Like Blog Ini...

Friday, January 16, 2009

Kita dan Palestin

Dipetik daripada www.iLuvislam.com
Nik Abduh Nik Abdul Aziz*
editor : kasihsayang


Jika anda berniat mendermakan sebahagian daripada wang anda untuk Palestin, anda sebenarnya masih tak faham-faham isu Palestin. Palestin bukan soal derma dan sedekah. Palestin adalah jihad dan kewajipan. Tuhan kita berkata, berjihadlah dengan harta dan nyawa kamu..

Wang, bahkan nyawa setiap umat Islam adalah tagihan Allah untuk bumi yang disucikanNya itu. Tiada muslim yang tidak mengambil bahagian di dalam jihad Palestin sepanjang zaman kecuali tuahnya pasti direntap bumi suci itu di akhirat nanti. 

Palestin adalah ujian Allah

Palestin adalah sebahagian ujian Allah ke atas umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Dari tiga bumi suciNya ( tanah haram ) itu, Allah memberi keamanan untuk Makkah dan Madinah, tetapi tidak untuk Palestin. Palestin sentiasa berdarah dan jika ia aman seketika atau lebih lama daripada itu, di sekelilingnya adalah penuh dengan komplot dan konspirasi musuh untuk merampas dan menghancurkannya kembali. 

Ia menjadi rebutan sepanjang zaman untuk umat tiga agama langit yang memiliki kitab samawi masing - masing yang mendakwa sejarah pendudukan dan pemerintahan di situ. Jika tidak kerana Allah menghukum dan memutuskan bahawa bumi haramNya itu adalah milik hambaNya yang bertaqwa yang berada di atas jalanNya yang lurus, iaitu Islam, agama tauhid nabi Ibrahim al hanif alaihissalam, iaitu datuk kepada ketiga - tiga umat tersebut, maka tiadalah umat Islam memiliki hujjah mutlak untuk memilikinya. 


 

Cinta Palestin tanda iman dan taqwa

Mencintai Palestin adalah tanda iman dan taqwa. Kita mesti mencintainya melebihi kecintaan kita kepada tanah air sendiri.

Roda zaman yang berpusing menentukan bahawa bangsa Yahudi telah berjaya merampas dan mendudukinya kini selepas perjuangan lama mereka untuk menguasainya semenjak ribuan tahun dahulu. Selepas mereka menguasainya, impian dan angan - angan mereka begitu memuncak bahawa merekalah anak - anak tuhan yang diberkati segala tindakan mereka.

Hanyalah yang menghantui keyakinan mereka adalah pengetahuan tersembunyi mereka bahawa Palestin ini sebenarnya dan kesudahannya adalah milik umat yang menjadi musuh nombor satu mereka. Mereka tahu Palestin adalah untuk umat Islam.

Hari ini, saat kita dan seluruh umat Islam cuba membina keyakinan dan azam baru di awal tahun baru hijrah, Palestin dibedil dan dibakar oleh Yahudi, musuh Allah, malaikat, manusia dan seluruh makhluk kecuali syaitan daripada kalangan jin dan manusia.

Negara Israel hari ini yang menghimpunkan bangsa Yahudi sedunia itu tahu bahawa mereka tidak boleh hidup dengan hidupnya Islam. Justeru harapan, azam, keyakinan dan masa depan umatnya harus sentiasa dilumpuhkan dan dipadamkan dengan apa jua senjata dan peralatan. Umat Islam mesti kekal putus asa, putus harapan dan putus hubungan dengan tuhannya. 

Membunuh umat Islam adalah ibadah dan persembahan mereka kepada tuhan mereka yang mereka ciptakan sendiri.

Cerita yang panjang

Palestin ceritanya panjang dan akan terus memanjang sehingga kiamat. Bermula keamanan dunia adalah dengan amannya Palestin dan bermula kecelakaan dunia adalah dengan celakanya keadaan di bumi Palestin. Begitulah Allah menetapkan sunnahNya bahawa Palestin adalah ujian kehidupan manusiawi.

Anda mesti tahu dan mesti akur bahawa lecehnya pengetahuan anda tentang Palestin adalah petanda lecehnya anda di sisi perjuangan Islam.

Jangan harapkan negara-negara Arab untuk mengembalikan Palestin. Sehingga semalam pun, mereka tidak mampu menyapu dan membersihkan diri daripada tohmahan bahawa mereka adalah sebahagian konspirasi pengeboman di Genting Gaza. Mereka membisu seperti bisu anak dara yang melakukan zina. Negara Arab yang berzina dengan Israel! Ah, sejak bila mereka menerima kehadiran HAMAS? Apatah mengiktiraf mereka sebagai rakan hidup dan mati? Sedangkan mereka tahu bahawa HAMASlah nyawa dan nadi umat Islam Palestin hari ini.  

Anda hanya perlu meneka, siapakah yang lebih takutkan HAMAS? Israel atau Arab nasionalis syirik itu sendiri?

Jangan pula mengharapkan negara kita. Negara kita tidak akan menyokong HAMAS sebab HAMAS adalah saudara PAS. Mengharap pemerintah negara bertindak untuk Islam di Palestin adalah seperti mengharapkan perempuan mandul melahirkan anak atau seperti mengharap lelaki yang telah dikasi untuk mensyahwati perempuan.

Dalam dunia yang penuh nifaq dan kekufuran, harapan adalah terletak di atas bahu sekelompok umat Islam yang berjuang untuk kembali kepada Islam yang sebenar. Harapan dan keyakinan masa depan adalah daripada umat yang bersedia menghidupkan kewajiban berjihad fi sabiliLlah.

Setiap kita mestilah mengambil bahagian melaksanakan kewajiban membebaskan bumi suci Palestin.

Jika 10,000 umat Islam di Malaysia menyimpan RM100.00 setahun untuk perjuangan membebaskan al Masjidil Aqsa daripada cengkaman zionis Yahudi, maka wakil pejuang Islam Palestin yang datang ke negara kita akan pulang ke medan jihad dengan RM1 juta dari rakannya di Malaysia.


 

Allah terima taqwa di dalam dada

RM1 juta itu banyak tetapi ia adalah terlalu kerdil di hadapan bilionan dolar yang dibelanjakan oleh Yahudi dan sekutu Amerikanya untuk menjajah tanah suci itu. RM1 juta itu banyak, tetapi ia adalah sedikit di banding 15 juta umat Islam di negara kita. Atas nama kewajiban ugama, umat Islam di Malaysia semestinya mengeluarkan puluhan juta ringgit untuk perjuangan suci ini.

Sekali lagi, usah mengharap dan berangan wang saku kerajaan nasionalis Melayu akan tumpah walau setitik ke Palestin. Jika ia menitik, ia akan jatuh ke anak mata buat mengaburi pandangan mata. Pemimpin nasionalis Melayu ini pula, bila masa mereka cukup duit? Mata mereka tidak melihat kecuali duit.

Allah tidak menerima RM100.00 yang kita keluarkan itu. Allah menerima taqwa di dada kita. Taqwa kitalah yang akan menggapai Tuhan dan ridhaNya. Ertinya, bukanlah RM1 juta yang perlu kita kumpulkan daripada 10,000 umat Islam di Malaysia, bahkan kita memerlukan sejumlah hambaNya yang bertaqwa yang berjuang di atas jalanNya yang benar. Apabila ada taqwa, adalah wang yang dikeluarkan atas nama kewajiban dan jihad.

100 orang kaya di negara kita yang bertaqwa sudah cukup untuk menghantar RM1 juta atau lebih ke Palestin. 1000 umat Islam daripada masyarakat bandar pertengahan yang bertaqwa sudah cukup untuk menghasilkan RM1 juta untuk Palestin.

Jika setiap kita bertekad untuk menggabungkan diri dalam 10,000 umat Islam negara yang tidur bangunnya adalah untuk Palestin dengan berazam menjadikan perjuangan membebaskan bumi suci itu sebagai sebahagian amal jihadnya di hadapan Allah di padang mahsyar kelak, pastinya kita mampu saja menghantar RM10 juta setiap tahun ke sana.

Ia adalah jumlah yang sedikit. Tetapi bayangkan betapa gembiranya rakyat Palestin, terutama para pejuangnya apabila mendengar jumlah wang sebanyak itu datang daripada saudara mereka di Malaysia yang menyokong perjuangan mereka. Bayangkan betapa roh jihad mereka akan semakin panas dan membara buat membakar Yahudi laknatuLlah itu.

Saya membubuh angka agar anda tahu bahawa Allah mengurniakan pahalanya dengan angka dan juga berat. Dua rakaat masing - masing di Masjid Nabawy, di Masjidil Haram dan di Masjidil Aqsa adalah bersamaan lebih ratusan ribu rakaat berbanding dua rakaat dan sujud anda di masjid Putra Jaya atau di balaisah di hadapan rumah anda.

Bukan negara - negara umat Islam yang hidup penuh dayus dan nifaq hari ini yang akan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan. Mereka adalah bagai buih - buih yang dilambung ombak tanpa perlu dihirau hitung berapa beratnya.

Sudikah setiap kita untuk mendaftar diri sebagai pejuang Islam untuk pembebasan Palestin? 

*Sumber : Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz

No comments: