Like Blog Ini...

Thursday, May 17, 2012

Masjid Selimiye karya agung Mimar Sinan

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

KESULTANAN Turki Usmani merupakan sebuah dinasti besar yang berkuasa pada akhir abad ke-13 sampai awal abad ke-20. Di bawah kepemimpinan Sultan Selim 1 dan Sultan Sulaiman pada abad ke-16 Masihi.

Dinasti Usmani berhasil mencapai puncak kejayaannya. Ketika itu wilayah kedaulatan Usmani terbentang luas dari Aljazair di sebelah barat hingga Azerbaijan di sebelah timur manakala Yaman di sebelah selatan sampai ke Hungaria di sebelah utara.

Sebanyak 43 negara dari tiga benua yang ada pada zaman itu dikuasai oleh Dinasti Usmani.

Dalam tempoh pemerintahannya, Dinasti Usmani mengukir sejarah dengan membina berbagai-bagai prasarana berupa bangunan-bangunan yang bernilai tinggi.

Sehingga kini jejak-jejak era keemasan Usmani masih dapat dilihat dan dirasakan melalui karya-karya seni bina yang tersebar di pelbagai penjuru wilayah kedaulatan Usmani terutama di Turki.

Projek pembangunan dinasti Usmani pada era tersebut tidak dapat terlepas daripada peranan Mimar Sinan yang ketika itu merupakan ketua arkitek dan teknik Kesultanan Usmani.

Mimar melaksanakan tugasnya pada masa kepimpinan Sultan Sulaiman, Sultan Seli, dan Sultan Murad 111. Merujuk kepada tulisan Sai Mustafa Celebi yang berjudul Tezkiretul Ebniye semasa hidupnya, Mimar telah mengetuai pembinaan 476 buah bangunan berupa masjid, sekolah, tempat permandian, istana, jambatan, madrasah, hospital dan pelbagai prasarana lain.

Di antara deretan karyanya tersebut terdapat sebuah bangunan mercu tanda yang diakui sendiri oleh Mimar sebagai karya agungnya iaitu Masjid Selimiye.

Masjid Selimiye dibangunkan di kota Edirne, Turki. Menurut catatan Evliya Celebi, seorang penjelajah keturunan Usmani, Edirne dipilih sebagai tempat pembangunan masjid tersebut didasarkan pada mimpi Sultan Selim 11.

Alasannya yang lain, bahawa para sultan terdahulu telah mendirikan begitu banyak masjid besar wilayah timur Turki sahaja, sedangkan di wilayah barat kurang.

Pada hal peranan daerah itu cukup penting khususnya kota Edirne yang menjadi gerbang penghubung antara Turki dengan benua Eropah.

Maka, dipilihnya Edirne sebagai tempat pembangunan masjid yang dianggap sebagai pilihan yang sangat tepat dan bijaksana.

Sultan Selim 11 menyerahkan sepenuhnya urusan pembinaan dan pembangunan masjid itu kepada Mimar. Beliau mengambil lapan tahun hanya untuk memikirkan rancangan pembinaan masjid tersebut.

Pembinaan tapaknya sahaja memerlukan waktu dua tahun. Hal itu dilakukan untuk menstabilkan permukaan dan susun letak tanah di lokasi pembinaan masjid tersebut.

Projek pembangunan masjid itu diusahakan oleh 14,400 pekerja dengan membelanjakan dana berjumlah 4.58 juta keping emas. Pembinaannya dimulai tahun 1568 dan selesai pada 27 November 1574.

Namun ia dibuka kepada umum pada 14 Mac 1575, tiga bulan setelah Sultan Selim 11 mangkat, sekali gus tidak berkesempatan merasmikan masjid yang telah diletak batu asas pembinaan oleh baginda itu.

Sebelum itu, terdapat sebuah ungkapan daripada kalangan arkitek Kristian yang menyatakan bahawa tidak akan ada seorang pun arkitek Muslim yang dapat membangunkan kubah sebesar kubah Hagia Sophia di Istanbul. Pandangan negatif itulah yang menjadi motivasi dan pemangkin kepada Mimar untuk membina Masjid Selimiye.

Dengan berdiri gahnya masjid itu, akhirnya ejekan daripada para arkitek Kristian itu berjaya dihentikan.

Mimar berjaya mendirikan Masjid Selimiye yang memiliki kubah berukuran 31 meter, setanding dengan kubah Hagia Sophia. Tinggi kubah utama dari lantai dasar Masjid Selimiye itu adalah 42 meter.

Masjid raya itu berdiri di tengah-tengah sebuah kulliye (kompleks yang terdiri daripada hospital, sekolah, perpustakaan).

Ia turut mempunyai pusat pendidikann Islam dan sains, sebuah bilik penjaga waktu dan sebaris kedai.

Ia juga mengandungi sebuah Muzium Kesihatan Külliye Bayezid II, kini dijadikan sebuah muzium. Keunikan usaha Mimar di Edirne itu ialah mihrabnya boleh dilihat dari mana-mana sudut dalam masjid itu.

Masjid Selimiye diterangi oleh 384 buah jendela yang terbahagi kepada lima tingkat.

Jendela-jendela pada tingkat terbawah dan tingkat kedua menerangi lantai dasar dan serambi masjid.

Sementara barisan jendela pada tingkat ketiga dan keempat membiaskan cahaya ke dalam masjid.

Masjid Selimiye yang berdiri kukuh di atas tanah seluas 2,475 meter persegi itu dapat menampung kira-kira 6,000 jemaah.

Hingga kini masjid yang berusia empat abad itu menjadi ikon kota Edirne, Turki, sekali gus menjadi salah satu warisan terbesar peradaban Islam dalam bidang seni bina.

Usman bin Affan berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Barang siapa yang membangun sebuah masjid kerana Allah Taala, maka Allah akan membangun untuknya sebuah rumah di syurga." (Sahih Muslim).

No comments: