Like Blog Ini...

Tuesday, June 30, 2009

Halimatun tundukkan singa

ADA seorang wanita bernama Halimatun Armiah yang bekerja sebagai tukang masak di istana Raja Yarmuz. Dia disayangi oleh Raja Yarmuz kerana kepakarannya di bidang masakan. Halimatun menghabiskan separuh dari usianya bekerja sebagai tukang masak Yarmuz.

Raja Yarmuz seorang pemerintah yang membenci agama Islam kerana dia mahu seluruh rakyatnya menyembahnya sebagai tuhan. Dia tidak mahu ada kuasa yang lebih berkuasa daripadanya.

"Beta akan menghukum sesiapa sahaja rakyat beta yang menganut agama Islam. Ingat hanya beta sahaja yang patut disembah sebagai tuhan. Sesiapa yang ingkar pada perintah beta akan dihukum mati," titah Raja Yarmuz kepada rakyat negara Yarmuz.

"Saya pernah melihat ada lelaki dimasukkan dalam kandang binatang buas kerana ingkar perintah Raja Yarmuz," kata seorang lelaki kepada kawannya yang turut mendengar titah Raja Yarmuz itu.

Halimatun yang pada ketika itu belum menganut apa-apa agama berasa takut dengan amaran Raja Yarmuz itu dan berjanji untuk tidak mengingkari raja yang zalim dan kejam itu.

Namun pada suatu hari, Halimatun mendapat petunjuk daripada Allah dan akhirnya memeluk Islam. Pada awalnya, ahli keluarganya takut mendengar Halimatun memeluk agama Islam.

Penjelasan dan keindahan agama Islam yang diperkatakan oleh Halimatun kepada keluarganya mencairkan tembok kejahilan yang ada pada diri keluarganya itu. Mereka akhirnya memeluk Islam dan menjalankan kewajipan sebagai orang Islam.

Kini sudah beberapa bulan berlalu sejak Halimatun dan ahli keluarganya memeluk Islam. Dia terus menjalankan tugas sebagai tukang masak istana seperti biasa tanpa mendedahkan rahsianya yang sudah memeluk Islam itu. Jauh di sudut hatinya, dia juga mahu melihat kawan-kawannya memeluk Islam.

"Pastikan semua orang menjalankan tugas mereka dengan baik dan teliti. Tempat memasak, bekas peralatan makanan dan hidangan makanan harus berada dalam keadaan bersih.

"Raja Yarmuz tidak suka kepada mereka yang malas dan benda-benda yang kotor," arah ketua tukang masak kepada semua tukang masak yang kelam kabut dan riuh rendah mendengar berita mengenai lawatan mengejut Raja Yarmuz ke dapur istana.

Walaupun semua rakan Halimatun berdebar-debar menerima lawatan Raja Yarmuz tetapi Halimatun tenang sahaja menunggu ketibaan Raja Yarmuz itu.

Tidak lama kemudian, Raja Yarmuz tiba ke dapur istana dan gembira melihat pekerja-pekerja dapur istana melakukan kerja mereka dengan baik dan tekun.

"Halimatun tolong bawa bekas makanan ini untuk dihidang di meja besar bagi santapan Raja Yarmuz!," perintah Ketua Tukang Masak.

Halimatun pun terus membawa sebuah bekas makanan menuju ke meja santapan Rajanya itu. Namun tiba-tiba wanita ini terlanggar sesuatu menyebabkan bekas makanan yang dipegangnya terlepas dari tangan Halimatun dan terjatuh ke lantai.

"Allah!" Halimatun menyebut nama Allah tanpa beliau sedari terlepas daripada mulutnya.

"Apa?" kata Raja Yarmuz dalam nada suara yang tinggi dan keras apabila mendengar Halimatun menyebut kalimah Allah itu.

Tenang

"Kamu menyebut nama Tuhan orang Islam. Maka adakah ini bermakna kamu juga sudah memeluk agama Islam," tanya Raja Yarmuz kepada Halimatun.

Halimatun serba salah untuk menjawab dan Raja Yarmuz yang dapat melihat keadaan Halimatun yang mencurigakan itu.

Apabila didesak beberapa kali, Halimatun akhirnya mengaku sudah memeluk Islam.

"Patik sekarang menyembah Allah. Tuhan semesta alam," ucap Halimatun dengan yakin.

"Beta mahu kamu meninggalkan agama Islam dan mengaku beta sebenarnya tuhan kamu.

"Sekiranya kamu ingkar perintah beta, kamu akan dijatuhi hukuman berat," ugut Raja Yarmuz yang begitu murka mendengar pengakuan Halimatun itu.

"Patik sama sekali tidak akan tunduk pada perintah tuanku. Patik sanggup menerima hukuman tuanku!," kata Halimatun yang enggan menurut perintah Raja Yarmuz walaupun tahu hukuman berat menantinya.

"Pengawal! Kamu tangkap wanita ini dan humbankan dia ke dalam kandang singa. Biar dia menjadi makanan singa-singa yang kelaparan itu," perintah Raja Yarmuz itu tentu sahaja turut mengejutkan kawan-kawan Halimatun yang lain.

Halimatun hanya kelihatan tenang sahaja apabila pengawal istana menangkapnya. Perintah Raja Yarmuz dilaksanakan dengan segera. Halimatun dimasukkan terlebih dahulu ke dalam kandang singa sebelum singa-singa peliharaan Raja Yarmuz dilepaskan ke dalam kandang.

Singa-singa yang masuk ke dalam kandang itu kelihatan begitu garang dan tidak menunggu kecuali mahu menerkam dan menyiat-nyiat Halimatun yang hanya mampu berdiri di sudut kandang.

Halimatun sebenarnya ketakutan namun beliau teringat kepada Allah Yang Maha Mengasihani makhluk-makhlukNYA yang dizalimi.

"Ya Allah! Sekiranya Engkau Maha Berkuasa berikanlah perlindungan mu ke atas diriku ini," doa Halimatun dengan penuh takwa.

Singa-singa itu tentu sahaja dapat menghidu bau manusia lalu tanpa menunggu barang sesaat haiwan ganas itu hendak mematahkan tengkuk Halimatun yang masih menggeletar ketakutan namun mulutnya tidak henti-henti menyebut nama Allah.

Ditakdirkan, haiwan yang asalnya begitu garang, rakus dan begitu ganas secara tiba-tiba tunduk terhadap Halimatun. Haiwan itu seolah-olah memberi penghormatan kepada wanita ini dengan izin Allah. Halimatun terus menadahkan tangan tanda bersyukur kepada Allah kerana melindunginya dari menjadi mangsa haiwan liar itu.

Kejadian itu cukup menghairankan Raja Yarmuz.

"Mengapa singa-singa beta tidak membaham dan mengoyak tubuh wanita tua itu? Apa yang sudah berlaku? Lebih menghairankan mengapa singa-singa itu kemudiannya tunduk dan hormat pada Halimatun?," kata Raja Yarmuz.

"Mungkin dia mendapat pertolongan dari Tuhannya," sambung Raja Yarmuz kepada pembesarnya.

"Mungkin juga Tuanku!," mereka yang lain setuju dengan pendapat Raja Yarmuz itu.

"Halimatun harus dikeluarkan dari negara ini. Sekiranya orang ramai tahu tentang kehebatan Halimatun menundukkan singa-singa beta, mungkin ramai akan memeluk Islam," kata Raja Yarmuz.

"Ini merupakan ancaman kepada tuanku!," sahut salah seorang pembesar kepada Raja Yarmuz yang masih bingung memikirkan mengenai Halimatun.

Akhirnya Halimatun dihalau keluar dari negeri itu tanpa belas kasihan oleh Raja Yarmuz.

Guna pendekatan hikmah dalam dakwah

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

Mungkinkah ada fakta sejarah kedatangan Islam ke negara ini yang perlu dikaji semula?

Ini kerana seperti yang didedahkan oleh pendakwah, Ann Wan Seng, yang mendapati kaum Cina Muslim dari Tanah Besar China adalah pendakwah yang sebenarnya paling berperanan membawa masuk Islam ke Tanah Melayu seawal abad ke 10 atau 11 Masihi lagi.

Katanya, jika Islam telah sampai ke negara China sejak 1400 tahun lalu, iaitu sebelum umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, tentunya kita boleh membuat satu andaian bahawa Islam kemudiannya tersebar ke Tanah Melayu melalui Tanah Besar Cina lebih awal berbanding pendakwah-pendakwah dari Tanah Arab yang didakwa yang mula-mula mengislamkan Tanah Melayu ini.

"Ditambah dengan banyak bahan sejarah termasuk catatan dan batu-batu bersurat yang menyokong kepada teori ini masih banyak belum dikaji.

"Namun saya yakin bahawa bangsa Cina mempunyai pengaruh yang cukup besar dan signifikan dalam soal dakwah dan penyebaran Islam berbanding hanya golongan yang baru memeluk Islam di negara ini.

"Jadi siapa sebenarnya yang mualaf di negara ini, anda atau saya? Anda fikirkanlah sendiri!," katanya sambil mengajuk pelawak Nabil yang mempopularkan tag line "Lu fikirlah sendiri!" itu.

Kata-kata akhirnya itu merupakan antara yang menjadikan Konvensyen Dakwah Negara (KPN) selama dua hari di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur baru-baru ini begitu hangat dan menarik.

Konvensyen itu dihadiri oleh kira-kira 700 peserta terdiri daripada individu-individu pendakwah dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini komited melakukan pelbagai aktiviti dakwah di negara ini.

Wan Seng yang juga Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bercakap soal etika atau tata kerja pendakwah supaya mereka melaksanakan dakwah mereka dengan penuh hikmah.

Ini kerana pengalaman menunjukkan kebanyakan pendakwah menggunakan pendekatan mendakwa berbanding berdakwah itu sendiri.

Kualiti hidup

"Memburuk-burukkan cara hidup mereka yang walaupun mungkin ada kebenarannya menyebabkan sasaran dakwah itu akan lari.

"Malah menuduh mereka sebagai kafir juga kadang kala mempunyai konotasi yang dianggap sangat menghina mereka.

"Apa yang penting kita mesti tonjolkan kebaikan Islam itu sendiri. Jangan bimbang orang Cina merupakan bangsa yang mempunyai fikiran terbuka," katanya.

Beliau sebenarnya menjawab soalan dari pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzillah Kamsah yang berhadapan dengan persoalan sesetengah kaum Cina di negara ini yang tidak dapat menerima Islam.

Ini kerana golongan berkenaan membandingkan kualiti hidup kalangan Melayu beragama Islam itu.

KPN adalah anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dengan bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah'.

Wakil Pertubuhan Dakwah yang terkenal dari Sarawak, Harakah Islamiah (HIKMAH) pula membangkitkan mengenai tindakan pantas lagi cekap pertubuhan dakwah bukan Islam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa musibah dan kemalangan seperti yang berlaku baru-baru ini di Kuching.

Ini apabila kebakaran yang melibatkan sebuah perkampungan Melayu tetapi yang lebih awal datang menghulurkan bantuan kepada mangsa adalah pertubuhan bukan Islam.

Dalam hal ini, Wan Seng bersama dua lagi ahli panel forum di konvensyen itu, Nicholas Berry Sylvester Muhamad Abdullah dan Muhammad Fitri Abdullah tidak menafikan tawaran berbentuk wang dan bantuan dari pihak 'pesaing' ditambah dengan tindakan pantas dan cekap mereka sedikit sebanyak boleh menghalang usaha-usaha dakwah Islam.

Wan Seng mendedahkan, kini tidak sahaja pertubuhan gereja yang sering kali dianggap menggunakan tarikan wang dan bantuan malah kalangan pertubuhan Buddha turut mengambil pendekatan yang sama.

"Umpan seperti ini memang menjadi satu cabaran yang sangat getir tetapi saya percaya kebenaran akan mengatasi segala-galanya. Walaupun begitu kita juga mesti bersedia dari aspek yang sama, kerana telah ada peruntukan seperti asnaf zakat dan sebagainya yang boleh kita manfaatkan," katanya.

Wakil HIKMAH juga memberitahu bahawa, terdapat lebih 50 etnik kaum di seluruh Sarawak tetapi sehingga kini dakwah-dakwah Islam hanya dapat memasuki 1/3 sahaja dari kawasan-kawasan yang didiami etnik yang masih mempercayai pelbagai kepercayaan pagan atau animisme itu.

Ini kerana kos yang tinggi di samping diharapkan dengan adanya Radio Jakim iaitu Salam FM dapat dimanfaatkan dalam usaha dakwah. Lebih-lebih lagi jika ada slot yang ke udara menggunakan loghat atau bahasa daerah seperti Iban, Bajau dan sebagainya.

