Teks & foto ZAINIE MOKHTAR
Surau Jumaat Al-Hijrah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Kepong, Kuala Lumpur memanfaatkan sambutan Maulidur Rasul 1433H lalu dengan pelbagai aktiviti bagi menarik minat golongan kanak-kanak dan remaja mendekati surau, sekali gus menggalakkan mereka beribadat.
Antara program yang dijalankan ialah pertandingan futsal kanak-kanak dan veteran, pertandingan mencungkil bakat muazin remaja dan pertandingan memancing terbuka.
Pengerusi surau, Ab. Aziz Sidek berkata, program itu bertujuan mengajak masyarakat Islam terutama di kalangan kanak-kanak dan remaja agar terus berminat mendekati surau dan turut mengerjakan ibadat.
Katanya, beliau tidak mahu sambutan Maulidur Rasul berlalu begitu sahaja tanpa meninggalkan sebarang kesan positif jangka panjang terutama kepada golongan remaja.
Tambahnya, dengan program seperti itu, golongan kanak-kanak dan remaja berpeluang bermesra dan bekerjasama dengan ahli jawatankuasa surau, sekali gus membangkit minat mereka untuk terus mengikuti segala aktiviti anjuran surau pada masa akan datang.
"Surau bukan sahaja tempat beribadat tetapi juga boleh melakukan pelbagai aktiviti sampingan seperti sukan atau lain-lain pertandingan yang bersesuaian.
"Sambutan Maulidur Rasul kali ini dilihat sebagai masa yang sesuai untuk memulakan program menarik minat kanak-kanak dan remaja menyertai program seperti ini," katanya.
Dalam pertandingan futsal anjuran surau itu, ia melibatkan 12 pasukan mewakili lima blok PPR Intan Baiduri iaitu enam pasukan bawah 12 tahun dan enam pasukan bawah 17 tahun termasuk empat pasukan veteran berusia 40 tahun ke atas.
Pertandingan memancing terbuka di tasik berdekatan pula melibatkan 33 peserta yang terdiri daripada remaja dan dewasa kesemuanya adalah warga PPR Intan Baiduri.
Acara futsal dan memancing diadakan awal iaitu pada 1 Februari lalu dan dirasmikan oleh Pengurus Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Zon 3, Mohd. Salleh Razali.
Pertandingan muazin yang diadakan pada 4 Februari lalu pula melibatkan 27 peserta berusia bawah 15 tahun. Ia bertujuan menyediakan golongan pelapis bilal berpotensi.
Sementara itu, Setiausaha surau, Ar Razak Sahimi berkata, selain pertandingan, program juga diisi dengan acara perarakan melibatkan hampir 1,000 peserta terdiri daripada wakil lima blok PPR berkenaan termasuk murid-murid KAFA dan pelajar GiatMara Kepong.
Katanya, perarakan bermula dari perkarangan surau mengelilingi enam blok PPR sejauh satu setengah kilometer.
Beliau berkata, perarakan itu juga memilih kontijen terbaik bagi membangkitkan semangat peserta untuk menjadi pasukan yang terbaik.
Katanya, di akhir sambutan Maulidur Rasul itu diadakan ceramah agama pada sebelah malamnya serentak dengan penyampaian hadiah dalam pertandingan yang diadakan.
Tambahnya, hadiah berupa wang tunai, barangan elektrik dan hamper sumbangan pihak swasta antaranya Pasaraya Mydin, Pertubuhan Ehsan Kasih, syarikat minyak Shell dan Petronas.
"Tujuan sebenar kami mengadakan beberapa pertandingan ini adalah menarik minat kanak-kanak dan remaja untuk menyertai pelbagai program anjuran surau sekali gus menyediakan mereka sebagai pewaris kepimpinan.
"Dalam pertandingan muazin contohnya, peserta berjaya menjadi johan dan naib johan akan dijadikan bilal muda di PPR ini sekali gus diharap dapat menarik minat rakan-rakan mereka untuk aktif dengan aktiviti surau," jelasnya.
Ar Razak menambah, pihak surau merancang menjadikan pertandingan seperti ini sebagai acara tahunan bagi memberi peluang kepada remaja supaya terus menyertai aktiviti anjuran surau.
No comments:
Post a Comment