BOLEH terangkan serba sedikit mengenai Yayasan Sofa?
SALAHUDDIN: Yayasan ini telah ditubuhkan pada 17 Februari 2004 sebagai nadi kepada aspek-aspek pembangunan modal insan, pendidikan dan penyelidikan ilmu-ilmu Islam berasaskan kepada tiga sendi agama iaitu Iman, Islam dan Ihsan, komited dalam menjunjung dan mempertahankan fahaman Ahli Sunnah wal Jama'ah dengan mengambil peranan sebagai pendidik yang mengimbangi antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Fokus kami yang utama ialah ilmu dan pendidikan dengan menubuhkan institusi-institusi ilmu di setiap peringkat, menengah mahupun pengajian tinggi.
Apakah fungsi dan matlamat sebenar Pusat Asasi Al-Azhar yang dikelola dan diuruskan oleh Yayasan Sofa?
SALAHUDDIN: Pertamanya Pusat Asasi Universiti Al-Azhar ini diwujudkan atas arahan Universiti Al-Azhar, Mesir sendiri. Ia ditubuhkan sebagai sebuah pusat bagi menilai prestasi awal, kemampuan dan kelayakan pelajar di negara-negara bukan Arab dari sudut kemahiran dalam Bahasa Arab. Para pelajar yang kekurangan kemahiran ini kebanyakannya akan menghadapi masalah apabila menuntut di fakulti-fakulti yang disediakan. Maka diadakan ujian saringan (imtihan qabul) di mana para pelajar yang lulus peperiksaan ini akan terus ditawarkan tempat di Universiti Al-Azhar. Manakala yang tidak melepasinya, dikehendaki menjalani kursus intensif Bahasa Arab selama 10 bulan. Program ini pada asalnya dijalankan di Mesir. Tetapi atas kebenaran Universiti Al-Azhar, pada tahun ini, ia dilaksanakan di negara ini bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada bakal penuntut Al-Azhar dari Malaysia.
Bagaimana pula dari sudut sokongan dan pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap Pusat Bahasa Arab Al-Azhar ini?
SALAHUDDIN: Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengambil maklum mengenai pelantikan yayasan ini sebagai wakil bagi menjalankan urusan ujian dan temuduga kemasukan ke Universiti Al-Azhar Mesir. Bagi tujuan itu, maka kami akan mengendalikan ujian berkenaan bermula tahun ini. Alhamdulillah, setakat ini pihak KPT tiada sebarang halangan, sekali gus turut sama membantu KPT memacu proses pengantarabangsaan pengajian tinggi di rantau ini. Kami telah dijemput oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang turut menyokong usaha ini dalam melancarkan lagi urusan Pusat Asasi ini dari sudut hubungannya dengan pihak-pihak penaja pelajar. Perkara ini juga telah mendapat maklum Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Jamil Khir Baharom.
Sesetengah pihak berpendapat penubuhan pusat ini adalah suatu usaha untuk menghalang atau mengurangkan jumlah mahasiswa pengajian Islam di Al-Azhar, apakah ini benar?
SALAHUDDIN: Ingin saya tegaskan di sini bahawa penubuhan pusat asasi ini bukanlah atas idea atau kehendak kami sendiri. Ia adalah cetusan daripada Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al-Azhar sendiri iaitu Prof. Dr. Ahmad Muhammad Tayyib dalam usaha meningkatkan prestasi dan kedudukan Al-Azhar di peringkat antarabangsa. Umum mengetahui mahasiswa-mahasiswa bukan Arab tidak menguasai Bahasa Arab dengan sepenuhnya sebagaimana mahasiswa berbangsa Arab. Maka Al-Azhar menetapkan agar setiap penuntut yang ingin melanjutkan pengajian ke universitinya harus disaring terlebih dahulu agar mereka dapat melangkah seiring dengan sukatan pengajian yang ditetapkan berdasarkan kemahiran dan kecekapan mereka.
Timbul spekulasi penubuhan pusat ini juga adalah satu usaha YSNS untuk mengaut keuntungan dengan mengenakan sejumlah yuran yang telah ditetapkan?
SALAHUDDIN: Kami adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bermatlamat menyebarkan kebajikan kepada umat Islam. Kami menyumbang dan menghulurkan bantuan kepada umat Islam, menganjurkan program-program ilmiah dan keagamaan dengan memperuntukkan sejumlah dana yang besar semenjak penubuhan yayasan ini. Pendek kata, kami adalah sebuah badan penyumbang, bukan badan yang mengaut keuntungan, apatah lagi hendak memperdagangkan amanah yang digalaskan Al-Azhar ke atas bahu kami. Oleh itu, tidak timbul spekulasi ini. Pihak Al-Azhar sendiri telah mengeluarkan kebenaran khas untuk kami mengutip yuran sebagai dana untuk menampung perjalanan kursus, gaji pensyarah yang didatangkan terus dari Universiti Al-Azhar di Mesir, alat-alat bantuan mengajar, keperluan peperiksaan dan prasarana yang segalanya kembali untuk kemaslahatan para penuntut di pusat asasi itu sendiri. Semua itu disebabkan kami tidak menerima sebarang dana atau peruntukan khusus dari mana-mana badan sama ada kerajaan mahupun swasta dalam mentadbir urus pusat ini.
Benarkah desas-desus menyatakan bahawa pusat asasi ini adalah usaha terancang beberapa badan untuk menyekat pengaruh politik di kalangan pelajar Al-Azhar?
SALAHUDDIN: Kami ialah sebuah NGO yang berpendirian non-partisan. Kami adalah sebuah yayasan yang bercita-cita memartabatkan ilmu dan Islam di peringkat tertinggi. Jadi segala macam usaha yang kami jalankan tidak lari daripada niat itu. Seboleh-bolehnya kami ingin menghantar semua penuntut ilmu agama ke Universiti Al-Azhar bagi melanjutkan pengajian. Akan tetapi dunia hari ini berubah. Mana-mana institusi pengajian tinggi yang ingin bersaing di peringkat antarabangsa seperti Universiti Al-Azhar juga mengimpikan kualiti penuntutnya berbanding kuantiti. Justeru, mereka berfikir siang dan malam serta menjalankan usaha-usaha seperti penubuhan pusat asasi ini sebagai pengukur kelayakan pelajar dari sudut kecekapannya berbahasa Arab sebelum ditawarkan melanjutkan pengajian di fakulti-fakulti mereka.
Jelaskan lebih lanjut berkenaan sukatan pelajaran, kuliah, tenaga pengajar, tempoh belajar, lokasi pusat asasi ini?
SALAHUDDIN: Berkenaan dengan sukatan pelajaran digunakan, ia adalah sama seperti apa yang digariskan oleh Universiti Al-Azhar bagi Pusat-pusat Bahasa Arab kelolaannya. Begitu juga dengan kepakaran tenaga pengajar yang didatangkan terus dari Universiti Al-Azhar Mesir yang dipilih sendiri oleh mereka tanpa ada campur tangan mana-mana pihak. Pendek kata, kami hanya menguruskan hal ehwal pelajar dari sudut prasarana bagi memudahkan penuntut Pusat Asasi ini berhubungan dengan pihak Universiti Al-Azhar Mesir. Berkenaan dengan lokasinya pula, buat masa ini mereka akan ditempatkan di kampus sementara di Ampang, Selangor. Para pelajar yang lulus peperiksaan ini, akan ditawarkan terus melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar. Manakala yang tidak melepasi saringan ini, dikehendaki menjalani kursus intensif Bahasa Arab selama 10 bulan.
Apakah harapan terhadap kewujudan Pusat Asasi Al-Azhar di negara ini?
SALAHUDDIN: Harapan saya agar Bahasa Arab akan dimartabatkan sebagai bahasa ilmu seperti mana pengiktirafan yang pernah diberikan oleh Eropah pada zaman kegemilangan Islam di mana masyarakat Eropah berusaha mendalaminya untuk menggali khazanah-khazanah ilmu yang tersimpan di pustaka-pustaka Islam pada zaman tersebut. Demikian juga kami berharap agar masyarakat memandang tinggi dan berusaha bersama-sama dalam memartabatkan kedudukannya sebagai bahasa ilmu. Suka saya mengingatkan agar pelajar-pelajar lepasan STAM dan juga pihak penaja pelajar agar segera berhubung dengan kami bagi urusan pendaftaran supaya segala urusan mendapatkan tempat di Universiti Al-Azhar Mesir berjalan lancar, di talian 019-2282870 atau 013-70274003 atau email: zumrud69@gmail.com.
No comments:
Post a Comment