Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
Bagi sebuah syarikat, produktiviti adalah ukuran penting kepada keberhasilan dan pencapaian. Namun, daripada kaca mata Islam, sesebuah organisasi itu tidak cukup jika diukur hanya daripada sudut produktiviti.
Pada kaca mata Islam, sesebuah syarikat itu juga perlu dilihat pada sudut penerapan dan pembudayaan akhlak mulia di kalangan warga kerja.
Sesebuah syarikat itu sepatutnya tidak dianggap berjaya sekiranya mempunyai kakitangan yang runtuh akhlak dan rendah moral sekalipun mendapat keuntungan yang tinggi.
Ini kerana jika pembudayaan akhlak yang baik diabaikan lama kelamaan akan menimbulkan masalah dan seterusnya akan menjejaskan reputasi syarikat di mata masyarakat.
Akhlak menurut pandangan Imam Ghazali adalah suatu keadaan yang tertanam dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian.
Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syarak dan akal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia.
Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
Menanamkan akhlak yang baik dengan sempurna adalah merupakan motif utama perutusan Rasulullah SAW kepada manusia. Nabi bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (riwayat Bukhari)
Penerapan akhlak mulia yang dibawa Rasulullah SAW perlu dihayati bagi menjamin kreativiti serta kualiti pentadbiran secara efektif dalam sesebuah organisasi.
Langkah ini akan menambahkan lagi komitmen warga kerja ke arah mencapai matlamat serta memperkasakan lagi imej organisasi.
Masyarakat di zaman jahiliah telah mempunyai akhlak seperti memuliakan tetamu dan menepati perjanjian.
Namun, ia tidak mempunyai nilai ganjaran pahala kerana mereka tidak mempunyai keimanan kepada Allah.
Justeru, Rasulullah SAW diutus bukan sahaja untuk menyemai benih akhlak yang mulia, tetapi yang lebih utama ialah memayungi akhlak tersebut dengan lembayung akidah dan keimanan kepada Allah.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat tinggi. (al-Qalam: 4)
Setiap organisasi sama ada dalam kerajaan atau swasta bertanggungjawab membentuk pasukan pengurusan yang diyakini mantap dalam usaha meningkatkan daya pengeluaran.
Mereka perlu membuat pengambilan pekerja berdasarkan spesifikasi tertentu bagi memastikan warga organisasi mampu melaksanakan piawaian yang ditetapkan.
Stoner dan Wankel dalam buku Pengurusan (Terjemahan Yaakob Ibrahim) menerangkan bahawa terdapat empat kaedah umum untuk meningkatkan daya pengeluaran.
Kaedah-kaedah itu adalah pembaikan dalam proses pengeluaran, pembaikan kerja dan tugas, pembaikan dalam dorongan pekerja dan perubahan organisasi.
Menurut penulis itu lagi, antara semua kaedah itu, didapati pembaikan dan dorongan pekerja menjadi kunci utama dalam meningkatkan daya pengeluaran.
Pekerja menjadi tumpuan kerana mereka adalah kumpulan majoriti dan pelaksana utama dalam sesebuah organisasi.
Menghayati konsep ihsan
Islam memberi perhatian yang cukup tinggi terhadap usaha meningkatkan kualiti daya pengeluaran. Islam memperkenalkan konsep ihsan bagi menggalakkan manusia membudayakan kerja dengan cemerlang.
Ihsan secara kasar bermakna membuat baik dengan cemerlang atau sempurna. Ia hadir hasil dari perasaan merasa diri diperhatikan, dipantau dan dinilai oleh Allah.
Demikianlah sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW apabila baginda didatangi malaikat Jibril yang bertanyakan mengenai Islam, iman dan ihsan.
Baginda menjelaskan: Ihsan itu adalah hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak melihat-Nya sekalipun, maka sesungguhnya Allah tetap melihat kamu. (riwayat Muslim).
Bekerja atau melakukan sesuatu kerja dengan sebaik mungkin selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencintai jika seseorang melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan dengan itqan (profesional dan terbaik)". (riwayat Baihaqi)
Antara budaya akhlak yang perlu ditanam dalam diri kakitangan ialah sentiasa berlumba-lumba dalam membuat kebaikan.
Suasana persekitaran tempat kerja perlu membantu ke arah persaingan secara baik di kalangan mereka.
Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Baqarah: 148)
Konsep muhasabah juga perlu dibudayakan untuk mendorong kakitangan membaiki diri atau meningkatkan kualiti kerja dari masa ke semasa.
Jika berlaku kesilapan, kakitangan diberi peluang memberi penjelasan dan seterusnya memperbetulkan kesilapan dan tekad untuk tidak mengulanginya.
Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Maka sesiapa yang bertaubat sesudah dia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Maaidah: 39)
Beberapa contoh akhlak ini sangat penting untuk diambil perhatian oleh semua yang terlibat dalam membangunkan organisasi.
Sebenarnya, kebanyakan syarikat yang menanggung kerugian bukanlah disebabkan kurangnya produktiviti, tetapi kerana masalah akhlak yang gagal diutamakan dan ditekankan.
No comments:
Post a Comment