Turut dibangkitkan adalah pendekatan berdebat seperti yang dilakukan oleh pendakwah terkemuka Allahyarham Sheikh Ahmed Hussein Deedat terutama dengan pendukung-pendukung dakwah Kristian dapat diguna pakai dalam menjayakan misi dakwah Islam di negara ini.

Dalam hal ini, Nicholas berkata, pendekatan seperti itu dikira kurang sesuai sebagai satu uslub dakwah yang strategik. Sebabnya, bangsa-bangsa asing yang mendiami negara ini lazimnya lebih mudah didekati dengan cara yang sederhana atau lebih baik lagi menggunakan kaedah dakwah bil hal, iaitu dengan contoh.

"Dengan cara itu adalah lebih baik lagi berbanding kita berdebat bagi mengelakkan suasana yang tidak harmoni," katanya.

Terdapat juga peserta yang bertanyakan masalah yang dihadapi dalam berdakwah terutama terhadap bangsa Cina dan India di negara ini kerana usaha itu sering disalah faham oleh parti-parti politik yang mewakili kaum-kaum tersebut.

Berbanding jika usaha dakwah dilakukan terhadap penduduk atau kaum Asli di negara ini yang kurang risiko dari menerima tentangan dari mana-mana pihak.

Ini sebagaimana yang disuarakan oleh pendakwah wanita terkenal negara, Dr. Fatma Al Zahraa yang ingin mendapatkan kepastian sama ada umat Islam ini dibenarkan untuk mengajak kepada Islam kepada mereka yang bukan Islam di negara ini.

"Ini kerana saya dapati banyak pihak yang memberitahu kita tidak boleh berbuat demikian malah di kalangan umat Islam sendiri meminta saya supaya tidak secara terang-terangan berdakwah kepada bukan Islam kerana dari aspek undang-undang, usaha ini tidak dibenarkan.

"Benarkah begitu?" tanya Dr. Fatma.

Wan Seng bagaimanapun menjelaskan Perlembagaan Persekutuan negara tidak menghalang usaha-usaha dakwah dilakukan terhadap bukan Islam di negara ini.

Begitu juga dengan faktor politik, ia bukan menjadi alasan kepada umat Islam untuk mengehadkan usaha dakwah walaupun tidak dinafikan ia mungkin mempunyai risiko keselamatan yang tinggi.

"Tetapi adalah lebih penting usaha berterusan bagi menjelaskan mengenai Islam malah sebenarnya sudah ada pihak yang menaruh minat untuk mengenali Islam sehinggakan mereka mempelajari al-Quran dan cuba mengambil pengajaran dari kitab suci itu untuk dikongsi bersama dengan orang lain.

"Jadi, kita tidak boleh menghalang minat-minat yang besar terhadap Islam walaupun ia berbaur kepentingan politik," katanya.

Sementara itu, pendakwah yang mewakili kaum India, Muhammad Fitri dalam kertas kerjanya tidak menafikan usaha-usaha untuk menyebarkan Islam di kalangan bukan Islam menjadi semakin kompleks dan rumit pada hari ini.

"Namun jika para pendakwah mengenali agama dan adat budaya dan resam kumpulan sasaran, kita mendapati usaha yang mulia ini akan menjadi lebih mudah kerana saling memahami perbezaan yang ada mampu mewujudkan hubungan yang harmoni," jelasnya.

Melalui hubungan yang murni, kata Muhammad Fitri, sehingga ke peringkat umat Islam atau pendakwah Islam mengambil inisiatif menziarahi mana-mana penganut Hindu yang meninggal dunia sudah cukup menjadi satu daya tarikan untuk mereka melihat Islam itu sebagai agama yang sempurna dan indah!

"Jika penganut Hindu memahami dan mendalami agama mereka sendiri, mereka akan menyedari mereka sebenarnya telah salah faham terhadap agama mereka itu.

"Pada hakikatnya agama Hindu adalah antara agama yang terawal berbicara mengenai soal tauhid dan keesaan tuhan yang satu (Eka Tuam).

"Agama ini menjadi menyimpang kerana ia telah diubah mengikut cita rasa dan keperluan semasa," kata Muhammad Fitri.

Konvensyen ini pastinya membuka banyak lembaran baru dalam dunia dakwah tanah air. Sebabnya terdapat banyak input baru yang mampu menyuntik semangat kepada para pendakwah untuk tidak sahaja mengukuhkan Islam namun yang penting membetulkan pelbagai salah faham serta menghilangkan Islamphobia terutama di kalangan bukan Islam.

Namun seperti yang disuarakan oleh Pegawai Eksekutif Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Mohd. Taqiuddin Abdullah, beliau mengharapkan agar di masa akan datang, pihak penganjur akan mengadakan sesi dialog bersama menteri yang berkenaan.

"Ini bagi membolehkan kita dapat berkongsi banyak perkara di samping menteri dan pihak-pihak yang berkaitan dapat lebih memahami dan menyelami masalah yang dihadapi oleh para pendakwah Islam di negara ini.

"Seterusnya mereka dapat memberikan jalan keluar atau bersama-sama untuk menyelesaikan sesuatu isu dan masalah yang berlaku," katanya.

Jangan hanya solat semasa susah

Solat adalah rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadat. Ia juga adalah ibadat yang disyariatkan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW pada malam peristiwa Israk Mikraj iaitu 27 Rejab sebelum hijrah.

Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya solat itu difardukan ke atas orang Mukmin pada waktu-waktu yang tertentu...(an-Nisa’: 103)

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang maksud-Nya: ...sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Ankabut: 45).

Namun, hakikatnya, masih ramai umat Islam yang solat tetapi pada masa yang sama terus melakukan maksiat di muka bumi ini.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ABD. NAZIR MOHAMED menemu bual Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad bagi mengupas isu ini.


MEGA: Sebelum mendirikan solat, antara yang diberi perhatian ialah membetulkan saf. Apakah hikmah daripadanya?

SYAIKH ISMAIL: Saya ada terbaca dalam kitab-kitab dulu bahawa umat Muhammad ini safnya adalah seperti tentera. Ini dari segi lurusnya saf semasa hendak bersolat.

Malah ada hadis Rasulullah SAW yang antara lain bermaksud, “Siapa yang tidak betulkan safnya Allah tidak akan tengok saf yang bengkok”.

Adalah menjadi tanggungjawab imam memerhatikan saf-saf di belakangnya sempurna iaitu lurus. Lurus di sini diukur berdasarkan tumit kaki bukannya jari hadapan kaki. Lagipun, membetul dan meluruskan saf itu adalah termasuk dalam kesempurnaan solat.

Hal ini bukanlah rumit kerana di masjid sekarang sudah ada penanda garisan bagi saf. Cuma bagi mereka yang solat di kawasan yang tidak ada garisan saf, mereka perlu membetulkan saf masing-masing.


Apakah syarat solat yang boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar sebagaimana dalam ayat 45 surah al-Ankabut di atas?

SYAIKH ISMAIL: Solat yang sebenar perlulah melengkapi dari segi hukum dan khusyuknya. Khusyuk itu pula memerlukan kepada sifat ihsan di mana jika kita tidak mampu membayangkan seolah-olah kita berhadapan dengan Allah, ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah itu melihat kita.

Memanglah hal ini bukan mudah dicapai. Sebabnya, syaitan itu akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengganggu kita lebih-lebih dalam solat.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksud-Nya, “apabila azan syaitan itu akan terkencing dan bertempiaran lari demikian juga apabila iqamat tetapi selepas itu dia akan datang semula untuk mengganggu kita”.

Sebab itu, kita kena berjuang bersungguh-sungguh dalam solat. Adakalanya dalam solat kita akan teringat di mana barang kita yang hilang, kerja yang masih tertunggak dan sebagainya.

Apabila ini berlaku, kita hendaklah cepat sedar dan segera menepisnya supaya tidak terbawa-bawa oleh permainan syaitan.

Selain itu, cara berpakaian kita juga boleh membantu mencegah maksiat. Contohnya, jika kita berkopiah atau bersongkok, tak kan kita hendak pergi ke tempat-tempat maksiat.

Demikian juga kalau wanita yang bertudung itu tak sepatutnya mereka turut terkinja-kinja menyaksikan konsert dan sebagainya.

Menutup aurat itu adalah ibadat, jangan jadikan ia adat. Memakai tudung itu sewajarnya membuatkan kita rasa malu hendak melakukan maksiat.

Selain itu, wuduk yang sempurna juga akan membantu kita mencapai tahap solat yang khusyuk.

Pada masa yang sama, amalkan berqiamullail. Orang yang mengamalkan qiamullail juga akan diangkat darjat mereka. Ini dijelaskan menerusi firman Allah, Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhan mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. (al-Isra’: 79)

Selain itu, Nabi SAW bersabda, Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan yang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah dosa. (riwayat Muslim)

Pada masa yang sama, jangan kita abaikan berdoa kepada Allah setiap kali selepas solat. Jangan selepas salam, terus angkat kaki.

Solat jemaah itu hukumnya fardu kifayah. Namun, adakah masanya di mana ia boleh menjadi fardu ain?

SHAIKH ISMAIL: Secara asasnya, sesiapa yang mendengar azan hendaklah ia solat di masjid, maksudnya solat berjemaah.

Ummu Maktum misalnya adalah orang buta tetapi dia pun tidak diberi rukhsah (keringanan) untuk tinggalkan solat berjemaah.

Nabi Muhammad SAW juga sama tidak pernah meninggalkan solat jemaah kecuali ketika baginda gering.

Malah dalam sebuah hadis, Baginda SAW ada bersabda yang maksud-Nya, “mana-mana kampung yang di dalamnya tidak didirikan solat jemaah maka ia dikuasai oleh syaitan”.

Dalam hadis yang lain, daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda, “Kalau manusia tahu keutamaan azan dan barisan yang pertama dalam solat, tetapi ia tidak berpeluang mendapatkannya kecuali dengan mengundi, maka mereka akan mengundi. Kalaulah mereka tahu keutamaan solat di awal waktu, mereka akan berlumba-lumba, kalaulah mereka tahu kelebihan solat isyak dan subuh berjemaah, mereka akan datang sekali pun dengan mengisut (tidak boleh berjalan)”.

Hari ini kita lihat, berapa ramai orang yang tinggal berjiran dengan masjid dan surau tetapi tidak datang berjemaah. Kita perlu cari kesempatan hidup yang sementara ini untuk melakukan seberapa banyak ibadat.

Dalam perkara ini, kita perlu bijak iaitu kerja sedikit tetapi untung banyak. Antara caranya ialah dengan menunaikan solat berjemaah yang diberi ganjaran 27 kali ganda berbanding solat sendirian.

Yang ada kelonggaran, barangkali apabila sekali sekala kita solat di rumah bersama anak dan isteri bertujuan melatih mereka berjemaah.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah masjid perlu dibina di kawasan-kawasan perumahan bukannya di tanah lapang.

Ini supaya ia boleh diimarahkan oleh masyarakat. Kita bimbang akan berlaku sebagai mana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila akhir zaman kelak akan ada banyak masjid besar tetapi tidak ada orang yang mengimarahkannya”.

Ada yang berpendapat, jika dalam hayatnya, seseorang itu jarang bersolat, maka selepas kematiannya, tidak perlulah kita mendoakan baginya atau mengadakan majlis tahlil. Benarkah?

SYAIKH ISMAIL: Antara doa yang mustajab adalah doa kita kepada rakan-rakan seagama. Walaupun jika mereka itu tidak menjaga solat semasa hidupnya selagi mereka masih mengucap syahadat, kita minta ampun juga untuk mereka.

Mudah-mudahan diampunkan dosanya oleh Allah. Apabila kita sedekahkan fatihah, kita beroleh pahala. Inilah yang kita boleh bantu semasa hayat kita, masa di akhirat kelak, kita tidak boleh bantu lagi.

Boleh jadi di dunia dahulu mereka terlanjur, kini ia menjadi teladan kepada orang lain. Cuma, jangan pula kita serah bulat-bulat kepada tuan imam untuk mengendalikannya. Sedangkan anak dan isteri si mati tidak terlibat sama dalam majlis tersebut.

Padahal dalam sebuah hadis lain ada disebutkan antara amalan yang diterima tanpa hijab ialah doa anak yang soleh kepada ibu bapa mereka.

Justeru, anak-anak dan isteri perlu sama-sama melibatkan diri dalam majlis membaca Yasin, tahlil atau majlis lain seperti solat hajat. Pada masa yang sama, kita perlu mendidik anak-anak supaya mereka terdedah dengan aktiviti begini.

Kebanyakan masjid hari ini indah dan dilengkapi pelbagai prasarana termasuk penghawa dingin. Malangnya, bilangan jemaah tidak banyak bertambah. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

SHAIKH ISMAIL: Kita perlu meningkatkan kesedaran masyarakat untuk datang berjemaah di rumah Allah ini.

