Susunan ZUARIDA MOHYIN
|
|
HIJRAH akidah Islamiah Valerie Wright pada hakikatnya telah bermula lebih awal sebelum beliau sendiri menyedarinya. Dilahirkan dengan masalah pendengaran yang teruk dan cuma disedari ibunya sewaktu dia berusia empat tahun. Semenjak itu, Valerie menerima alat bantuan pendengaran dan memulakan persekolahan khas untuk kanak-kanak pekak yang dicampurkan dengan kanak-kanak normal.
Ikuti kisahnya yang dikongsi menerusi laman web IslamOnline.net bagaimana Islam hadir dalam kamus hidupnya serta beberapa pengalaman rohaniah yang dikira pelik dan unik.
"Pada peringkat awal persekolahan, saya diletakkan sekelas dengan kanak-kanak pekak namun kemudiannya dimasukkan ke kelas kanak-kanak normal. Di situ, saya dibantu menyesuaikan diri oleh seorang guru. Saya terasa seperti di rumah sedangkan tanpa saya sedari perancangan pihak sekolah untuk menukarkan saya ke sekolah awam aliran utama.
"Sebaik berada di sekolah tersebut, saya menghadapi kesukaran menyesuaikan diri, apatah lagi kekerapan saya berpindah rumah menambah burukkan keadaan. Akhirnya, di kelas pertengahan, saya berjaya temui kestabilan.
"Saya tinggal di sebuah pekan kecil di Texas, Amerika Syarikat yang dipanggil Wylie. Pada usia kira-kira 12 tahun, saya mempunyai seorang guru Bahasa Inggeris yang begitu istimewa. Dia berasal dari Turki.
"Guru itu datang ke pekan kami melalui program pertukaran. Sungguhpun dia tidak pernah bercerita tentang agama dalam kelas kami namun mengenalinya sudah mencukupi. Dia memperkenalkan kami dengan projek rakan pena dengan pelajar dari Turki.
"Nama rakan pena saya ialah Yasemin. Sehingga kini, saya masih menyimpan kad yang dihantar kepada saya. Di atas kad itu tergambar lukisan masjid dan gereja sebelah-menyebelah. Signifikan daripadanya tidak jelas pada saya ketika itu tetapi ia adalah satu daripada banyak petanda yang Allah telah memilih saya untuk menerima hidayah-Nya.
"Ditambah pula, pada saat itu saya terlalu ingin hampir dengan Tuhan, mengakui-Nya dan menerima kasih sayang daripada-Nya. Saya mula melibatkan diri secara serius di gereja milik datuk saya. Datuk dan adik-beradiknya yang lain dibesarkan sebagai Pentekosta (Christianity) dan bapa datuk dan abangnya adalah paderi.
"Setiap tengah hari sebaik balik dari sekolah saya akan bermain piano. Saya bermain untuk Tuhan dan demi mencari kedamaian diri. Pernah suatu ketika, ketika asyik memainkan piano, saya terasa seperti Tuhan hadir dalam bilik kecil itu, saya terhenti menyanyi dan jari jemari saya kaku seketika. Saya mula menggigil dan terpaku kaku. Kemudian, naluri saya seakan menyuruh saya berpaling daripada piano dan meniarap.
"Saya mengakui saya tidak mungkin menjadi sempurna tetapi perasaan saya masih tidak tenteram. Kesunyian dan gementar menyelubungi jiwa ini. Saya hanya berharap agar Tuhan menjadikan saya istimewa dan mengabdikan diri kepada-Nya. Beberapa minit kemudian, barulah saya mampu menarik nafas panjang, berdiri dan meneruskan aktiviti seperti biasa," ceritanya.
Keanehan
Satu lagi keanehan yang dialami iaitu di mana ibu bapa dan murid-murid berkumpul pada majlis penyampaian hadiah akademik di sekolah. Selepas habis acara, ibu memberitahu bahawa ada seorang perempuan tua yang tidak dikenalinya menghampirinya sewaktu saya naik ke atas pentas untuk menerima anugerah.
Kata ibu, perempuan tua itu memberitahu bahawa sebaik sahaja dia melihat saya, dia mengetahui bahawa Tuhan mempunyai perancangan untuk saya. Sejak itu, saya selalu terfikir apakah mungkin perancangan-Nya untuk saya.
"Pada masa yang sama, saya tertekan dengan banyak sangat larangan di Gereja Pentekosta. Saya tidak berapa memahami begitu jelas tujuan mereka. Saya juga sedikit keliru dengan apa yang terdapat di Injil dan apabila diminta penjelasan, selalu mengecewakan. Malah persoalan yang diujarkan itu sentiasa dibantah. Maka ibu dan saya bertukar ke gereja lain.
"Sekali lagi dalam dua majlis, ibu dihampiri dua orang yang tidak dikenali memberitahu perkara yang sama seperti perempuan tua tadi.
"Saya masih ingat di mana saya meminta untuk bersemuka dengan paderi untuk membincangkan sesuatu. Salah satu soalan saya ialah, "Adakah saya akan ke syurga. Paderi itu bertanya: "Adakah saya mempercayai Nabi Isa? Saya menjawab: Ya. "Jadi anda akan ke syurga," jawabnya.
