Like Blog Ini...

Thursday, February 9, 2012

Umat Islam bebas buat aktiviti

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

KETIBAAN kami di perkampungan Islam Maesalong yang terletak di wilayah Chengrai 'disambut' dengan bunyi mercun sempena Tahun Baru Cina.

Sememangnya bunyi mercun seumpama itu sudah sebati dengan kehidupan masyarakat Islam berketurunan tionghua di perkampungan berkenaan.

Walaupun berjumlah 185 orang daripada 35 keluarga, namun aktiviti masyarakat Islam di Maesalong tidak pernah terganggu.

Setiap hari 20 kanak-kanak daripada kalangan masyarakat tersebut menghadiri kelas Fardu Ain di sekolah di kawasan berkenaan.

Di situ juga terdapat masjid yang sering menjadi tumpuan para pendakwah singgah ketika bermusafir.

Menurut Pengerusi Masjid Darul Salam Maesalong, Umat Abdullah Pomtakudi, masyarakat Islam di situ bergaul dengan masyarakat kaum lain tanpa masalah atau halangan.

Katanya, mereka hidup dalam keadaan harmoni dan menghormati antara satu sama lain.

"Bangunan untuk kelas fardu Ain diwujudkan atas bantuan seorang pegawai tentera Thailand beragama Islam, Muquak See dan sehingga kini kelas berkenaan diteruskan demi memberi pendidikan kepada kanak-kanak di sini," katanya.

Beliau berkata, semua perbelanjaan bagi menguruskan sekolah tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai terutamanya umat Islam yang datang berziarah.

Sementara itu, Guru Bahasa Inggeris Sekolah Attaqwa, Manas Masakul berkata, sememangnya di mana-mana juga di Thailand, umat Islam tidak menghadapi sebarang masalah melaksanakan aktiviti harian mereka termasuklah dalam soal agama.

Katanya, mereka boleh melakukan apa sahaja aktiviti keagamaan tanpa sekarang atau larang daripada pihak kerajaan.

"Walaupun kami tidak menerima bantuan kerajaan tetapi kami amat berterima kasih serta menghargai sikap toleransi yang ditunjukkan oleh pemerintah biar pun kami golongan minoriti di sini," katanya.

No comments: