Like Blog Ini...

Thursday, May 31, 2012

Awasi jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my

JANGAN cemas kerana penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) hanya menyerang kanak-kanak dan secara amnya ia tidak berbahaya," ulas Pakar Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Azam Mohd. Nor ketika ditanya adakah penyakit HFMD merupakan penyakit yang berbahaya ketika ini.

Bagaimanapun beliau yang ditemui di kliniknya di Kuala Lumpur baru-baru ini turut menyatakan, penyakit itu tidak begitu berbahaya sekiranya ia dikesan pada peringkat awal.

Malah kebanyakan kes yang menyebabkan kematian disebabkan kelewatan membawa mangsa mendapatkan rawatan. Apabila lambat dirawat ia boleh menyerang otak atau saraf tunjang kanak-kanak tersebut.

Oleh yang demikian, sekiranya terdapat tanda-tanda seperti demam, batuk dan selesema yang diikuti dengan ulser di tangan, kaki dan dalam mulut, pesakit hendaklah segera dibawa berjumpa doktor.

Ini kerana, penyakit yang mudah merebak melalui air liur, sentuhan dan juga najis itu merupakan penyakit berjangkit yang mampu dan mudah merebak dalam tempoh amat singkat.

Jelas Dr. Azam, HFMD merupakan demam virus yang disebabkan dua jenis virus utama iaitu coxsackie dan enterovirus.

Tambah beliau, antara kedua-dua virus tersebut, HFMD lazimnya disebabkan oleh coxsackie dan ia biasanya menyerang kanak-kanak yang berumur 10 tahun ke bawah.

Meskipun penyakit ini boleh dikategorikan sebagai tidak begitu berat, namun ia boleh mencapai tahap wabak.

Manakala kematian selalunya berlaku ke atas kanak-kanak yang mengalami kehilangan air dalam badan ekoran penyakit tersebut.

Pada masa yang sama, kes kematian akibat penyakit itu juga disebabkan oleh enterovirus 71 yang berpunca daripada manusia.

Selain itu, Dr. Azam menyatakan bahawa HFMD bukan hanya berjangkit menerusi kanak-kanak tetapi ia juga boleh berlaku antara kanak-kanak dengan orang dewasa.

"Orang dewasa yang membawa virus ini mungkin tidak mengalami sebarang simptom HFMD atau demam. Namun mereka masih boleh membawa jangkitan tersebut kepada kanak-kanak.

"Oleh itu, orang dewasa perlu terlebih dahulu menjaga kebersihan diri dengan mengikut langkah-langkah perlu sebelum menyentuh, mencium atau memegang anak-anak mereka," katanya.

Walaupun jangkitan penyakit ini masih terkawal ketika ini tetapi kata Dr. Azam, aspek kebersihan perlu diberi perhatian bagi mengelak ia merebak lebih teruk.

Katanya, walaupun tidak semua orang akan mendapat penyakit ini tetapi setiap individu pastinya akan 'diserang' penyakit itu sekali seumur hidup.

Prihatin keperluan masyarakat Islam

Oleh DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

MASYARAKAT Islam di Malaysia amat prihatin dengan makanan halal. Malaysia telah jauh memacu era piawaian makanan halal di dunia. Pelbagai usaha dilakukan bagi menentukan standard halal di Malaysia.

Ini disebabkan pengguna Islam di Malaysia amat menitikberatkan isu sembelihan binatang yang halal dimakan sehingga ada yang berjenaka, waima ayam curian sekalipun, ia mesti disembelih, sedangkan memakannya tetap haram.

Halal itu sebenarnya bukan setakat barang makanan sahaja. Aspek halalan toyyiba ini perlu dilihat dari aspek yang lebih makro lagi. Ia bukan sahaja setakat cara penyembelihan tetapi juga piawaian persediaan dan kebersihan, pengasingan produk halal dan tidak halal serta barang barang lain yang tidak halal.

Penumpuan kepada kaedah penyembelihan sahaja akan menjadikan kita tersasar daripada matlamat 'halal' tersebut. Kebersihan suatu produk halal juga penting bagi menjamin kualiti produk halal itu sendiri.

Di pasar raya besar, hotel-hotel dan kedai kedai serbaguna, pengasingan secara total antara produk halal dan tidak halal masih belum dilaksanakan lagi. Hal yang demikian menyebabkan kekeliruan di kalangan pengguna Islam tentang kehalalan sesuatu produk itu.

Apatah lagi, jenama yang dikeluarkan hampir sama dengan jenama yang halal. Perkara sedemikian menjadikan masyarakat Islam mangsa kepada peniaga-peniaga yang meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama.

Pengendali-pengendali kaunter pula yang kebanyakannya beragama Islam pula terdedah kepada benda-benda tidak halal, memegang dan membungkusnya kerana tiada pengasingan secara total. Ia mendatangkan kerunsingan di kalangan orang Islam.

Dalam hal arak pula adalah menjadi suatu kesalahan bagi orang Islam di dalam Undang-Undang Syariah menjual dan mempamer dan sebagainya minuman yang memabukkan . Seksyen 18 Enakmenan Jenyah Syariah (Negeri Selangor) 1995 menyebut: 18(1) Mana-mana orang yang di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan seksyen di atas bukan sahaja peminum minuman memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan tetapi juga mana-mana orang Islam yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan juga adalah merupakan perlakuan suatu kesalahan.

Jika kita lihat realiti semasa, memang ramai orang Islam yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 18(2) ini.

Pekerja-pekerja ini terdedah kepada pendakwaan di dalam seksyen yang disebut di atas. Dalam hal yang demikian adalah dicadangkan pengasingan secara total penjualan produk tidak halal ini.

Produk ini hendaklah juga dikendalikan oleh orang bukan Islam sahaja. Hal yang sama juga berlaku kepada penganut agama Hindu kerana saya juga ada menerima rungutan daripada penganut Hindu yang terpaksa menyediakan daging lembu untuk jualan.

Lembu merupakan haiwan suci di kalangan penganut Hindu. Sudah pasti ketidakselesaan berlaku terhadap pekerja-pekerja ini kerana menyanggah seruan agama masing masing.

Sensitiviti beragama sebegini perlulah diberi perhatian serius. Peniaga mesti lebih peka terhadap keperluan beragama di kalangan rakyat Malaysia bukan sekadar ingin mengaut keuntungan sahaja.

Agama amatlah peribadi di dalam masyarakat Malaysia dan kehormatan sewajarnya patut diberikan dalam pengamalan beragama.

Keperluan beribadat juga perlu dititikberatkan oleh peniaga-peniaga. Terdapat banyak tempat ibadat untuk orang Islam yang disediakan oleh pasar raya dan hotel-hotel sekadar mengadakannya sahaja.

Ia tidak memenuhi keperluan dari sudut keselesaan, saiz dan juga jumlah pengunjung yang datang beribadat. Tidak kurang juga surau-surau yang disediakan jauh dan terpencil dari tempat tumpuan utama menyebabkan pengunjung tidak berjumpa surau yang disediakan.

Hal yang demikian, amatlah menyedihkan kerana sensitiviti beragama ini seolah tidak diendahkan oleh pihak-pihak tertentu. Seharusnya pihak berkuasa tempatan juga lebih prihatin terhadap keperluan ini dengan mensyaratkan garis panduan yang ketat semasa meluluskan suatu projek pembangunan.

Wednesday, May 30, 2012

Perkahwinan Rasulullah dengan Maimunah

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Sirah Nabawi

BAGAIMANA agaknya Rasulullah SAW bertemu jodoh dan akhirnya berkahwin dengan Maimunah binti al-Harits sewaktu mengerjakan Umratul Qadha?

Maimunah yang bermakna orang yang bahagia merupakan nama baru yang diberi oleh Rasulullah kepada isterinya itu, yang pada asalnya bernama Barrah binti al-Harits.

Barrah merupakan seorang balu berusia 26 tahun yang kematian suami, Abu Rahm Al-Amiri.

Barrah mempunyai saudara perempuan yang dikenali sebagai Ummu Fadhl yang berkahwin dengan bapa saudara Rasulullah iaitu Abbas bin Abdul Mutalib.

Seperti yang kita ketahui, Abbas tidak berhijrah ke Madinah kerana sibuk menguruskan perniagaannya.

Melalui Abbas jugalah Barrah banyak mengetahui mengenai Rasulullah yang menyebabkan wanita itu begitu tertarik dengan baginda.

Akhirnya Barrah dapat mengenali wajah baginda saat baginda berlari-lari anak mengerjakan ibadat Saie dan ketika baginda berhenti berehat sambil minum air zamzam.

Pandangan pertama itu menyebabkan Barrah terus jatuh hati kepada Rasulullah dan berharap baginda akan menjadi pasangan hidupnya selepas kematian suami.

Tetapi bagaimana hasrat di hatinya itu dapat disampaikan kepada baginda? Dan bagaimana baginda akhirnya sudi untuk menerima Barrah sebagai isteri?

Sebagai wanita tentulah agak janggal jika Barrah sendiri yang menyatakan hasrat di hatinya itu kepada baginda walaupun tidak salah jika dikatakan perigi mencari timba. Tetapi perlulah dilakukan dengan adab yang tidak menjejaskan maruah mana-mana pihak.

Namun yang lebih penting, Barrah harus bertindak segera sebelum umat Islam yang diketuai oleh Rasulullah itu akan kembali ke Madinah.

Lalu tanpa dapat ditahan-tahan, Barrah berkongsi rahsia hatinya itu dengan saudaranya sendiri, Ummu Fadhl.

Pada mulanya bukan mudah untuk Barrah menceritakan apa yang sedang bergolak di hatinya itu. Tetapi akhirnya setelah dipujuk oleh Ummu Fadhl, Barrah mencurahkan niatnya.

"Sesungguhnya aku telah jatuh hati dan sangat mencintai Rasulullah dan ingin bernikah dengan baginda," katanya sambil tersenyum.

Ummu Fadhl yang mendengar kata-kata yang tulus daripada Barrah itu turut tersenyum lalu menggenggam tangan adik perempuannya itu dan berkata: "Insya Allah, pasti semua ini adalah suatu kebaikan dan segala hajat akan dapat dipenuhi. Kamu bersabar dan berdoa sementara saya akan usahakan untuk menyatukan kamu dengan Rasulullah."

Pada mulanya Barrrah tidak mengerti akan kata-kata saudara perempuannya itu. Tetapi rupa-rupanya Ummu Fadhl meminta bantuan suaminya, Abbas untuk menjadi wakil bagi 'meminang' Rasulullah.

Abbas pun menemui Rasulullah dan menyatakan hasrat adik iparnya itu.

"Adakah kamu sudi berkahwin dengannya wahai Rasulullah," tanya Abbas.

Baginda pun dengan senang hati menerima lamaran daripada Abbas itu.

Lalu baginda meminta pertolongan seorang lagi bapa saudaranya iaitu Jaafar bin Abdul Mutalib untuk meminang Barrah secara rasmi dengan mahar mas kahwinnya sebanyak 400 dirham.

Lalu Rasulullah pun bernikah dengan Barrah dengan diberi nama Maimunah yang diwali hakimkan oleh Abbas sendiri.

Tentu sahaja Maimunah sangat gembira kerana hasrat murninya tercapai dan sedia untuk mengikut baginda pulang ke Madinah

Namun baginda tidak membawa Maimunah bersama-sama apabila seluruh rombongan umat Islam pulang ke Madinah kerana dikhuatiri akan menimbul kemarahan kafir Quraisy.

Selepas mereka berjalan beberapa hari dan sampai ke Sarifa, iaitu kira-kira 19 kilometer dari Mekah, rombongan umat Islam berhenti berehat sambil menunggu kedatangan Maimunah dari Mekah.

Maimunah dibawa keluar pada malam hari secara senyap-senyap daripada pengetahuan kafir Quraisy dan akhirnya disatukan dengan baginda di Sarifa sebelum menyambung perjalanan pulang ke Madinah.

Bacaan al-Quran terbaik

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

Kehadiran Syeikh Abdurrahman Sudais (kiri) ke Malaysia pada tahun lalu mengundang minat umat Islam negara ini untuk melihat sendiri gerangan insan yang bersuara merdu dan tilawah Qurannya yang begitu syahdu.

SATU ketika, saya berbual dengan seorang rakan yang arif dalam bab fikah dan amat berminat dengan dunia al-Quran. Saya selalu menjadikan dia rujukan untuk menyelesai permasalahan fikah dan sebaliknya, dia selalu bertanya kepada saya tentang qiraat, tajwid dan al-Quran.

Antara soalan yang ditanya ialah siapakah qari yang terbaik bacaannya? Adakah Syeikh Mahmud Khalil al-Husari, Syeikh Abdul Basit, Syeikh Jibril?

Soalan itu bersifat umum dan jawapannya boleh diberi dalam pelbagai bentuk. Jika dibuat sorotan kepada zaman Rasulullah SAW, baginda sendiri mempunyai suara yang amat baik.

Al-Bara' Ibnu Azib meriwayatkan dalam satu perjalanan, Rasulullah SAW bersembahyang Isyak dan membaca dalam satu rakaatnya surah al-Tin. Al-Bara menyatakan: "Tidak pernah aku mendengar seorang pun mempunyai suara dan bacaan yang lebih baik daripada baginda." Kehebatan suara Rasulullah SAW tidak boleh dibanding dengan kelunakan suara yang wujud pada masa ini. Alunan suaranya menyusuk kalbu dan boleh menarik seseorang kepada Islam.

Perkara itu berlaku kepada Jubair Ibnu Mut'im. Kisah beliau memeluk Islam ialah kerana mendengar bacaan Rasulullah SAW.

Semasa Jubair sampai di Madinah untuk urusan tertentu, ketika itu Rasulullah SAW sedang bersembahyang Maghrib dan baginda membaca surah al-Tur.

Kemerduan suara Rasulullah membuatkan Jubair mengikuti dengan penuh minat bacaan tersebut. Apabila sampai kepada ayat 35 yang bermaksud: Apakah mereka dicipta tanpa tujuan atau mereka yang mencipta diri mereka sendiri?

Bacaan yang amat baik, diadun dengan suara yang merdu, dibaca dengan kefahaman mendalam maksudnya, dibaca dengan hati yang tulus telah menerjah masuk ke dalam sanubari Jubair sehingga beliau menyatakan demi Allah hatiku melayang. Sejurus Rasulullah SAW memberi salam, Jubair mendapatkan baginda dan mengucap dua kalimah syahadah.

Jabir meriwayatkan satu hadis daripada Rasulullah SAW di mana pernah satu ketika baginda ditanya tentang siapakah yang terbaik suaranya membaca al-Quran. Baginda menjawab: "Mereka ialah orang yang apabila kamu mendengar bacaannya, kamu memikirkan ia takut kepada Allah."

Akhlak berinteraksi dengan bukan Islam

ISLAM adalah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Kebaikan daripada amalan Islam merentasi keturunan, jantina, pangkat dan bangsa. Allah SWT berfirman: Tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya': 107)

Apabila ajaran Islam diamalkan, kebaikannya akan dapat dirasai oleh orang Islam dan bukan Islam. Islam mengiktiraf hak orang bukan Islam yang bekerjasama dan berada di bawah pemerintahan orang Islam.

Orang bukan Islam yang dijaga haknya oleh Islam disebut sebagai kafir zimmi. Zimmi secara umumnya merujuk kepada orang-orang bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan orang Islam dan memberikan taat setia kepada pemerintahan Islam, walaupun mereka tetap dengan agama mereka.

Kebebasan yang diberikan oleh kerajaan Islam untuk mereka menganut agama masing-masing tanpa dipaksa memeluk Islam. Mereka bebas beramal dengan anutan selagi mana tidak mengganggu amalan Islam.

Kebebasan beragama

Kebebasan beragama tanpa paksaan ini dapat dilihat dari peristiwa yang berlaku kepada Umar bin Al-Khattab ketika seorang perempuan musyrik datang menemui beliau untuk meminta pertolongan.

Lalu Umar menyerunya untuk memeluk agama Islam. Tetapi perempuan tersebut menolaknya. Kemudian, Umar memberikan pertolongan kepada perempuan tersebut dan menunaikan hajatnya.

Akan tetapi, beliau merasa bimbang kalau-kalau sikapnya itu boleh dianggap sebagai paksaan kepada perempuan tersebut.

Maka Umar beristighfar atas perbuatannya dan berkata: "Ya Allah, aku telah membimbingnya dan bukan memaksanya."

Beliau lantas membaca sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama. (al-Baqarah: 256)

Justeru, kita tidak boleh memaksa orang yang bukan Islam untuk memeluk agama Islam. Bahkan, Islam juga meletakkan kesamarataan kepada orang yang bukan Islam dalam persoalan hak dan tanggungjawab.

Pemerintahan dan masyarakat Islam perlu menjaga hak dan kehormatan mereka sebagaimana mereka juga perlu menjaga hak dan kehormatan masyarakat Islam.

Ini kerana, masyarakat Islam dan bukan Islam berkongsi aspek kemanusiaan yang menjamin hak masing-masing.

Larangan berbuat zalim

Nabi SAW melarang kita menganiayai orang bukan Islam dan berbuat zalim kepada mereka.

Baginda bersabda: "Sesiapa yang menyakiti ahli zimmah (orang kafir zimmi), maka aku (Nabi SAW akan menjadi pembelanya. Dan sesiapa yang memusuhi ahli zimmah, maka aku akan memusuhinya." (riwayat At-Tabrani)

Oleh itu, harta orang bukan Islam perlu dipertahankan sebagaimana kita mempertahankan harta orang Islam.

Orang Islam dilarang mencuri, merompak dan merosakkan harta orang bukan Islam. Demikian juga, orang Islam tidak dibenarkan sama sekali menipu ketika menjual barangan mereka kepada orang bukan Islam.

Jangan disebabkan berlainan agama menghalalkan segala penganiayaan dan kezaliman. Orang Islam juga wajib mempertahankan maruah orang bukan Islam sekiranya ia diancam.

Oleh itu, orang Islam tidak wajar sama sekali mendedahkan aib, memfitnah dan mencerca orang yang bukan Islam. Orang Islam dan orang bukan Islam tidak dilarang sama sekali untuk bekerjasama dan saling bantu-membantu selagi mana menghormati hak masing-masing.

Rasulullah SAW mengajar umat Islam supaya menghormati ajaran agama-agama lain walaupun mereka tidak mengakui akan kebenaran agama tersebut.

Hormati perayaan

Suatu ketika, Rasulullah SAW berdiri dengan penuh hormat apabila melihat jenazah seorang Yahudi di bawa di hadapan Baginda.

Para sahabat berkata: "Wahai Rasulullah, itu adalah jenazah orang Yahudi. Baginda lantas menjawab, Bukankah dia juga seorang manusia? (riwayat Bukhari)

Masyarakat Islam juga menghormati perayaan-perayaan yang disambut oleh masyarakat bukan Islam. Bahkan, mereka berhak untuk diberikan cuti bagi menyambut perayaan dalam agama mereka.

Pada zaman Nabi SAW, baginda tidak memanggil orang bukan Islam untuk perbicaraan pada hari perayaan mereka.

Nabi SAW bersabda: "Dan bagi kamu wahai sekalian Yahudi memiliki hari khusus, bahawa kamu tidak akan diganggu pada hari Sabtu." (riwayat Tirmidzi)

Demikianlah beberapa hak masyarakat bukan Islam yang perlu ditunaikan demi menjaga keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk.

Ini membuktikan bahawa Islam tidak pernah melarang kita untuk memberikan pertolongan, bantuan dan bertolak-ansur terhadap masyarakat bukan Islam.

Islam mengutamakan kasih-sayang dan perdamaian daripada permusuhan dan peperangan.

Oleh itu, marilah kita menjaga hubungan perdamaian ini dengan mewujudkan suasana hidup yang dihiasi perasaan hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain, walaupun hidup dalam masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang agama.

Jelajah BEST! 2012

Peristiwa

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial Dan Komuniti telah menganjurkan Jelajah Buat Elok Saja Tau! (BEST!) sebagai inisiatif untuk membendung permasalahan sosial di kalangan masyarakat khususnya golongan remaja.

Program ini adalah kesinambungan daripada Karnival BEST! kali pertama yang telah dianjurkan pada tahun lepas. Jelajah BEST! 2012 telah berlangsung pada 18 sehingga 19 Mei lalu, bertempat di Gurun, Kedah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyempurnakan majlis perasmiannya pada 18 Mei lalu.

Pelbagai acara menarik dan berbentuk santai telah adakan untuk menarik minat golongan muda seperti; Forum Perdana Ehwal Islam, Bengkel Pengendalian Motosikal (Rempit United / Waziboyz), Pertandingan Spell-it Right, Mewarna, Gubahan, Wanita dan Kesihatan, Mini Konsert dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik.

Jelajah BEST! 2012 mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi ANti Dadah Kebangsaan (AADK), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Jabatan Penerangan, Green Oranges, Majlis AIDS Malaysia dan DagangHalal.com.

Program ini akan menjelajah ke beberapa lokasi yang terpilih untuk bertemu dan mengajak masyarakat supaya 'Buat Yang Elok Saja Tau' bagi membendung gejala sosial.

Sambutan hari kebesaran Islam

TELAH menjadi suatu kebiasaan berkumpul untuk menghidupkan hari-hari kebesaran Islam lagi bersejarah seperti Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, Maal Hijrah, Nuzul Quran dan banyak lagi.

Perkara ini adalah suatu adat yang tidak bersangkut paut dengan agama. Oleh itu, tidak perlu dipersoalkan sama ada ia disyariatkan ataupun suatu sunnah. Malah ia tidak bertentangan dengan asas agama.

Apa yang merbahaya ialah meyakini sesuatu itu sebahagian daripada syariat sedangkan hakikatnya bukan.

Acara-acara tradisi dan ‘uruf seumpama ini tidak lebih daripada dikatakan sama ada ia disukai oleh Allah atau tidak.

Sebahagian orang mendakwa hari-hari kebesaran Islam yang diadakan dengan berkumpulnya orang ramai, tidak boleh dilakukan lebih awal atau dilewatkan kerana adanya penetapan waktu tertentu yang disepakati ke atasnya.

Maka ada yang mengatakan bahawa orang ramai berkumpul pada malam ke-27 Rejab untuk memperingati peristiwa Israk Mikraj dan juga mereka berkumpul pada malam ke-12 Rabiulawal untuk menghidupkan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, sedangkan para ulama berbeza pendapat dalam menentukan tarikh kedua-dua peristiwa itu dengan tepat.

Pada hakikatnya, ketiadaan persepakatan ulama dalam menentukan waktu dan tarikhnya tidak memberi sebarang kesan kerana kita tidak disyariatkan membataskan perhimpunan itu pada waktu tertentu. Tetapi ia hanyalah suatu kebiasaan.

Apa yang penting ialah memanfaatkan sebaik-baiknya kesempatan berkumpul sesama Islam dan berusaha membawa mereka ke arah kebaikan.

Sesungguhnya kita percaya bahawa selagi mereka berkumpul dengan niat semata-mata kerana Allah dan berada di atas landasan Allah, maka perhimpunan tersebut diterima di sisi Allah sekalipun tarikhnya tidak betul.

Memanfaatkan peluang ini dengan berdoa dan bertawajjuh kepada Allah SWT, menagih limpahan anugerah, kebaikan dan keberkatan daripada-Nya adalah lebih besar faedah daripada sekadar mengingati atau mengenang peristiwa tersebut.

Menggunakan kesempatan begitu adalah lebih utama daripada menegah, menolak dan mengingkari perkumpulan mereka dengan alasan yang tidak mendatangkan sebarang faedah.

Sesungguhnya perhimpunan bersempena hari kebesaran Islam adalah satu wasilah yang besar bagi usaha dakwah kepada Allah SWT. Ia merupakan peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan.

Bahkan wajib ke atas para pendakwah dan ulama mengingatkan umat dalam kesempatan berhimpun seumpama itu tentang segala akhlak, adab, hal keadaan, sirah, muamalah dan ibadat Nabi Muhammad SAW, memberi nasihat dan menunjukkan mereka ke arah kebaikan dan kejayaan serta memberi amaran mengenai bala, bidaah, kejahatan dan fitnah.

Sesungguhnya menyibukkan diri mengingkari dan menolak hukum perkumpulan umat Islam bagi majlis-majlis seumpama itu adalah sia-sia.

Bahkan merupakan suatu kebodohan dan kejahilan kerana kita hanya mensia-siakan peluang yang besar dan melenyapkan kesempatan yang berharga itu.

Placenta Previa : Bahaya uri bawah rahim

Bersama prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi) Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.


Dr., apakah yang dimaksudkan dengan uri? Adakah berbahaya jika uri berada di bawah? Saya selalu mendengar rakan-rakan berbual tentang perkara ini. Saya baru mengandung dua bulan dan amat takut dengan perkara ini.

n Puteri R, Subang.

Jawapan:

Uri adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal apabila ia berada di tengah atau di bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim.

Uri di kedudukan bawah pula berada di kawasan bawah rahim, menutup ruang laluan bayi (pintu rahim) semasa kelahiran. Ini seterusnya akan memberikan komplikasi semasa proses bersalin.

Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui di awal kehamilan kerana 20 peratus daripada uri berada di bawah pada awalnya, tetapi apabila kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas oleh rahim yang semakin membesar dan cuma lima peratus yang masih berada pada bahagian bawah rahim. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP).

Sekiranya uri anda masih di bawah selepas kandungan 28 minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk menaikkannya. ke atas. Rawatan pula bergantung kepada tahap PP tersebut, sama ada ia menutup keseluruhan laluan bayi (pintu rahim) atau separuh sahaja. Tahap keseriusan dibahagikan kepada empat jenis iaitu uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim, uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim, uri menutupi sebahagian pintu rahim dan uri menutup keseluruhan pintu rahim.

Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simptom pesakit dengan memasukkan mereka ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak mengalami PP.

Risiko

Sehingga hari ini, punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP, iaitu wanita yang mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di bawah umur 20, merokok semasa hamil dan kandungan kembar.

Wanita yang mengalami PP pada kebiasaannya mengalami kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik). Kedudukan kepala bayi perlu sentiasa berada di atas rongga pelvis di saat tempoh matang kehamilan.

Selain masalah pendarahan yang membimbangkan, faktor lain yang mempengaruhi keadaan ibu adalah kaedah kelahiran bayi itu sendiri. Mereka ini biasanya tidak dapat melahirkan bayi secara normal akibat kedudukan uri yang menghalang kelahiran bayi melalui bukaan pintu rahim. Pembedahan caesarean adalah kaedah yang disyorkan. Selain itu, jika keadaan ibu membimbangkan akibat pendarahan, pembedahan caesarean terpaksa dijalankan walaupun dalam keadaan kehamilan yang tidak cukup bulan.

Apa yang membimbangkan mengenai PP ini, komplikasi yang boleh timbul pada bayi dan ibu. Komplikasi pada bayi adalah seperti pendarahan yang banyak pada ibu. Ini boleh meningkatkan kadar morbiditi dan kematian pada bayi dan meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.

Komplikasi pada ibu pula pendarahan serius yang boleh mengancam nyawa. Pembedahan caesarean, meningkatkan risiko pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage) dan meningkatkan risiko uri melekat pada rahim. Keadaan uri melekat pada rahim dikenali sebagai placenta accreta. Dalam keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim akibat sebahagian tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim. Jika ini berlaku, rahim terpaksa dibuang demi menyelamatkan ibu.

Bagaimanapun, risiko placenta accreta dalam kalangan ibu yang tidak mempunyai sejarah pembedahan pada rahim hanyalah sekitar lima peratus sahaja.

Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai sejarah pembedahan di rahim umpamanya caesarean, risiko placenta accreta bertambah 25 peratus.

Selamat

Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya melahirkan kandungan dengan kaedah yang selamat, iaitu pembedahan caesarean. Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan, ia bergantung kepada penilaian dan faktor-faktor berikut iaitu tahap keseriusan pendarahan, usia bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan pediatrik.

Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi tiada pendarahan, pembedahan caesarean secara elektif akan dilakukan pada minggu ke 38 usia kandungan. Jika pendarahan berlaku sebelum usia kandungan tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah mempertimbangkan faktor-faktor di atas.

Saya harap Puteri R sudah jelas dengan penjelasan yang diberikan dan jangan mendengar bualan rakan-rakan sahaja. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor dan semoga penjelasan yang diberikan akan menghilangkan kegusaran tersebut.

Mencegah penyakit gusi

GUSI diperbuat daripada tisu lembut. Ia mengelilingi bahagian bawah gigi yang dipanggil akar gigi. Menjaga gusi adalah sama penting seperti menjaga gigi anda.

Penyakit gusi adalah jangkitan pada gusi. Ia disebabkan plak, lapisan melekit yang terkumpul pada gigi dan gusi. Plak menghasilkan asid dan toksin yang menjadikan gusi merah, bengkak dan berdarah.

Ia boleh menyebabkan gusi lekang daripada gigi. Ini akan menyebabkan ruang kosong antara gusi dan gigi. Kuman boleh terperangkap pada ruang ini, menjadikan tulang sekitar gigi lemah.

Ramai menghidapi penyakit gusi peringkat awal yang boleh dirawat dengan penjagaan mulut yang baik. Tetapi sekiranya anda mengabaikan penyakit gusi, ia akan melemahkan gusi di sekitar gigi dan menyebabkan gigi longgar dan terkeluar.

Kebanyakan orang tidak tahu mereka menghidapi penyakit gusi. Oleh itu, amat penting untuk mengunjungi doktor gigi dengan kerap bagi melakukan pembersihan profesional dan pemeriksaan.

Berikut beberapa tanda penyakit gusi:

- Gusi yang merah dan bengkak atau berdarah ketika memberus atau menggunakan flos. Ini adalah tanda awal penyakit gusi. Ia seringkali boleh dirawat dengan penjagaan mulut yang baik.

- Sakit gigi atau gigi sensitif. Gusi yang merekah daripada gigi akan menyebabkan gigi sensitif kepada makanan atau minuman yang sejuk atau panas.

- Mulut yang berbau.

- Gigi yang longgar atau menjadi jarang mengubah bagaimana gigi terletak pada gusi semasa menggigit makanan.

Ini adalah keadaan penyakit gusi yang serius dipanggil periodontitis.

SYSTEMIC Lupus Erythematosus : Gangguan sistem imunisasi badan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

SYSTEMIC Lupus Erythematosus (SLE) atau lupus masih asing di kalangan penduduk di negara ini sehinggalah kisah penyakit ini mula mendapat perhatian sekitar Mei 2005.

Ketika itu seluruh negara menjadi gempar dengan kisah seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Cahaya Gemilang, Cherating, Pahang, iaitu Nuraini Abu Bakar yang dikatakan diserang penyakit kulit yang ganjil.

Akhirnya, persoalan terjawab apabila Nuraini telah disahkan menghidap SLE atau lupus.

Lupus adalah sejenis penyakit kronik auto imun iaitu antibodi dalam tubuh pesakit sepatutnya melindungi badan untuk melawan penyakit tetapi tiba-tiba 'berubah' dengan menyerang sel badan atau organ manusia.

Menurut Pensyarah Perubatan Rheumatologi, Dr. Benjamin Cheah Tien Eang, penyakit lupus merupakan penyakit kronik berpanjangan yang berlaku akibat kecelaruan sistem pertahanan tubuh iaitu autoimmune disease.

Dr. Benjamin menjelaskan, dianggarkan 10,000 warga tempatan mengidap penyakit autoimun ini dan menghadapi cabarannya dalam kehidupan seharian.

"Sistem pertahanan tubuh merupakan rangkaian sel yang bertindak melindungi tubuh daripada serangan benda asing.

"Sistem pertahanan tubuh yang normal akan menghasilkan antibodi apabila ia mengesan organisma yang masuk ke dalam tubuh untuk mengelak serangan jangkitan organisma berkenaan. Antibodi yang terhasil akan menyerang organisma tersebut untuk mempertahankan tubuh," katanya.

Malangnya bagi seorang pesakit lupus , antibodi yang terhasil menyerang sel-sel tubuh sendiri yang menyebabkan organ di dalam tubuh pesakit mengalami keradangan.

Dr. Benjamin berkata, ramai pesakit lupus terdiri daripada wanita berumur antara 25 hingga 40 tahun.

Penyakit ini boleh juga melibatkan kanak-kanak dan kerap menimpa orang-orang Asia berbanding dengan orang Barat.

Apabila ditanya kenapa penyakit ini lebih banyak menyerang wanita, Dr. Benjamin berkata, punca sebenar berlakunya lupus masih tidak diketahui, namun katanya terdapat beberapa faktor yang dapat dikaitkan dengan lupus.

Antaranya ialah akibat keturunan, jangkitan virus, hormon seks dan faktor persekitaran.

Terdapat tiga jenis penyakit "lupus" iaitu Discoid Lupus Eritematosus (DLE) iaitu yang melibatkan kulit sahaja, Sistemik Lupus Eritematosus ( SLE ) yang boleh melibatkan pelbagai organ di dalam tubuh dan jenis ketiga ialah Drug Induced Lupus yang diakibatkan daripada sesetengah ubat-ubatan.

"Penyakit ini kadang-kadang sukar didiagnos pada peringkat awalnya kerana gejala-gejalanya tidak begitu ketara.

Ini adalah kerana gejala-gejala awal penyakit lupus tidak spesifik termasuk rasa letih lesu, demam, sakit sendi dan keguguran rambut.

Selalunya, wajah pesakit mengalami ruam yang dikenali sebagai malar rash atau butterfly rash. Ruam ini terjadi di bahagian pipi dan hidung dan oleh kerana bentuk ruam ini merupai bentuk sayap rama-rama, ia juga dikenali sebagai butterfly rash," ujarnya.

Tambah Dr. Benjamin, ruam ini terdapat di bahagian badan yang terdedah kepada cahaya matahari iaitu di bahagian muka, leher dan lengan. Selain itu, pesakit juga mengalami kulit sensitif apabila terdedah kepada cahaya matahari.

Keadaan menjadi serius apabila lupus boleh melibatkan pelbagai organ dalam tubuh. Sebab itulah penghidap lupus akan mengalami gejala yang berbeza antara satu sama lain.

Menurut Dr. Benjamin, buat masa ini, lupus tidak boleh sembuh tetapi ia boleh dirawat dan dikawal.

"Jika lupus menyerang organ dalaman seperti buah pinggang, rawatan terhadap organ ini akan dilakukan. Sekiranya rawatan awal tidak diberi, pesakit boleh mengalami kegagalan buah pinggang. Selain itu, ia juga boleh merosakkan otak, jantung, paru-paru dan darah," katanya.

Justeru itu, penghidap lupus memerlukan rawatan yang berpanjangan, biarpun pesakit akan rasa sihat selepas rawatan dan perlu mendapatkan rawatan doktor pakar dalam bidang ini.

"Lupus boleh berulang dan pesakit perlu mendapatkan rawatan ulangan yang berterusan. Ini penting untuk mengawal penyakit tersebut sebelum fungsi organ yang terlibat terjejas.

Pesakit juga akan dirujuk kepada beberapa doktor pakar yang bertanggungjawab bergantung kepada mana-mana organ yang terlibat diserang penyakit berkenaan," katanya.

Bagi membantu pesakit meneruskan kehidupan, Dr. Benjamin menggalakkan mereka diberi kaunseling oleh Persatuan SLE Malaysia untuk memberikan mereka sokongan moral dan memahami penyakit lupus.

"Jika pesakit faham tentang lupus, pesakit akan lebih mematuhi arahan doktor dalam pemakanan ubat, dan pemeriksaan darah serta kencing yang berkala. Selain itu, sokongan keluarga dan rakan-rakan amat diperlukan," ujarnya.

Penjagaan kulitSimptom lupus yang paling kerap kelihatan ialah ruam pada kulit dan ia boleh dikawal.

Menurut Pakar Dermatologi, Dr. Noraziah Abdul Kadir Jailani, sekiranya terdapat ruam di bahagian luar badan seperti di kulit dan wajah, mereka akan diberikan krim pelindung matahari yang mempunyai SPF yang tinggi selain daripada ubat makan untuk mengawal ruam.

"Mereka juga dinasihatkan untuk memakai topi dan lengan panjang apabila berada di bawah cahaya matahari.

"Apabila berjumpa pakar, pesakit perlu menerangkan keseluruhan riwayat perubatan mereka walaupun tiada gejala yang timbul ketika itu. Ini penting untuk mengelakkan kekeliruan dengan penyakit kulit lain. Doktor mungkin memerlukan pesakit menjalani ujian tambahan dan merujuk pesakit kepada pakar reumatologi dan pakar dermatologi," katanya.

Perhimpunan pakar O&G terbesar

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

KISAH seorang bidan terlatih yang sanggup tinggal di pedalaman Malaysia Timur dan terpaksa meredah sungai demi menyambut kelahiran nyawa baru menjadi pembuka kata dalam laman web Kongres Antarabangsa Kolej Diraja Obstetrik dan Ginekologi 2012.

Pengorbanan Siti Aminah yang berkhidmat di Sarawak selama bertahun-tahun dalam menyelamatkan nyawa wanita dan bayi dijadikan pembakar semangat kepada yang lain.

Buat pertama kalinya, negara bakal menjadi tuan rumah kongres itu yang bakal berlangsung dari 5 hingga 8 Jun di Kuching, Sarawak.

Pengerusi Penganjur Kongres, Dr. Gunasegaran PT Rajan berkata, persidangan berkenaan bakal mengumpulkan pakar obstetrik dan ginekologi (O&G) terbesar buat julung-julung kalinya di negara ini.

"Di Malaysia semua pakar O&G ialah ahli Persatuan Obstetrik and Ginekologi Malaysia (OGSM) dengan 80 peratus daripadanya pakar," katanya.

OGSM ditubuhkan pada 1997 dengan hanya dianggotai 40 orang tetapi kini sudah berkembang kepada lebih 800 ahli.

Kongres yang bakal menjadi perhimpunan terbesar pakar O&G ini diadakan bertujuan meningkatkan piawaian dan perkhidmatan kesihatan di samping sains berkaitan O&G di negara ini.

Tiap-tiap tahun negara mengadakan seminar O&G yang berkaitan bukan sahaja untuk pakar bahkan mereka yang terlibat dengan perkhidmatan itu meliputi pelajar, jururawat dan profesor.

Dr. Gunasegaran berkata, kongres berkenaan dijangka dapat menarik lebih 1,000 delegasi dari seluruh dunia.

"Buat pertama kalinya juga kongres ini diadakan di Kuching, Sarawak yang diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan kesihatan selain Kuala Lumpur.

"Pemilihan negeri ini juga dibuat bagi meningkatkan kesedaran penduduk Sarawak terhadap masalah O&G yang masih tinggi berbanding di Semenanjung," katanya.

Diharapkan juga penganjuran kongres ini di Sarawak akan membuka ruang kepada tenaga pakar dari Malaysia Timur menambah ilmu menerusi pertemuan dengan pakar-pakar antarabangsa yang akan ke sana.

Isu yang akan dibincangkan meliputi kematian ibu semasa bersalin, kanser melibatkan wanita, kesukaran hamil dan masalah semasa hamil, keselamatan dalam penjagaan kesihatan dan undang-undang berkaitan perubatan.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kongres berkenaan boleh melayari laman web http://www.rcog2012.com/.

Garmin Nuvi 2575R : Teknologi navigasi pantas

Oleh ABD. HALIM HADI

AGAK melucukan apabila ada beranggapan mereka akan sesat lebih jauh dengan menggunakan sistem penentu kedudukan global (GPS).

Malah ada yang sanggup memandu sambil mengintai alamat atau turun daripada kenderaan untuk bertanyakan arah. Cara itu tidak lagi sesuai terutamanya untuk pemanduan di bandar-bandar besar.

Keraguan terhadap peranti GPS memang berlaku, apatah lagi dengan kebanjiran pelbagai jenis alat seumpama itu di pasaran sekarang.

Tidak dinafikan pengguna kadang-kala boleh tersilap produk sehingga menyusahkan perjalanan.

Ramai juga yang tidak mahu mendapatkan GPS kerana sekadar cukup dengan perisian navigasi yang disediakan pada telefon pintar masing-masing. Padahal keupayaan perisian itu tidak sepintar dan sepantas peranti GPS sebenar.

Garmin merupakan antara nama yang paling disegani di dunia dalam penghasilan peranti GPS.

Dengan pemetaan yang lengkap, data berkemas kini, maklumat pemanduan yang terperinci dan persembahan antara muka mudah digunakan, ia jarang mengecewakan.

Pengalaman saya menggunakan Garmin ketika mengikuti pengembaraan jarak jauh merentasi Asia Tengah dan Eropah sebelum ini cukup meyakinkan.

Garmin baru-baru ini tampil dengan produk terbaru iaitu Nuvi 2575R. Ia menawarkan sistem navigasi pemanduan hebat melalui teknologi yang diperkemaskan dengan inovasi terkini seperti rakaman kamera video mudah alih berdefinisi tinggi, penerimaan siaran televisyen analog dan teknologi pengecaman suara untuk menentukan arahan.

Di negara ini, alat yang didatangkan dengan perisian peta Malsings itu menjanjikan navigasi lengkap dan selesa untuk pemanduan di Malaysia dan Singapura.

Bagi penggunaan di luar negara, peta-peta boleh diperolehi pada harga yang berpatutan secara dalam talian.

Selain maklumat perjalanan seperti kelajuan, pengiraan jarak perjalanan, jarak destinasi dituju dan amaran had laju yang disediakan dengan jelas, alat ini juga memberi arahan bersuara (bahasa Melayu dan Inggeris) dengan cukup jelas. Kemudahan navigasinya juga menyediakan gambar sebenar di laluan-laluan yang melibatkan persimpangan bagi memudahkan pengguna mengecam persekitaran.

Nuvi 2575R memberikan arahan dan maklumat yang tepat melalui pengesanan satelit.

Selain navigasi yang cekap, alat yang boleh digunakan selama dua jam setengah selepas dicaj penuh ini juga berupaya mengesan kedudukan lokasi-lokasi penting yang terletak berhampiran seperti pam minyak, restoran, kemudahan awam seperti sekolah, hospital, balai polis dan sebagainya.

Ia turut dilengkapi fungsi Bluetooth yang membolehkan pengguna menghubungkannya dengan telefon bimbit untuk menikmati kemudahan panggilan lepas tangan (handsfree).

Teknologi tanpa wayar dengan mikrofon yang terbina di dalam serta pembesar suara dapat memastikan pemanduan mereka yang sentiasa menggunakan telefon lebih selamat.

Selain itu, alat ini juga dilengkapi fungsi pra-tonton laluan melalui mod pengiraan perjalanan yang sesuai mengikut pilihan. Dengan cara ini, pengguna boleh 'tiba' ke destinasi sebelum perjalanan dimulakan.

Toshiba Qosmio X870 : Fungsi mantap permainan video

DALAM usaha memenuhi kehendak pengguna tegar dalam permainan video, syarikat pengeluar produk teknologi, Toshiba baru-baru memperkenalkan komputer riba berprestasi tinggi, Qosmio X870.

Model premium yang dilengkapi fungsi eksklusif seperti paparan visual berkualiti dan sistem bunyi unggul itu bakal melengkapkan pengalaman serta prestasi permainan video terbaik.

Daripada segi teknikal, enjin komputer riba berkenaan dipacu oleh generasi ketiga Intel Core i7 selain disokong pemproses teknologi grafik terbaru NVIDIA GeForce GTX 670M dan RAM 16 gigabit (GB).

Paparan skrin tiga dimensinya pula yang bersaiz 17.3 inci dilengkapi resolusi definisi tinggi (HD) serta didatangkan bersama kaca mata aktif NVIDIA 3D Vision.

Dengan kelebihan teknologi itu, ia bakal membenarkan pengguna menonton visual tiga dimensi (3D) dua kali lebih jelas berbanding paparan biasa.

Kecemerlangan model Qosmio X870 dirancakkan lagi dengan sistem audio Slipstream berkuasa dan SRS Premium Sound 3D untuk kesan bunyi lebih jelas dan menyeluruh.

Sesuatu yang lebih menarik, komputer riba berkenaan boleh disambungkan secara terus kepada peranti televisyen untuk tontonan paparan lebih besar menerusi sambungan slot HDMI.

Pengguna juga tidak perlu risau melaksanakan operasi komputer tersebut dalam persekitaran gelap kerana ia mempunyai papan kekunci bercahaya.

Bagi slot USB berkuasa pula, ia boleh digunakan untuk tujuan mengecas pelbagai peranti elektronik walaupun komputer berada dalam mod tidak aktif.

Melihat bahagian luar komputer riba itu, binaan rangka aluminium yang diperbuat daripada gabungan warna silver metalik dan merah menjadikannya nampak begitu eksklusif.

Qosmio X870 bakal memasuki pasaran negara menjelang Jun depan dengan tawaran harga RM7,499. Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat dan spesifikasi lengkap mengenai peranti berteknologi tinggi ini boleh melayari laman web www.pc.toshiba-asia.com.

Optimus UI 3.0 : Kuasa antara muka pintar

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN

DALAM perlumbaan membangunkan produk telekomunikasi moden hari ini, syarikat-syarikat teknologi cuba mencari pelbagai kelainan dalam usaha menambat hati pengguna.

Mengambil contoh pendekatan yang diambil oleh LG Electronics (LG), fokus diberikan terhadap persembahan antara muka (UI) pada peranti selular pintar mereka.

Untuk itu, syarikat berkenaan telah memperkenalkan ciri paparan UI terbaru dikenali sebagai Optimus UI 3.0 pada gajet telekomunikasi yang dipacu oleh sistem operasi Android Ice Cream Sandwich.

Antara kelebihan yang ditawarkan adalah seperti aplikasi Quick Memo dan fungsi membuka kunci unik sebagai menawarkan pengalaman operasi terbaik untuk pengguna moden hari ini.

Menerusi Quick Memo, ia membenarkan pengguna mencatat sebarang maklumat pada skrin telefon pintar mereka dengan hanya menggunakan jari.

Di samping itu, melaluinya juga, pengguna boleh mengakses terus kepada rangkaian laman web sosial media, menghantar mesej dan e-mel secara lebih mudah dan lancar.

Menurut Pengarah Urusan LG Electronics (M) Sdn. Bhd., HK Kwon, langkah memperkenalkan UI terbaru itu adalah sebagai membezakan keunikan produk LG dengan telefon pintar keluaran syarikat lain.

"Ini kerana keselesaan pada paparan UI memberi kesan cukup besar dalam pengoperasian dan kelancaran sesebuah produk telefon bimbit pintar hari ini,'' jelasnya.

Optimus UI 3.0 telah pun tersedia pada produk telefon pintar model LG Optimus LTE II yang dilancarkan di Korea minggu lalu selain bakal dilengkapi pada model LG Optimus 4X HD bermula Jun depan.

Samsung Galaxy S III : Inspirasi teknologi terbaik

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN

BELUM puas dengan rangkaian produk selular terdahulunya, syarikat teknologi terkenal dunia, Samsung Electronics Co. menampilkan pula model telefon pintar terkini mereka, Samsung Galaxy S III.

Kali ini generasi ketiga untuk legasi peranti Samsung Galaxy S itu disempurnakan bersama kelebihan teknologi natural berinspirasikan manusia dan alam.

Ini kerana ia dilengkapi keunikan mampu mengenalpasti dan memahami kehendak pengguna merangkumi wajah dan suara serta membenarkan pelbagai aktiviti perkongsian secara mudah dan cepat.

Dengan segala kelebihan itu, ternyata penantian sekian lama penggemar produk telekomunikasi Samsung terhadap gajet berinovatif itu sangatlah berbaloi.

Samsung Galaxy S III dipacu oleh sistem operasi Android 4.0 Ice Cream Sandwich di samping terbina bersama teknologi mobiliti intuitif tanpa kompromi.

Pengguna pasti akan teruja melaksanakan operasi telefon berkenaan menerusi skrin paparan Super Amoled definisi tinggi (HD) bersaiz 4.8 inci.

Daripada segi fungsi pengimejan, gajet tersebut mempunyai kamera belakang pintar lapan megapiksel dan kamera hadapan pula beresolusi 1.9 megapiksel.

Untuk rekaan pula, model itu mempunyai bentuk ergonomik berkonsepkan alam selain lengkungan kemas yang bakal memberi keselesaan sentuhan dan genggaman di tapak tangan.

Sesuatu yang baru, melalui aplikasi S Voice, peranti berkenaan dapat mengesan maksud sesuatu arahan suara dan seterusnya memberi respons bersesuaian seperti fungsi pencarian maklumat, kawalan muzik, penghantaran mesej atau emel dan rakaman foto.

Bukan setakat itu, kehadiran aplikasi AllShare Cast dan AllShare Play turut membolehkan telefon itu diintegrasi secara Wi-Fi bersama televisyen, komputer peribadi atau tablet bagi tujuan penghantaran fail.

Samsung Galaxy S III dijangka memasuki pasaran Malaysia menjelang penghujung Mei ini dengan tawaran pilihan warna biru dan putih.

Kaki sihat, badan kuat

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

KARL Muller telah menderita sakit pada bahagian tulang belakang juga sakit lutut sejak bertahun-tahun lamanya. Dia akur dengan keadaan itu, tetapi pada masa sama Muller mencari alternatif untuk menghilangkan penyakit tersebut.

Muller berhijrah ke Korea Selatan pada awal tahun 1990-an dan telah menjalani terapi dengan caranya sendiri iaitu berjalan di atas sawah padi yang lembut tanpa berkasut atau selipar setiap hari.

Lama kelamaan penyakit belakang dan lututnya beransur hilang. Pada mulanya Muller tidak perasan akan kesihatannya yang meningkat baik itu. Akhirnya dia sedar bahawa kesan positif tersebut adalah dari hasil berjalan setiap hari di atas permukaan sawah padi yang lembut dan beralun.

Sekembalinya ke negara asalnya iaitu di Switzerland, Muller mula melakukan kajian tentang teknologi kasut dan juga struktur badan. Malah dia turut mengkaji tentang cara hidup Orang Asli Masai di Afrika. Puak itu dikatakan boleh berjalan berpuluh-puluh kilometer tanpa rehat mahupun berasa penat tanpa berkasut.

"Dari situ saya mencipta teori berjalan di atas permukaan yang tidak rata seperti di atas pasir atau tanah memberikan kesan baik pada postur badan sekali gus meningkatkan kekuatan pada bahagian otot," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran cawangan kedua jenama kasut kesihatan Kybun di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Itu kisah 16 tahun lalu yang sekali gus memberikan satu revolusi dalam teknik berjalan.

Muller menambah, bahawa kaki yang sihat melahirkan manusia yang sihat.

"Memang kita perlu mengambil makanan yang sihat. Keduanya kita perlu menjaga kesihatan kaki dengan cara berjalan di atas permukaan yang betul.

"Berjalan dengan menggunakan kasut tumit tinggi sebenarnya memberikan beban yang lebih pada bahagian paha sekali gus mengehadkan pergerakan.

"Kybun adalah kasut yang saya reka dengan menggunakan teknologi yang membuatkan kaki merasa selesa. Kasut Kybun terdapat untuk lelaki dan wanita. Selain itu kami turut memperkenalkan KyBounder sejenis lapik terapi kaki yang memberikan anda peluang bersenam sambil melakukan kerja rumah seperti menggosok baju," jelasnya.

Tambah Muller, kasut Kybun memberikan kesan yang menyeluruh terhadap kesihatan seperti mengurangkan keletihan, mempertingkat tahap kecergasan, mengurangkan kesakitan pada bahagian otot, mengawal pergerakan kaki dan banyak lagi.

Nasi beriani sejuk beku

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Nasi beriani kambing.

SEBUT sahaja beriani, ramai yang terbayang nasi beraroma harum dengan pelbagai pilihan lauk yang enak seperti ayam, daging lembu, kambing mahupun ikan.

Ternyata menu yang berasal dari Johor itu mampu memikat sesiapa sahaja. Malah antara lauk yang menjadi pilihan ramai sudah pastinya kambing.

Ini mungkin kerana tekstur dagingnya lebih lembut dan manis di samping rasa yang istimewa.

Justeru tidak hairanlah daging kambing semakin mendapat tempat di hati masyarakat tempatan.

Memandangkan nasi beriani turut memenuhi cita rasa masyarakat tempatan, AYS Sdn. Bhd., pengeluar produk lauk sedia dimakan sejuk beku halal jenama Sri Kulai telah mengeluarkan satu lagi produk terbarunya iaitu nasi beriani kari kambing.

Walaupun kombinasi kedua-dua menu tersebut sudah berada di pasaran, tetapi tidak bagi produk lauk sedia dimakan sejuk beku.

Hanya perlu dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro selama empat minit, ia sudah pasti sedia untuk dihidangkan.

Menurut Pengurus Teknikalnya, Siti Hamidah Ahmad, Sri Kulai sebelum ini telah menawarkan pelbagai rangkaian lauk dan juga masakan sedia dimakan.

Oleh yang demikian menu baru tersebut merupakan kepelbagaian pilihan kepada pengguna selain menu-menu yang sedia ada.

"Dengan adanya nasi beriani kari kambing ini, ia memberi satu lagi pilihan kepada pengguna untuk menikmati satu lagi hidangan yang sentiasa menjadi pilihan.

"Bukan itu sahaja, malah dengan adanya menu ini, anda boleh menikmati hidangan dalam masa kurang daripada lima minit.

"Pada masa yang sama, anda boleh menikmatinya di rumah sambil berehat atau bersantai bersama ahli keluarga yang lain," ujarnya ketika ditemui di salah satu cawangan Sri Kulai di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, kesemua produk berjenama Sri Kulai sebenarnya telah dimasak dan ia hanya memerlukan sedikit pemanasan sebelum menikmatinya.

Katanya lagi, makanan sejuk beku itu adalah kategori baru dalam industri makanan halal Malaysia malah produk-produk sebelum ini nampaknya telah mula dapat diterima ramai.

Malah nasi beriani kari kambing sejuk beku ini dilihat satu pembaharuan dalam industri pembuatan makanan hari ini.

Makanan untuk tenaga

AKTIVITI beriadah seperti merentas desa, berkelah dan berkhemah merupakan satu aktiviti yang menguja dan menyeronokkan.

Anda boleh melarikan diri daripada tekanan di tempat kerja dan menikmati keindahan dan ketenangan alam semulajadi dengan melakukan aktiviti tersebut.

Aktiviti luar seperti itu juga membolehkan diri anda berinteraksi dengan persekitaran yang segar. Maklumlah, kesibukan bekerja kadang-kadang membuatkan kita tidak sempat memberi ruang kepada diri sendiri.

Pada 26 April lalu saya telah menyertai program khidmat masyarakat anjuran Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang.

Aktiviti utamanya adalah merentas Hutan Simpan Pulau Pinang ke Pantai Kerachut.

Antara objektif program itu membersihkan sampah sepanjang merentas desa, melihat sendiri pemeliharaan penyu di Pantai Kerachut dan menyayangi alam sekitar.

Jadi pada minggu ini saya akan menyentuh tentang tip makanan dan pemakanan bagi anda yang mungkin bercadang untuk melakukan aktiviti seperti itu nanti.

Aktiviti seperti itu memang menggunakan tenaga. Justeru, makanan amatlah mustahak bagi membekalkan dan mengganti tenaga yang hilang.

Selain itu minuman yang mencukupi harus disediakan untuk membekalkan air yang cukup kepada badan.

Mari kita lihat bagaimana anda boleh meningkatkan prestasi dengan menyediakan dan makan makanan yang sesuai ketika melakukan aktiviti riadah.

Untuk aktiviti seperti ini makanan yang sangat sesuai adalah yang berasaskan karbohidrat.

Ada yang mengatakan anda perlu mengambil karbohidrat yang kurang berlemak kerana lemak lambat dihadam.

Karbohidrat gandum penuh umpamanya akan mempercepatkan penghadaman dan memberikan bekalan tenaga dengan cepat di samping kurang tenaga diperlukan untuk menghadamnya.

Saya bersetuju yang kita memerlukan karbohidrat sebagai bekalan tenaga. Pelari jarak jauh misalnya mengambil minuman berkarbohidrat tinggi untuk bekalan tenaga mereka.

Ini dibuktikan lagi dengan kajian yang dilakukan oleh pakar pemakanan, Isabelle Huot dalam Le Journal de Montreal bahawa lemak tidak sihat untuk aktiviti fizikal kerana lemak mengambil masa untuk dihadam.

Ini berbeza dengan pengambilan gula kerana ia mampu membekalkan tenaga berbanding lemak yang akan membuat anda terlalu kenyang.

Beliau juga mengatakan, prestasi akan menurun dan tidak produktif jika anda tidak mengambil karbohidrat. Walaubagaimanapun adakah lemak memberikan kesan yang buruk?

Tetapi, perlu diingat, lemak mengambil masa yang panjang untuk dihadam. Dengan itu ia membekalkan tenaga yang lebih. Paling penting ia tahan lebih lama dan tidak ada kesan terhadap gula dalam darah.

Namun saya pasti anda tidak mahu aktiviti riadah terganggu. Jadi bekalkan diri dan makanlah makanan yang tinggi dengan karbohidrat seperti yang bergula dan sebagainya.

Suka saya nasihatkan agar anda melakukan perancangan rapi dengan menyediakan makanan ringkas tapi dapat membekalkan tenaga yang diperlukan semasa aktiviti.

Makanan yang dibekalkan mestilah cukup dan tidak terlalu berat untuk dibawa.

Gunakan bekas plastik yang mudah dibawa untuk membawa makanan anda supaya ia tidak mencemarkan alam sekitar.

Bawa minuman yang bergula supaya anda dapat tenaga daripada gula. Paling penting jangan makan berlebihan sehingga mengganggu kegiatan dan aktiviti.

Minggu ini saya akan berkongsi resipi sandwich yang memang bersesuaian untuk menjalankan aktiviti riadah di luar.

Jangkitan bakteria punca ruam

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

KULIT bayi yang halus sememangnya memerlukan penjagaan yang rapi dan lembut kerana ia mudah mengalami keradangan berbanding kulit orang dewasa.

Selain itu, kulit bayi juga sangat sensitif dengan keadaan persekitaran. Malah, kajian membuktikan bahawa kulit bayi adalah paling sensitif selain lebih nipis, kurang pigmentasi dan mempunyai kadar kelebatan kelenjar peluh yang tinggi.

Tinjauan yang dilakukan melalui Huggies School of Skin Health 2012 jelas menunjukkan 100 peratus ibu-ibu di Malaysia percaya, kesihatan kulit bayi mereka adalah penting dan daripada jumlah tersebut 81 peratus ibu pula menamakannya sebagai perkara paling penting bagi mereka sebagai ibu.

Tidak dinafikan, ramai ibu-ibu beranggapan ruam lampin terhasil akibat lampin pakai buang yang digunakan.

Tetapi hakikatnya masalah tersebut boleh dielakkan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mengamalkan tabiat kebersihan yang baik untuk mengekalkan kulit bayi yang sentiasa bersih dan kering serta mengelakkan barangan yang boleh menambahkan lagi kegatalan kulit.

Dalam pada itu, menurut Pakar Perunding Kanak-Kanak, Dr. Yong Junina Fadzil, masalah ruam lampin biasanya terjadi apabila jangkitan bakteria dan kulat ataupun disebabkan alahan kulit.

Tambah beliau, walaupun ia bukanlah penyakit berbahaya, namun terdapat sebahagian daripada ruam boleh menjadi serius.

"Ruam lampin merupakan masalah kulit yang paling kerap dialami oleh kebanyakan anak kecil khususnya bayi.

"Ia lazimnya berlaku di sekitar bahagian yang ditutupi seperti punggung, kelangkang, paha dan kemaluan. Ia amat menyakitkan.

"Kulit di sekitar bahagian-bahagian tersebut akan berbintik-bintik kemerahan dan merengsakan bayi dan ruam lampin boleh sembuh dengan sendiri jika kita sebagai ibu mengamalkan penjagaan kulit bayi dengan betul," ujarnya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan produk terbaru Huggies, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berbicara lanjut mengenai masalah tersebut, Dr. Yong memberitahu bahawa ruam lampin yang tidak serius akan beransur pulih dalam masa dua hari sahaja.

Sekiranya ia mengambil masa dalam seminggu atau lebih untuk sembuh, ini bermakna ruam lampin yang dihadapi bayi tersebut boleh dikategorikan sebagai serius.

Katanya lagi, terdapat banyak punca yang menyebabkan berlaku ruam lampin di kalangan bayi.

Antaranya pemakaian lampin dalam tempoh yang terlalu lama dan dibiarkan bersama air kencing.

Ammonia yang dihasilkan air kencing akan mengganggu lapisan perlindungan kulit bayi dan menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan.

Selain air kencing, najis bayi terutama yang cair juga penyebab terjadinya ruam lampin.

Najis sebenarnya amat berbahaya kepada kulit bayi kerana ia terhasil daripada makanan bayi dan juga ubat-ubat tertentu yang diberikan kepada mereka.

Punca lain ialah bahan kimia yang terdapat dalam sabun mandian bayi.

Ketika ditanya peratusan jantina bayi yang lebih kerap terkena ruam lampin, jelas Dr. Yong, tiada mana-mana kajian menunjukkan bayi lelaki atau perempuan yang lebih kerap mengalami ruam lampin.

Tetapi pada pendapatnya, jika dilihat daripada sistem anatomi badan, bayi perempuan yang akan lebih kerap mengalami masalah ini.

Berbalik kepada tinjauan 'Huggies School of Skin Health 2012, hasilnya turut mendapati 70 peratus ibu melaporkan bayi mereka pernah mengalami masalah kulit termasuk ruam lampin.

Dalam masa yang sama disebabkan masalah tersebut, sebanyak 80 peratus ibu-ibu tidak lelap tidur sementara 60 peratus lagi tidak dapat menumpukan kepada pekerjaan atau tugas harian.

Tinjauan tersebut turut mendapati 86 peratus ibu bimbang masalah kesihatan kulit bayi mereka akan terjejas dalam jangka masa panjang.

Manakala 84 peratus pula berkata mereka terasa ingin menangis apabila bayi menangis kesakitan.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Huggies menghasilkan rangkaian baru lampin yang terbukti secara klinikal dapat membantu menghalang ruam lampin.

Ibu-ibu diharapkan agar tidak membiarkan lampin bayi dalam keadaan basah dan rajinlah untuk menukarnya.

Perkasa guru agama tangani isu akidah

Oleh MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

SESUNGGUHNYA agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. (ali Imran : 19)

Bagi membekalkan ilmu pengetahuan dengan kepelbagaian kaedah dakwah untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar sekolah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan telah menganjurkan Seminar Guru-guru Pendidikan Islam dan Guru Islam Tahun 2012 bertempat di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur pada awal Mei lalu.

Program itu anjuran bersama Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan (JPNWP) Kuala Lumpur, Kementerian Pelajaran, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) dan Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Ugama Malaysia Barat (KKGUMB) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ia disertai lebih 1,500 peserta terdiri daripada guru pendidikan Islam (GPI) sekolah rendah dan menengah, guru Islam sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan guru besar serta pengetua sekolah.

Pemangku Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Muhammad Rais Abdul Karim berkata, strategi gerakan transformasi dakwah akan berkesan melalui tenaga penggerak yang terdiri daripada kalangan pendakwah yang berilmu dan terlatih.

"Seminar ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada guru pendidikan Islam bagi memperkasakan kaedah dakwah kepada pelajar sekolah berkaitan akidah dan sahsiah.

"Umat Islam kini terdedah dengan cabaran ujian kekuatan akidah iaitu dengan pelbagai fahaman, ideologi moden seperti pluralisme, sekularisme, liberalisme, kapitalisme, materialisme, humanisme dan unsur negatif mempengaruhi dengan mudah terutamanya pelajar sekolah.

"Dalam kemajuan era globalisasi, negara kita digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam bahkan dihimpit juga dengan budaya songsang, black metal, punk, gejala gay, lesbian, pondan, mat rempit, seks bebas, penyalahgunaan dadah, penagihan arak serta sukan judi," katanya.

Menurut Rais, peranan dan tanggungjawab guru-guru semakin luas dan mencabar terutamanya dalam soal penyelewengan akidah di kalangan para pelajar serta gejala sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat serta ia merupakan satu cabaran yang hebat terhadap semua pihak di negara ini khususnya guru-guru.

"Guru-guru harus bersiap sedia dalam menghadapi pelbagai kegiatan dan cabaran dakyah pihak tertentu dalam usaha meruntuhkan akidah atau moral dengan menyebarkan dakyah secara halus kepada murid-murid dan pelajar sekolah," tegasnya.

GPI bertanggungjawab memberi ajaran agama yang sebenar dengan merujuk fakta-fakta rasmi dan bertepatan serta mewujudkan kumpulan pelajar yang dibekalkan pengetahuan dan bimbingan dakwah agar mereka berperanan membantu penghayatan Islam di sekolah di samping berperanan sensitif terhadap dakyah agama asing di kalangan pihak-pihak tertentu. Ia sejajar dengan suruhan Allah dalam surah at-Tahrim ayat enam.

Seminar tersebut dijadikan medan untuk bertukar pendapat, ilmu pengetahuan, perkongsian dan merapatkan hubungan silaturahim di kalangan guru pendidikan Islam dalam membina kekuatan ummah.

Ia dimantapkan lagi dengan pembentangan kertas kerja oleh Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dengan tajuk Kegiatan Dakyah dan Usaha Pihak Tertentu Untuk Memesongkan Akidah Umat Islam.

Tegas Wan Zahid, gerakan Liberalisme, Pluralisme, Sekularisme, Yahudi dan Emotion Spiritual and Quotient (ESQ) yang menjadi ancaman serta perkembangannya akan merosakkan akidah umat Islam sekiranya tidak dibendung.

Perpustakaan Istac khazanah negara

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

SEBAIK menjejakkan kaki di laman Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) yang gah tersergam di Persiaran Taman Duta, Kuala Lumpur, membuatkan diri terasa teruja dengan keunikannya.

Seni bina klasik berunsur ketamadunan Islam pada setiap binaan bangunan menjadikan cawangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kampus Kuala Lumpur itu kelihatan sangat menakjubkan sehingga tidak terasa berada di negara sendiri.

Ditambah pula dengan persekitaran yang damai dan menenangkan terletak di pinggir bukit amat sesuai untuk dijadikan lokasi strategik bagi menuntut ilmu dan mendapatkan sumber ilham.

Bukan sahaja mempunyai seni bina yang pastinya dicemburui, malah Istac turut mempunyai sebuah gedung ilmu bertaraf dunia yang mengandungi sumber simpanan khazanah negara dan juga segenap dunia Islam.

Dengan menyediakan hampir 163,000 koleksi sumber rujukan, perpustakaan Istac memainkan peranan penting dalam menghidupkan perbincangan mengenai pelbagai aspek Islam secara mendalam di seluruh dunia.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1987 di bangunan asal yang terletak di Damansara, tahun ini merupakan hari bersejarah bagi perpustakaan itu apabila ia diberi penjenamaan semula dengan nama Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas sempena nama pengasasnya iaitu Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Melalui koleksi bukunya terutama koleksi khas dan manuskrip yang istimewa dan luar biasa menjadikan Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas sebutan dan rebutan pelbagai institusi samaada dalam dan luar negara.

Ketua Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas, Istac, Normala Harun berkata, dengan menumpukan dalam bidang ketamadunan Islam, membolehkan perpustakaan itu mengumpulkan koleksi dan rujukan eksklusif mengenai tamadun dunia yang tidak terdapat di mana-mana.

"Sehingga kini terdapat sebanyak 45,518 koleksi khas seperti koleksi peribadi yang diperoleh daripada penulis asal bahan tersebut. Koleksi tersebut tidak terdapat di tempat lain kerana kebanyakan buku yang diperoleh adalah daripada salinan asal daripada penulis yang menggunakan tulisan tangan.

"Sebagai contoh, koleksi Andre dan Oleg Grabar yang mengandungi 5,825 buku merupakan antara koleksi seni bina Islam terunggul di dunia. Koleksi Brandenburg yang merupakan seorang pakar pengajian Islam termasuk seni dan senibina Islam dan perubatan Islam," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas, Istac, baru-baru ini.

Ia disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut hadir Rektor UIAM, Profesor Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin; Dekan Istac, Profesor Hassan Ahmed Ibrahim dan wakil keluarga Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, Datuk Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas.

Saturday, May 26, 2012

Semak arah kiblat petang Ahad ini

KUCHING 25 Mei - Umat Islam di seluruh negara berpeluang menyemak arah kiblat menggunakan teknik bayang matahari pada pukul 5.18 petang, Ahad ini.

Bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri Sarawak berkata, peluang keemasan itu tidak wajar dilepaskan kerana fenomena istiwa' matahari yang menyebabkan bayang semua objek menjadi tegak 90 darjah di seluruh dunia hanya berlaku dua kali setahun iaitu pada Ahad ini dan 15 Julai depan.

Tambahan pula, katanya, penggunaan teknik bayang matahari adalah mudah dan paling tepat untuk menentukan arah kiblat kerana pada masa itu matahari berada tepat di langit bersamaan dengan latitud Kaabah.

"Fenomena istiwa' matahari berlaku dua kali dalam setahun iaitu ketika matahari bergerak menuju ke arah utara dalam bulan Mei dan ketika matahari kembali ke ekuinoks dalam bulan Julai.

"Fenomena itu berlaku pada 28 Mei dan 16 Julai setiap tahun kecuali pada tahun lompat. Memandangkan 2012 merupakan tahun lompat, maka tarikh akan berganjak lebih awal iaitu pada 27 Mei dan 15 Julai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, bahagian berkenaan berkata, jika berpeluang berada di Masjidil Haram ketika itu, seseorang berpeluang melihat Kaabah serta apa yang berdiri tegak di persekitarannya seolah-olah tidak ada bayang-bayang.

Katanya, pada saat itu, waktu di Mekah adalah 12.18 tengah hari dan di Malaysia ialah 5.18 petang.

"Jika memandang ke arah matahari (pada waktu itu), bermakna kita sedang menghadap tepat ke arah kiblat.

"Istiwa' matahari di atas Kaabah akan menyebabkan bayang semua objek tegak 90 darjah di seluruh dunia bersamaan dengan arah kiblat dan ini boleh dilihat pada 27 Mei dan 15 Julai ini ketika menghampiri waktu zuhur di Mekah.

"Mengikut pengiraan pada 15 Julai ini pula, istiwa' matahari di atas Kaabah tepat pukul 12.27 tengah hari waktu Mekah yang bersamaan pukul 5.27 petang waktu Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bahagian berkenaan turut membandingkan ketepatan teknik bayang matahari untuk menentukan arah kiblat berbanding penggunaan teknik lain seperti kompas.

Katanya, kompas berfungsi berdasarkan medan magnet bumi dan jika ada sumber medan magnet yang berdekatan seperti besi, aliran elektrik dan lain-lain, penunjuknya akan terpesong.

"Jika kita tidak berhati-hati ia akan memberi kesan kepada arah yang hendak dicari.

"Objek-objek di angkasa merupakan sebaik-baik petunjuk arah kerana ia tidak terpesong walau sedikit pun," katanya.

Friday, May 25, 2012

Usaha bendung krisis sosial

Oleh ZUARIDA MOHYIN

Kutub Khanah

GEJALA zina dalam masyarakat terutamanya di kalangan para remaja Islam semakin membimbangkan. Kurangnya kesedaran dan perhatian menyebabkan gejala ini menular kepada pembuangan bayi yang tidak berdosa.

Tanpa belas kasihan, bayi-bayi ini telah ditinggalkan dalam keadaan hidup mahupun hingga menemui ajal mereka, telah mencetuskan persoalan kasih sayang dan kasihan belas yang semakin terhakis atau kurang dalam kehidupan kita.

Apatah lagi, kemajuan sesebuah negara pada hari ini tidak boleh diukur hanya berdasarkan kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur. Malah ia perlu melibatkan pembangunan sosial dan rohani.

Hakikatnya, tidak bermakna pengiktirafan sebagai sebuah negara maju sekiranya masyarakat di dalamnya mengalami krisis sosial yang kritikal.

Jika kita lihat laungan kebebasan oleh masyarakat di negara Barat atas nama pemodenan, yang pastinya kebebasan yang tiada batasan itulah penyebab kepada kerosakan nilai-nilai kemasyarakatan dan tidak mustahil sehingga membawa kepada kemusnahan.

Kesinambungan perancangan negara yang berkesan bergantung kepada corak kepimpinan yang mengetuai negara. Jika kita mahu melihat bagaimana kepimpinan negara pada masa akan datang, kita harus melihat kepada generasi muda hari ini.

Tidak dinafikan remaja hari ini terpaksa bergelut dalam krisis sosial yang kian meruncing. Lantas, krisis sosial ini tidak boleh hanya disandarkan kepada ibu bapa dan kerajaan semata-mata tetapi perlu kepada penggemblengan semua ahli masyarakat.

Menyedari hakikat inilah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menggerakkan satu usaha dengan menerbitkan buku berjudul Menangani Zina & Pembuangan Bayi. Ia sedikit sebanyak mendedahkan persoalan sebab dan akibat mengapa fenomena ini semakin menjadi-jadi, sedangkan pelbagai langkah pencegahan dan usaha membanterasnya telah dilakukan berbagai-bagai pihak.

Buku ini berdasarkan kajian dan tulisan ahli akademik dan profesional yang terlibat secara langsung dalam membendung salah laku sosial remaja.

Ini dengan tujuan agar masyarakat melihat keadaan sebenar salah laku sosial yang menjadi tajuk kupasan iaitu permasalahan zina di kalangan remaja dengan antara lain disokong oleh fakta dan data serta perbandingan dengan negara lain agar dapat membuka minda sama-sama mencari jalan bagi menangani masalah ini.

Justeru kemunculan buku ini juga berperanan untuk mencari langkah-langkah menanganinya dengan harapan dapat memberi manfaat dan kesedaran kepada semua pihak untuk sama-sama menggerakkan kita kepada penyelesaian tuntas agar agenda pembangunan sosial dapat berjalan seiring dengan agenda pembangunan ekonomi dalam mencapai sasaran negara maju 2020.

Buku suntingan Nur Syahidah Abdul Jalil memuatkan kertas kerja yang dibentangkan semasa berlangsungnya Muzakarah Pakar Menangani Zina Serta Pembuangan Bayi di Kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah pada 16 Disember 2010 bertempat di Dewan Besar IKIM.

Tiga tulisan daripada hasil pembentangan muzakarah diterbitkan dalam buku ini yang melihat perspektif zina daripada pelbagai bahagian. Kertas kerja tersebut ialah, Analisis Sosial Kes-kes Zina Berdasarkan Data Daripada Kajian Mengenai Kehamilan Luar Nikah tulisan Dr. Fatimah Abdullah.

Kertas kerja kedua dan ketiga pula ialah hasil tulisan Prof. Madya Datin Dr. Paizah Ismail dan Dr. Hamizah Mohd. Hassan mengutarakan permasalahan zina dari sudut undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia dan dari sudut pandangan kesihatan reproduksi manusia.

Hasil kerja daripada para penulis secara tidak langsung telah menganjurkan bahawa satu pangkalan data khas perlu diwujudkan dalam usaha menangani masalah ini.

Semoga dengan usaha bersepadu ini, masalah salah laku zina ini dapat diperangi secara keseluruhannya.

Zakat bukan cukai

SAYA keliru apabila ada orang yang menyatakan zakat itu adalah sejenis cukai di dalam Islam. Benarkah pernyataan ini dan harap pihak ustaz dapat jelaskan?

Jawapan

Terima kasih kerana mahu mengajukan persoalan. Sebenarnya, pendapat yang menyatakan zakat itu adalah cukai dilontarkan oleh mereka yang tidak memahami kefarduan zakat dalam Islam.

Bahkan, tidak keterlaluan dikatakan pandangan ini dikeluarkan oleh golongan orientalis yang sentiasa berusaha melemahkan Islam.

Mereka mempelajari Islam bukan untuk mencari hidayah, tetapi berusaha mencari titik-titik kesamaran yang diharap menjadi pintu demi menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang sempurna.

Sudah menjadi lumrah cukai sering dianggap menekan. Andai kita mengiyakan pandangan bahawa zakat adalah cukai, dibimbangi maka kita akan cenderung menyatakan zakat juga menekan kehidupan.

Hakikatnya, jika kita mengkaji lebih dalam, amalan zakat dan cukai walaupun mempunyai persamaan namun kedua-duanya amat berbeza. Zakat adalah syariat yang qatie (putus) sedangkan cukai adalah perkara ijtihad semata-mata.

Zakat dalam Islam bukanlah perkara baharu. Jika kita merujuk kepada al-Quran, yakni pada surah al-Qasas (ayat 76-78) dan Maryam (ayat 31), maka kita akan dapati bahawa zakat sudah pun disyariatkan oleh Allah SWT kepada kalangan umat yang terdahulu.

Maknanya, ibadah zakat bukanlah rekaan Nabi Muhammad SAW yang bertujuan semata-mata mahu mengambil harta kekayaan manusia. Sebaliknya ia adalah ibadah yang maksud asasinya adalah untuk melestarikan perkongsian harta sesama manusia di samping menundukkan ketamakan dan keangkuhan manusia dalam berharta.

Hal ini adalah selari dengan fitrah manusia. Setiap orang benci kepada sifat bakhil dan tamak. Maka inilah yang digagaskan di sebalik amalan zakat. Fitrah juga mengajak kepada membantu sesama manusia. Hal ini jugalah yang terkandung di sebalik amalan zakat.

Bahkan fitrah manusia juga apabila menerima kebaikan maka dibalas dengan mengucapkan syukur dan menghargai perbuatan baik orang lain. Inilah yang disajikan di sebalik ibadah zakat.

Dalam pada itu, jika kita merujuk di dalam surah at-Taubah (ayat 75-79), maka kita akan bertemu dengan kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW, yang mana pada masa itu ada umat Islam yang menyamakan zakat dengan cukai.

Sebahagian mufassirin menyatakan, orang yang dimaksudkan sebagai Tsa'labah bin al-Hatib. Tetapi pendapat itu dibantah oleh sebahagian fuqaha yang lain dengan pelbagai hujah. Antaranya Tsa'labah adalah antara sahabat terawal memeluk Islam dan turut sama berperang dalam Perang Badar.

Mereka yang turut berperang dalam Badar al-Kubra telah mendapat jaminan syurga daripada Rasulullah SAW dan mustahillah seorang yang dijamin syurga akan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat.

Maka, sebahagian ulama hanya menyatakan 'ada seorang lelaki' demi mengelakkan fitnah ke atas sahabat dalam keadaan kita sendiri kurang mengetahui (rujuk Eksklusif Zakat, hal. 139).

Walau bagaimanapun, apa yang jelas tindakan 'lelaki berkenaan' telah menimbulkan kemarahan kepada Nabi. Bahkan orang yang melakukan tindakan sedemikian dikhabarkan telah tidak diterima zakatnya hingga ke zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah. Orang berkenaan dikatakan meninggal dunia penuh penyesalan dan menanggung perasaan berdosa yang tidak terkira (rujuk Fizilalil Quran, jilid 7).

Mungkin ada pihak yang menyatakan bahawa Umar pada zamannya pernah mengutip cukai daripada rakyatnya. Benar! namun Umar sebenarnya lebih mengenakan cukai kepada kalangan orang-orang kafir (khususnya kafir zimmi) yang mendiami negara Islam.

Harus diingat, zaman Umar adalah zaman pembukaan wilayah baharu yang sudah pastinya menuntut beliau melakukan pelbagai pembaharuan dalam dasar kewangan negara demi meraikan keperluan semasa, termasuklah dalam isu cukai.

Kempen Ramadan MRA

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

BAGI menjayakan usaha murni menabur bakti kepada sesama Islam yang ditimpa musibah di seluruh dunia, Malaysian Relief Agency (MRA) menganjurkan Kempen Ramadan 1433.

Kempen bertemakan Dekat Di mata, Lekat Di hati itu diadakan bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan sama ada dalam dan luar negara.

Presidennya, Datuk Dr. Abdul Razak Kechik berkata, kempen kali ini mensasarkan peningkatan jumlah keluarga dan masyarakat yang bakal dibantu memandangkan keadaan umat Islam global yang semakin kritikal.

"Melihat nasib malang yang menimpa umat Islam di seluruh dunia termasuk negara ini, MRA sekali lagi tampil menganjurkan Kempen Ramadan 1433 bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

"Sedang kita enak menikmati pelbagai makanan untuk berbuka di negara ini bersempena bulan Ramadan yang bakal tiba, tetapi keadaan umat Islam lain di serata dunia tidak tahu apa untuk dimakan dan hanya menahan kelaparan setiap hari.

"Oleh itu, MRA menyeru kepada seluruh umat Islam di negara ini untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan yang tidak berkemampuan ini bagi meringankan bebanan yang mereka hadapi," kata pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif MRA, Mohd. Shahrulazilan Said.

Tambah Abdul Razak, antara negara yang telah dikenal pasti untuk disalurkan sumbangan adalah Somalia, Pakistan, Indonesia, Thailand, Kembaja, Vietnam, Afghanistan, Sri Lanka, Myanmar dan Palestin.

"Tahun lalu kita berjaya mengumpulkan lebih RM100,000 dan telah disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Pada tahun ini, kita mensasarkan kutipan sebanyak RM300,000 untuk meningkatkan bantuan kepada golongan sasaran," katanya.

Sementara itu, Mohd. Shahrulazilan berkata, sumbangan kali ini berupa pek makanan, majlis berbuka puasa, program mengimarahkan masjid, membaiki masjid dan sumbangan umum.

"Diharap dengan jasa baik masyarakat negara ini menghulurkan bantuan dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik di seluruh dunia ini untuk menjalani ibadah Ramadan dengan sempurna dan menyambut kedatangan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan," katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan kepada Malaysian Relief Agency (MRA) di akaun Maybank Berhad, 564098206365 atau mendapatkan maklumat lanjut di www.mra.my.

Yayasan Sofa kelola ujian ke Al-Azhar

BOLEH terangkan serba sedikit mengenai Yayasan Sofa?

SALAHUDDIN: Yayasan ini telah ditubuhkan pada 17 Februari 2004 sebagai nadi kepada aspek-aspek pembangunan modal insan, pendidikan dan penyelidikan ilmu-ilmu Islam berasaskan kepada tiga sendi agama iaitu Iman, Islam dan Ihsan, komited dalam menjunjung dan mempertahankan fahaman Ahli Sunnah wal Jama'ah dengan mengambil peranan sebagai pendidik yang mengimbangi antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Fokus kami yang utama ialah ilmu dan pendidikan dengan menubuhkan institusi-institusi ilmu di setiap peringkat, menengah mahupun pengajian tinggi.

Apakah fungsi dan matlamat sebenar Pusat Asasi Al-Azhar yang dikelola dan diuruskan oleh Yayasan Sofa?

SALAHUDDIN: Pertamanya Pusat Asasi Universiti Al-Azhar ini diwujudkan atas arahan Universiti Al-Azhar, Mesir sendiri. Ia ditubuhkan sebagai sebuah pusat bagi menilai prestasi awal, kemampuan dan kelayakan pelajar di negara-negara bukan Arab dari sudut kemahiran dalam Bahasa Arab. Para pelajar yang kekurangan kemahiran ini kebanyakannya akan menghadapi masalah apabila menuntut di fakulti-fakulti yang disediakan. Maka diadakan ujian saringan (imtihan qabul) di mana para pelajar yang lulus peperiksaan ini akan terus ditawarkan tempat di Universiti Al-Azhar. Manakala yang tidak melepasinya, dikehendaki menjalani kursus intensif Bahasa Arab selama 10 bulan. Program ini pada asalnya dijalankan di Mesir. Tetapi atas kebenaran Universiti Al-Azhar, pada tahun ini, ia dilaksanakan di negara ini bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada bakal penuntut Al-Azhar dari Malaysia.

Bagaimana pula dari sudut sokongan dan pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap Pusat Bahasa Arab Al-Azhar ini?

SALAHUDDIN: Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengambil maklum mengenai pelantikan yayasan ini sebagai wakil bagi menjalankan urusan ujian dan temuduga kemasukan ke Universiti Al-Azhar Mesir. Bagi tujuan itu, maka kami akan mengendalikan ujian berkenaan bermula tahun ini. Alhamdulillah, setakat ini pihak KPT tiada sebarang halangan, sekali gus turut sama membantu KPT memacu proses pengantarabangsaan pengajian tinggi di rantau ini. Kami telah dijemput oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang turut menyokong usaha ini dalam melancarkan lagi urusan Pusat Asasi ini dari sudut hubungannya dengan pihak-pihak penaja pelajar. Perkara ini juga telah mendapat maklum Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Jamil Khir Baharom.

Sesetengah pihak berpendapat penubuhan pusat ini adalah suatu usaha untuk menghalang atau mengurangkan jumlah mahasiswa pengajian Islam di Al-Azhar, apakah ini benar?

SALAHUDDIN: Ingin saya tegaskan di sini bahawa penubuhan pusat asasi ini bukanlah atas idea atau kehendak kami sendiri. Ia adalah cetusan daripada Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al-Azhar sendiri iaitu Prof. Dr. Ahmad Muhammad Tayyib dalam usaha meningkatkan prestasi dan kedudukan Al-Azhar di peringkat antarabangsa. Umum mengetahui mahasiswa-mahasiswa bukan Arab tidak menguasai Bahasa Arab dengan sepenuhnya sebagaimana mahasiswa berbangsa Arab. Maka Al-Azhar menetapkan agar setiap penuntut yang ingin melanjutkan pengajian ke universitinya harus disaring terlebih dahulu agar mereka dapat melangkah seiring dengan sukatan pengajian yang ditetapkan berdasarkan kemahiran dan kecekapan mereka.

Timbul spekulasi penubuhan pusat ini juga adalah satu usaha YSNS untuk mengaut keuntungan dengan mengenakan sejumlah yuran yang telah ditetapkan?

SALAHUDDIN: Kami adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bermatlamat menyebarkan kebajikan kepada umat Islam. Kami menyumbang dan menghulurkan bantuan kepada umat Islam, menganjurkan program-program ilmiah dan keagamaan dengan memperuntukkan sejumlah dana yang besar semenjak penubuhan yayasan ini. Pendek kata, kami adalah sebuah badan penyumbang, bukan badan yang mengaut keuntungan, apatah lagi hendak memperdagangkan amanah yang digalaskan Al-Azhar ke atas bahu kami. Oleh itu, tidak timbul spekulasi ini. Pihak Al-Azhar sendiri telah mengeluarkan kebenaran khas untuk kami mengutip yuran sebagai dana untuk menampung perjalanan kursus, gaji pensyarah yang didatangkan terus dari Universiti Al-Azhar di Mesir, alat-alat bantuan mengajar, keperluan peperiksaan dan prasarana yang segalanya kembali untuk kemaslahatan para penuntut di pusat asasi itu sendiri. Semua itu disebabkan kami tidak menerima sebarang dana atau peruntukan khusus dari mana-mana badan sama ada kerajaan mahupun swasta dalam mentadbir urus pusat ini.

Benarkah desas-desus menyatakan bahawa pusat asasi ini adalah usaha terancang beberapa badan untuk menyekat pengaruh politik di kalangan pelajar Al-Azhar?

SALAHUDDIN: Kami ialah sebuah NGO yang berpendirian non-partisan. Kami adalah sebuah yayasan yang bercita-cita memartabatkan ilmu dan Islam di peringkat tertinggi. Jadi segala macam usaha yang kami jalankan tidak lari daripada niat itu. Seboleh-bolehnya kami ingin menghantar semua penuntut ilmu agama ke Universiti Al-Azhar bagi melanjutkan pengajian. Akan tetapi dunia hari ini berubah. Mana-mana institusi pengajian tinggi yang ingin bersaing di peringkat antarabangsa seperti Universiti Al-Azhar juga mengimpikan kualiti penuntutnya berbanding kuantiti. Justeru, mereka berfikir siang dan malam serta menjalankan usaha-usaha seperti penubuhan pusat asasi ini sebagai pengukur kelayakan pelajar dari sudut kecekapannya berbahasa Arab sebelum ditawarkan melanjutkan pengajian di fakulti-fakulti mereka.

Jelaskan lebih lanjut berkenaan sukatan pelajaran, kuliah, tenaga pengajar, tempoh belajar, lokasi pusat asasi ini?

SALAHUDDIN: Berkenaan dengan sukatan pelajaran digunakan, ia adalah sama seperti apa yang digariskan oleh Universiti Al-Azhar bagi Pusat-pusat Bahasa Arab kelolaannya. Begitu juga dengan kepakaran tenaga pengajar yang didatangkan terus dari Universiti Al-Azhar Mesir yang dipilih sendiri oleh mereka tanpa ada campur tangan mana-mana pihak. Pendek kata, kami hanya menguruskan hal ehwal pelajar dari sudut prasarana bagi memudahkan penuntut Pusat Asasi ini berhubungan dengan pihak Universiti Al-Azhar Mesir. Berkenaan dengan lokasinya pula, buat masa ini mereka akan ditempatkan di kampus sementara di Ampang, Selangor. Para pelajar yang lulus peperiksaan ini, akan ditawarkan terus melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar. Manakala yang tidak melepasi saringan ini, dikehendaki menjalani kursus intensif Bahasa Arab selama 10 bulan.

Apakah harapan terhadap kewujudan Pusat Asasi Al-Azhar di negara ini?

SALAHUDDIN: Harapan saya agar Bahasa Arab akan dimartabatkan sebagai bahasa ilmu seperti mana pengiktirafan yang pernah diberikan oleh Eropah pada zaman kegemilangan Islam di mana masyarakat Eropah berusaha mendalaminya untuk menggali khazanah-khazanah ilmu yang tersimpan di pustaka-pustaka Islam pada zaman tersebut. Demikian juga kami berharap agar masyarakat memandang tinggi dan berusaha bersama-sama dalam memartabatkan kedudukannya sebagai bahasa ilmu. Suka saya mengingatkan agar pelajar-pelajar lepasan STAM dan juga pihak penaja pelajar agar segera berhubung dengan kami bagi urusan pendaftaran supaya segala urusan mendapatkan tempat di Universiti Al-Azhar Mesir berjalan lancar, di talian 019-2282870 atau 013-70274003 atau email: zumrud69@gmail.com.

Zikir landasan mohon pertolongan sebenar

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

TERASA bagaikan berada di dataran Masjidil Haram, Mekah, perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi lokasi majlis Istighasah al-Kubra dibanjiri oleh umat Islam dengan berpakaian serba putih.

Masing-masing hadir membawa semangat dan niat yang ikhlas semata-mata untuk mengabdikan diri dan bermunajat kepada Allah SWT.

Meremang bulu roma mendengar kehebatan gema takbir, tahmid, tahlil dan bacaan ayat suci al-Quran yang dialunkan oleh lebih 5,000 umat Islam memuji kebesaran tuhan yang maha esa dan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Perhimpunan zikir besar-besaran yang julung kalinya diadakan di negara ini itu berjaya menghimpunkan umat Islam tidak kira keturunan, ideologi politik, warna kulit dan peringkat umur.

Peserta sanggup melawan nafsu dengan mengorbankan masa rehat, tenaga dan wang ringgit demi menghadiri majlis tersebut yang bermula seawal pukul 4 pagi - waktu ketika orang lain sedang enak dibuai mimpi.

Kelihatan peserta yang hadir bukan sahaja daripada sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, malah daripada seluruh pelosok tanah air untuk menyertai majlis yang penuh keberkatan itu.

Warga emas, kanak-kanak dan golongan kurang upaya turut bersemangat meraikan majlis dan sama-sama memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah.

Penganjuran Istighasah al-Kubra yang dipenuhi dengan pengisian kerohanian termasuk qiamullail, zikir munajat, ceramah dan tazkirah itu memberi peluang kepada orang ramai bermuhasabah diri, menyucikan hati dan memanjatkan hajat kepada Allah.

Di samping itu, ia turut membuktikan amalan Islam merupakan landasan terbaik bagi umat untuk memohon keamanan dan kesejahteraan negara serta menyatupadukan ummah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika ditemui berkata, zikir yang diucapkan dengan hati yang ikhlas untuk mengagungkan Allah dapat menyucikan hati dan boleh mendatangkan banyak kelebihan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram. (Ar-Ra'd : 28)

Menyucikan hati

"Kita digalakkan untuk berzikir mengingati Allah pada setiap masa, bukan sahaja ketika mengikuti program-program yang dianjurkan, tetapi di mana sahaja dalam apa jua keadaan.

"Sebagai contoh, dalam kehidupan seharian, kita banyak melihat kebesaran dan keindahan ciptaan Allah. Maka ucaplah subhanallah, setiap detik kita menghirup udara segar dan mengurniakan kesihatan, ucaplah kalimah syukur, alhamdulillah.

"Zikir yang diucap dengan perasaan yang ikhlas mampu menyucikan hati seseorang daripada sifat yang negatif serta menghapuskan dosa-dosa kecil," katanya ketika ditemui Mega pada majlis itu.

Majlis itu anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut hadir Yang Di-Pertua Yadim, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir; Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali dan bekas Menteri Agama Republik Indonesia, Profesor Dr. Said Agil Husin Al Munawir.

Tambah Harussani, majlis perhimpunan zikir seperti itu juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi semangat ukhuwah silaturahim sesama umat Islam di negara ini yang dilihat semakin luntur.

"Jika kita lihat apa yang terjadi pada masa ini, ramai di kalangan umat Islam berpecah belah dan berlaku perbalahan di sana sini. Ini hanya akan merosakkan kekuatan institusi agama Islam itu sendiri.

"Maka dengan adanya majlis ini secara tidak langsung dapat mengumpulkan seluruh umat Islam tidak kira apa jua fahaman untuk sama-sama bermunajat dan memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya dikurniakan keamanan serta kesejahteraan kepada negara dan rakyat," jelasnya.

Setiap usaha yang dilakukan tidak mungkin akan tercapai jika tidak mendapat keizinan daripada Allah. Dalam ribuan jemaah yang hadir, pasti ada terselit seorang yang doanya diterima oleh Allah.

Menerusi penganjuran program itu diharap mampu mengekalkan keamanan negara dan menambah baik keharmonian rakyat serta negara dalam setiap aspek.

Beliau turut menasihatkan rakyat negara ini terutama umat Islam supaya mengelakkan diri daripada mengikuti atau menganjurkan perhimpunan yang tidak berfaedah dan boleh membawa kebinasaan kepada Malaysia.

"Sebagai umat Islam, kita perlu mengelakkan diri daripada mengikuti perhimpunan yang tidak berfaedah kerana ia hanya perbuatan yang sia-sia dan mendatangkan kemudaratan kepada negara serta orang ramai.

"Sebaliknya kita harus menganjur dan mengikuti perhimpunan yang memberikan kebaikan kepada negara dengan sama-sama memohon pertolongan dan keampunan daripada Allah SWT. Ini penting bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara daripada sebarang bencana dan huru-hara," katanya.

Memperkasakan amal remaja

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

Fikrah Remaja

AL-QURAN dalam surah al-Asr menyebutkan tentang kerugian manusia kecuali orang-orang yang beramal soleh dan mempunyai sifat yang baik iaitu sabar.

Ini memberi penekanan bahawa orang-orang yang beriman terlihat pada amal yang soleh. Bagi remaja, ia asas penting bagi membentuk watak dan diri yang Islami.

Sebagai remaja Islam, tidak sahaja aspek-aspek rohaniah perlu diperkukuhkan tetapi aspek amalan juga perlu diperteguhkan. Cerminan terhadap Islam tidak sahaja terlihat pada faktor-faktor batiniah tetapi keindahan Islam itu perlu dilihat pada pekerti, gelagat dan tingkah laku.

Oleh itu amat penting bagi remaja supaya bukan sahaja memperteguhkan amalan yang bersifat rohani tetapi juga mempertingkatkan sesuatu yang bersifat amali.

Islam berdiri atas kekuatan nilai-nilai dan prinsip berasaskan al-Quran. Nilai-nilai amanah, jujur, ikhlas, adil dan bijaksana umpamanya bukan sahaja nilai-nilai yang bersifat ungkapan.

Ungkapan ini harus dijelmakan dalam amal dan perbuatan, maka baru terlihat keindahan Islam itu agar sentiasa disebut dan dihayati.

Remaja yang amanah tidak sahaja menghubungkan dirinya dengan Allah tetapi dalam masa yang sama menghubungkan dirinya dengan manusia dan sistem.

Apabila remaja memiliki rasa amanah yang tinggi, sesuatu yang dilakukannya adalah dalam pertimbangan Allah, bukan semata-mata kerana pertimbangan nafsu-nafsi dan rasa. Apabila amanah dengan Allah itu terjadi, maka remaja akan menjadi orang yang memahami maksud dosa dan pahala.

Remaja yang jujur pula adalah remaja yang memiliki nilai ihsan yang tinggi. Ihsan bermaksud apabila kita melakukan kebaikan berdasarkan keyakinan kepada Allah.

Jujur sesama manusia secara fitrah tentu ada batasnya. Tetapi jujur dengan Allah tidak mendorong kita untuk berbohong dan berdusta. Dengan kualiti ihsan yang tinggi, remaja akan memiliki daya kawalan kerana setiap perlakuan diyakini sentiasa dilihat serta bakal dipertanggungjawabkan kelak.

Remaja yang ikhlas adalah remaja yang menghubungkan diri dengan Allah dan juga manusia.

Kata pendita Za'aba: "Berbuat baik ayuhai rakan, kalau tidak dikenal insan, dalam laut ia dicampakkan, kalau tidak dikenal ikan, Tuhan tahu iakah bukan."

Keikhlasan ini terkait dengan sesuatu yang kita kerjakan untuk mendapat keredaan Allah.

Reda Allah tunjangnya adalah keikhlasan. Apabila keikhlasan dengan Allah terjadi maka kesan keikhlasan itu akan kembali semula kepada remaja dan amalannya.

Jika tiada keikhlasan pada remaja maka sesuatu yang diamalkan hanyalah kerana nafsu-nafsi atau hal-hal yang bermaksud kebendaan semata-mata.

Remaja yang adil pula adalah yang dapat meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ia bermaksud hasil pemikiran yang baik didukung oleh pertimbangan syarak bakal memperteguhkan tiang-tiang keadilan, sama ada pada diri dan masyarakat.

Apabila remaja mampu berlaku adil pada diri sendiri dan terhadap orang lain, apa sahaja yang dilakukan oleh remaja sentiasa berada di pihak yang benar.

Remaja yang bijaksana adalah remaja yang dapat membuat pertimbangan antara buruk dan baik, makruf dan mungkar serta hak dan batil.

Asas ini penting bagi remaja supaya corak kehidupan yang dilalui, keputusan yang diambil serta rumusan yang dibuat hasil adanya kebijaksanaan yang didukung oleh faktor syarak dan ilmu yang benar sentiasa mengambil pertimbangan bahawa ia dilakukan kerana Allah dan niat yang ikhlas.

Nilai-nilai yang dinyatakan di atas adalah menjadi pedoman dalam amal perbuatan remaja.

Bayangkan sekiranya sejak remaja lagi nilai-nilai ini menjadi sumber rujukan dan amalan kepada remaja, para remaja bakal menjadi orang dewasa yang berwibawa tinggi.

Tinggi dalam pemikiran, hebat dalam rohani dan cemerlang dalam amali. Inilah asas didik dan tarbiah yang perlu dilalui oleh remaja betapa kekuatan rohani berhubung terus dengan Allah.

Tanpa kehebatan akal, para remaja tidak boleh menjana ilmu yang benar dan bermanfaat untuk diserapkan dalam hati.

Tanpa akal dan budi yang bertaut dengan nilai-nilai rabbani, corak, daya dan amal remaja akan pincang.

Tetapi tautan fikir dan zikir yang berlandaskan al-Quran bakal membentuk pola berfikir, pola hati dan pola pekerti yang seimbang.

Azan dari Kaabah

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Sirah Nabawi

SUASANA menjadi gegak-gempita apabila rombongan umat Islam dari Madinah mula memasuki Kota Mekah. Kemaraan mereka ke Kaabah tidak dapat dihalang lagi.

Laungan talbiah untuk menjadi tetamu Allah bersahut-sahutan dengan langkah mereka penuh megah sambil berpakaian ihram.

Namun kehadiran 2,000 umat Islam itu sudah cukup menggerunkan penduduk Mekah lain.

Mereka tidak dapat menahan umat Islam daripada terus mara menuju ke Kaabah dan hanya mampu menyaksikan umat Islam melaksanakan ibadat umrah sebaik tiba di Kaabah.

Di dahului oleh Rasulullah yang terus bertawaf dengan terlebih dahulu baginda melakukan istilam di sudut Rukun Yamani dan Hajar Aswad.

Baginda terus mengucup batu itu dan mula berlari dengan langkah pendek dan kemudian dituruti para sahabat dan umat Islam lain.

Sampai pada satu sudut Kaabah, iaitu Rukun Yamani, baginda berjalan seperti biasa sehingga sampai semula ke Hajar Aswad. Kemudian baginda berlari lagi dengan langkah pendek mengelilingi Kaabah.

Begitulah yang dilakukan oleh baginda dan umat Islam yang lain sebanyak tiga kali.

Kemudiannya mereka berjalan seperti biasa mengelilingi Kaabah sebanyak empat kali bagi mencukupkan jumlah pusingan tawaf.

Umat Islam kemudiannya melakukan ibadat rukun ketiga dalam umrah iaitu saie dengan berlari-lari anak sebanyak tujuh kali pergi dan balik antara Bukit Safa dan Bukit Marwa.

Baginda mengakhiri ibadah umrah dengan menyembelih unta sebanyak 60 ekor sebagai ibadat korban, setelah selesai bertahalul (bercukur).

Segala gerak geri umat Islam itu diperhatikan oleh seluruh masyarakat musyrikin di Mekah yang merasa begitu kagum terhadap Nabi Muhammad yang begitu kuat pengaruh di kalangan para pengikut.

Mereka tidak menyangka baginda menjadi seorang pemimpin yang begitu ditaati, sedangkan tidak ada apa keistimewaan, pangkat mahupun harta yang dapat diberikan kepada para pengikut baginda itu.

Selepas hari pertama mengerjakan umrah, masih berbaki dua hari untuk umat Islam dibenarkan berada di Mekah.

Kesempatan yang ada itu tidak dipersia-siakan. Rasulullah sendiri pada keesokan harinya telah melakukan iktikaf di dalam Kaabah sehingga tengah hari.

Walaupun di dalam dan luar Kaabah dipenuhi patung-patung berhala (dianggarkan terdapat 360 patung berhala yang diletakkan mengelilingi Kaabah), namun semua itu tidak menghalang baginda dan umat Islam untuk beribadat kepada Allah.

Malah baginda telah mengarahkan Bilal bin Rabah mengalunkan azan setiap kali tibanya waktu solat.

Lalu Bilal akan naik ke atas Kaabah dan terus melaungkan azan yang dapat didengari seluruh Lembah Mekah.

Buat pertama kali mendengar akan azan itu, penduduk kafir Quraisy bukan sahaja tersentak tetapi tidka boleh hendak melarang kerana panggilan untuk mengerjakan ibadat tidak menyalahi mana-mana isi perjanjian.

Namun mendengarkan suara Bilal yang bukan sahaja merdu tetapi lantang, timbul rasa malu di kalangan pemimpin Quraisy. Mereka tidak menyangka empunya suara itu adalah seorang bekas hamba abdi yang hidupnya dahulu pernah diseksa dan hampir-hampir maut.

Namun yang penting, umat Islam bebas melakukan ibadat terutama bersolat di Mekah yang dahulunya terpaksa dilakukan secara sembunyi-sembunyi.

Setelah selesai solat, kebanyakan umat Islam mengambil kesempatan yang ada untuk melawat Kota Mekah. Bagi kaum Muhajirin, mereka berjalan-jalan sambil menziarahi kampung halaman yang telah tujuh tahun ditinggalkan.

Untuk orang Ansar pula, mereka mengikut rakan-rakan Muhajirin berjalan-jalan di sekitar kota Mekah.