Jauh di sudut hati saya saya tidak berpuas hati dengan jawapannya. Saya meraguinya. Musim panas kembali lagi dan saya mengikuti perkhemahan gereja, di mana dua insiden penting berlaku.
Pertama, seorang paderi menyuruh kami yang berharap untuk lebih hampir dengan Tuhan agar ke hadapan. Kerana katanya dia akan membantu mendoakan bagi pihak kami. Maka saya adalah salah seorang daripada mereka itu. Lantas paderi itu, meletakkan tapak tangannya di atas ubun-ubun kepala kami seorang demi seorang sambil membuat rayuan. Tiba-tiba sesuatu yang ganjil berlaku. Semua daripada kami jatuh seperti sebuah domino. Paderi itu datang kepada saya dan menepuk ubun kepala saya dan menolak saya sedikit. Sebahagian daripada kami sahaja yang mampu berdiri semula. Perkara pelik ini benar-benar membingungkan.
Selain itu, semasa kami mendengar ceramah penuh emosi daripada seorang paderi tiba-tiba dia datang ke hadapan saya dan memanggil nama saya lalu memberitahu bahawa Tuhan mahu memulihkan pendengaran saya. Lantas, dia meletakkan tangannya di telinga saya sambil berdoa. Tidak ada apa yang berlaku dan saya rasa sungguh malu.
Pada keesokannya, seorang pelajar bertanya adakah kemungkinan Nabi Isa tidak menjawab doa kita. Katanya: "Tuhan menjawab segala doa. Tetapi ada ketikanya kita tidak mempunyai kepercayaan yang mencukupi untuk menerimanya," sambungnya. Ibu saya dan saya begitu berduka cita dan kami meninggalkan gereja itu pula.
"Saya hanyut seketika dengan tidak menghadiri mana-mana aktiviti gereja. Saya rasa seperti kehilangan dan terus jatuh. Walau bagaimanapun, saya silap.
Pada usia 15 tahun, saya tinggal dengan bapa selama lebih kurang dua setengah tahun lamanya. Sepanjang tinggal dengan bapa saya terlibat pula dengan Gereja Methodist. Kadang kala saya mengikuti ibu tiri ke Gereja Baptist.
"Setiap kali berada di kedua-dua gereja ini saya merasakan sesuatu kehilangan walaupun semua orang di situ menerima saya. Saya selalu merasakan tidak ada keserasian di situ. Pun begitu, tidak terlintas untuk mencari ke dalam agama lain.
"Apabila saya mencecah 17 tahun, saya bermimpi berdiri bersebelahan dengan rimbunan pohon hijau yang berdaun kecil serta berbunga kuning. Saya melihat bidadari mengambil sejambak bunga-bungaan itu dan memberikannya kepada saya. Bunga itu bersinar. Kemudian, bidadari itu membawa saya terbang ke satu tempat yang istimewa.
"Di situ, terdapat ramai orang dewasa dan kanak-kanak, mereka dalam keadaan gembira. Mereka keluar apabila kami (saya dan bidadari) masuk ke dalam demi memberi kami privasi. Seorang tua yang muncul dalam mimpi saya itu memberitahu bahawa saya perlu terlebih dahulu membuat perubahan di dalam hidup. Kata-katanya begitu menakutkan memandangkan tidak mengetahui kemampuan dan kekuatan diri.
Bidadari
Saya berpaling kepada bidadari tadi lalu berkata: "Saya tidak tahu adakah saya mampu melakukannya". Bidadari terus mengangkat dan mencampakkan saya ke udara dan di situlah mimpi saya berakhir.
Menghampiri hari terakhir persekolahan, saya menghadiri majlis perpisahan seorang teman warga asing yang mengikuti program pertukaran pelajar. Seorang ibu kepada kenalan saya memberitahu apabila anak perempuannya bercerita tentang saya dia sudah dapat merasai bahawa Tuhan sudah perancangan-Nya untuk saya.
Masa berlalu dan saya hampir menamatkan pengajian sekolah tinggi. Pada ketika itulah saya bertemu dengan beberapa Muslim dan mempunyai hubungan begitu rapat dengan mereka. Sejak itu saya mula berminat mengetahui tentang agama dan bahasa mereka.
Satu-satunya kelas yang dirasakan sesuai dengan jadual harian saya ialah yang dibuat di sebuah masjid tempatan. Jadi saya ke sana. Saya tidak mempelajari tentang bahasa Arab tetapi seorang rakan wanita di situ mengajar saya tentang agama Islam. Mereka menyediakan saya dengan jawapan yang begitu ringkas dan amat logikal. Akhirnya, saya mengakui bahawa Islam adalah agama yang saya cari-cari selama ini.
Jadi pada ulang tahun kelahiran yang ke 19 saya secara sah melakukan syahadah. Sebaik mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah saya melonjak gembira dan serasa seakan saya terbang di udara.
Setelah bergelar Muslim, saya rasa lebih aman dan tenang. Papa peringkat permulaannya, keluarga agak kecewa dengan keputusan saya namun kasih sayang mereka tidak pernah surut. Ada di antara mereka sudah mula memahami tentang agama Islam, sekali gus menerima pilihan saya itu. Syukur kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment