Oleh HASSAN MOHD. NOOR
SEBAIK melangkah keluar dari balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, delegasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mula terasa kedinginan yang teramat sangat, lebih-lebih lagi waktu itu hampir pukul 5 pagi (lebih kurang 11 pagi waktu Malaysia). Suhu dianggarkan 13 darjah celsius.
Kami disambut oleh pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir. Tidak ketinggalan Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah, Syeikh Zainul Jamal Abdul Ghani yang menjadi tuan rumah kepada delegasi yang diketuai oleh Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir.
Turut sama dalam program turun padang itu ialah Ketua Pegawai Operasi, Dr. Abdul Ghani Mohamad; Ketua Pegawai Liaison, Mohd Noor Abd Rahman; Pengurus Besar Analisa & Penyelidikan, Mohd Shauki Abd. Majid; Pengurus Besar Operasi, Kapten Dr. Shamsuddin Moner; Pengarah Dakwah, Sheikh Ismail Hashim, Penolong Pengarah, Fadhullah Abd Wahid dan Prof. Sudirman Muhammad Johan dari Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau.
Selesai segala urusan, delegasi dibawa menaiki bas menuju Hafez Badawi Street di Nasr City. Di dalam bas, Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK), Shazril Hanis Salmi menjadi 'pemandu pelancong' dengan memberi sedikit penerangan mengenai Mesir.
Tidak terkecuali mengenai suasana yang masih 'panas' di bumi para anbia itu selepas revolusi Januari tahun lalu.
Perjalanan ke destinasi berjalan lancar. Tiada kesesakan, mungkin masih awal pagi. Tempat yang dituju bukannya hotel lima bintang tetapi hostel pelajar Kedah atau dikenali sebagai Rumah Kedah.
Bangunan 11 tingkat itu menjadi penginapan delegasi sepanjang program Yadim mendekati pelajar-pelajar di luar negara.
Sambutan mesra anak-anak Kedah menandakan penerimaan yang baik. Nasi lemak menjadi sarapan pagi yang disediakan oleh mereka. Delegasi dibahagi dua kumpulan. Satu kumpulan menginap di blok itu sementara satu kumpulan lagi di satu lagi blok Rumah Kedah yang terletak berhampiran.
Program ini sepatutnya berlangsung awal tahun lalu. Bagaimanapun terpaksa ditangguhkan selepas rusuhan di Dataran Tahrir atau Revolusi 25 Januari yang membawa kepada kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.
Ketika itu para pelajar Malaysia terpaksa dihantar pulang menggunakan pesawat komersial dan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Mesir yang menjadi tumpuan kira-kira 11,000 anak Melayu Islam menuntut di Al-Azhar terpaksa ditingggalkan sementara waktu. Demi keselamatan, para pelajar Malaysia terpaksa pulang.
Kini selepas setahun, mereka kembali meneruskan pengajian masing-masing di Al-Azhar dalam pelbagai bidang. Tidak ketinggalan bidang perubatan.
Namun, suasana di Mesir sebenarnya masih 'panas' dengan siri tunjuk perasaan secara kecil-kecilan di Dataran Tahrir. Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja siri tunjuk perasaan. Kemuncaknya apabila berlaku rusuhan bola sepak di Stadium Port Said yang membawa kepada satu lagi demonstrasi yang besar selepas insiden 25 Januari 2011.
Bagaimanapun Duta Besar Malaysia di Mesir, Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti berkata, Mesir sebenarnya masih selamat.
Namun, beliau mengakui masih ada persepsi yang mengatakan Mesir tidak selamat. Kawasan 'panas' hanyalah sekitar Dataran Tahrir yang menjadi tempat penduduk yang tidak puas hati dengan pemerintah meluahkan perasaan mereka.
Justeru katanya, para pelajar Malaysia di Mesir diingatkan supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang tunjuk perasaan sama ada yang diatur oleh penduduk tempatan atau rakyat Malaysia di negara itu.
"Langkah ini juga bagi menjaga hubungan baik Malaysia - Mesir yang sudah lama terjalin sejak tahun 1960," katanya pada pertemuan dengan delegasi Yadim di pejabatnya, baru-baru ini.
Beliau berkata, rakyat Malaysia khususnya pelajar-pelajar perlu bersyukur kerana sejak sekian lama peluang pendidikan diberikan oleh kerajaan Mesir di Universiti Al-Azhar dalam pelbagai bidang.
Menurut Dr. Mohd Fakhrudin, banyak peluang diberi kepada kerajaan Malaysia untuk kemudahan para pelajar termasuk yuran, biasiswa dan penginapan. Baru-baru ini, Al-Azhar juga menawarkan untuk memperuntukkan bangunan asrama di kawasan kampus.
Di Mesir terdapat 27 bangunan milik Malaysia termasuk rumah atau hostel yang menjadi penginapan pelajar-pelajar.
"Bayangkan jika Mesir terus tidak stabil. Ke mana pelajar-pelajar kita mahu pergi? Ingatlah jumlah pelajar Malaysia seramai 11,000 orang adalah yang teramai di Mesir berbanding negara-negara lain," katanya.
Untuk itu, amat penting para pelajar Malaysia turut menyumbang kepada kestabilan Mesir supaya peluang pendidikan mereka di bumi para anbia itu tidak terjejas.
Harapan duta besar itu, para pelajar menumpukan perhatian kepada pengajian dan tidak terlibat dengan sebarang tunjuk perasaan di negara itu.
"Kedutaan tidak membenarkan para pelajar menyertai sebarang perhimpunan. Mereka juga sering diperingatkan supaya menjaga keselamatan sepanjang masa," katanya.
No comments:
Post a Comment