SOALAN:Saya berumur 17 tahun dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), November ini. Ayah saya selalu bermain nombor ekor dan kadangkala dia menang. Dia juga sering melayari Internet untuk melihat sama ada dia menang atau tidak. Duit kemenangan daripada aktiviti perjudiannya itu diberikan kepada saya dan adik-adik yang lain sebagai belanja sekolah.
Saya membeli makanan keperluan harian dengan menggunakan duit tersebut dan sudah tentu ia menjadi ‘darah daging’ saya. Kemusykilan saya adakah segala ibadah dan pembelajaran saya akan diterima oleh Allah SWT kerana memandangkan saya akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun ini?
Jawapan:
Allah SWT mengharamkan perjudian serta hasilnya, perbuatan berjudi hukumnya haram, berdosa besar. Enakmen undang-undang Agama Negeri juga peruntukan hukuman ke atas penjudi. Dalam melihat pengharamannya Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90).
Dalam hadis baginda, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada penghasilan yang haram maka nerakalah tempat yang paling utama baginya”. (riwayat al-Baihaqi, Syu’abul Iman, jld: 5, hlm: 56).
Dalam riwayat yang lain baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan memasukkan ke dalam syurga daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah tempat paling utama baginya”. (riwayat Hakim, al-Mustadrak, no:7162, jld: 4, hlm: 141).
Saudara tidak bersalah kerana saudara masih dalam penjagaan ayah dan saudara masih menuntut di sekolah menengah. Namun makanan yang bersumberkan dari perolehan yang haram akan memberi kesan yang amat negatif kepada saudara sekeluarga.
Ini kerana saya yakin makanan yang baik akan membuahkan hasil yang baik tetapi kalau sumbernya haram pasti hasilnya juga akan mendukacitakan.
Kalau sumber perolehan itu haram seperti hasil dari wang yang diperoleh dari judi, maka ia tetap haram, maka apa sahaja yang dibeli dengan menggunakan duit yang haram maka haram jugalah ia.
Maksudnya baju, seluar yang dibeli dari sumber yang haram juga menjadi haram. Haram bukan kerana sifatnya tetapi haram kerana cara barang itu diperoleh. Namun saudara tidak berdosa. Saudara belum mampu untuk memperolehnya dengan sendiri melainkan saudara berkerja, tetapi sekarang tanggungjawab saudara ialah belajar dan mencapai kejayaan dalam SPM.
Walaupun pada zahirnya sumber itu dari punca yang haram tetapi ia tidak bermaksud ibadah saudara tidak diterima Allah. Allah SWT lebih mengetahui keadaan saudara.
Ibadat saudara sah dari sudut hukumnya, kerana yang bersalah bukan saudara kerana bukan saudara yang berjudi. Bagaimanapun, sedikit sebanyak pasti ada kesan yang tidak baik, sama ada dalam pencapaian pelajaran mahupun kesempurnaan ibadat. Walaupun tidak sekarang, kelak masing-masing akan lihat kesan dari sumber yang haram.
Sebab itu sebagai ibu bapa punca rezeki mestilah di atas landasan yang halal. Jangankan yang haram, barang yang syubhat (yang ada keraguan) pun Islam suruh kita jauhi, inikan pula yang jelas keharamannya.
Namun saudara perlu mencari jalan untuk menghalang ayah saudara dari terus melakukan dosa perjudian. Kalau boleh nasihat itu disampaikan oleh orang yang lebih tua, atau saudara ayah yang ayah segani dan hormati.
Jika dibiarkan dikhuatiri akan mendatangkan kesan yang negatif dan paling ditakuti ialah mengundang kemurkaan Allah. Saya berasa sangat sedih bila ada ayah yang masih mencari rezeki dari sumber yang haram, bukannya dia tidak tahu judi itu haram, tetapi sikapnya yang tidak peduli kepada perintah Allah SWT dan tiada sifat gerun terhadap hukuman-Nya.
No comments:
Post a Comment