Oleh sebab itu, masjid perlu diimarahkan bukan sahaja dengan ibadat khusus seperti solat fardu berjemaah tetapi juga program lain yang bersifat fardu kifayah. Cuma kena dipastikan kesesuaiannya agar tidak terlibat dalam unsur maksiat.

Adalah malang apabila kita melihat umat Islam sanggup berpanas, berhujan dan berdiri menyaksikan konsert tetapi tidak sanggup berdiri lima minit untuk solat jemaah.

Jangan kita mengingat Allah pada waktu kita susah dan alpa ketika mendapat nikmat. Lagipun, solat adalah soalan pertama ditanya oleh malaikat dalam kubur nanti.

Jika kita berjaya menjawabnya dengan baik, maka akan mudahlah soalan-soalan yang lain.

Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Sesungguhnya manusia itu dijadikan sentiasa dalam keluh kesah (lagi bakhil kedekut), apabila ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah dan apabila beroleh kesenangan, ia sangat bakhil (kedekut), kecuali orang yang mengerjakan sembahyang iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya. (al-Ma’arij: 19-23)

Kita beruntung kerana Allah yang Maha Pemurah hanya mewajibkan kita solat lima waktu sehari semalam berbanding 50 waktu pada asalnya sebagaimana dalam peristiwa Israk Mikraj.

Namun, pahala kebaikan itu diberi ganjaran 10 kali ganda manakala pahala kejahatan hanya diberi satu. Jika kita diperintahkan solat 50 waktu, tidak dapat digambarkan adakah kita mampu melakukannya!

Sunday, June 21, 2009

Punca keruntuhan akhlak

Oleh Dr.Amran Kasimin

SOALAN:
Apakah pandangan ustaz tentang masalah sosial yang berlaku sekarang ini?
*HASAN, Seri Kembangan, Selangor.

Jawapan:

Secara sedar ataupun tidak sedar, usaha-usaha kerajaan untuk menaikkan taraf ekonomi rakyat adalah berjaya dan begitu mengkagumkan. Walaupun demikian, saya berpendapat bahawa pencapaian untuk menghasilkan kemantapan pembinaan kerohanian jauh terbelakang berbanding dengan pencapaian ekonomi.

Dalam keadaan seperti sekarang ini, saya tidak beranggapan bahawa menuding menuduh orang lain bersalah, menyebabkan masalah keruntuhan akhlak itu berlaku sesuatu yang baik. Tidak guna bertengkar, menyalahkan orang lain cuai memandu, makan jalan atau tidak memberi isyarat ketika hendak membelok apabila berlaku perlanggaran. Apa yang perlu dilakukan ialah berfikir dan berusaha bagaimana hendak mengalihkan kenderaan yang terlibat agar ia tidak menghalang laluan, kemudian baru berbincang sama ada hendak membuat laporan di balai atau diselesaikan dengan persetujuan.

Punca keruntuhan akhlak adalah saling kait, yang tidak mudah dirujuk kepada satu punca secara khusus. Tidak benar bahawa ibu dan bapa itu sebagai punca utama berlakunya demikian, kerana umumnya tidak ada ibu ataupun bapa yang tidak menyayangi anaknya. Walaupun demikian, tidak dinafikan adanya bapa yang berkelakuan tidak ubah seperti bapak haruan, begitu juga dengan ibu yang tidak boleh dijadikan contoh baik oleh anak-anak, guru-guru, tidak kira sekolah rendah ataupun menengah berusaha untuk mendidik pelajar, tetapi pencapaian akademik tidak semestinya memperlihatkan seorang pelajar itu berakhlak mulia kerana sesetengah orang beranggapan kejayaan dalam bidang akademik adalah segala-galanya.

Selain daripada itu pengaruh luaran kelihatan lebih banyak mempengaruhi anak-anak berbanding dengan usaha ibu dan bapa juga para guru. Bagi anak-anak kecil yang sebelum sekolah, ibu bapa merupakan tempat mereka bersandar, mengadu manja dan begitu patuh. Apabila mereka mula belajar, mula kenal guru dan mempunyai teman yang banyak, mereka sudah ula mengalihkan tempat sandaran kepada guru, dan teman-teman, bergantung kepada keadaan. Semakin dewasa seseorang itu, maka ia semakin terdedah kepada environment luaran dan sekitarnya.

Ketika ini pengaruh-pengaruh luaran itu seolah-olah berlumba-lumba untuk memenangi anak-anak yang sedang membesar tadi. Mana yang kuat ia akan menang. Bagi ibu dan bapa dan keluarga yang prihatin dengan anak-anak, berkemungkinan besar anak-anak itu akan terbentuk dalam keadaan sempurna. Sebaliknya, ibu bapa yang mengabaikan anak-anak, membiarkan mereka berkawan dengan sesiapa yang disukai, berkemungkinan besar anak-anak tadi akan bermasalah apabila dewasa kelak.

Pengaruh luaran ini terus menerus berlumba-lumba mencipta kerektor anak-anak setiap masa. Di rumah, ibu dan bapa menyuruh anak-anak mengaji, sembahyang, membaca buku tetapi di luar rumah, kawan-kawan menunggu mengajak main bola, main basikal tanpa mengira waktu zuhur ataupun maghrib. Mereka akan balik rumah apabila lapar atau malam telah berlabuh. Di televisyen, syarahan-syarahan agama cuba diselit-selitkan pada waktu petang, iaitu ketika anak-anak ini sedang sibuk mandi, tetapi pada waktu malamnya mereka dihidangkan dengan babak orang bercumbu-cumbuan, berpakaian tiga suku telanjang atau gambar orang berpakaian membuka ketiak. Tidak ada statistik untuk memastikan berapa orang yang suka melihat ustaz-ustaz bersyarah agama berbanding dengan mereka yang suka melihat gambar orang bercumbu-cumbuan ataupun perempuan yang memperlihatkan separuh daripada buah dadanya,

renungan

Begitu juga halnya dengan sesetengah surat-surat khabar, yang ada kalanya lebih berkecenderungan memperlihatkan watak-watak, ataupun latar belakang artis ataupun penyanyi sehingga empat lima muka surat termasuk hal-hal peribadi yang tidak boleh dijadikan contoh yang baik atas alasan yang tidak jelas. Semuanya ini perlu difikir dengan serius, jangan terlalu memikiri berapa ribu naskhah majalah laku untuk mengaut untung semata-mata kerana bahan-bahan cetak ini menjadi renungan dan model kepada pembaca, terutamanya anak-anak yang sedang meningkat dewasa.

Ada juga orang yang berpendapat bahawa setiap orang boleh memilih apa yang patut dan baik untuk dilakukan. Untuk menonton filem yang mempamerkan manusia separuh telanjang ataupun menonton forum-forum yang memberi manfaat ataupun syarahan agama. Begitu juga dengan surat khabar, sama ada hendak membaca berita-berita ilmiah ataupun cerita gosip artis kena tangkap basah, artis dituduh merogol, atau yang kena saman kerana memandu tidak mempunyai lesen.

Dalam amalan harian kita akan mempelajari, secara langsung ataupun tidak langsung bahawa manusia itu lebih berusaha mengejar sesuatu yang bersifat fizikal, yang kelihatan dapat dibuktikan, dirasa dan dipertontonkan. Manusia kurang berupaya untuk menimbang tentang sebab musabab dan natijah cetusan daripada perbuatan yang dilakukan, yang menjadi sebahagian daripada budaya hidup mereka.

Hal-hal seumpamalah melahirkan manusia yang lidahnya mengaku keesaan Allah, dan pesuruhnya Muhammad, percayakan pada balasan baik dan buruk di akhirat, tetapi dalam amalannya mereka seumpama tidak mempercayai tentang adanya balasan di akhirat, iaitu balasan nereka bagi mereka yang melakukan kejahatan. Pegangan seumpama inilah yang melahirkan manusia yang lari ataupun melarang orang lain daripada memperkatakan tentang akhirat dan mati, kerana ia hanya akan melahirkan manusia munyuk, mundur dan tidak berupaya memahami kepesatan teknologi moden yang sedang melanda.

Memperkatakan tentang keruntuhan akhlak, kita sebenarnya sering lupakan hakikat diri manusia. Untuk menghapuskan pelacuran misalnya, kita sering menangkap, mendenda dan menghalau keluar kalau mereka orang luar. Penghisap dadah ditangkap dan dipulihkan. Tindakan ini memang yang baik yang memang sepatutnya dilakukan untuk menangani masalah terkini. Cara mengelakkan serangan nyamuk ialah dengan membunuhnya, tidur menggunakan ubat nyamuk, sama ada dengan ubat nyamuk yang menggunakan elektrik ataupun lingkaran tradisional. Mereka yang bersifat tradisional akan pakai kelambu atau pakai ubat nyamuk lengkar. Walaupun demikian, kita seolah-olah lupa, bahawa cara berkesan mengatasi masalah nyamuk ialah dengan membasmi tempat nyamuk itu membiak, di mana persekitaran yang bersih itu amat diperlukan. Bukan dengan cara memukulnya dengan tangan. Begitu halnya dengan usaha-usaha untuk membasmi keruntuhan akhlak, di mana kesedaran beragama, ataupun iman itu perlu dalam usaha yang berkesan untuk membasmi pelbagai gejala keruntuhan akhlak.

Nafsu manusia itu berkecenderungan untuk melakukan sesuatu yang bersifat buruk berbanding dengan kecenderungan untuk melakukan sesuatu yang bersifat baik. Kerana itu kita jangan terlalu berfikir kenapa anak-anak lebih gemar membaca majalah-majalah yang tidak memberi faedah daripada buku pelajaran dan buku-buku bernilai akademik yang membina pertumbuhan akal minda. Atas kecenderungan seumpama ini juga kenapa lebih ramai orang yang lebih suka menonton filem ganas, seks, daripada menonton filem-filem tayangan yang lebih memberi manfaat. Hal demikian sama dengan kecenderungan manusia yang lebih suka berebut-rebut menyerbu konsert-konsert rock, pusat-pusat karaoke, kelab-kelab malam dengan bayaran tinggi daripada menghadiri kelas-kelas agama, majlis ilmu, majlis maulud atau Isra’ Miraj biarpun di majlis tersebut disediakan dua ekor lembu yang dimasak rendang sejak pagi.

resah gelisah

Allah swt menjadikan manusia itu dalam keadaan sentiasa resah gelisah, biar dalam keadaan apa sekalipun, kecuali mereka yang berupaya melakukan sembahyang dengan khusyuk dan diterima di Allah swt sembahyangnya, ketika dirundung malang, mereka mengeluh dan menjadi tamak, kedekut ketika memperoleh kesenangan, kecuali mereka yang sembahyang dan diterima sembahyangnya.

Sembahyang di sini dilambangkan sebagai punca utama segala kebaikan, kerana sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Bererti bahawa orang yang tidak bersembahyang tidak berupaya mencegah dirinya daripada melakukan kejahatan.

Berhubung dengan keruntuhan akhlak, mungkin tidak perlu membuat statistik berapa ramai di kalangan mereka yang merogol anak sendiri, “mendera kanak-kanak”, mereka yang melakukan liwat, minum arak, orang yang suka melakukan zina, ataupun menjadi pelacur melakukan sembahyang. Tidak ada orang yang melacur melanggani dua orang lelaki di malam hari, dan sembahyang subuh dengan khusyuk di pagi hari. Tidak ada orang yang sembahyang zuhur di tengah terik matahari kemudian lepak menusukkan jarum dadah dalam urat lengannya. Andainya ada orang yang melakukan sembahyang asar di petang hari sebelum matahari terbenam, dan menerima rasuah di malam hari, ini bererti, tentunya ada yang tidak kena dengan sembahyang yang dilakukannya.

Prosedur kahwin warga asing

SoalanSayamerancang untuk mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Pasangan saya adalah warga Pakistan yang telah tiga tahun menetap di Malaysia. Apakah prosedur yang perlu dilakukan untuk melangsungkan perkahwinan. Adakah pasangan saya perlu mengikuti kursus praperkahwinan?

Irma, Ampang

Jawapan

Perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warga asing atau di antara dua warga asing adalah boleh dan dibenarkan untuk dilakukan di Malaysia. Bagi perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warganegara asing, prosedur yang harus diikuti adalah berlainan daripada prosedur perkahwinan di antara sesama rakyat Malaysia.

Secara amnya apabila warga asing dan rakyat Malaysia ingin berkahwin, mereka wajib untuk memohon kebenaran berkahwin dari Jabatan Agama. Borang permohonan perkahwinan haruslah disertakan dengan dokumen-dokumen berikut:

l Salinan pasport atau salinan kad pengenalan (lelaki dan

perempuan);

l Surat kebenaran dari kedutaan negara pemohon (bagi kes

saudari, Kedutaan Pakistan);

l Surat keterangan dari Jabatan Imigresen Malaysia;

l Surat Akuan Cerai atau Surat Akuan Kematian (jika pernah

berkahwin atau kematian pasangan sebelumnya);

l Surat Kebenaran Poligami dari Mahkamah Syariah di

Malaysia (jika berpoligami);

l Surat wakalah wali (bagi wanita); dan

l Salinan Sijil Kursus Perkahwinan.

Borang permohonan dan dokumen-dokumen ini haruslah dikemukakan kepada Penolong Pendaftar Nikah Kariah di mana saudari bermastautin. Ini adalah untuk mendapatkan kelulusan bernikah dari Pendaftar Nikah. Permohonan ini haruslah diserahkan dalam tempoh sebulan atau tidak kurang dari tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan yang dirancang. Adalah dinasihatkan untuk melakukan persediaan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Sekiranya bakal suami saudari adalah penduduk tetap negara ini atau pemegang Kad Pengenalan Merah, dokumen yang lain harus disertakan iaitu:

l Salinan Kad Pengenalan Merah dan permit masuk; dan

l Surat Pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara atau pengesahan permit masuk dari Jabatan Imigresen.

Kedua-dua situasi di atas adalah bagi warga asing yang mempunyai pas masuk secara sosial atau perniagaan. Situasi adalah berbeza bagi warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini melalui permit pekerjaan.

Perlu dimaklumkan bahawa warga asing yang memegang permit kerja adalah tidak dibenarkan memohon untuk berkahwin di negara ini. Sekiranya perkahwinan ini berlangsung dengan tidak mematuhi undang-undang, maka ia akan memberi implikasi kepada permit kerja yang telah diberi kepadanya.

Ini adalah berdasarkan kepada kontrak yang telah dipersetujui dan ditandatangani. Sekiranya warga asing tersebut mahu berkahwin dengan wanita tempatan, kontrak atau permit kerja pekerja asing tersebut di Malaysia adalah terbatal.

Kemudian warga asing tersebut perlu pulang ke negara asal untuk tempoh enam bulan (cooling period) dan sepanjang tempoh tersebut warga asing tersebut hanya diberikan pas sementara (pas lawatan) yang tidak akan dilanjutkan.

Selepas tempoh enam bulan tersebut barulah warga asing tersebut boleh mendaftar di imigresen untuk mendaftar sebagai suami kepada warganegara.

Untuk pengetahuan saudari, satu pekeliling telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen di mana suami/isteri kepada warganegara Malaysia yang telah diberikan/layak diberikan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang berdasarkan syarat-syarat dan peraturan-peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa adalah dibenarkan untuk bekerja (melakukan pekerjaan berbayar), berniaga dan pekerjaan profesional tanpa perlu menukar status Pas Lawatan Sosial mereka kepada pas kerja yang berkaitan (Pas Penggajian / Pas Lawatan Kerja Sementara).

Berkenaan dengan kursus pra perkahwinan, warga asing tidak diwajibkan mengikutinya. Walau bagaimanapun jika kursus pra perkahwinan diadakan dalam bahasa yang boleh difahami oleh bakal suami saudari, digalakkan untuk menyertainya.

Diharap penjelasan ini dapat membantu saudari, jika terdapat sebarang kemusykilan boleh menghubungi pihak kami atau layari laman web Sisters di www.sistersinislam.org.my

Hayati perjuangan 10 tokoh sarjana Islam

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

MUNGKIN tiada kaitan antara tragedi pembunuhan 11 jemaah yang sedang bersolat Isyak termasuk imam yang mati ditembak oleh sekumpulan lelaki di Masjid Al Furqan, Kampung Air Tempayan di daerah Cho-ai-rong, Narathiwat, selatan Thailand baru-baru ini, dengan buku yang menjadi ulasan pada minggu ini.

Tetapi apa yang boleh kita katakan adalah kesedihan (atau lebih tepat kekecewaan yang teramat sangat)! Di kala kita begitu merindui akibat kehilangan ulama-ulama Islam yang berpengaruh ini, luka yang sedia ada bertambah pedih dengan siri pembunuhan terhadap umat Islam di merata ceruk dunia.

Malah sehinggakan untuk umat Islam bebas beribadat di rumah ibadat kita sendiri pun, mereka diserang tanpa dapat mempertahankan diri langsung!

Sedangkan sebagaimana yang memetik kata-kata ulama terkemuka Syria, Mustafa al Syibai'y diambil dari buku ini, beliau berkata; "Prinsip-prinsip peradaban Islam mengharamkan peperangan, tidak boleh menyerang, merampas harta benda dan menghina kehormatan sesuatu bangsa."

Beliau mengambil contoh wasiat sahabat besar Rasulullah, khalifah Islam Saidina Abu Bakar kepada para tentera Islam yang berbunyi; "Jangan menyeksa, jangan membunuh anak-anak kecil, warga tua dan kaum wanita. Jangan menyembelih kambing, lembu ataupun unta kecuali untuk dimakan. Kamu akan melalui orang yang sedang bertapa di kuil-kuil maka biarkanlah mereka dengan apa yang mereka lakukan."

Jadi nampakkah kita perbezaan yang cukup besar apabila prinsip Islam sama ada dalam zon peperangan atau tidak, yang tidak akan menganggu mereka yang sedang bertapa (beribadat) di kuil-kuil tetapi dengan kejadian yang begitu tragis berlaku di Masjid Al Furqan itu?

Apabila berlaku pelbagai penindasan terhadap umat Islam sebegini, di saat-saat inilah menyebabkan kita begitu merasakan kehilangan para ulama. Tidak bermakna andai mereka masih hidup, maka bermakna kejadian-kejadian seperti ini tidak akan berlaku.

Malah sewajarnya apabila mereka sudah tiada di muka bumi ini, maka kita yang masih hidup ini perlu mengingati dan mengambil pengajaran dari segala apa yang telah diperjuangkan oleh ulama-ulama berkenaan semasa hayat mereka.

Penulis buku ini yang kini pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) benar-benar melakukan apa yang disifatkan sebagai tanggungjawab fardu kifayah apabila dalam ruangan dan halaman yang cukup terhad. mampu membawakan kepada kita untuk menghayati perjuangan 10 tokoh sarjana Islam yang terbilang ini.

Tokoh-tokoh yang dimuatkan dalam buku ini terdiri daripada:

1) Tokoh Kebangkitan Syria (wakil Ikhwan di Syria) - Mustafa Al Syiba'iy (1915-1964)

2) Ulama Reformis dan Ahli Falsafah, Mesir - Dr. Yusuf Musa (1899-1963)

3) Tokoh Pembaharuan Universiti Al Azhar, Mesir - Mahmud Shaltut (1893-1963)

4) Pemikir Islam Unggul Mesir - Muhammad Imarah (1931-kini)

5) Pemikir Dakwah dan Pembela Islam - Muhammad Al Ghazali (1917-1996)

6) Ulama Rabbani India - Abu Hassan Ali Al Nadawi (1914 - 1999)

7) Imam Masjid Al Azhar - Sheikh Ismail Sodiq Al Adawi ( 1934 - 1998)

8) Tokoh Tafsir Mesir Abad ke21 - Sheikh Muhammad Al Mutawalli Al Sya'rawi (1911-1998)

9) Pakar Tafsir dan Fikah Terkenal Abad ini - Dr Wahbah Al Zuhayli (1932 - kini)

10) Tokoh Dakwah dan Pendidik Umat Islam Abad ke 21 - Dr. Yusuf al Qaradawi (1926 - kini).

Apabila kehilangan mereka umpamakan sahaja seperti seperti kata Imam Baihaqi; kematian seorang ulama umpama bintang yang hilang sirna di antara bintang-bintang dan matinya satu kabilah itu adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim.

Buku ini telah diulang cetak buat kali kedua, iaitu sebanyak hampir 10,000 naskhah dan telah habis terjual setelah mula diterbitkan pada tahun ini.

Penyembelihan Nabi Ismail

NABI Ismail cukup terkenal dengan kisah penyembelihan agung. Pada Hari Raya Aidiladha, peristiwa ini pasti meresap kembali dalam ingatan seluruh umat Islam di seluruh dunia. Bagi umat Islam yang berkemampuan mereka akan menyembelih haiwan ternakan sebagai korban bersempena dengan peristiwa penyembelihan Nabi Ismail.

Peristiwa penyembelihan ini bermula apabila Nabi Ibrahim bermimpi bahawa Allah memerintahkan baginda untuk menyembelih anaknya.

Nabi Ibrahim sungguh sedih dan terkejut. Sebelum ini pun Allah telah mengujinya dengan berbagai-bagai ujian dan cabaran. Ujian pertama yang diterimanya adalah setelah berkahwin dengan Sarah. Isterinya itu didapati tidak dapat melahirkan anak sedangkan usia Nabi Ibrahim pada waktu itu telah lanjut.

Kemudian baginda berkahwin dengan Hajar dan mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Ismail. Baginda sungguh gembira dan amat menyayangi anaknya itu. Tiba-tiba ujian kedua menimpanya. Allah menurunkan wahyu supaya baginda meninggalkan Hajar dan anak kesayangannya di satu kawasan ketika itu Ismail masih kecil.

Akhir sekali dugaan yang paling mencabar diterimanya dalam mimpi baginda. Allah memerintahkan baginda supaya menyembelih Ismail. Pada masa itu Ismail telah remaja. Nabi Ibrahim berasa sedih kerana itulah satu-satunya anak yang dimilikinya bersama Hajar.

Nabi Ibrahim juga telah tua ketika menerima wahyu tersebut. Namun, baginda tetap taat kepada perintah Allah. Lalu baginda bertemu dengan Ismail.

"Wahai anakku, sesungguhnya aku telah bermimpi seolah-olah aku menyembelihmu. Apakah pendapatmu tentang perkara ini?," tanya Nabi Ibrahim.

Sebagaimana yang diterjemahkan di dalam al-Quran, Ismail pun menjawab, "Wahai bapaku, kamu laksanakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu mendapatiku termasuk dalam golongan orang-orang yang sabar".

Nabi Ibrahim sungguh terharu mendengar kata-kata anaknya itu. Baginda tahu anaknya seorang yang tabah dan taat kepada Allah. Kemudian, baginda bersiap sedia menyembelih Ismail.

Sebelum disembelih, Ismail berpesan kepada bapanya: "Wahai ayahku, ikatlah badanku dengan kuat agar aku tidak meronta-ronta. Kemudian tanggalkanlah pakaianku agar tidak terkena darahku. Aku tidak mahu ibu bersedih apabila melihat pakaianku nanti. Tajamkanlah pisaumu dan percepatkanlah penyembelihanku agar dapat meringankan kesakitanku. Kemudian sampaikanlah salamku kepada ibu dan berikannya pakaianku sebagai tanda kenang-kenangan."

Nabi Ibrahim terus memeluk dan mencium anaknya.

"Aku sungguh bahagia mempunyai anak sepertimu yang taat kepada perintah Allah, berbakti kepada orang Allah, berbakti kepada orang tua dan ikhlas hatinya," kata Nabi Ibrahim dalam nada sedih.

Selepas itu, Nabi Ibrahim pun menjalankan perintah tersebut. Baginda melakukannya seperti yang diminta oleh Ismail, tetapi pisau yang digerakkan di leher Ismail tidak berfungsi dan menjadi tumpul. Beberapa kali dicubanya tetapi gagal. Nabi Ibrahim berasa hairan lalu berdoa kepada Allah dan Allah terus berseru kepadanya:

"Wahai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah melaksanakan mimpimu itu, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berbuat kebaikan."

Nabi Ibrahim amat bersyukur kerana Ismail telah terselamat daripada disembelih. Tempat Ismail telah diganti dengan seekor kibas.

lPetikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Hukum sertai pertandingan memancing

Soalan:SAYA gemar memancing dan sering menyertai pertandingan memancing. Persoalannya, adakah menyertai pertandingan memancing yang menawarkan hadiah seperti RM5,000 bagi tempat pertama juga termasuk dalam judi?

Jawapan:

Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah dari pengajur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.

Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil dari sumber yang mana? Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan dari individu atau agensi?

Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya haram. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.

Dua keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini. Pertamanya kerana menyertai pertaruhan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.

Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.

Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.

Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa: "Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman". (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).

Maisir atau perjudian telah diharamkan dengan nas yang qatie. Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90)

Para mufassir di dalam memberi makna menegaskan bahawa, al-maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-qimar).

Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya).

Sedangkan Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.

Dalam pertandingan memancing atau sebagainya, ada unsur pertaruhan atau jika membabitkan hadiah atau pemberian. Walaubagaimanapun tidak semua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah (hadiah) yang dihalalkan oleh syarak.

Justeru, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:

1. Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).

2. Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya: "Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku."

Maksudnya penganjur pertandingan memancing menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan.

