Oleh SITI SHAMSIAH MOHD. SUFI
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia
SEBAGAI manusia, kita bertanggungjawab menjadikan kehidupan kita sebagai sesuatu yang bermakna dengan mewujudkan cita-cita dan matlamat unggul dan berusaha dengan bijak serta bersungguh-sungguh demi mencapainya. Tanpa menafikan bahawa makna kehidupan adalah untuk menikmati keindahan yang terdapat di dalamnya.
Apa pun yang perlu kita lakukan atau apabila kita mempunyai kehendak, membuat perancangan adalah perkara yang sangat perlu.
Contohnya, apabila seseorang berhasrat untuk melaksanakan ibadah haji, sebagai suatu tanggungjawab yang dilaksanakan oleh setiap Muslim sekiranya berkemampuan, perancangan yang tersusun perlu diwujudkan.
Bermula daripada membuat tabungan, mempelajari cara untuk melakukan ibadat itu sehinggalah kepada sekecil-kecil perkara seperti hal penjagaan harta yang ditinggal semasa berada di Tanah Suci.
Perancangan tersusun perlu dibentuk supaya matlamat-matlamat hidup dapat dicapai dengan jayanya dan ia menjadikan kehidupan yang dilalui merupakan kehidupan yang selesa dan tenang.
Sebaliknya, manusia yang mempunyai kehendak tertentu tetapi tidak membuat perancangan akan sentiasa berada dalam keadaan kelam kabut, sentiasa kekurangan wang malah mungkin hutang bertambah.
Perancangan amat berkait rapat dengan faktor masa. Merancang dengan teliti akan menjadikan masa digunakan secara optimum dan tidak berlaku pembaziran.
Sebagai seorang penganut Islam, kita seharusnya dapat menerima nasihat Hassan al-Banna yang menyatakan, tanggungjawab seorang Muslim itu lebih banyak berbanding masa yang dimilikinya.
Terdapat juga pepatah Cina yang mengatakan "masa itu emas tetapi emas tidak mampu untuk membeli masa." Kenyataan itu menunjukkan masa adalah sesuatu yang sangat berharga dalam kehidupan kita.
Begitu juga dengan pepatah Arab yang bermaksud, "sesungguhnya masa itu ibarat pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu."
Antara ciri-ciri manusia yang beriman ialah mereka tahu untuk menghargai masa. Penghargaan terhadap masa menyebabkan seseorang tidak akan melakukan perkara yang sia-sia apatah lagi perkara yang merugikan diri, agama dan masyarakatnya.
Keimanan seseorang akan melahirkan matlamat dan cita-cita yang jelas. Cita-cita, hasrat atau matlamat yang jelas tidak akan terbiar tanpa sebarang usaha. Usaha tersebut adalah himpunan tindakan bijaksana yang semuanya disusun dengan kemas mengikut kesesuaian urutan masa dan keadaan.
Dalam pada itu, setiap orang tentu memiliki matlamat yang unggul dalam tempoh tertentu yang memakan masa atau perancangan jangka panjang. Sebenarnya, perancangan jangka panjang adalah matlamat utama kepada perancangan jangka pendek seseorang.
Ibarat mereka yang bercita-cita hendak mendaki ke puncak Gunung Everest, mereka akan mempunyai kem induk (base camps) pada ketinggian tertentu untuk menjana tenaga dan membuat persediaan untuk mara ke peringkat atau ketinggian seterusnya. Barulah akhirnya mereka bermati-matian mengerah tenaga untuk menyempurnakan pendakian sebagai puncak cita-cita yang sebenar.
Perancangan seharusnya bersifat terancang sebagai suatu daya fikir membina persediaan dan pendekatan usaha secara teratur. Perancangan seharusnya bersifat lentur supaya peralatan atau sumber yang dimiliki atau yang digunakan oleh perancang boleh disesuaikan penggunaannya mengikut perubahan keadaan. Perancangan yang berkesan juga seharusnya memiliki modal yang ekonomi atau berhemat sifatnya.
Matlamat juga seharusnya jelas dan bersifat munasabah. Bagi seorang Muslim matlamat itu secara mudahnya adalah matlamat-matlamat yang selari dengan tujuan syariah. Ini kerana kehidupan di dunia ini akan berakhir dengan menuju hari akhirat; sebagai tempat dan waktu perhitungan dosa pahala manusia.
Perancangan itu juga perlu melalui aliran yang tidak bercanggah dengan agama dan norma-norma masyarakat. Syariah telah memberi garis panduan dan kaedah-kaedah tertentu yang boleh diambil dan digunakan, dan ia tidak seharusnya melangkaui lingkungan yang ditetapkan.
Untuk melaksanakan ibadah atau hendak mencari kejayaan dunia, kita tidak boleh menggunakan barangan curi, menipu, berjudi atau sepertinya.
Lima pesanan serangkai yang disampaikan Baginda Rasulullah SAW kepada umat Baginda; sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati. Ia selalu didendangkan kepada kita sejak kita mula mengenal dunia. Ini sebenarnya asas paling baik dalam kita membina sebarang perancangan untuk mencapai matlamat kehidupan yang diredai Allah SWT.
Maka antara yang kita boleh rumuskan; perancangan dan matlamat harus seiring sifatnya, iaitu bersifat syarie. Malah, tentunya Allah memberi kedudukan dan martabat yang lebih tinggi kepada usaha kita sekiranya matlamat yang hendak dicapai itu merupakan matlamat yang memberi kebaikan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada orang lain juga.
Kesimpulannya, kita harus menggunakan peluang dan juga kesempatan yang ada untuk mencipta cita-cita atau matlamat yang murni. Demi mencapai matlamat tersebut, seharusnya perancangan yang baik dan teratur dibina supaya kita tidak akan merasa kesal apabila peluang atau kemudahan sudah tiada.
Daripada satu sudut lain, jangan pula kita menyesali peluang dan kemudahan yang kita biarkan sebelum ini sehingga kekesalan tersebut menjadikan hati kita berat untuk bertindak.
Jadikan ia sempadan agar pada masa akan datang kita tidak mengulanginya, malah adalah lebih bijak sekiranya kita menjadikannya sebagai pencetus untuk kita menebus semula kesilapan masa lalu. Sambutlah kedatangan setiap hari esok dengan doa dan harapan agar Allah memberikan kita kebaikan di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment