Like Blog Ini...

Wednesday, January 14, 2009

Berpegang dengan tradisi

FIRMAN Allah yang bermaksud: Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah, mereka menjawab: "(tidak ), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?" (al-Baqarah: 170)

Huraian

"Tidak, kami hanya mengikuti ajaran-ajaran yang kami dapati diikuti oleh datuk nenek kami". Perkataan atau jawapan inilah yang selalu diulang oleh kaum musyrikin dan Yahudi setiap kali diseru menganut agama Islam dan menerima undang-undang, peraturan-peraturan dan lambang-lambang ibadat Islam serta meninggalkan adat-adat kebiasaan mereka di zaman Jahiliah iaitu amalan-amalan yang diterima dari datuk nenek mereka.

Perbuatan taklid buta terhadap agama nenek moyang mereka dikecam oleh Allah sehingga pada ayat seterusnya dalam surah al-Baqarah digambarkan taklid buta dan kejumudan pemikiran mereka adalah umpama binatang ternakan yang tidak faham suatu apa pun yang dikatakan kepadanya. Walau pun tuannya menjerit kepadanya dia hanya mendengar bunyi suara tuannya sahaja tanpa memahami apa yang dikatakan.

Malah mereka lebih sesat dari binatang, kerana binatang melihat, mendengar dan mempunyai suara, sedangkan mereka pekak, bisu dan buta.

Kesimpulan

Sikap degil kaum musyrikin atau Yahudi yang enggan menerima agama Allah sering diceritakan dalam al-Quran.

Taklid buta mereka kepada kepercayaan dan amalan nenek moyang mereka menghalang dari mendapat hidayah Allah. Walau pun mereka mempunyai fikiran tetapi mereka tidak menggunakannya. Mereka tergolong dalam golongan orang yang rugi sama ada di dunia dan di akhirat.

lDisediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

No comments: