Oleh NURUL IZZAH SIDEK
RASULULLAH SAW adalah sumber qudwah (contoh) bagi umat Islam dan umat manusia. Para remaja juga terkait sama kerana para remaja sering mencari 'idola' dan 'diva' untuk dijadikan contoh dalam kehidupan. Kamus Webster menyebutkan idola (idole) adalah imej ketuhanan.
Ia bercanggah dengan konsep Islam yang meletakkan Rasulullah sebagai qudwah atau sebagai sumber contoh.
Majalah Times pernah menyenaraikan Rasulullah SAW antara tokoh agung dan berpengaruh sepanjang zaman, setanding dengan tokoh-tokoh yang memperjuangkan keadilan dan keamanan seperti Mahatma Ghandi, Nelson Mandela dan sebagainya. Walaupun ia dianggap sebagai pengiktirafan orang Barat terhadap Rasulullah SAW, namun remaja Islam harus memahami bahawa hakikatnya baginda adalah seorang manusia istimewa yang dipilih oleh Allah untuk memberi rahmat pada sekelian alam dan bertindak serta menjalankan amanah dengan bimbingan terus daripada Allah SWT. Ini menjadikan Rasulullah lebih istimewa dan sebenarnya tidak sama seperti 'idola' atau tokoh-tokoh yang lain walaupun Rasulullah juga adalah manusia seperti kita.
Sumber contoh ini memang amat penting bagi manusia khususnya remaja. Tanpa qudwah, atau sumber ikutan (ikon) seperti yang disebut sesetengah orang hari ni, manusia akan hilang pedoman. Ibu bapa adalah ikon terawal dalam hidup kita dan membentuk kita sama ada menjadi anak yang baik atau anak-anak-anak terbiar dan menjadi sebaliknya. Para murid dan pelajar menjadikan guru atau pensyarah sebagai sumber contoh mereka kerana tanpa guru dalam hidup kita ini siapalah kita. Para pemimpin juga menjadi sumber ikutan dan ketaatan rakyat. Tanpa pemimpin yang baik dan bijaksana, tidak mungkin negara terurus dengan baik.
Bagi masyarakat Islam Rasulullah SAW dilihat sebagai contoh terbaik (qudwah hasanah). Risalah nubuwwah (kenabian) ialah untuk menyampaikan rahmat kepada sekelian alam, 'Rahmatan lil alamin'. Para rasul juga dihantar membawa risalah akhlak kepada manusia. Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah SAW bila ditanya mengenai akhlak Rasulullah, menggabungkannya dengan akhlak al-Quran (khuluqul Quran).
Kita harus menyedari bahawa anak-anak dan para remaja tidak tiba-tiba lahir dan membesar dalam keadaan pandai dan bijaksana tanpa bimbingan orang lain. Naluri setiap remaja ingin mencontohi dan meneladani sesuatu yang digemarinya. Ada yang menjadikan bintang filem, artis, penyanyi sebagai 'idola' masing-masing. Tetapi ia dalam zaman 'kegilaan' remaja. Akhirnya para remaja akan mencari sumber contoh yang sesuai dengan fitrah dirinya. Remaja akan menjadi dewasa, berumah tangga, bekerja di pejabat, berjuang dalam masyarakat memerlukan sumber contoh yang terbaik dalam hidupnya.
Allah telah menghantar Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik bagi remaja Islam. Sepanjang hayat Rasulullah, fitrah dirinya terjaga baik tidak menyembah berhala sehingga wataknya membawa watak damai (Al-Amin). Zaman mudanya, baginda cenderung terlibat dalam perniagaan dan menyendiri untuk merenung mengenai hidup dan hakikat kehidupan. Justeru apabila al-Quran diturunkan kepada baginda, itulah titik tolak yang amat bermakna untuk dirinya dan seluruh umat manusia.
Selama 23 tahun menyebarkan akidah dan syariat, menerusi pekerti yang baik, dakwah yang bijaksana ia telah menyebabkan Islam berkembang di bumi Arab. Terlalu banyak jasa dan pengorbanan, jihad dan pengalaman yang menjadikan sirah para Nabi dan Rasulullah SAW diingat dan dikenang oleh umat Islam sepanjang zaman.
Para remaja Islam harus bersifat reflektif bukan sekadar nostalgik tentang perjuangan Nabi. Reflektif bermakna para remaja harus mampu merenung dan mengkaji bagaimana Rasulullah SAW mampu menjadi pemimpin contoh, pendakwah terbilang, panglima yang cemerlang kepada umat Islam.
Daripada pergaulan dengan isterinya, kasih sayang kepada cucunya, belas kasihannya kepad orang tua, kasih sayang terhadap bapa saudaranya Abu Talib sehinggalah mampu mendidik Bilal bin Rabah dan Sulaiman Al-Farisi menyebabkan watak Rasulullah SAW dikagumi dan memberikan impak yang besar terhadap akhlak manusia.
No comments:
Post a Comment