Susunan SITI AINIZA KAMSARI
MENYEBUT mengenai institusi ibu susuan, sehingga ke hari ini ia kedengaran masih terlalu asing apatah lagi menjadi satu amalan sebagai satu kaedah berkesan bagi memastikan bayi-bayi dapat tumbuh dan membesar dengan lebih sihat dan kuat.
Tidak kurang yang sinikal dengan berkata institusi ibu susuan, merupakan satu budaya Arab Jahiliah sekalipun Nabi Muhammad SAW antara yang mendapat khidmat tersebut dalam tempoh dua tahun, iaitu tempoh susuan yang paling baik buat seorang bayi.
Oleh kerana ia menjadi satu amalan dalam budaya Arab Jahiliah maka dikatakan adalah tidak sesuai untuk kita contohi. Adakah benar begitu?
Kita telah mendengar dan mengetahui sebelum ini, mengenai kisah Nabi Muhammad yang semasa umur bayinya disusui oleh ibu susuan, malah telah dipisahkan daripada ibunya, Siti Aminah. Baginda menjalani kehidupan dalam suasana yang kedesaan, jauh dari kesibukan Kota Mekah.
Susu ibu adalah yang paling berkhasiat dan terbaik untuk pertumbuhan bayi dan kanak-kanak. Selain telah menjadi hak setiap bayi untuk menyusu dengan susu badan, iaitu bukan dengan susu lain termasuk diperah segar dari sumber haiwan ternakan terutamanya lembu atau susu formula, khasiat susu itu tidak perlu diceritakan lagi.
Malah jika tidak cukup oleh ibu sendiri akan dicari ibu susuan bagi memastikan bayi-bayi mereka menikmati khasiat hanya dari susu ibu itu.
Namun, susu sahaja tidak memadai, bagaimana dengan persekitaran luar dan dalam rumah yang sihat untuk anak-anak itu membesar dengan baik tanpa dipengaruhi oleh sebarang elemen-elemen yang cemar, kotor yang bakal memberi kesan kepada pertumbuhan fizikal dan mental bayi walaupun baru dilahirkan?
Perkara ini dipandang dengan begitu serius oleh masyarakat Arab walaupun mereka dilabelkan sebagai jahil.
Terbaik
Oleh kerana itu mereka memperkenalkan ibu susuan, yang sama sekali tidak bermakna susu ibu untuk didagangkan. Malah ada yang membawa bayi mereka ke ceruk-ceruk desa bagi mencari ibu susu yang boleh berkongsi susu dengan bayi yang datangnya dari kota semata-mata bagi memastikan si bayi mendapat yang terbaik sahaja untuk tempoh pembesaran yang penting itu.
Nabi Muhammad juga tidak terlepas dari menjadi sebahagian dari amalan ini walaupun pada awalnya baginda telah disusui oleh ibunya sendiri, Siti Aminah dan diikuti Thuwaibah, hamba perempuan milik bapa saudara baginda, Abu Lahab yang ketika itu sedang menyusui bayinya sendiri, yang bernama Masruh.
Namun Nabi Muhammad masih perlu disusui dalam suasana yang lebih baik berbanding di Kota Mekah walaupun kota tersebut merupakan kota Ibadat dan menjadi tumpuan oleh ramai pengunjung setiap tahun yang datang untuk mengerjakan haji dan menemui mereka yang alim dan kuat beribadat di situ.
Lalu, keluarga Rasulullah terutama datuk baginda, Abdul Mutalib mencari-cari ibu susu untuk menyusukan cucunya itu yang antara lain bertujuan supaya baginda Rasulullah tidak dijangkiti penyakit-penyakit sama ada dari serangan virus atau kuman mahupun penyakit yang merosakkan pemikiran.
Di samping sebenarnya, menghantar bayi ke desa-desa adalah penting bagi memastikan si anak mempelajari bahasa Arab jati, fasih dan asli.
Lalu siapakah wanita desa yang bertuah dapat menyusui baginda dan dapat menyaksikan sendiri Nabi Muhammad membesar di tangannya?
Tentu sekali nama yang telah sering menjadi sebutan, Halimah atau dikenali juga Halimatus Saadiah (kerana berasal dari Bani Saad) binti Abu Dhuayb, isteri kepada al Harith bin Abdul Uzza yang terkenal dengan gelaran Abu Kabsyah dari kabilah yang sama.
Namun tahukah anda, Nabi Muhammad sebelum disusui oleh Halimah, sebenarnya tidak mendapat tempat di hati ibu-ibu susu dari desa yang datang ke Kota Mekah semata-mata untuk mencari bayi yang hendak mereka susui.
Hanya kerana baginda anak yatim. Setiap dari mereka ditawarkan untuk menyusukan Nabi Muhammad tetapi kesemuanya enggan menerima baginda apabila sebaik sahaja mendapat tahu bahawa bahawa bayi itu seorang anak yatim.
Ini kerana mereka lazimnya juga mengharapkan agar mendapat sesuatu kebaikan dari bapa si bayi, jika sekadar dari datuk dan ibu si bayi pastinya tidak mendatangkan yang lumayan buat mereka.
Lalu diceritakan Halimah antara wanita-wanita dari desa Bani Saad yang beramai-ramai keluar dan menuju ke Mekah untuk mencari bayi dan dibayarkan upah apabila mereka menyusui bayi-bayi itu.