Kedua-dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan hasil judi atau pertaruhan. Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding sama ada dalam bentuk yuran penyertaan, bayaran penyertaan atau sebagainya, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan syarak mengharamkannya.

Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:

1. Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.

2. Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.

3. Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.

4. Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.

5. Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram. (Ahkam al-Musabaqat Fi asy-Syari'ah al-Islamiyyah, Abdus-Somat bin Muhammad Balhaji, Dar an-Nafais, Jordan (2004).

Wednesday, June 17, 2009

Roda kereta Firaun di Laut Merah?

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

MASIH ramai yang ingat kisah mukjizat Nabi Musa a.s membelah Laut Merah dengan tongkatnya ketika dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya. Kini penyelidikan telah membongkar rahsia ajaib tersebut.

Seorang arkeologi Ron Wyatt, akhir tahun 1988, menyatakan dia telah menemui beberapa bangkai roda kereta tempur kuno di dasar Laut Merah.

Menurutnya, mungkin ini merupakan bangkai kereta tempur Firaun yang tenggelam di laut itu sewaktu digunakan untuk mengejar Nabi Musa bersama para pengikutnya.

Selain menemukan beberapa bangkai roda kereta tempur berkuda, Wyatt bersama para krunya juga menemukan beberapa tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama.

Penemuan ini tentunya semakin memperkuat dakwaan bahawa sisa-sisa tulang belulang itu merupakan bahagian dari kerangka para bala tentera Firaun yang tenggelam di Laut Merah.

Di samping itu, hasil ujian di Stockhlom University terhadap beberapa sisa tulang belulang yang berhasil ditemukan, mengesahkan adanya struktur dan kandungan beberapa tulang berusia sekitar 3,500 tahun silam, di mana sejarah, kejadian pengejaran dalam kurun waktu yang sama.

Adalah suatu hal yang menarik, yang juga berhasil ditemukan iaitu roda salah satu kereta kuda yang kini keseluruhannya telah tertutup oleh batu karang. Sehingga waktu ini bentuk aslinya sangat sukar untuk dilihat secara jelas dan nyata.

Mungkin Allah SWT sengaja melindungi benda ini untuk menunjukkan kepada kita semua bahawa mukjizat yang diturunkan kepada para nabi-Nya merupakan suatu hal yang nyata dan bukan cerita dongeng.

Di antara beberapa bangkai kereta tadi, ditemukan pula sebuah roda dengan empat jeriji yang terbuat dari emas. Sepertinya, inilah sisa dari roda kereta yang ditunggangi oleh Firaun.

Pada bahagian peta yang dilingkari (lingkaran merah), menurut para ahli, kira-kira di situlah lokasi di mana Nabi Musa bersama para kaumnya menyeberangi Laut Merah. Lokasi penyeberangan diperkirakan berada di Teluk Aqaba di Nuweiba.

Kedalaman maksimum perairan di sekitar lokasi penyeberangan adalah 800 meter di sisi ke arah Mesir dan 900m di sisi ke arah Arab.

Sementara itu, di sisi utara dan selatan lintasan penyeberangan (garis merah) kedalamannya mencapai 1,500 meter.

Kemiringan laut dari Nuweiba ke arah Teluk Aqaba sekitar 1/14 darjah, dari Teluk Nuweiba ke arah daratan Arab sekitar 1/10 atau 6 darjah.

Diperkirakan jarak antara Nuweiba ke Arab sekitar 1,800 meter. Lebar lintasan Laut Merah yang terbelah diperkirakan 900 meter.

Dapatkah kita membayangkan, berapa gaya (tenaga) yang diperlukan untuk membelah air laut hingga memiliki lebar lintasan 900 meter dengan jarak 1,800 meter untuk membolehkan ratusan ribu pengikut Nabi Musa melaluinya.

Tujuh kilometer

Menurut tulisan lain dikatakan jaraknya mencapai tujuh kilometer, dengan jumlah pengikut Nabi Musa sekitar 600,000 orang dan waktu yang ditempuh untuk menyeberangi sekitar empat jam.

Kajian sebuah perhitungan, dianggarkan diperlukan tekanan sebesar 2.800.000 Newton/m2 atau setara dengan tekanan yang kita terima jika menyelam di laut hingga kedalaman 280 meter.

Jika kita kaitkan dengan kecepatan angin, menurut beberapa perhitungan, sekurangnya diperlukan hembusan angin dengan kecepatan malar 30 meter/detik (180 km/jam) sepanjang malam untuk dapat membelah dan mempertahankan belahan air laut tersebut dalam jangka waktu empat jam.

Sungguh aneh dan ajaib ciptaan Allah SWT. Allah Maha Besar lagi Maha Berkuasa. Firman Allah bermaksud: Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami, Kami menyeksa mereka, iaitu Kami menenggelamkan mereka semuanya di laut hingga binasa. Maka Kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian. (az-Zukhruf: 55-56).

Menurut pendapat lain, kata yang diterjemahkan sebagai Laut Merah (Red Sea) sebenarnya adalah Laut Alang-Alang (Sea of Reeds). Kata ini dikenal sebagai Laut Merah, namun Laut Alang-Alang sebenarnya digunakan untuk merujuk kepada pantai Laut Tengah di Mesir.

Dalam Perjanjian Lama, ketika menyebutkan jalur yang diambil oleh Nabi Musa dan para pengikutnya, ia terletak di utara Delta Nil di pantai Mesir.

Sebagai implikasinya Laut Alang-Alang mendukung kemungkinan bahawa kejadian tersebut terjadi di pantai Mesir, kerana di daerah ini sesuai dengan namanya, banyak tumbuh alang-alang berkat tanah lumpur delta.

Pendapat majoriti terkini mengenalpasti Laut Merah dalam Eksodus sebagai sebuah laguna di pantai Laut Tengah yang terletak di sebelah utara delta di sekitar Semenanjung Sinai.

Al-Quran menggambarkan saat-saat terakhir kehidupan Firaun sebagai berikut: Dan Kami memungkinkan Bani Israel melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya, kerana hendak menganiaya dan menindas mereka, hingga bila Firaun itu telah hampir tenggelam berkatalah ia: "Aku percaya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah). (Yunus: 90).

Namun apa yang diucapkan oleh Firaun telah terlambat, pintu taubat telah tertutup. Pengakuannya menjadi sia-sia sahaja, walaupun ia mengakui menyerah diri kepada Allah SWT.

Pengikut-pengikut Firaun, sebagaimana Firaun sendiri, juga menerima bahagian hukuman mereka. Ini kerana bala tentera Firaun adalah orang yang angkara murka dan penuh kebencian.

Seperti halnya Firaun, mereka pun wajar menerima hukuman dari Allah. Maka Allah pun melemparkan Firaun dan bala tenteranya ke dalam dasar laut.

Firman Allah bermaksud: Dengan sebab itu, Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke dalam laut, maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim. (al-Qasas: 40)

Kajian membawa Miller kepada Islam

SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

BELIAU seorang pakar dalam bidang matematik. Ini kerana beliau suka sesuatu yang logik, yang boleh diselesaikan melalui kekuatan dan boleh diterima oleh akal. Oleh itu beliau tidak mudah untuk menerima sesuatu itu jika ia tidak logik atau masuk akal.

Ini termasuk juga soal pegangan agama. Namun baginya agama Kristian menepati semua prinsip-prinsip saintifik dan ilmu yang menyebabkan beliau tidak sahaja percaya sepenuhnya malah beliau juga seorang yang sangat aktif sebagai seorang paderi.

Sehinggalah pada suatu hari iaitu pada tahun 1978, beliau bercadang untuk membaca kitab suci umat Islam, al-Quran. Niatnya untuk mencari sebarang kesalahan dan kesilapan dalam isi kandungan dan ajarannya.

Paderi tersebut, Dr. Gari Miller bercadang mengambil kesempatan setiap kesilapan yang beliau temui dari al-Quran untuk digunakan sebagai senjata melemahkan umat Islam dalam usahanya untuk menarik mereka kepada Kristian.

Miller yakin akan menemui pelbagai kesalahan kerana beliau menganggap al-Quran, sebuah kitab agama yang sangat tua. Sudah 14 abad usianya dan pastinya pada hari ini boleh ditemui pelbagai kesilapan di dalamnya.

Namun, apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Beliau yang berasal dari Toronto, Kanada itu, tanpa disangka terus memeluk Islam! Ini kerana beliau langsung tidak menemui sebarang kesilapan dari kitab itu malah yang ditemui hanyalah kebenaran demi kebenaran!

Tentu sahaja tanpa sebarang keraguan beliau mengambil keputusan sedrastik itu kerana Miller juga seorang yang sangat arif mengenai kitab Injil. Lantas ini yang membuatkan beliau menemui pelbagai perbezaan antara kedua-dua kitab itu dan mana yang lebih logik untuk diterima oleh akal!

Beliau kemudiannya dikenali sebagai Abdul Ahad Omar. Apa yang membuatkan beliau terkejut mengenai al-Quran ialah apabila kitab itu mengandungi lebih banyak kisah mengenai Nabi Isa a.s yang dianggap tuhan dalam Kristian berbanding Nabi Muhammad SAW itu sendiri. Sedangkan Nabi Muhammad yang membawa dan menyebarkan Islam di muka bumi ini.

"Saya lebih terkejut lagi apabila al-Quran memperuntukkan satu surah yang khas, iaitu surah Mariam (Mary) bagi mengisahkan ibu Nabi Isa sedangkan jika Mariam itu benar-benar ibu kepada seorang 'tuhan' dalam Kristian, beliau sepatutnya layak diceritakan dalam tajuk atau surah yang khas di dalam kitab Injil.

"Tetapi perkara seperti itu tidak pernah terjadi malah tidak ditemui. Malah yang lebih mengharukan saya, mengapa Siti Mariam yang terpilih kisahnya dicatatkan dalam satu surah sedangkan beliau hanya ibu kepada Nabi Isa, mengapa al-Quran tidak mengutamakan sama ada Siti Aishah, isteri Rasulullah mahupun Siti Fatimah, anak perempuan baginda untuk dirakam dalam surah-surah khas, sedangkan mereka lebih layak kerana memberikan sumbangan yang besar kepada Islam?," ujar Abdul Ahad.

Namun yang lebih mengejutkan Abdul Ahad ini apabila dalam al-Quran juga disebutkan Nabi Isa itu sebanyak 25 kali berbanding Nabi Muhammad yang empat kali sahaja disebutkan dalam kitab suci itu.

Ini menjadikannya semakin keliru. Beliau tidak menyangka bahawa Nabi Isa dijelaskan oleh Allah sebagai menghapuskan kekeliruan di kalangan penganut Kristian yang selama ini menganggap bahawa Nabi Isa itu adalah tuhan.

Tetapi oleh kerana ketika itu niatnya hendak mencari sebarang kesalahan, Abdul Ahad terus berusaha membongkar setiap isi kandungan al-Quran. Beliau tetap percaya kesilapan pasti akan wujud di mana-mana walaupun kitab itu telah memberi banyak jawapan yang benar mengenai soal kenabian Isa dan bukannya tuhan sebagaimana yang disangka oleh umat Kristian.

Namun Abdul Ahad terus menerima kejutan demi kejutan. Apa yang lebih memeranjatkan apabila makna ayat al-Quran, iaitu dari surah an-Nisa' ayat 82, seolah-olah tepat ditujukan kepada beliau. Abdul Ahad benar-benar terduduk dan terkejut.

Firman Allah yang bermaksud: Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan (ikhtilafan) yang banyak di dalamnya... (an-Nisa': 82).

Tidak tergambar perasaan terkejut beliau, seolah-olah Allah tahu niat buruknya itu. Ini menjadikan Abdul Ahad tidak lagi terdaya meneruskan niatnya itu kecuali menerima hakikat dan kebenaran yang terbentang di hadapannya itu kini.

Sebelum itu beliau pernah bertanyakan kepada kalangan umat Islam yang lain, sama ada Nabi Muhammad itu seorang nelayan atau ahli pelayaran.

Tentu sama sekali tidak, kerana seumur hidup baginda, baginda tidak pernah keluar kecuali berada di padang pasir yang tandus dan tidak pernah menuju ke mana luar dari Tanah Arab apatah lagi melalui jalan laut.

Ini menyebabkan Abdul Ahad kehairanan. Jika benar bagai dikatakan itu, bagaimana al-Quran itu mampu bercerita mengenai keadaan laut yang bergelora, tiupan angin dan kedudukan awan dan sebagainya sedangkan Nabi Muhammad yang beliau tuduh sebagai menulis semua isi kandungan kitab itu bukan seorang ahli pelayaran atau nelayan!

Menurut Abdul Ahad, menerusi al-Quran pelbagai kelogikan akal dan menepati kehendak sains, beliau temui. Ayat 30 surah al-Anbiyaa' misalnya, adalah apa yang selama ini para saintis kaji dan temui. Iaitu; Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu (kanataa). Lalu kami pisahkan kedua-duanya (fafataknaahuma) dan Kami jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup (minnal ma'ie) dan mengapa mereka tidak mahu beriman?

Kata beliau, ayat ini merupakan apa yang selama ini para saintis kaji mengenai asal kejadian alam dan hidupan di muka bumi ini bagi melayakkan memenangi anugerah Nobel pada tahun 1973.

"Iaitu penemuan Teori Great Explosion (Letusan Hebat) yang antara lain mendapati bahawa bumi ini terhasil dari satu kejadian letupan yang paling hebat dan kuat yang pernah berlaku yang membawa kepada pemisahan antara kedudukan bumi dengan langit dan planet-planet yang lain," kata Abdul Ahad.

Namun hakikat al-Quran yang beliau tidak nafikan kebenarannya apabila Allah menyebut betapa Yahudi itu benar-benar musuh Islam walaupun puak-puak itu mendakwa mereka melayani umat Islam sebagai kawan.

"Jika Yahudi mendakwa sedemikian rupa, mengapa Allah berkata yang sebaliknya pula, mesti ada sesuatu yang tidak kena pada al-Quran ini," kata Abdul Ahad sebelum mengucap syahadah.

Namun dalam banyak ayat dalam Kitab itu akhirnya Abdul Ahad menyedari kebenaran bahawa Yahudi itu memang musuh Islam. Ia sebagaimana yang terbukti berlaku pada hari ini apabila puak itu sentiasa mengambil kesempatan untuk memerangi umat Islam dalam apa juga bentuk.

Beliau kini adalah seorang pendakwah yang aktif dan komited dalam menjelaskan kebenaran Islam terutama dari aspek sains.

Buku karangannya, The Amazing al-Quran menceritakan segala-galanya. Terlalu banyak di dalam bukunya itu yang mendedahkan pelbagai lagi aspek fakta kebenaran al-Quran yang tidak dilihat dari satu satu-satu sudut semata-mata malah kepincangan kitab Injil turut menjadi tumpuan dalam bukunya itu.

Khidmat masyarakat Perkim dengan Orang Sungai

Oleh MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Panduan iman, amal dan ilmu adalah faktor-faktor penting bagi melahirkan generasi pendakwah muslim unggul. Lebih-lebih lagi sebagai pendakwah merupakan suara atau jurubicara kepada masyarakat.

Elemen-elemen inilah yang membentuk rohani muslim yang mantap. Ia membolehkan mereka menongkah arus dunia muslim yang cukup mencabar pada abad ini. Seterusnya menjadi pewaris yang berintelek dan berakhlak.

Menyedari hakikat ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bersama Kelab Perkim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan aktiviti khidmat masyarakat dan kebajikan sosial di Kampung Usaha Jaya Bukit Garam, Kota Kinabatangan, Sandakan, Sabah pada 14 hingga 19 Mei lalu.

Program yang dinamakan Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) dengan temanya 'Membangun Masyarakat Dinamis dan Berakhlak Mulia' ini telah berjalan lancar.

Ia juga menepati hasrat utamanya iaitu merapatkan hubungan dan juga menyemai cara hidup Islam yang sebenar di kalangan masyarakat suku kaum Sungai di kampung berkenaan.

Jalinan kerjasama pelbagai pihak lain seperti UKM, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Ketua Kampung Usaha Jaya Bukit Garam dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) membolehkan pelbagai pengisian diadakan sepanjang program.

Pengerusi Jawatankuasa Ketua Kampung Usaha Jaya Bukit Garam, Aliasa Ismail berkata, Perlembagaan Persatuan Bangsa Sungai Sabah (Sabas) menetapkan bangsa Sungai adalah istilah generik dan label etnik menyeluruh yang merangkumi dialek dan suku kaum.

Katanya, terdapat 30 suku kaum bangsa Sungai di kampung itu. Antaranya adalah Idahan, Milian, Liwago, Begahak, Bengkoka, Bulud Upi, Dewara, Dumpas, Inokang, Kalabuan, Kuamut, Lingkabau, Makiang, Mangkaak, Minokok, Paitan, Pingas, Puawang, Rumanau, Segilitan, Sinobu, Sinorope, Subpan, Sugud, Sukang, Suyat, Tambangan, Tengara, Tinagas dan Tindakon.

Jelas Aliasa lagi, kampung itu telah beberapa kali meraih penganugerahan kampung terbaik dan mendapat pengiktirafan sebagai Gerakan Daya Wawasan dari aspek kejayaan dalam bidang pertanian, perladangan, ekonomi, muafakat dan kebersihan.

Sementara itu, Penyelaras Program yang juga Yang Dipertua Kelab Perkim UKM, Mohd. Shahnizam Azmi berkata, aktiviti yang menjadi teras utama kejayaan program ini adalah konsep keluarga angkat walaupun penduduk kampung itu berbilang agama dan budaya.

"Para pelajar Kelab Perkim UKM diterima sebagai anak angkat kepada penduduk kampung dan mereka dibahagikan lapan blok di mana setiap blok mempunyai 10 rumah.

"Mereka telah diberi ruang untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di samping dapat bertukar pandangan dan ilmu pengetahuan serta motivasi bersama keluarga angkat mereka," katanya.

Menurut Shanizam, tujuan Opkim adalah memupuk kreativiti dan kebijaksanaan berkomunikasi dalam menyeru kepada kebaikan serta daya juang yang tinggi dalam menghadapi arus cabaran realiti kehidupan.

Selain itu, pelajar juga merungkaikan kejumudan yang membelenggu pemikiran masyarakat Islam, memecahkan taklid serta dapat menyelamatkan pemikiran umat Islam dari menumpukan hanya sebahagian urusan agama ini sehingga mengabaikan sebahagian yang lain dan kesyumulan Islam itu sendiri.

"Malah program operasi kali ini juga turut diadakan forum perdana bertajuk 'Perpaduan Menjana Masyarakat Rababani' yang dihadiri oleh 400 penduduk kampung," ujar Shahnizam.

Pelbagai aktiviti juga diadakan seperti ziarah dan sumbangan kepada penduduk kampung, klinik solat, motivasi pelajar, pertandingan azan, membaca puisi dan juga nasyid. Turut diadakan pertandingan sukaneka, bolasepak, bola jaring, tiup belon, boling kelapa, mencari gula-gula dalam tepung dan rebut kerusi.

Aktiviti kebudayaan turut dipersembahkan pada Malam Kesenian Kebudayaan di Dewan Kampung Usaha Jaya Bukit Garam yang bertemakan Kebudayaan Pemangkin Masyarakat Harmoni.

Antara acara yang dipersembahkan adalah bacaan al-Quran, persembahan seni silat, kulintangan (gamelan), persembahan kumpulan nasyid Syababul Qowi, sajak, teater dan tarian kebudayaan orang sungai yang dipersembahkan oleh kumpulan Sri Milian.

Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi berkata, Islam adalah bersifat membimbing manusia ke arah kebaikan dan juga kejayaan. Ia bukanlah agama yang menyusahkan atau membawa manusia kepada permusuhan.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberi kepercayaan dan mandat kepada Perkim dalam usaha-usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan untuk membantu golongan Islam dan menyediakan kemudahan infrastruktur bagi kemajuan masyarakat Islam.

Beliau juga menyeru masyarakat kampung agar menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam supaya masyarakat yang lain melihat keindahan Islam sebagai agama contoh, dihormati, dicintai dan menjadi tunggak perpaduan ummah.

Dr. Suhaimi berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian penutup program lima hari empat malam itu .

Turut memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, Ketua Pengarah Pusat Perkembangan Pelajar UKM, Datuk Dr. Shaharuddin Ahmad dan Ketua Kampung Usaha Jaya Bukit Garam, Piko Tiam.

Bung Mokhtar dalam ucapannya berharap, program operasi seperti itu akan diperbanyakkan supaya dapat merapatkan lagi ikatan ukhuwah antara mahasiswa bersama masyarakat kampung yang berbilang kebudayaan, kaum, bahasa, bangsa dan keturunan.

Katanya, aktiviti seperti motivasi pelajar, program di surau, modal insan dan pendidikan memberi manfaat dan pendedahan untuk masa depan dan hala tuju belia muslim kerana ilmu tersebut adalah teras penting dan menjadi wajib pada masa kini.

"Hanya dengan pendidikan dan pelajaran Orang Sungai akan bertambah maju serta mampu menguruskan hidup mereka dengan sempurna di masa akan datang," tambah beliau yang menyumbangkan RM5,000 untuk program tersebut.

Dengan kerjasama berbagai pihak usaha dakwah yang dijalankan kepada masyarakat Orang Sungai semakin menunjukkan kesan yang positif dari semasa ke semasa khusus dalam aspek membudayakan cara hidup Islam di kalangan mereka.

Gerakan dakwah kontemporari

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

ADAKAH angka-angka ini menjadi ukuran kejayaan dalam senario dakwah Islam di Malaysia iaitu apabila sejak tahun 1990 sehingga 2007 seramai 108,830 rakyat bukan Islam di negara ini secara rasmi memeluk agama itu?

Konvensyen Pendakwah Negara anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) yang diadakan selama dua hari di Kuala Lumpur baru-baru ini tentunya bukan bertujuan meraikan angka-angka itu.

Namun apa yang dapat kita saksikan konvensyen itu tidak sahaja menjadi medan pertemuan kepada semua pihak yang terlibat secara rasmi atau tidak dalam usaha-usaha dakwah Islamiah di negara ini. Ini apabila seramai 700 orang terdiri dari pelbagai individu pendakwah dan wakil-wakil pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan menghadiri majlis itu.

Tetapi satu konvensyen yang kadang kala untuk kita menelan kepahitan akan segala kelemahan dan kekurangan di samping cabaran dan halangan yang mewarnai satu usaha yang paling mulia di sisi agama ini.

Hakikat yang pahit itu terpaksa diakui kebenarannya apabila soal metodologi atau kaedah berdakwah kita kadang kala mungkin sudah tidak seiring dengan perubahan semasa.

Masih menggunakan cara yang lapuk dan jauh sekali dari mempunyai kekuatan ilmu dan hujah di saat semua pihak begitu berusaha untuk menguasai apa juga perkara termasuk, Islam itu sendiri!

Namun pelbagai aspek berjaya disentuh oleh para pembentang kertas kerja dan menjadi pelbagai maklumat berguna kepada para peserta. Ini termasuklah pendakwah-pendakwah saudara baru seperti Ann Wan Seng, Muhammad Fitri Abdullah dan Nicholas Sylvester @ Berry Muhammad Abdullah.

Penampilan mereka berjaya menarik minat para pendengar apabila mereka yang dianggap mewakili bangsa masing-masing terutama Cina (Buddha), India (Hindu) dan Sabah (Kristian) menceritakan pengalaman masing-masing dalam usaha menyebar dan mengukuhkan Islam di kalangan bukan Islam.

Sesi forum tersebut dihangatkan lagi oleh seorang lagi pendakwah yang juga saudara baru, Dr. Ridhuan Tee Abdullah selaku pengerusi forum.

Secara ringkasnya, mereka mendedahkan pelbagai perkara terutama perkara-perkara yang menjadi halangan dan cabaran dalam usaha mereka untuk berdakwah. Ini kerana umat manusia hari ini semakin kompleks sifatnya dan ini memerlukan para pendakwah supaya mengaturkan semula strategi mereka bagi memikat kalangan bukan Islam ini tadi.

Tokoh pendidik negara, Profesor Dr. Sidek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menyampaikan kertas kerja yang bertajuk Manhaj Uslub Atau Jalur Dakwah Semasa.

Ia antara lain menekankan supaya kejayaan para pendakwah untuk berdakwah di negara ini tidak sahaja mencontohi perjuangan dakwah seperti mana yang dijayakan oleh Nabi Muhammad SAW tetapi perlu mempunyai manhaj kita sendiri.

Manhaj itu adalah Manhaj Malizie atau dakwah mengambil pendekatan cara ala Malaysia kerana orientasi masyarakat negara ini yang berbilang kaum.

Jakim turut menyampaikan kertas kerja yang bertajuk Perkembangan Dakwah Di Malaysia: Pengalaman Jakim dan Peranan Semasa yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Othman Mustapha.

Konvensyen yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom turut disemarakkan dengan pembentangan kertas kerja yang tokoh atau ulama yang tidak asing lagi, iaitu Dr. Uthman El Muhammady.

Pelbagai aliran

Beliau mendedahkan pelbagai aliran atas nama agama atau sebaliknya yang menjadikan dunia dakwah semakin rumit untuk dilalui oleh para pendakwah dalam kertas kerja yang bertajuk Gerakan Pemikiran Aliran Baru Masa Kini dan Cabarannya kepada Ummah.

