Hati saya terguris menonton selamat pagi Malaysia pada 11 Jan 2012 jam 8 pagi. Tajuknya 'Takdir Ayah Tua.' Teringat saya beberapa tahun lalu saya membawa pelajar dan Persatuan Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia (Sukmanita) ke rumah orang tua Cheng di Melaka.
Masih saya ingat seorang ibu tua yang kami temui duduk di tepi pintu biliknya, berpakaian lengkap dengan sebuah beg. Bila saya tanya dia hendak ke mana, wanita tua itu menjawab: "Tunggu anak. Dia kata nak datang ambil."
Bila saya tanya pegawai bertugas, mereka kata wanita itu ditinggalkan oleh anaknya di rumah orang tua itu dengan janji akan mengambilnya kembali. Setiap hari orang tua itu akan menunggu anaknya dan kini sudah bertahun.
Sedihnya melihat keadaan orang tua di rumah-rumah kebajikan. Mereka bukan tiada waris tetapi waris sudah tidak mahukan mereka. Betul kata orang tua-tua, ibu bapa boleh jaga 10 anak, tetapi 10 anak tidak semestinya boleh menjaga seorang ibu atau bapa atau kedua-duanya.
Semua ini berkait rapat dengan perkahwinan kerana apabila berkahwin, dengan takdir Allah kebanyakan kita dikurniakan zuriat.
Zuriat adalah penyambung ummah, generasi yang akan berkembang biak menegakkan Islam di muka bumi ini.
Semua pasangan yang berkahwin inginkan zuriat dan ramai selepas beberapa tahun berkahwin dan tidak mendapat zuriat, merasa malu, rendah diri dan sedih.
Daripada trend mempunyai anak ramai seperti lapan ke 12 aorang generasi hari ini memilih untuk hanya mempunyai dua ke empat anak sahaja. Menonton 'Takdir Ayah Tua' menguatkan keyakinan saya bahawa 10 anak belum tentu boleh menjaga ayah dan ibunya.
Pada kebiasaannya tanggungjawab menjaga ibu bapa diletakkan di bahu anak perempuan kerana ibu terutamanya tidak selesa duduk dijaga menantu.
Ibu bapa juga lebih selesa tinggal sendiri atas alasan tidak mahu menyusahkan anak. Sebagai anak, mereka mesti ingat bahawa ayah adalah wali mutlak iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap diri dan harta anak sehingga anak lelaki mencapai umur baligh dan sehingga anak perempuan bersuami dan syurga seorang anak terletak di bawah tapak kaki ibunya.
Anak mesti sentiasa ingat kepada firman Allah yang bermaksud: Bersyukurlah kepada Ku dan (berterima kasihlah) kepada kedua ibu bapamu. (Luqman: 14)
Sebenarnya firman Allah mengenai ibu bapa sangat jelas maksudnya. Antaranya:
* Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat… (an-Nisa': 36)
* Dan katakanlah: "Kasihanilah ibu bapaku sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecilku. (al-Israk: 24)
Jika dilihat kepada ayat-ayat ini, Islam meletakan kedudukan ibu bapa di tempat yang amat tinggi dan jika anak-anak durhaka kepada ibubapanya, maka dia akan masuk neraka.
Ketaatan, belas kasihan serta kasih sayang terhadap ibu bapa adalah tanggungjawab anak kepada ibubapanya. Dalam sudut undang-undang perkahwinan Islam, konflik ibu bapa dan anak timbul terutama dalam isu pemilihan calon isteri atau suami.
Anak-anak melihat hukum Islam yang mewajibkan suatu pernikahan anak perempuan hanya boleh dilakukan oleh wali atau dengan kebenaran wali seperti dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang berbunyi: Perkahwinan hendaklah diakadnikahkan oleh:
a) Wali di hadapan pendaftar;
b) Wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran pendaftar; atau
c) Pendaftar sebagai wakil wali;
d) Wali Hakim
Perkahwinan tanpa persetujuan wali adalah tidak sah. Dalam sebuah hadis: Daripada Aisyah r.a. daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak sah nikah melainkan dengan berwali".
Daripada Abu Hurairah r.a. ia berkata: telah bersabda Rasulullah SAW: "Tidak boleh perempuan mengahwinkan perempuan, dan tidak boleh pula perempuan mengahwinkan dirinya sendiri."
Memang wujud perbezaan pandangan mazhab terhadap isu wali namun di Malaysia menurut Mazhab Shafie, perkahwinan hendaklah diijabkan oleh wali atau oleh wakil wali dengan kebenaran wali.
Jika bapa enggan menjadi wali, maka anak perempuan boleh membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah di bawah peruntukan wali ingkar di mana wali perlu menerangkan kenapa dia tidak bersetuju dengan pilihan anaknya.
No comments:
Post a Comment