Mereka terpaksa keluar untuk mencari upah itu akibat tekanan dari musim kemarau yang menimpa kampung mereka.
Halimah dan suaminya bersama seekor keldai tua, bernama Qamra dan unta betina yang juga sudah tua dan telah kering susunya menuju ke Mekah dengan penuh kepayahan.
Mereka sering terpaksa berada dalam kelaparan kerana tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan unta yang tidak lagi mampu mengeluarkan susu.
Setiba di Mekah, Halimah merupakan ibu susuan yang sanggup menerima Nabi Muhammad setelah ibu-ibu lain enggan menerima baginda kerana status anak yatim yang dimiliki oleh baginda itu.
"Demi Allah, saya tidak akan pulang semula ke desa tanpa seorang bayi pun untuk saya susui," katanya kerana kesukarannya untuk mendapatkan bayi untuk dibawa pulang.
Tuah si bayi
Halimah sama sekali tidak mengetahui gerangan tuah si bayi kecuali mengambil baginda kerana Nabi Muhammad satu-satunya bayi yang masih tinggal minta untuk disusui oleh ibu-ibu susu.
Namun suami Halimah berkata: "Tidak ada salahnya kamu mengambil bayi itu, mudah-mudahan Allah memberikan kita keberkatan pada bayi itu," kata Al Harith.
Lalu Halimah membawa Nabi Muhammad yang masih bayi itu untuk disusui walaupun dirinya dalam keadaan yang serba kekurangan termasuk susu badannya yang semakin berkurangan.
Namun dihulurkan juga kepada Nabi Muhammad untuk menyusu badan dan tidak semena-mena didapati bayi itu menyusu dengan enak dan puas seolah-olah terdapat banyak bekalan susu dari badan si ibu susuan itu.
Sehinggakan Rasulullah kemudiannya dapat tidur dengan lena seperti kekenyangan dan cukup bekalan susunya.
Malah ketika suami Halimah keluar, melihat unta betinanya yang sudah tua itu didapati unta itu juga dapat mengeluarkan susu dengan banyak sehingga tidak tertampung untuk diminum.
Ini membolehkan Halimah sendiri dapat menambahkan bekalan susu dalam badannya apabila beliau sendiri dapat minum susu unta dengan banyaknya.
Pada keesokan paginya, Al Harith berkata kepada isterinya: "Demi Allah, ketahuilah Halimah, sesungguhnya engkau telah mengambil seorang manusia yang sangat diberkati. Jika tidak manakan engkau dapat menyusukan bayi ini dengan bekalan yang banyak dan unta yang tiba-tiba juga mengeluarkan susu dengan begitu banyak sekali," katanya.
Tanda-tanda keberkatan dan kelebihan Rasulullah tidak henti setakat itu sahaja, sebaik tiba di perkampungan Bani Saad lebih banyak keajaiban yang berlaku.
Sedangkan kampung itu paling teruk di landa kemarau, tetapi didapati kambing-kambing peliharaan Halimah dan suaminya, yang ditinggalkan sepanjang pemergian mereka ke Mekah turut mengeluarkan susu yang banyak.
Seolah-olah kambing-kambing itu dapat meragut rumput-rumput sedangkan kesemua tumbuhan dan rumput mati akibat musim kemarau yang melanda.
Sejak mengambil Nabi Muhamad sebagai anak susunya, hidup Halimah sekeluarga benar-benar berubah kepada yang lebih baik berbanding orang lain.
Limpahan rezeki
Beliau menikmati limpahan rezeki dan kemudahan dengan menyusui bayi yang mulia itu dan Rasulullah sendiri sepanjang di bawah jagaan keluarga Halimah tidak pernah menyusahkan atau memberi sebarang kesukaran kepada mereka.
Baginda tumbuh sebagai bayi yang tidak sahaja sihat dan kuat malah telah menunjukkan tanda-tanda kenabian dengan tidak banyak menimbul ragam dan kerenah kecuali anak yang mudah diuruskan dan dijaga.
Malah baginda dengan sendiri untuk memutuskan susuan sebaik sahaja menjejak usia dua tahun.
Ini menyebabkan Halimah berasa dukacita kerana bermakna beliau terpaksa berpisah dengan anak itu dan mesti dikembalikan kepada waris baginda.
Lalu beliau suami isteri sekali lagi menemui Siti Aminah dan menyatakan hasrat mereka untuk terus memelihara si bayi dengan menjadikan alasan tidak mahu dijangkiti sebarang wabak penyakit yang menyerang Kota Mekah.
Pujukan demi pujukan menyebabkan Siti Aminah mengalah dan membenarkan supaya Halimah terus memelihara anaknya itu apabila beliau melihat sendiri puteranya itu kelihatan begitu sihat, cergas dan kuat.
Pulanglah Halimah dengan penuh gembira dan rupa-rupanya kepulangannya bersama Nabi Muhammad mencatatkan satu lagi peristiwa yang benar-benar di luar dugaan, iaitu anak susuannya itu diberitahu oleh penduduk kampung, telah dibunuh orang!
Benarkah Nabi Muhammad telah dibunuh sebagaimana yang disaksikan oleh penduduk kampung Bani Saad? Ikuti keluaran selanjutnya!.
No comments:
Post a Comment