Ini diikuti pembentangan kertas kerja terakhir yang disampaikan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hasnan Kasan dengan tajuk Pluralisme Agama: Satu Penilaian.

Namun perasmian Saluran Radio Malaysia Jakim yang dikenali sebagai SALAM FM di konvensyen itu menyuntik lagi semangat para pendakwah.

Melalui saluran di gelombang FM91.1 mHz untuk kawasan sekitar Lembah Kelang itu para pendengar mempunyai alternatif media baru untuk mengikuti pelbagai mesej dakwah mengikut kesesuaian terutama mengikut bahasa etnik masing-masing.

Walaupun berlangsung selama dua hari, konvensyen itu begitu pada padat dengan pelbagai maklumat. Sekali gus mampu memberikan nafas baru atau kesegaran bagi umat Islam di negara ini sebagai umat pendakwah.

Antara yang turut hadir di konvensyen itu ialah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz dan Presiden Muafakat, Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.

Monday, June 15, 2009

Ummu Waraqah dianiaya orang

UMMU Waraqah adalah puteri Abdullah bin al-Haris. Beliau merupakan golongan wanita awal dari kaum Ansar memeluk agama Islam.

Dia terkenal sebagai seorang yang istiqamah dalam membaca dan memahami isi kandungan al-Quran, menghafalnya dan mengumpulnya pada zaman nabi Muhammad. Malah, dia selalu mengabdikan dirinya untuk beribadah, taat dan mencari keredaan Allah pada setiap masa.

"Ibu harap kamu akan memiliki sifat peribadi mulia Ummu Waraqah apabila dewasa nanti," kata jiran Ummu Waraqah kepada anak perempuannya.

"Mengapa ibu berkata begitu?" soal anaknya yang masih tidak faham maksud ibunya.

"Kamu lihat sahaja kehidupan Ummu Waraqah pada setiap hari. Dia tidak pernah leka dari membaca al-Quran dan beribadah tidak kira waktu siang atau malam.

Malah, dia selalu menjaga solat dan ibadat puasanya. Alangkah mulianya hidup Ummu Waraqah yang menghafal al-Quran dan memahami isi kandungannya," jelas ibunya agar anaknya memahami apa yang sebenar yang ingin disampaikan kepadanya.

"Insya-Allah ibu. Semoga masin kata-kata ibu itu." balas anaknya lalu berjalan menuju ke pintu rumahnya.

"Kamu hendak ke mana?" ibunya hairan melihat kelakuan anaknya.

"Saya mahu belajar mengaji dan menghafal al-Quran daripada Ummu Waraqah," jawab anaknya lalu membuka pintu dan keluar rumah.

Nabi Muhammad menghormati Ummu Waraqah kerana dia menjaga ibadahnya, bertakwa dan mencari keredaan Allah, mengumpul, menghafal dan membaca al-Quran. Nabi Muhammad selalu mengunjungi Ummu Waraqah bertanyakan khabar beritanya.

Dia seorang wanita yang memiliki semangat tinggi terhadap agama Islam dan bercita-cita untuk mati syahid untuk menentang pihak musuh Islam dalam peperangan.

Pada suatu hari, nabi menyampaikan berita gembira kepada Ummu Waraqah bahawa dia merupakan seorang wanita syahid. Semenjak hari itu, nabi memanggilnya dengan gelaran as-syahidah dan akhirnya masyarakat sekeliling beliau mengenalnya dengan gelaran itu.

Pada suatu ketika nabi Muhammad singgah di rumah Ummu Waraqah untuk bertanyakan khabar. Ummu Waraqah menjemput masuk nabi Muhammad masuk ke dalam rumahnya. Nabi Muhammad memuji Ummu Waraqah kerana kecintaan yang mendalam dalam membaca, menghafal dan mengumpul al-Quran sehingga menjadi seorang yang hafaz al-Quran.

"Wahai Ummu Waraqah! Kamu boleh menjadi imam bagi kaum wanita di kawasan tempat tinggal kamu." perintah Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah. Kalau begitu berikan seorang tukang laung azan (muazin) di rumah saya," mohon Ummu Waraqah.

"Baiklah. Nanti saya hantarkan seseorang untuk menjadi muazin di rumah kamu," balas Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad menghantar seorang lelaki tua untuk menjadi muazin di rumah Ummu Waraqah. Maka rumah Ummu Waraqah menjadi tempat solat lima waktu bagi kaum wanita di kawasan tempat tinggalnya dan Ummu Waraqah sendiri menjadi imamnya.

Ini adalah penghormatan yang diberikan oleh Nabi Muhammad kepada Ummu Waraqah kerana dia merupakan seorang yang pakar dalam membaca al-Quran.

Ummu Waraqah seorang wanita yang mahu berjuang di medan perang dan mati syahid seperti sahabat nabi yang lain.

Dia bercita-cita untuk berjihad bersama kaum Muslimin dan mendapatkan pahala mujahidin. Apabila mendengar seruan untuk keluar berjihad dalam Perang Badar, Ummu Waraqah bergegas datang dari tempat tinggalnya yang di luar kota Madinah untuk berjumpa Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah, izinkanlah saya pergi bersama kamu. Saya boleh mengubati orang-orang yang terluka dalam peperangan dan merawat orang sakit. Semoga Allah mengurniakan pahala orang mati syahid kepada saya," pohon Ummu Waraqah kepada nabi Muhammad yang bersiap sedia untuk keluar bersama pasukan tentera Islam.

mati syahid

"Sesungguhnya Allah akan mengurniakan pahala orang yang mati syahid pada kamu. Pulanglah dan tinggal di rumah kamu kerana sesungguhnya kamu adalah orang yang akan mati syahid," jawab nabi Muhammad.

Ummu Waraqah tidak menentang kata-kata nabi itu. Dia pulang ke rumahnya dan tinggal di rumahnya mengikut arahan nabi. Ummu Waraqah selalu berdoa kepada Allah agar dia mendapat syahadah di jalan Allah sambil menanti hari-hari yang dikatakan oleh nabi itu. Sesungguhnya nabi tidak berkata-kata mengikut sesuka hatinya melainkan ucapannya adalah wahyu.

Ummu Waraqah hidup sehingga zaman khalifah Umar al-Khatab. Pada masa itu, Ummu Waraqah memiliki dua orang hamba iaitu seorang lelaki dan seorang wanita. Hamba inilah yang menjaga kehidupan Ummu Waraqah pada usia tuanya. Ummu Waraqah berjanji akan membebaskan mereka berdua apabila dia meninggal dunia.

"Bagaimana kita bunuh sahaja perempuan tua itu supaya kita bebas dengan cepat?" cadang hamba lelaki kepada hamba wanita yang sedang memasak di dapur.

"Saya sebenarnya tak sabar lagi ingin mengecap hidup sebagai seorang yang bebas," sambung hamba lelaki itu memancing perhatian hamba wanita yang hanya mendiamkan diri.

"Saya takutlah......" jawab hamba wanita dengan nada ketar.

"Kita bunuh dia pada waktu malam semasa semua orang sedang tidur. Kemudian kita larikan diri jauh dari sini. Awak jangan takut. Kita akan selamat..." hamba lelaki itu mendedahkan rancangan jahatnya.

"Seandainya begitu, saya setuju...."

Pada suatu malam, mereka berdua bangun dan memasuki bilik Ummu Waraqah. Ummu Waraqah sedang tidur nyenyak dan tidak menyedari ada orang memasuki biliknya.

Hamba lelaki itu menangkap tubuh Ummu Waraqah lalu hamba wanita itu menyerkapnya dengan guni. Hamba lelaki itu mengikat guni itu dengan sekuat hatinya sehingga Ummu Waraqah lemas lalu meninggal dunia. Kemudian kedua hamba itu melarikan diri keluar dari kota Madinah.

"Demi Allah, saya tidak mendengar suara bacaan al-Quran dari ibu saudara saya, Ummu Waraqah malam tadi. Saya mesti pergi ke rumahnya untuk menjenguknya kerana takut ada sesuatu yang tidak baik berlaku pada dirinya," kata khalifah Umar al-Khatab pada keesokan pagi.

Apabila khalifah Umar al-Khatab sampai di rumah Ummu Waraqah, tiada siapa yang kelihatan di rumahnya. Kemudian beliau memasuki bilik tidur Ummu Waraqah dan mendapati Ummu Waraqah terbungkus dalam guni di atas katilnya. Beliau memanggil semua orang ke rumah Ummu Waraqah untuk memberitahu tentang berita kematiannya.

Ummu Waraqah berjaya mendapatkan apa yang dicita-citakan dalam hidupnya iaitu mati syahid. Allah membuktikan apa yang Rasulullah sampaikan daripada perkara yang akan berlaku.

nPetikan daripada buku Srikandi Perisai Nabi terbitan PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Mendepani cabaran keluarga Muslim

Oleh ZUARIDA MOHYIN

SAYANGNYA, realiti dalam masyarakat kita, terlalu banyak permasalahan yang melanda keluarga Muslim hari ini. Kes-kes keganasan rumah tangga sama ada secara fizikal, mental dan seksual kerap kita dengar. Begitu juga dengan kes perceraian sehingga mencecah belasan ribu kes setiap tahun.

Selain itu, kita turut dipaparkan dengan kisah suami meninggalkan isteri dan anak-anak tanpa khabar berita, apatah lagi melunaskan tanggungjawab menyediakan nafkah. Gejala sosial di kalangan remaja seperti; penagihan dadah, lepak merempit, seks bebas, juga semakin meruncing dari sehari ke sehari. Yang membimbangkan bilangan ini sentiasa dijuarai oleh kelompok Muslim.

Hakikatnya, semua ini adalah petanda bahawa keluarga Muslim di negara ini sudah tidak lagi berpandukan kepada ajaran agama Islam dalam melayari kehidupan ini.

Tambah malang, apabila ada segelintir daripada golongan ini langsung tidak mengendahkan garis panduan bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Mereka lebih suka memilih atau mencari jalan sendiri dalam kehidupan yang serba mencabar ini.

Keseriusan permasalahan di atas ini turut diakui Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam ucapan beliau ketika berucap pada Seminar Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa pada penghujung Mei lalu di IKIM.

Terang beliau, dalam satu kajian mendapati 34.7 peratus wanita bekerja menghantar anak kepada saudara mara untuk dijaga apabila mereka keluar bekerja, 19.2 peratus lagi menghantar anak kepada pengasuh yang merupakan jiran, 13 peratus menghantar anak ke pusat asuhan dan 7.9 peratus menggunakan khidmat pembantu rumah.

"Walau apapun bentuk jagaan yang dipilih, apa yang penting ibu bapa itu tidak mengabaikan tanggungjawab mereka dalam soal mendidik anak-anak. Tidak salah ibu bapa mengharapkan orang lain menjaga anak-anak, khususnya apabila keluar bekerja namun tanggungjawab mendidik anak masih terpikul di bahu ibu bapa.

"Malah dalam Laporan Keselamatan Kehidupan Dalam Talian Norton 2009 yang dilakukan di kalangan 9000 orang dewasa dan kanak-kanak di 12 negara di seluruh dunia mendapati, golongan dewasa melayari Internet tiga jam sehari atau 89 jam sebulan berbanding kanak-kanak, kira-kira 39 jam sebulan. Ini menjelaskan bahawa ICT pada hari ini merupakan sebahagian daripada kehidupan dua golongan ini dan sudah pastinya, golongan remaja.

"Selain komputer berInternet, telefon bimbit turut menjadi kegilaan remaja. Ia mendedahkan remaja kepada kegiatan tidak sihat yang mampu merosakkan pemikiran dan masa depan generasi muda ini. Di samping itu, ibu bapa juga perlulah berhati-hati berkaitan aspek pergaulan anak-anak terutamanya dalam memilih rakan sebaya. Ini kerana pengaruh rakan sebaya amatlah kuat," kata beliau yang berharap sebahagian cabaran-cabaran yang mendepani institusi keluarga dapat di atasi menerusi penglibatan para peserta pada forum dua hari itu.

Pada sesi satu seminar itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman dalam kertas kerjanya bertajuk, 'Profil Keluarga di Malaysia dan Kesannya Kepada Keluarga' turut sependapat dengan Ahmad Sarji.

Oleh itu, tegas beliau kefungsian keluarga dan peranan institusi itu amat penting ke arah pembangunan insan, pembentukan dan perkembangan manusia, pembangunan potensi setiap ahli keluarga dan mencorakkan perkembangan dan kesejahteraan rakyat.

"Institusi keluarga di Malaysia sedang melalui perubahan dan transisi tanpa disedari. Keupayaan keluarga untuk mengharungi arus permodenan dan pembangunan menjadi antara isu utama yang perlu diberi perhatian.

"Maka kita perlu lebih berdaya tahan dalam menangani cabaran-cabaran hidup seperti penjagaan anak terutama bagi pasangan dwi-kerjaya, pengurusan kewangan, keibubapaan anak remaja dan tanggungjawab kepada ibu bapa tua," katanya

Aminah turut menggariskan beberapa kesan kehidupan kekeluargaan yang perlu diambil perhatian di antaranya;

"Peningkatan dalam kumpulan umur bekerja merupakan bonus demografi kepada negara. Penduduk dikatakan berada pada tahap optimum di mana manfaat dapat diperoleh hasil daripada pelaburan ekonomi yang produktif kerana tanggungan ekonomi adalah rendah dan secara relatifnya terhadap ramai pekerja yang menanggung penduduk yang bukan produktif. Pada kesempatan ini, pelaburan ke atas pembangunan sosial perlu diperhebatkan, terutamanya kepada golongan remaja ke arah pembentukan sahsiah diri yang jitu dan resilien.

"Kestabilan institusi perkahwinan perlu dititikberatkan seperti menangani senario kahwin lewat dan perceraian. Kesedaran mengenai perkahwinan dan kepentingan hidup berkeluarga perlu diperluas supaya senario pembujangan tidak menjadi satu budaya dalam masyarakat.

"Pendidikan kemahiran keibubapaan berteraskan tanggungjawab bersama antara suami dan isteri perlu diutamakan agar peranan yang dimainkan lebih signifikan ke arah membina keluarga sejahtera.

"Intervensi untuk membimbing golongan remaja perlu diperhebatkan kerana golongan ini bakal menjadi pewaris di dalam masyarakat negara ini. Langkah ini juga dilihat mampu membendung gejala sosial yang semakin membarah.

"Penerapan nilai-nilai murni dibudayakan dalam masyarakat dan nilai ini perlu disemarakkan sebagai tonggak utama mengukuhkan institusi keluarga agar lebih berdaya tahan, sekali gus menyatupadukan masyarakat.

"Menyedari hakikat bahawa institusi keluarga kini perlu diberi sokongan, perhatian yang khusus dan program-program berbentuk support system perlu dilaksanakan secara istiqamah.

"Warga emas perlu diberi perhatian yang sewajarnya seperti memperbanyakkan prasarana dan kemudahan komuniti yang mesra warga emas. Ia sekali gus membantu mereka mengisi masa lapang dengan aktiviti yang sihat dan bermanfaat.

"Agensi-agensi kerajaan serta pihak berkenaan yang terlibat secara langsung dan tidak dalam perancangan dan penggubalan dasar mahupun perancangan pembangunan negara perlu memberi keutamaan kepada pembangunan sosial dan ekonomi.

Masjid sebagai lambangketamadunan Islam

PROGRAM Jejak Warisan Masjid diadakan bersempena sambutan Kuala Lumpur yang telah dipilih sebagai Kota Kebudayaan Islam atau Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO).

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam adalah berdasarkan kepada sejarah dan budaya yang unik dan kukuh. Selain itu, Kuala Lumpur juga mempunyai pusat penyelidikan saintifik, arkeologi dan manuskrip yang menjadi rujukan kepada penyelidik.

Program ini telah dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di lokasi pertama lawatan iaitu di Masjid Negara.

Bersempena dengan itu, Jabatan Warisan Negara turut melancarkan sebuah buku yang bertajuk The Mosque and Musollas in Kuala Lumpur yang menerangkan secara ringkas tentang perkembangan seni bina Islam yang terdapat di masjid dan surau di sekitar Kuala Lumpur.

Buku tersebut diterbitkan dalam bahasa Inggeris oleh Jabatan Warisan Negara dan diberi secara percuma di lokasi yang dipilih oleh jabatan tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Profesor A. Ghafar Ahmad berkata, tujuan program Jejak Warisan Masjid ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran berkaitan warisan dan fungsi masjid kepada generasi remaja masa kini.

Rombongan Jejak Warisan Masjid itu disertai oleh 300 peserta terdiri dari pelajar sekolah rendah, menengah, institusi pengajian tinggi awam, persatuan penduduk dan persatuan belia dari pelbagai bangsa di sekitar Lembah Klang.

Menurut A. Ghafar, pemilihan tujuh masjid tersebut dibuat kerana ia memiliki pelbagai ciri dan reka bentuk berbeza.

"Dari lawatan ini, peserta boleh melihat kepelbagaian dan perkembangan reka bentuk sesebuah masjid dari unsur tradisional dalam ragam hias hinggalah unsur moden yang dibina selepas era kemerdekaan.

Tujuh masjid iaitu Masjid Negara, Masjid Jameul Ehsan, Masjid Jamek Kampung Baru, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid India, Masjid As-Syakirin dan Masjid Wilayah dipilih kerana kepelbagaian seni bina dan reka bentuk yang berbeza," ujarnya ketika ditemui di majlis penutup program yang berakhir di Masjid Wilayah, Jalan Duta.

Program ini juga mendapat kerjasama dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudi menjadi polis iringan sepanjang lawatan dari satu masjid ke satu masjid.

Ahli rombongan juga diberi penerangan dari aspek seni bina dan teknikal oleh arkitek bertauliah, Mariyah Pit.

Mariyah yang juga wakil dari Persatuan Arkitek Malaysia berkata, dari program ini, satu persepsi boleh diubah bahawa masjid tidaklah semestinya berkubah.

"Masjid Negara berjaya mengubah persepsi orang ramai bahawa masjid tidak semestinya berkubah. Dari segi seni bina pula Masjid Negara memang paling efektif sebab mempunyai anjung yang luas dan peredaran udara yang baik.

Masjid India pula tidak menekankan nilai estetika tetapi lebih kepada fungsinya yang membolehkan seberapa ramai umat bersolat di dalamnya.

Jika dilihat pada binaan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad pula lebih kepada ciri Inggeris kerana terdapat pavilion untuk peredaran udara yang baik," ujar Mariyah yang juga menjadi jurucakap kepada peserta rombongan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pembangunan Budaya dan Etnik Linguistik Nusantara, A. Najib Ariffin berkata, lawatan seperti ini amat penting kepada anak-anak muda di Malaysia demi memastikan warisan tidak hilang begitu sahaja.

"Kita tidak boleh mengharapkan kurikulum sekolah sahaja. Sejarah perlu diwariskan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Sebagai contoh apa itu mihrab dan mimbar kalau tidak diceritakan oleh ibu bapa, pasti anak-anak muda tidak akan tahu maksud dan fungsinya.

Saya harap agar program seperti ini dapat diteruskan demi kesinambungan warisan," akhirinya.

Peranan ulama dalam silat

Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

BARANGKALI perbicaraan yang menyentuh secara langsung tentang persilatan adalah masih sangat langka. Keterlibatan penulis dalam membicarakan perkara persilatan ini juga amat sedikit berbanding penulisan-penulisan selainnya.

Oleh itu, kelemahan-kelemahan dalam perbicaraan ini rasanya sangat banyak, apatah lagi dunia persilatan hanyalah penulis kenali sewaktu masih kanak-kanak dan ditinggalkan begitu lama, sejak tahun 1960-an.

Jenis-jenis silat memang banyak penulis ketahui, namun penulis bukanlah seorang pelajar mengenai bidang itu secara tekun tetapi hanyalah sebagai pemerhati saja. Di antara silat-silat yang penulis ketahui ialah Silat Pengian, Silat Kuntau, Silat Harimau, Silat Buton Kalidupa, Silat Bugis Bone, Silat Sinding, Silat Pukul Tujuh, Silat Minangkabau, Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Patani, Silat Abjad dan Al-Mu'azat.

Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam jihad fi sabilillah.

Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan 'senjata' qalam untuk mengajar umat Melayu dna juga senjata pedang unutk perjuangan di medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada penjajah.

Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula adalah mempertahankan Islam dan tanah air.

Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah:

*silat menggunakan qalam/pena,

*silat kalam/lidah,

*silat menggunakan siasah/politik, dan lain-lain termasuklah

*silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang seni atau budaya.

Pelajaran silat dalam Kerajaan Pontianak

Tidaklah janggal pada kesempatan ini penulis mulakan petikan mengenai silat yang termaktub dalam sebuah manuskrip "Syair Kerajaan Pontianak".

Kerajaan Pontianak (Indonesia) memang bukan dalam Malaysia, tetapi adalah sebuah kerajaan Melayu yang didirikan oleh Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri yang direstui dan dirasmikan oleh pahlawan Melayu-Bugis, Raja Haji bin Upu Daeng Celak.

Raja Haji pula adalah seorang pahlawan Melayu agung sesudah Hang Tuah, kerana hampir keseluruhan negeri-negeri Melayu pernah dikunjunginya. Akhir riwayat Raja Haji gugur sebagai syahid fi sabilillah di Teluk Ketapang, Melaka.

Syair Kerajaan Pontianak ditulis beberapa tahun setelah berdirinya Kerajaan Melayu-Islam Pontianak, dalam petikan tersebut juga jelas mencerminkan minat dan kesungguhan Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri terhadap seni dan budaya silat. Untuk lebih jelas dan merupakan dokumen sejarah persilatan Melayu, Bab Silat dalam Syair Kerajaan Pontianak penulis sebutkan beberapa petikan awal darinya, iaitu:

Setelah sudah berperi-peri,

baginda berangkat lalu berdiri

Panggilkan Mat Raiyat suruh ke mari,

serta dengan Wan Bakari.

Wan Ahmad, Wan Bakar datanglah sudah,

kepada baginda tunduk menyembah

Dengan segeranya baginda bertitah,

Adalah sedikit hendak diperintah.

Baginda tersenyum seraya berkata,

Jikalau suka rasanya cita

Tuan-tuan yang muda ajarkan kita,

diajarkan silat bermain senjata.

Tuan ajarkan padan-padan,

boleh dilihat usulnya badan

Bagaimana di dalam contoh teladan,

yang mana patut main di medan.

*Tulisan Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam.

Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta bertanggungjawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan kuffar.

Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab.

Transliterasi selengkapnya ialah: "Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar, yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi mereka itu.

"Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah suatu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu datang kepada negeri kita.

"Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ... " (Bughyat at-Thullab, jilid 1, hlm. 95).

Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya "Maka jika datang ia kepada negeri Islam ... " dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat-Belanda dan Inggeris di dunia Melayu pada zaman Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dengan peristiwa Amerika, pengganas terbesar dunia, yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq.

Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas daripada dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah yang tersebut adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam.

Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan kalimat di atas bahawa "jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ..." berperang atau jihad terhadap mereka. Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam.

Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu.

Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas atau terrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua golongan yang sedang bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat).

Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain tidak dapat disamakan dengan kedua-dua golongan pengganas yang tersebut di atas, kerana jihad Islam adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat keraguan di dalamnya.

Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran-pentafsiran yang tidak betul disusun demikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi beracun yang mereka peroleh dari musuh-musuh Islam.

Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita ketahui dari kalimat beliau, "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta diteguhkan dia ...".

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan dengan sambungan kalimatnya "dan ditaruhkan senjatanya" maksudnya bahawa dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap digunakan apabila diperlukan.

Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan kalimatnya "dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan mereka itu". Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan "ilmu silat" kerana orang Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai ketangkasan.

Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat dinafikan diperlukan "kekuatan dalaman" atau "mental" atau "rohani". Baik Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam peperangan.

Wirid pertahanan diri Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani

Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul Mulhik fi Bayanil Fawa'id an-Nafi'ah fil Jihadi fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri iaitu "Suatu Perhubungan Pada Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Sabilillah", beliau membahagi dalam risalah tersebut kepada empat bahagian, iaitu:

lFaedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi 'Azimat Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan Orang Kafir.

lFaedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah Dan Lainnya.

lFaedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.

lFaedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Kafir, Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.

Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau, cetakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu "Ini doa diambil daripada Sheikh Abdus Shamad Palembang, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya tidak mengenai padanya pedang, atau panah, atau segala rupa kejahatan dari seteru ... "Yang disebut dalam Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab Mun-yat al-Mushalli. Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm. 96-98).

Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam terjemahan wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani tersebut ada hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat yang pernah penulis pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:

*Belajar secara fizik di gelanggang.

*Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.

*Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.

Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani terdapat satu doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat Al-Mu'azat. Walaupun dalam Silat Al-Mu'azat tidak mempelajari gerak fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka gerak fizik akan datang dengan sendirinya.

Silat Al-Mu'azat pernah dikembangkan di Johor oleh Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam tahun 1970-an. Wirid yang diamalkan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, yang sama dengan amalan dalam Silat Al-Mu'azat itu, lebih lengkap ditulis oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab Ward az-Zawahir (lihat hlm. 189).

Kesimpulan dan penutup

Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:

lSeni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan kerohanian.

lIlmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.

lUlama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi sabilillah mempunyai asas ilmu menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu bahkan sumber amalan ada yang berasal dari Rasulullah SAW sendiri.

lUlama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.

Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak.

Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan dan pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya supaya dihindari oleh-Nya.