntungkan satu pihak. Kami memegang konsep dakwah sepenuhnya untuk memartabatkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu, tidak merugikan ekonomi dan sebagainya," kata beliau.

Menurut Yang Dipertua badan dakwah itu lagi, berbekalkan dengan bajet yang sederhana, Yadim mampu menjalankan tugas dakwah dengan sempurna.

Ini kerana Yadim turut mendapat bantuan dana daripada sahabat Yadim, golongan korporat dan penaja untuk menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah.

Secara keseluruhannya, menurut Yang Dipertua Yadim semua maklumat yang diperoleh daripada pelajar dan masyarakat Malaysia di Ireland akan disampaikan kepada pihak berkuasa berkenaan agar satu usaha penambahbaikan serta pendekatan tertentu dapat diambil bagi memastikan agenda dan transformasi kerajaan berada di landasan sewajarnya.

No comments: