Like Blog Ini...

Tuesday, January 27, 2009

Minggu Palestin Masjid As-Salam

Oleh ZUARIDA MOHYIN

SEMENJAK tercetusnya pencerobohan tentera Israel ke atas wilayah Gaza pada 27 Disember lalu, Malaysia adalah antara negara yang bukan sahaja bersuara lantang menentang keganasan yang tidak berperikemanusiaan rejim zionis itu.

Malah keprihatinan rakyat Malaysia terbukti menerusi pelbagai tindakan seperti penganjuran demonstrasi aman, penubuhan tabung atau dana bagi menyumbang bantuan dan terbaru usaha pemboikotan produk keluaran Israel dan sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat.

Hakikatnya, semua usaha ini secara jelas menggambarkan kemarahan dan langkah berani negara dan rakyat kecil bumi Malaysia dalam menentang penindasan dan ketidakadilan bangsa Yahudi laknatullah itu.

Tersentuh dan terhiris dengan kesengsaraan yang dialami oleh umat Islam di Palestin,dibuktikan dengan inisiatif Masjid As-Salam Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menganjurkan program Minggu Palestin bermula 12 Januari hingga 16 Januari lalu.

Pengarah Programnya, Romzi Ishak, 38, berkata program yang berlangsung di perkarangan masjid itu turut mendapat kerjasama Jamaah Islam Malaysia (JIM) Hulu Selangor serta surau-surau sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.

"Objektif penganjuran program ini adalah untuk menimbulkan kesedaran, menyatakan sokongan serta menyuarakan bantahan terhadap pencabulan hak-hak kemanusiaan rakyat Palestin.

"Lantaran itu, sepanjang tempoh berlangsungnya program ini pihak kami sentiasa memastikan bahawa setiap aktiviti yang dilaksanakan memenuhi hasrat murni itu. 

"Di samping melaksanakan solat hajat setiap malam, tabung-tabung sambungan turut disediakan, kuliah dan tazkirah dipastikan menyentuh isu Palestin serta mengadakan satu demonstrasi aman pada 16 Januari dan kemuncak acara ialah ceramah perdana," kata Romzi sewaktu dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, kesemua ini adalah untuk menyampaikan mesej menyatakan solidariti masyarakat Islam kepada saudara kita di Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Yahudi Israel. 

Tambahnya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa JIM Hulu Selangor dan Masjid As-Salam, turut serta menggerakkan demonstrasi petang itu ialah kumpulan remaja yang menggelarkan diri mereka 'Serendah Rebel' yang dipimpin oleh Mejar (B) Mustafa Kamal. Hampir 500 penduduk menyemarakkan suasana perhimpunan.

Demonstrasi diadakan sebelum solat Jumaat telah dipimpin oleh ahli-ahli JIM Hulu Selangor iaitu Yang DiPertua, Ir. Ariffin Abd. Manaf, Kamarul Zaman dan juga Pak Ramley yang telah berucap dan menyampaikan kata-kata semangat dan maklumat kepada hadirin yang datang untuk bersolat Jumaat. 

Khutbah Jumaat pula telah disampaikan oleh Ustaz Dr. Mohd. Azhar Zailani yang merupakan Jawatan Kuasa Pusat Ulama JIM. Manakala pada sesi malam, berlangsungnya acara kemuncak ceramah perdana oleh wakil Aman Palestin Ustaz Mejar Nazdri Musman dari Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia.

"Ceramah Perdana Palestin ini merupakan siri kedua kepada siri ceramah pertama yang dibuat di Masjid An-Nur, Serendah. Ceramah malam itu bermatlamat memberi kefahaman yang jelas tentang isu Palestin agar dapat mengambil pendirian dan tindakan yang sepatutnya. 

"Majlis malam itu diteruskan dengan penyampaian cek kepada AMAN Palestin hasil daripada kutipan sumbangan program yang telah dijalankan di Serendah sebanyak RM8,000 oleh Pengerusi PERKIM Serendah, Ustaz Mohd. Fitri Abdullah. Manakala RM11,800 disampiakan oleh Nazir Masjid Bukit Sentosa, Haji Hassan Ariffin menerusi program seminggu yang dijalankan di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung, Selangor. Mejar Nazdri menerima sumbangan bagi pihak Aman Palestin.

YWM galas amanah majukan institusi, dana wakaf

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

MUNGKIN tidak ramai yang mengetahui bagaimana ibadat wakaf (harta) itu bermula. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, bahawa sahabat Rasullullah SAW, Umar bin Al-Khattab mendapat sebidang tanah di Khaibar. Lalu Umar menemui Rasulullah untuk memohon petunjuk baginda mengenai apa yang sepatutnya dilakukan terhadap tanah tersebut.

"Ya Rasulullah, saya mendapat sebidang tanah di Khaibar dan saya belum pernah mendapat harta lebih baik dari tanah di Khaibar itu. Kerana itu saya memohon petunjuk Rasullullah mengenai apa yang sepatutnya saya lakukan pada tanah itu." 

Rasulullah menjawab: "Jika mahu, tahanlah (wakafkan) tanah itu dan anda sedekahkan."

Lalu Umar sedekahkan tanah itu dan mensyaratkan bahawa tanah itu tidak boleh diwariskan. Namun hasil daripada tanah yang diwakafkan itu, Umar salurkan untuk golongan fakir, ahli keluarganya, membebaskan budak, mereka yang berjuang di jalan Allah (fi sabillah), mereka yang kehabisan bekal dalam perjalanan serta para tetamu.

Sumber-sumber menyebut bahwa wakaf Umar itu adalah wakaf pertama dalam sejarah Islam. Namun jangankan dari aspek sejarah, ibadat wakaf itu sendiri pada keseluruhannya jika dilihat pada konteks hari ini, ia masih begitu asing di kalangan umat Islam itu sendiri. Walaupun kedengarannya agak popular tetapi pemahaman umat Islam terhad wakaf itu kepada tanah atau lebih tepat lagi sebidang tanah yang dikenali Tanah Perkuburan Islam!

Sedangkan walaupun ibadat ini dihukumkan harus dalam Islam tetapi ia tidak menjadi alasan kepada umat Islam supaya tidak mempunyai sebarang 'saham' atau 'pegangan' dalam ibadat wakaf. Sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (ali-'Imran: 92).

Malah sabda Rasulullah SAW: Apabila mati seorang anak Adam, terputus amal perbuatannya kecuali daripada tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dimanfaatkan dan doa serta amal anak yang soleh. (riwayat Bukhari)

Sesetengah ulama menafsirkan yang dimaksudkan dengan sedekah jariah di sini sebagai wakaf, bukan wasiat memanfaatkan harta. Imam Nawawi misalnya berkata, antara kesimpulan penting dalam hadis ini sebagai dasar sahnya wakaf dalam Islam.

Dari aspek lughah (bahasa), perkataan wakaf berasal dari perkataan Arab, wakafa yang bererti menahan atau berhenti. Sementara daripada istilah syarak, wakaf didefinisikan sebagai menahan sesuatu benda atau harta yang suci dan halal bentuk zatnya supaya digunakan untuk tujuan kebaikan dan mendapat manfaat daripadanya. Atau apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya (ain).

Bagi sesetengah negara, institusi wakaf dianggap satu mekanisme paling penting bagi menjana pendapatan umat Islam. Ini termasuklah penubuhan Kementerian Wakaf di beberapa buah negara Islam seperti Libya dan Kuwait. Sehinggalah di negara jiran terdekat, Singapura institusi wakaf di sana dilihat lebih ke hadapan berbanding Malaysia. 

Negara ini pada dasarnya telah menginstitusikan wakaf itu di bawah setiap pentadbiran Islam negeri. Begitu, masih tidak ada mana-mana institusi atau entiti kebangsaan yang berfungsi sebagai alternatif atau wakil untuk mengelolakan dana-dana wakaf tersebut selain untuk tujuan rekod dan penyelesaian urusan wakaf, seperti yang dilakukan oleh Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Sehinggalah pada 23 Julai 2008, satu badan amanah yang dikenali sebagai Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) atau Malaysian Awkaf Foundation ditubuhkan di bawah pentadbiran atau pengendalian Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Perdana Menteri (JPM). 

Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Azri Ahmad, berkata, penubuhan yayasan ini menggalas pelbagai tanggungjawab dan amanah bagi memajukan institusi wakaf dan dana-dana wakaf yang ada di negara ini.

Ini sebagaimana yang menjadi kebimbangan Menteri di JPM, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau mendedahkan terdapat tanah seluas 9,907 hektar yang berstatus wakaf bernilai RM1.2 bilion di seluruh negara. Ada sebahagian daripadanya dalam keadaan terbiar dan tidak dimajukan.

Menurut Azri, tanah-tanah wakaf tersebut terdiri daripada wakaf am seluas 2,186 hektar dan wakaf khas yang seluas 7,719 hektar.

Walaupun sebahagian daripada tanah-tanah tersebut terdiri tanah perkuburan dan masjid, masih terdapat tanah-tanah lain yang mempunyai potensi untuk dibangunkan secara komersial untuk memberi faedah kepada umat Islam.

"Jumlah sebenar tanah wakaf mungkin lebih daripada jumlah yang tercatat apabila ada kalangan umat Islam di negara ini meniatkan tanah mereka untuk tujuan wakaf. Namun mungkin perkara ini tidak direkodkan dengan baik dan tepat. 

"Sekadar bercerita di kalangan ahli keluarga dan mereka pula tidak mengambil tindakan untuk tujuan rekod menyebabkan harta wakaf di seluruh negara tidak dapat ditentukan jumlahnya dengan tepat," katanya. 

Namun seperti yang ditegaskan oleh Azri, bahawa wakaf diiktiraf sebagai satu instrumen penting yang mampu secara ampuh untuk menjana dan memperbaiki kedudukan atau status ekonomi dan sosial umat Islam.

"Melalui wakaf tidak ada had dan sempadan, kita boleh melakukan apa sahaja daripada harta dan dana wakaf itu bagi memajukan umat Islam. Sekalipun sesetengah wakaf telah ditentukan untuk tujuan pembinaan masjid misalnya, tetapi kawasan yang diberi itu agak luas. 

"Jadi, mungkin selain dari masjid, sebahagian lain daripada tanah yang didapati mempunyai kedudukan yang strategik itu boleh dibangunkan termasuk untuk tujuan komersial. Ini dikenali sebagai Wakaf Pemimpin, yang zon kan kawasan untuk tujuan tertentu," katanya.

YWM menurut Azri lagi sama sekali tidak bertujuan bertindih dengan mana-mana organisasi lain bagi menjana sumber ekonomi melalui wakaf malahan yayasan ini dapat memastikan masyarakat terpinggir dan miskin di negara ini terbela. 

"Dengan beroperasi di Precint 15, Putrajaya serta komitmen pegawai dan kakitangan, YWM bukan entiti yang mengambil untung dalam apa juga projek yang bakal dilaksanakan namun akan menjadi satu tabung sosial yang unggul di negara ini," yakinnya.

Malah kata Azri, YWM turut berasa bertanggungjawab dan memikul amanah apabila melalui rekod agensi Amanah Raya Berhad yang mendapati terdapat nilai hartanah dan jumlah wang yang tidak dituntut yang kini mencecah sehingga RM40 bilion disebabkan isu pewaris yang tidak dapat diselesaikan daripada semua kaum di negara ini. 

Daripada jumlah itu sebanyak RM38 bilion adalah hartanah milik orang Melayu di negara ini. 

"Masalah seperti ini tidak wajar berlaku kerana ia begitu merugikan. Jadi, tidak salah untuk kita mengadakan sebarang projek yang bersifat kontemporari atau tidak kekal, setidak-tidaknya, kita dapat berbudi kepada hartanah yang dituntut itu," kata Azri.

Lantaran di bawah Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK-9) kerajaan melalui Jawhar telah memperuntukkan RM256.5 juta bagi membangunkan 27 projek pembangunan di seluruh negara di bawah Program Pembangunan Harta Wakaf yang melibatkan tanah seluas 70.85 hektar (mewakili 0.72 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah wakaf). 

"Ketika ini tersenarai sebanyak 20 projek yang hampir kesemuanya di peringkat perlaksanaan dan berjalan dengan lancar sebagaimana yang dirancangkan," katanya. 

Terdapat pelbagai jenis projek yang terlibat. Ini termasuklah pembinaan unit-unit perumahan kos sederhana rendah, kompleks-kompleks pendidikan, lot-lot kedai dan komersial, asrama anak yatim dan pusat perlindungan wanita, hotel-hotel wakaf dan sebagainya lagi.

"Semua projek ini sedang berjalan lancar dan dijangka apabila kesemuanya siap, ia tidak sahaja menjadi prasarana baru negara tetapi menjadi model supaya lebih banyak projek-projek wakaf seperti ini akan dilaksanakan di negara ini," katanya.

Begitupun dengan penubuhan YWM, akan memberi satu senario baru apabila mereka akan memperkenalkan apa yang dikenali sebagai Skim Wakaf Tunai YWM yang didefinisikan sebagai berwakaf menggunakan wang tunai sebagai harta yang diberi oleh maukuf oleh pewakaf (wakif) kepada satu tabung amanah yang diuruskan untuk menguruskan wakaf ini (muttawali).

"Dengan cara ini Wakaf Tunai membolehkan maukuf dikumpul daripada bilangan wakif yang ramai untuk mendapatkan dana wang tunai yang besar supaya dapat digunakan ke arah memberi manfaat kepada penerima wakaf yang disasarkan (maukuf alaih)," kata Azri.

Menurutnya, Wakaf Tunai membolehkan terutamanya umat Islam tanpa mengira latar belakang ekonomi untuk mampu melakukan amalan wakaf ini tanpa perlu menunggu mempunyai harta-harta kekal seperti tanah atau bangunan untuk tujuan wakaf.

"Walaupun mungkin ada perdebatan mengenainya, namun amalan ini bukan baru," katanya.

Dalam buku yang ditulis oleh Dr. Murat Cizakca yang berjudul, A History of Philantrophic Foundation: The Islamic World From The Seventh Century To The Present yang menyatakan bahawa Wakaf Tunai telah dipraktikkan sejak awal abad kedua Hijrah di mana Imam Az Zuhri (wafat pada 124H), iaitu salah seorang ulama terkemuka dan peletak dasar tadwin al Hadis, memfatwakan bahawa wakaf dinar dan dirham dibolehkan untuk pembangunan prasarana dakwah, sosial dan pendidikan umat Islam. 

Menurut Dr. Murat lagi, mulai penghujung abad ke 15 hingga abad ke 18, Wakaf Tunai berkembang dengan pesat di Turki terutama semasa zaman Uthmaniah apabila amalan wakaf tunai telah berjaya meringankan perbelanjaan kerajaan dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan sebagainya kepada masyarakat. 

"Penerimaan dan penglibatan masyarakat dalam wakaf tunai membantu empayar Turki berkembang kerana dana wakaf tunai itu telah digunakan sebagai pelengkap (complimentary) kepada usaha-usaha pembangunan oleh kerajaan," katanya. 

Namun di Singapura, wakaf tunai lebih ketara dijayakan dan sebagaimana kejayaan di Turki sejak diperkenalkan wakaf tersebut maka kejayaan yang sama dicipta oleh masyarakat Islam di negara jiran yang diperintah oleh pemerintah yang sekular itu.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berjaya melaksanakan kutipan kira-kira S$6 juta dolar setahun melalui potongan gaji warga-warga Islam di negara itu, iaitu seramai 250,000 pencarum daripada minimum S$2 dolar sehingga semaksimum S$11 sebulan.

Hasilnya seperti yang kita lihat sekarang, umat Islam Singapura tidak berhalangan langsung untuk mengamalkan ajaran agama itu malah mempunyai prasarana yang cukup lengkap termasuk masjid, sekolah dan pusat komuniti yang begitu aktif dan banyak memberikan sumbangan kepada kehidupan berkualiti masyarakat Islam di negara berkenaan. 

"Dengan mengambil contoh-contoh kejayaan wakaf tunai ini, Malaysia juga tidak mahu ketinggalan dan YWM bertanggungjawab untuk memberi tumpuan perlaksanaannya bagi memastikan wakaf ini benar-benar menjadi satu instrumen penting bagi membangunkan ummah," katanya.

YWM boleh dihubungi di talian 03-8883 7400.

Monday, January 26, 2009

Kewangan Islam kalis krisis

Oleh MOHD. RADZI MOHD ZIN 

SISTEM perbankan Islam yang mula diperkenalkan pada awal tahun 1980-an terbukti mendapat sambutan daripada masyarakat. Walaupun bermula dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), permintaan masyarakat terhadap perbankan Islam membuatkan bank-bank konvensional turut menawarkan perkhidmatan perbankan Islam.

Berdasarkan pertambahan peratusan pemilihan ekuiti umat Islam yang secara konsisten melebihi 16 peratus hanya selepas 1985 iaitu dua tahun selepas penubuhan BIMB, Industri Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSI) berhak mendapat penghargaan sebagai salah satu pemangkin kepada trend yang menggalakkan itu.

Sememangnya, hidup dipenuhi kekayaan dan kedudukan tinggi dalam masyarakat memang dihajati oleh kita semua. Islam pun tidak melarang umatnya berusaha dengan jalan yang betul mencari rezeki dan kekayaan untuk keselesaan hidup di dunia.

Namun, pemilikan kekayaan adalah satu bentuk ujian Allah terhadap hamba-Nya. Ini bertepatan dengan tugas kita sebagai hamba-Nya iaitu pemegang amanah yang mesti cuba sebaik mungkin mengelakkan diri daripada sebarang penyalahgunaan.

Dalam hal ini, Imam al-Ghazali menyebut, "Kekayaan itu umpama ular yang membawa bersamanya bisa dan penawar, bahaya dan manfaat". Justeru, sebagai umat Islam yang beriman kita seharusnya memastikan bahawa segala bentuk kekayaan itu tidak melalaikan daripada menyembah Allah.

Ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah kepada-Ku. (az-Zariyaat: 56)

Salah satu instrumen penting dalam kekayaan adalah sistem kewangan. Ia berfungsi sebagai medium memindahkan dana daripada unit ekonomi yang mempunyai lebihan tabungan yang kemudiannya disalurkan semula ke unit ekonomi yang mempunyai defisit tabungan.

Pengarah Urusan BIMB, Datuk Zukri Samat berkata, selain itu, sistem kewangan Islam juga adalah sebagai konduit dalam pembentukan, pemeliharaan dan pengagihan kekayaan.

Katanya, meskipun IFSI tidak kebal sepenuhnya daripada kemerosotan atau krisis kewangan tetapi terbukti ia lebih berdaya tahan semasa krisis.

"Malahan, kewangan Islam yang mengikut prinsip dan peraturan syariah diperkukuh dengan penstabil intrinsik dan mekanisme penyerap kejutan terbina dalaman yang membantu meningkatkan kekukuhan dan kestabilan sistem kewangan secara keseluruhan," katanya

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja 'Peranan Institusi Kewangan Islam Dalam Meningkatkan Pemilikan Kekayaan Ummah: Satu Gagasan dan Cabaran Pelaksanaan' pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kongres selama empat hari bermula 12 Januari itu adalah anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Majlis Perundingan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Perdana Menteri. 

Menurut Zukri, empat nilai utama iaitu rakan kongsi, etika, hubungan terus dengan ekonomi sebenar dan tadbir urus melindungi sistem kewangan Islam daripada pendedahan berlebihan terhadap risiko.

Rakan kongsi adalah perkongsian risiko dan ganjaran atau kontrak berdasar ekuiti. Etika pula adalah pengharaman maisir (judi dan spekulias), riba dan zulm (penindasan) serta amalan yang tidak beretika seperti menyorok barang dan monopoli. 

Hubungan terus dengan ekonomi sebenar di mana semua transaksi berdasarkan aktiviti ekonomi sebenar, larangan gharar (kesamaran atau penipuan). Tadbir urus pula adalah ketelusan dan pendedahan yang lebih jelas serta akauntabiliti yang lebih mantap. 

Zukri menambah, bagi membolehkan rakyat Malaysia khususnya umat Islam menjana dan mengumpul kekayaan, menjadi kemestian untuk memastikan mereka mempunyai apa yang diperlukan untuk hidup dengan selesa terlebih dahulu.

Lebih tepat lagi, katanya, untuk mendapatkan pendapatan yang mencukupi bagi keperluan asas yang minimum untuk isi rumah termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan.

"Untuk itu adalah penting bagi kita semua mengkaji semua struktur gaji dan pampasan ke arah sistem saraan yang menitikberatkan prestasi dan ditanda aras mengikut amalan industri.

"Ia mestilah dalam lingkungan rangka kerja merealisasikan matlamat sosial negara dan memastikan pengagihan kemakmuran ekonomi negara yang lebih adil," jelasnya.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Prof. Madya Dr. Zuriah Abdul Rahman pula berkata, falsafah dan etika Islam dalam setiap hal adalah bertunjangkan konsep tauhid.

Katanya, ini bermakna semua aset yang terkandung di muka bumi ini adalah kepunyaan Allah. Justeru tidak ada ruang untuk melakukan kerosakan, tingkah laku yang merosakkan atau perkara yang bertentangan dengan Islam.

"Jangan kita berputus harap dengan bantuan Allah dan jangan lupa bahawa Allah itu Amat Mengetahui segala yang kita buat sama ada secara terang-terangan atau tersembunyi," jelas Timbalan Pengarah Siswazah, Sekolah Perniagaan Fakulti Pengurusan Peniagaan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam di Selangor ini.

Dalam bab perlindungan kekayaan pula, Dr. Zuriah berkata, Islam menggariskan konsep tawakal iaitu selepas berusaha dan berikhtiar, ia diserahkan kepada Allah.

Risiko

Usaha itu, katanya, perlu melibatkan dua kategori iaitu kawalan risiko seperti pengurangan risiko pendapatan dan harta.


Risiko kewangan pula adalah individu atau syarikat menyediakan dana untuk membayar kerugian atau pampasan kepada mereka yang hilang pendapatan atau harta disebabkan sebarang bahaya seperti bencana alam atau memindahkan risiko keada pihak lain yang boleh membiayai kerugian tersebut.

Bagi tujuan itu, Islam menyediakan sistem takaful sebagai instrumen membantu muslim menjaga harta semasa hidup atau pun untuk kegunaan ahli keluarga selepas pendeposit meninggal dunia.

"Skim takaful menggalakkan penyimpannya melabur dengan harapan mendapat keuntungan di mana pada masa yang sama menyumbang kepada tabung khas berasaskan konsep tabarru'," jelasnya.

Sementara itu, Dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, institusi kewangan Islam tidak terhad kepada bank sahaja.

Katanya, ada beberapa institusi kewangan lain seperti agensi pertubuhan zakat, wakaf dan Baitulmal yang amat perlu dikembangkan terutama dalam keadaan ekonomi yang gawat waktu ini.

"Institusi zakat misalnya dapat diperbaiki dengan beberapa kaedah seperti menggalakkan orang ramai membayar zakat, ketelusan dalam pengagihan wang zakat dan mempelbagaikan cara agihan contohnya melalui tajaan pendidikan rakyat miskin di sekolah-sekolah," katanya.

Menurut Dr. Ahamed Kameel lagi, institusi wakaf yang seperti diabaikan perlu dikaji semula bagi membiayai misalnya sistem persekolahan, universiti, hospital dan sebagainya.

"Wangnya juga boleh dimanfaatkan bagi membiayai pendidikan golongan miskin, kajian dan sebagainya," tambah beliau.

Dr. Ahamed Kameel berkata, Baitulmal juga berperanan besar dalam mengurus sistem kewangan Islam. Dalam ekonomi dinar ia boleh memainkan peranan sebagai minter atau gold custodian. Dinar emas akan menjaga serta mempertahankan kekayaan ummah.

"Pada saat ini, kita seharusnya mengakui gagasan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang cadangkan penggunaan dinar emas khususnya bagi urusan perniagaan antarabangsa.

"Malaysia seharusnya menjual hasil minyak dan petroleum serta lain-lain barangan eksportnya dengan tukaran nilai emas," jelasnya.

Debat IKIM menyaksikan saingan sengit UM, USIM

Oleh AZMI ABDUL MALEK


SETELAH bertikam lidah sehingga ke peringkat akhir perdebatan, Universiti Malaya (UM) sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila mengulangi kejayaannya menjuarai Pertandingan Akhir Debat Kefahaman Islam Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Dewan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kemenangan itu sekali gus mengekang cita-cita Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil alih tempatnya dalam pertandingan akhir debat berkenaan.

Hadiah 

Pasukan UM yang diwakili Azri Zahier Azmi, Nur Izzati Wan Hahapi, Mohd. Zulfadhli Khairuddin dan Ali Asyraf Mohamed menerima hadiah piala pusingan, wang tunai RM15,000 dan geran RM10,000 untuk kelab debat dan buku terbitan IKIM.

Pasukan USIM yang diwakili Ummu Umairah Azahari, Mohd. Zaini Othman, Mohd. Ikhwan Mohd. Roselli dan Mohd. Ridhuwan Remly pula menerima hadiah wang tunai RM10,000 beserta buku terbitan IKIM.

Pertandingan itu dianggap sengit apabila pasukan UM selaku pencadang yang membahaskan tajuk Keganasan Dunia Akibat Salah Tafsir Tentang Jihad hanya memperoleh markah sebanyak 67.7 peratus manakala USIM (67.4 peratus).

Bercadang

Ketika berucap di majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah, Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, IKIM bercadang memperluaskan pertandingan debat antara institusi pengajian tinggi yang dianjurkan sejak enam tahun lalu ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pertandingan tahun ini disertai 16 IPT dari seluruh tanah air yang menunjukkan ia menarik perhatian penuntut terbabit.

Beliau amat berpuas hati dengan kualiti persembahan pendebat yang mengemukakan hujah dengan baik, teratur dan berhemah.

Beliau berkata, pendebat terbabit bakal menjadi pemimpin masa depan negara dan mungkin sebahagiannya akan menjadi ahli parlimen.

Pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki akan membantu mereka menjadi ahli parlimen yang baik.

Peringkat antarabangsa

Menurutnya, IKIM akan melebarkan sayap pertandingan itu ke peringkat antarabangsa supaya penuntut IPT tempatan berasa lebih tercabar.

"Cabaran ini membolehkan mereka sentiasa memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kualiti persembahan," katanya.

Saranannya, jika dipersetujui lembaga pengarah, cadangan itu dapat direalisasikan pada tahun depan.

Beliau berpuas hati cadangannya tahun lalu supaya lebih ramai peserta wanita tahun ini dilaksanakan di samping memperkenalkan geran wang tunai RM10,000 bagi kelab debat IPT yang menjuarai turut dapat dilaksanakan termasuk tambahan hadiah pendebat terbaik daripada RM1,000 kepada RM2,000.

Masjid Cina milik semua orang Islam

Oleh ZUARIDA MOHYIN

HARI ini imej Islam menjadi tercalar disebabkan oleh persepsi orang bukan Islam terhadap Islam amat sempit. Gambaran mereka terhadap Islam hanya berkisar isu-isu orang Melayu, Arab, keganasan dan pelbagai label negatif. 

Hal ini sedikit sebanyak turut mempengaruhi pola perkembangan dakwah Islamiah di kalangan bukan Islam, terutamanya orang Cina di negara ini yang ketara amat perlahan berbanding negara-negara lain di dunia. 

Sungguhpun Malaysia sudah merdeka lebih 50 tahun, namun orang Cina yang memeluk Islam tidak sampai satu peratus. Hari ini penduduk Cina di Malaysia berjumlah 6.5 juta - ini bermakna orang Cina yang memeluk Islam hanya sekitar 60,000 orang. 

Berbeza di negeri bukan Islam, agama Islam mendapat sambutan yang begitu hebat. Tetapi kenapa dalam negara Islam sendiri, agama Islam seolah-olah kelihatan tidak mendapat tempat dan perkembangannya amat perlahan. Di manakah silap dan salahnya? Kajian yang serius perlu dilakukan. 

Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah yang telah lama berkecimpung dalam dunia dakwah terutama kepada kaum Cina bukan Islam, menegaskan bahawa cara kita 'menjual' Islam hari ini amat bersifat etnik atau kemelayuan atau kearaban. 

Lantaran itu, saran beliau, sudah sampai masanya untuk dipecahkan tembok ini dengan membukakan minda kita agar dapat menjual Islam dalam konteks yang lebih luas dan global. 

"Caranya tidak lain dan tidak bukan, marilah kita mulakannya dengan membina sebuah masjid berseni bina Cina di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur. Saya yakin kita semua akan dapat lihat banyak perubahan, terutamanya perkembangan syiar Islam.

"Penubuhan masjid Cina Muslim ini membolehkan usaha mendekatkan golongan bukan Islam ini terhadap Islam. Selain menyelesaikan kes-kes lain yang membabitkan golongan Cina Muslim seperti kes murtad yang berpunca daripada ketiadaan pemantauan serta penjagaan kebajikan daripada pihak bertanggungjawab. 

"Kewujudan masjid berseni bina Cina yang turut berfungsi sebagai pusat aktiviti dakwah, sudah tentu dapat menyelesaikan banyak permasalahan dalam usaha merealisasikan dakwah Islamiah, terutama di kawasan bandar yang majoritinya dihuni oleh masyarakat Cina," kata Dr. Mohd. Ridhuan akan kepentingan disegerakan pembinaan masjid Cina ini dan kebaikan yang bakal diperoleh. 

Menurutnya lagi, idea penubuhan masjid berseni bina Cina ini telah diutarakan sejak Macma ditubuhkan pada 1994. Namun, hasrat ini mula disuarakan pada 1996 dan menjadi semakin berkumandang pada 2000 hingga sekarang. 

"Kami telah menemui menteri-menteri yang menjaga hal-ehwal Islam untuk merealisasikan hasrat tersebut sejak sekian lama," katanya semasa diminta mengulas usaha pihaknya merealisasikan pembinaan masjid Cina di negara ini.

Mohd. Ridhuan bersyukur usaha berterusan itu akhirnya mendapat respons positif serta sokongan penuh daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi. 

Ini kerana kata Mohd. Ridhuan, menteri itu bukan sekadar memahami tetapi melihat hasrat persatuan yang mewakili komuniti Cina Muslim Malaysia dari perspektif yang luas serta demi perkembangan dakwah, waima beliau bukan berlatar belakangkan pengajian agama sepenuhnya.

Ditambah pula sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar usaha ini disegerakan. Respons positif diperoleh rentetan daripada surat yang telah diajukan kepada Abdullah pada 14 Ogos lalu. Seterusnya diikuti dengan beberapa perbincangan dan pertemuan yang masih berterusan sehingga kini.

Lantaran itu, Mohd. Ridhuan menyakini kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemimpin negara itu bakal menamatkan penantian yang selama ini diharapkan komuniti Cina Muslim khasnya dan umat Islam di Malaysia. 

"Setakat ini perbincangan tentang tapak pembinaan di Kuala Lumpur sedang diadakan. Sudah tentu kami mahukan tempat yang strategik di kawasan majoriti orang Cina. Contohnya, di tapak bekas Penjara Pudu. 

"Saya fikir tapak ini amat strategik. Jika berjaya direalisasikan, saya yakin perkembangan Islam akan menjadi semakin hebat, selain ia akan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Yang pastinya, kawasan itu strategik untuk perkembangan dakwah.

"Lagipun, kawasan bekas tapak penjara ini, tidak sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat komersial. Keadaan di sana hari ini penuh sesak. Sekiranya kawasan tersebut dijadikan sebuah masjid berseni bina Cina, ia mampu menjana ekonomi negara dari sudut pelancongan," katanya.

Beliau juga menepis anggapan segelintir pihak yang mengatakan pembinaan masjid Cina akan memecahbelahkan masyarakat, merosakkan keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

Jelas Mohd. Ridhuan, pandangan golongan ini menunjukkan kedangkalan pemikiran dan kegagalan mereka untuk melihat Islam sebagai agama yang bersifat sejagat atau universal. 

"Mereka hanya melihat agama adalah untuk etnik tertentu sahaja. Sedangkan Islam adalah agama untuk semua manusia yang ada di muka bumi ini. Persoalan saya, adakah masjid yang berseni bina kubah adalah seni bina Islam atau seni bina Melayu. Sebenarnya, kubah adalah berasal daripada seni bina Moorish Indian, tidak ada kaitan langsung dengan seni bina Melayu atau Islam.

"Kenapa kita boleh menerima seni bina Moorish Indian, tetapi tidak seni bina Cina atau bangsa lain? Apakah selama ini kewujudan masjid India dan masjid Pakistan telah memecahbelahkan masyarakat hari ini? Perlu diingatkan bahawa seni bina atau reka bentuk yang wujud hari ini adalah ilham yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia. 

"Maknanya, seni adalah hak Allah SWT. Cuma jangan sampai kesenian itu mempunyai unsur yang bercanggah dengan hukum Allah seperti mempunyai unsur-unsur patung dan sebagainya," tambah Mohd. Ridhuan yang hanya mahu memecahkan tembok stereotaip yang telah lama terpahat dalam pemikiran orang bukan Islam bahawa Islam itu agama orang Melayu atau orang Arab. 

Menjawab persoalan kekangan yang dihadapi dalam merealisasikan hasrat murni ini, menurut Mohd. Ridhuan halangan yang paling ketara ialah untuk memecahkan tembok pemikiran lama masyarakat Malaysia termasuk orang agama. 

"Jika orang agama pun tidak boleh faham, cuba bayangkan bagaimana dengan orang biasa. Bagi kami, fungsi masjid adalah sama seperti masjid-masjid lain. Tertakluk kepada undang-undang dan peraturan-peraturan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri. Ini bermakna, tidak timbul isu, masjid ini khusus untuk orang Cina sahaja. 

"Apa yang kami mahukan ialah seni binanya sahaja yang berbentuk Cina atau berbentuk pagoda seperti mana masjid-masjid yang terdapat di negeri China. Ia bertujuan untuk mengalihkan pandangan masyarakat Cina bahawa kewujudan mereka di muka bumi ini adalah dengan ciptaan Allah. 

"Malah ada pula yang berpandangan masjid ini nanti akan dibolot oleh orang Cina sahaja, bermula daripada ahli jawatankuasanya sehinggalah penggunaan bahasa syarahan dan khutbah. Ini adalah kekeliruan yang sengaja dibuat-buat," katanya apa yang matlamat untuk mengalihkan perhatian bukan Islam Cina supaya melihat Islam dalam perspektif yang luas. 

Hakikatnya, ujarnya lagi, masalah pentadbiran dan pengurusan masjid Cina tersebut adalah isu kecil dan terpinggir. Apa yang dimahukan setakat ini hanyalah masjid yang berseni bina Cina. 

Saran Mohd. Ridhuan, umat Islam perlu sedar bahawa kejadian bangsa-bangsa ini adalah ciptaan Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kami berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.

"Ini bermakna seni bina juga adalah anugerah Allah hasil kreativiti manusia ciptaan-Nya. Justeru, ia perlu saling diraikan antara satu sama lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Inilah keindahan Islam. Lagipun, ia adalah alat dakwah yang membawa makna yang cukup besar," jelas beliau.

Mohd. Ridhuan menambah, tidak perlu syarat 40 jemaah untuk membina masjid Cina Muslim seperti yang digembar-gemburkan. Masjid Cina Muslim tidak semestinya dipunyai oleh masyarakat Cina Muslim sahaja. 

Katanya, prinsip asas masjid mesti difahami dengan jelas. Ia adalah kepunyaan semua orang Islam dan dalam konteks undang-undang, ia mesti diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Agama Negeri-Negeri. 

"Kita boleh namakan apa sahaja nama pada masjid tersebut. Apa yang dipinta ialah sebuah masjid yang mempunyai seni bina Cina yang dapat menarik perhatian orang Cina bukan Islam untuk melawati masjid tersebut bagi mendapatkan penerangan mengenai Islam, menjadi pusat pelancongan dan pusat pemudah cara.

"Ini dapat memudahkan kita menerangkan kepada mereka tentang keindahan agama Islam sebenar yang bersifat universal dan tidak hanya dilihat hanya anutan kaum tertentu sahaja," katanya.

Masjid Cina dan sejarahnya

Oleh ZUARIDA MOHYIN


DALAM kita bertelingkah berkaitan isu pembinaan masjid Cina Muslim, seorang penulis dari negara China, Yusuf Liu Bao Jun menegaskan tidak ada apa yang perlu dikhuatiri serta berkeyakinan bahawa usaha ini adalah satu langkah positif sekiranya masjid berkonsep Cina direalisasikan di Malaysia.

Penegasan penulis bebas kelahiran daerah berautonomi Muslim di Zhang Jiachuan Hui, Wilayah Gansu, China ini bersandarkan penyelidikan terbaru beliau tentang kewujudan masjid-masjid berkonsep Cina di seluruh dunia.

Kata beliau, sebenarnya ramai mungkin tidak tahu bahawa sebuah masjid tertua di Malaysia yang diberi nama Masjid Besar (Big Mosque) telah dibina oleh seorang lelaki yang berasal dari negara China iaitu Song Shilin pada 1877, sebaik beliau memeluk agama Islam dengan menggunakan nama Shamusudin Song.

Legenda mengatakan Shamusudin terdampar di Melaka setelah kapalnya karam di Selat Melaka sebelum dia diselamatkan oleh orang Melayu. Sejak itu, dia menetap di Kampung Ulu dan kemudiannya berkahwin dengan perempuan tempatan Melayu selepas mengucap syahadah.

"Pada 1880, dia menjadi kaya hasil daripada perniagaan yang diusahakan dan berhasrat membina sebuah masjid. Dikatakan juga, sebahagian daripada bahan mentah untuk pembinaan masjid itu diimport dari China dan seni reka binaan masjid itu benar-benar dipengaruhi seni bina tradisi China. 

"Fenomena seni bina berciri Cina inilah yang akhirnya tersebar ke banyak masjid di Melaka," kata Yusuf Liu yang telah menghasilkan sembilan buku dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, Melayu dan Cina.

Penulisan beliau banyak menyentuh perihal masyarakat Cina Muslim dan kebudayaan mereka.

Indonesia

Malah kata Yusuf Liu lagi, negara tetangga Malaysia seperti di Indonesia turut mempunyai beberapa masjid yang dibina oleh golongan Cina Muslim yang menetap di situ sejak pelayaran Laksamana Cheng Ho pada 1405. 

Dikatakan sumbangan orang Cina Muslim Indonesia juga agak menonjol dalam pembinaan masjid-masjid di beberapa bandar raya besar di negara itu. Menurut buku yang berjudul, Real Motherland tulisan Dardina Dardoxi, seorang ilmuwan Indonesia mengatakan terdapat tiga buah masjid yang dibina oleh orang Cina Muslim pada abad ke- 18 iaitu Masjid Juziyuam, Masjid Danparla dan Masjid Gelougute. Masjid Juziyuam dibina oleh seorang Cina Muslim bernama Tan Jin Wu dan Masjid Gelougute dibina oleh Tamien DosoSeeng pada 1785. 

"Apa yang saya ketahui di Jakarta sahaja terdapat empat masjid, antaranya Masjid Kebon Jeruk dan Masjid Lautze. Sementara di Surabaya terdapat sebuah masjid yang diberi nama Masjid Cheng Ho," jelasnya.

Malah katanya, merujuk buku Indonesia Daily (20 Mac 1990) menjelaskan Masjid Sumenapu yang terletak di Pulau Madla terbina pada 1763 oleh Liew Ping Er, seorang Cina Muslim sewaktu pemerintahan Dinasti Sumenapu. 

"Terdapat pagar agam yang bercat warna merah di Masjid Sumenapu di mana diketahui umum bahawa warna merah adalah warna kegemaran masyarakat Cina sebelum ditukar kepada warna putih dan kuning. Pun begitu, seni bina Cina masjid itu masih kekal hingga ke hari ini," kata Yusuf Liu.

Rusia

Di samping dua negara ini, beliau turut membuat penyelidikan di Rusia. Menariknya di negara blok komunis ini terdapat 40 buah masjid yang dibina oleh masyarakat Cina Muslim yang telah bermastautin di negara tersebut. Masjid-masjid ini terdapat di Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Tajikistan.

Begitu juga lawatannya ke Thailand, Aceh, Arab Saudi, Hong Kong, Brunei, Laos dan Amerika Syarikat. 

Oleh itu, Yusuf Liu berkeyakinan usaha mendirikan sebuah masjid berseni bina Cina Muslim di tapak cadangan di Kuala Lumpur akan membawa banyak manfaat. Baginya, selain menjadi pusat penyebaran dakwah, ia sekali gus berperanan sebagai tarikan pelancong ke Malaysia.

Islam memuliakan wanita

WAHAI orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (An-Nisa': 19)

Huraian

Islam mengharamkan perbuatan mewarisi perempuan seperti mewarisi barang-barang dan binatang-binatang, begitu juga Islam mengharamkan perbuatan menyusahkan dan menyakitkan perempuan untuk memudaratkan mereka, kecuali jika ia melakukan perbuatan yang keji. 

Islam memberi kebebasan kepada perempuan di dalam memilih teman hidupnya dari awal, iaitu sama ada dara atau janda , sama ada yang ditalak atau yang kematian suaminya. 

Islam juga menyeru kepada kaum lelaki supaya tidak mudah terburu-buru emosi mengambil keputusan bertindak memutuskan hubungan suami isteri sekiranya terjadi sesuatu perbalahan dan persengketaan suami isteri. 

Apabila berlaku keadaan sedemikian, suami hendaklah berusaha mengawal kemarahan dan kebencian yang memuncak. Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu amat besar pahalanya di sisi Allah SWT.

Allah SWT memerintah setiap suami menjaga kebajikan isteri masing-masing dengan baik, melayan isteri-isteri dengan penuh kemesraan dan kasih sayang, mendidik isteri dengan penuh hikmah, seterusnya memperlakukan mereka sebagaimana selayaknya seorang insan. 

Kesimpulan

Islam mengangkat martabat kaum wanita di tempat yang tinggi yang selayaknya mengikut fitrah kejadian dan penciptaan mereka oleh Allah SWT. 

Golongan suami hendaklah menghormati isteri-isteri mereka dan melayan mereka dengan penuh kemesraan dan kasih sayang.

Sesungguhnya peranan seorang isteri amat penting dalam sesebuah rumah tangga , oleh itu muliakanlah dan hormatilah kaum hawa seperti sepatutnya.

Bersatu syarat Islam gemilang

Dari Sauban ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar mengerumuni makanan. Mereka bertanya: Apakah kita sedikit pada masa itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Malah kamu ramai, tetapi kamu laksana buih air bah. Dalam pada itu hati mereka tidak ada rasa segan terhadap kamu dan dalam hati kamu sendiri tumbuh penyakit wahan. Apa yang dimaksudkan dengan penyakit watan itu wahai Rasulullah? Maksudnya ialah di dalam hati kamu bertakhta perasaan cinta dunia dan takut mati”. (riwayat Abu Daud).


Demikianlah gambaran yang berlaku pada umat Islam hari ini. Bilangan Muslim di seluruh dunia yang melebihi 1 bilion ternyata tidak menggentarkan musuh waima Israel yang kecil itu.

Contoh terbaru adalah kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin di Genting Gaza. Walaupun, rejim zionis itu dikelilingi oleh negara-negara Islam Arab, rakyat Palestin terus dizalimi tanpa pembelaan.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, SAHARUDIN ABDULLAH menemu bual Pensyarah Institut Kefahaman dan Pemikiran Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Prof. Madya Dr. Nik Mohd. Rosdi Nik Ahmad bagi mengupas isu ini.


Apakah hikmah Nabi Muhammad SAW diutus di kalangan umat Arab?

NIK ROSDI: Rasulullah adalah keturunan Nabi Ibrahim iaitu antara nabi yang bukan dalam kalangan Bani Israel. Memanglah kebanyakan nabi yang diutuskan Allah adalah dari kalangan Bani Israel.

Semasa baginda diutuskan ke muka bumi, masyarakat Arab dari segi tamadunnya adalah lebih menonjol berbanding Bani Israel. Akhirnya, mereka seolah-olah dikongkong oleh bangsa lain. Bani Israel juga hidup nomad.

Mereka juga adalah digelar bangsa kibti Firaun yang dianggap hamba atau buruh kasar. Sebab itu Firaun mengejar Nabi Musa dan Bani Israel yang keluar dari Mesir ke Laut Merah yang akhirnya menyaksikan kematian Firaun ditelan air laut.

Sebab utamanya, kerana Firaun bimbang kerja-kerja membangunkan Mesir akan terbantut jika Bani Israel tidak ada.

Pada masa yang sama, ada banyak masalah yang melanda bangsa Arab semasa zaman jahiliah. Mereka terkenal sebagai bangsa yang amat taksub kepada perkauman atau assabiah. Mereka juga suka bergaduh sesama sendiri. Pendek kata, apa yang berlaku pada Bani Israel seolah-olah ada pada bangsa Arab.

Dengan itulah, Allah mengutuskan baginda untuk menyelesaikan segala masalah. Perutusan Rasulullah SAW ke muka bumi ini seperti kita semua sedia maklum adalah sebagai rahmat ke atas sekelian alam. Ini dijelaskan menerusi firman Allah, Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya’: 107)

Bangsa Arab ini selain mempunyai kiblat dan kitab yang satu juga berbahasa yang sama. Yang peliknya, mereka tidak juga boleh bersatu menentang zionis. Di mana silapnya?

NIK ROSDI: Orang Arab ini dulunya memang suka bergaduh. Sehinggakan nabi pun dibunuh. Contohnya, Nabi Zakaria yang disembelih oleh mereka.

Nabi Muhammad SAW telah diingatkan tentang hal itu semasa baginda diutus oleh Allah. Sebab itu antara tindakan awal baginda selepas berhijrah adalah mempersaudarakan puak Muhajirin dan Ansar. Kemudian menghubungkan puak yang bertelagah di Madinah iaitu suku Bani Nadhir, Qainuqa’ dan Khuraizah.

Selepas itu, baginda membentuk Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah) sebagai undang-undang yang diterima pakai di kalangan penduduk di sana.

Membentuk perpaduan ini amat penting dalam sesebuah masyarakat dan negara. Ia adalah kunci kepada kekuatan sesebuah bangsa dan negara.

Ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (Islam), janganlah kamu berpecah belah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu...(ali-‘Imran: 103)

Sepatutnya orang Arab lebih memahami hal ini. Namun mereka nampaknya tidak membaca al-Quran dan tidak ambil manfaat daripada kitab suci itu. Ini juga menunjukkan kesan penjajahan Barat yang sangat mendalam kepada orang Arab.

Dalam kes di Palestin, difahamkan ada di kalangan anggota Fatah yang memberi maklumat lokasi pejuang Hamas kepada puak zionis. Apakah jenis orang Islam begini?

NIK ROSDI: Dalam Islam ada golongan yang munafik. Mereka ini tidak senang hati dengan Islam. Sentiasa mencari jalan memusnahkan orang Islam.

Di Palestin, Hamas adalah lebih dekat dengan Islam manakala Fatah pula bersekongkol dengan Amerika Syarikat (AS). Jadi musuh menggunakan Fatah untuk menjatuhkan Palestin.

Pertelingkahan Fatah dan Hamas adalah punca krisis di Palestin. Barangkali mereka lupa kepada firman Allah yang bermaksud: Dan taatlah kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (al-Anfaal: 46)

Inilah yang berlaku di kebanyakan negara kuasa besar. Mereka gunakan golongan munafik untuk menjatuhkan Islam. Contohnya, di Afghanistan. Apabila menghadapi serangan Rusia, puak Islam yang bertelagah bersatu tetapi apabila Rusia balik mereka bergaduh semula.

Kemudiannya, muncul kumpulan Taliban yang menghadapi saingan daripada Pakatan Utara. Akhirnya, AS gunakan Pakatan Utara untuk menjatuhkan Afghanistan.

Islam menetapkan ketaatan kepada Allah dan rasul itu sebagai mutlak. Walhal ketaatan kepad a pemimpin itu selagi mana mereka mentaati Allah dan rasul-Nya.

Janji Israel memang tidak boleh dipercayai. Justeru apakah persiapan yang perlu ada di kalangan negara Islam bagi menghadapi puak zionis ini?

NIK ROSDI: Sifat orang Yahudi ini telah dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”...(al-Baqarah: 120)

Apa yang malangnya, itulah tabiat umat Islam. Mereka suka menjadikan Yahudi dan Nasrani sebagai kawan sebaliknya Muslim itu sebagai lawan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya kamu pasti akan mengikut jejak langkah orang-orang yang sebelum kamu – sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan jika mereka memasuki ke dalam lubang dhab (sejenis biawak di padang pasir), pasti kamu akan mengikut mereka. Kami (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani (yang engkau maksudkan)? Jawab baginda SAW: Maka siapakah lagi (kalau bukan mereka)? (riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk itu, kita tidak ada jalan lain selain kembali bersatu mengukuhkan perpaduan. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu memainkan peranan penting dalam dalam hal ini.

Kita perlu mencontohi tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas hijrah baginda ke Madinah.

Seterusnya, golongan ulama dan umarak (pemerintah) perlu digabung jalinkan. Sebabnya kedua-dua pihak mempunyai pengaruh dalam masyarakat.

Membiarkan perpecahan antara kedua-duanya adalah antara faktor kejatuhan tamadun Yunani Greek. Ia berlaku apabila pemerintah memberi keutamaan kepada golongan Solon dan mengabaikan golongan Socrates (ahli falsafah). Akhirnya puak Socrates bangun memberontak dan membawa kepada tamatnya era kegemilangan tamadun Yunani.

Amir Syakib Arsalan dalam bukunya Mengapa Bukan Islam alami kemajuan dan kenapa Umat Islam alami kemunduran antara lain menjelaskan umat Islam tidak pandai membangunkan potensi yang ada seperti minyak untuk kemajuan umat.

Yang kedua, umat Islam cintakan permusuhan. Apabila hadapi musuh (bukan Islam) mereka bersatu tetapi selepas itu mereka kembali bertelagah.

Ayat Kursi hindari perbuatan pukau dan sihir

ALLAH, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tidak ada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu - Nya dan kekuasaan - Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya). (al-Baqarah: 255)

Keterangan ayat

Diriwayatkan dalam Sahih Muslim bahawa Nabi SAW pernah memberitahu kepada Ubai bin Ka'ab bahawa ayat yang paling agung dalam al-Quran adalah ayat al-Kursi.

Khasiat dan kaifiat beramal

Ayat al -Kursi juga mempunyai kelebihan untuk menghadapi gangguan syaitan seperti yang disebutkan dalam hadis sahih. Ayat ini patut menjadi amalan dengan membacanya pada setiap waktu terutama apabila berhadapan dengan kebarangkalian diganggu jin dan syaitan. Kisah ini masyhur tentang Abu Hurairah r.a. menangkap syaitan ada dalam kedua kitab hadis Sahih al- Bukhari dan Sahih Muslim.

Selain itu, Nabi SAW juga menganjurkan agar membaca ayat ini sebelum tidur supaya terpelihara daripada diganggu syaitan hingga ke waktu Subuh.

Nabi Ibrahim bukan Yahudi

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


SEBAGAI kaum yang licik, Yahudi gemar mengelirukan sejarah supaya segala kebenaran kononnya memihak kepada mereka. Mereka turut menjadikan sirah para nabi sebagai mangsa penipuan dan memutarbelitkan fakta. Sebagaimana pelbagai tanggapan yang mereka lemparkan terhadap Nabi Muhammad SAW, sejarah Nabi Ibrahim a.s. terlebih dahulu mereka kelirukan.

Ini apabila sejarah Nabi Ibrahim yang mendapat julukan Khalil Ullah (Sahabat Allah) itu dianggap penting sebagai titik mula bagaimana mereka kononnya menjadi bangsa atau entiti terpilih oleh Allah. Dikenali sebagai Patriakh Abraham yang merupakan migran Nabi Ibrahim ke tanah air Yahudi, iaitu Canaan (atau Kanaan yang dipercayai dikenali sebagai Palestin kini) dari Ur Chaldea (Harran dipercayai terletak di Turki).

Dalam kitab Perjanjian Lama (Taurat dan Injil) kononnya diceritakan mengenai Nabi Ibrahim telah diangkat oleh Yahudi sebagai nabi mereka, telah diminta oleh Allah untuk meninggalkan tempat asal baginda (Mesopotamia Lama) menuju ke suatu tempat yang tidak pasti bagi memulakan masyarakat baru di sana.

Ketika dalam perjalanan mereka menuju ke Tanah Terpilih (Chosen Land) itu, Abram (sebelum dikenali sebagai Abraham) bersama isterinya, Siti Sarah singgah dan tinggal sementara di Harran sehinggalah mereka akhirnya tiba di Kanaan. Ini sebagaimana yang telah diwahyukan oleh Tuhan bahawa Kanaan menjadi pilihan dan anugerah buat Ibrahim yang dikatakan membawa agama Yahudi itu.

'Sejarah' ini dijadikan bukti oleh Yahudi bahawa mereka mempunyai hak terhadap bumi Palestin kerana pada asalnya nabi mereka, merupakan orang pertama yang menemui Palestin itu. Malah sanggup merampas daripada penduduk Islam Palestin dengan alasan sebagai bangsa yang terpilih, tuhan memilihkan bumi Palestin itu sebagai milik kepada Yahudi sahaja. Inilah yang cuba dilakukan oleh Yahudi itu sehingga kini.

Kekejaman selama 22 hari baru-baru ini dengan membunuh penduduk Palestin dan memusnahkan bumi Gaza adalah bukti usaha yang tidak pernah putus mereka dengan berdalilkan pada faktor 'sejarah' Nabi Ibrahim itu.

Sedangkan 'sejarah' itu ternyata antara rekaan yang paling jahat Yahudi kerana terbukti melalui ayat 67-68 dalam surah Ali 'Imran, Allah berfirman yang bermaksud: Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi menyerahkan diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia dari golongan yang musyrik. Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim adalah mereka yang mengikuti Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta orang-orang yang beriman kepada Muhammad dan Allah adalah pelindung semua mereka yang beriman.

Begitupun Nabi Ibrahim bin Aaazar (Tarih) bin Tahur bin Saruj bin Rau' bin Falij bin Aaabir bin Syalih bin Arfakhsyad bin Saam bin Nuh a.s. benar-benar Sahabat Allah apabila banyak pengorbanan dilakukan olehnya bagi menegakkan kebenaran dan menegakkan agama Allah.

Sedari Raja Namrud memerintahkan agar Ibrahim dibakar hidup-hidup dan kemuncaknya terpaksa meninggalkan Siti Hajar dan bayi mereka, Nabi Allah Ismail di sebuah lembah yang sangat tandus. Namun hikmah di sebaliknya, meninggalkan isteri dan anaknya itu dan penemuan telaga Zam Zam benar-benar membuka lembaran sejarah dengan bermulanya komuniti pertama di bumi Mekah itu.

Malah diceritakan air Zam Zam itu menyebabkan burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu. Sehingga menjadi perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang berkhemah di sekitar Mekah. Menerusi pengalaman mereka, jika terdapat burung-burung yang berterbangan di udara bermakna unggas tersebut berlegar di kawasan yang terdapat sumber air.

Setelah diperiksa mereka begitu gembira kerana terdapatnya telaga Zam Zam dan kehadiran Siti Hajar serta Nabi Ismail itu sendiri. Mereka segera berpindah dan meminta kebenaran Siti Hajar untuk menetap bersama di lembah itu. Tentu sahaja permintaan itu diterima oleh Siti Hajar kerana beliau kini mempunyai jiran-jiran setelah sekian masa hanya tinggal berdua bersama puteranya itu.

Puak Jurhum menurut buku Sirah Nabawiyyah ini hanya disebut sebagai penduduk pribumi Mekah yang terdiri daripada pelbagai kabilah. Namun dalam peristiwa penemuan telaga Zam Zam ini, generasi Jurhum yang tinggal bersama Siti Hajar merupakan generasi yang ketiga berasal kabilah dari negeri Yaman. Mereka sebelum ini hidup berpindah randah di sekitar lembah-lembah Mekah.

Sejak itu, Lembah Mekah berubah wajah dengan mempunyai kelompok komuniti yang tidak sahaja memulakan kehidupan 'bandar' malah sampai ke pengetahuan Nabi Ibrahim yang ketika itu berada di Palestin. Baginda yang kehairanan dengan perkhabaran itu lalu memutuskan untuk melihat sendiri, lebih-lebih lagi mengenangkan nasib Siti Hajar dan putera mereka yang pernah ditinggalkan di Lembah itu.

Alangkah terkejut baginda melihatkan perbezaan ketara berbanding ketika meninggalkan Siti Hajar dahulu. Malah melihatkan Nabi Ismail yang dapat membesar dengan baik menyebabkan Nabi Ibrahim menyedari Allah telah membayar nilai pengorbanan tinggi beliau setelah sanggup meninggalkan anak dan isterinya itu.

Setelah beberapa kali mengunjungi Siti Hajar dan Nabi Ismail pada suatu hari ketika si anak masih kanak-kanak atau sesetengah riwayat menyebut Ismail ketika itu sudah menginjak remaja, Nabi Ibrahim didatangi mimpi daripada Allah supaya baginda menyembelih satu-satunya anaknya itu. Walaupun mimpi itu bermakna satu perintah yang wajib dipatuhi namun sebagaimana manusia biasa yang lainnya, Nabi Ibrahim tidak dapat menyembunyikan kesedihan yang teramat sangat dengan mimpi itu.

Dikorbankan

Kelahiran Nabi Ismail merupakan putera yang diharap-harapkan oleh Nabi Ibrahim sejak berpuluh tahun lamanya dan tiba-tiba kini perlu dikorbankan di tangannya sendiri.

Namun Ibrahim perlu membuktikan bahawa cinta baginda kepada Allah perlu melebihi cinta terhadap anak, isteri, harta dan dunia ini. Sebagai nabi atau pesuruh Allah baginda perlu melakukan pengorbanan besar ini supaya dijadikan contoh teladan sebagai hamba-Nya yang taat.

Namun menyembelih anak dengan tangannya sendiri, sesungguhnya teramat berat. Lalu baginda menyuarakan kepada Ismail mengenai mimpinya itu dan tanpa diduga anaknya itu seolah-olah seperti tahu apa yang sedang berperang dalam fikiran bapanya itu.

Dipendekkan cerita, pedang yang tajam tiba-tiba bertukar tumpul ketika Nabi Ibrahim hendak menyembelih leher anaknya itu, malah Ismail bertindak menukar posisi badannya agar wajahnya tidak dilihat oleh ayahnya supaya beliau dapat disembelih kerana bimbang bapanya sebenarnya tidak sampai hati melakukan perintah dari Allah itu.

Namun sekali lagi, Nabi Ibrahim berjaya melepasi satu lagi ujian dengan Allah menukarkan Nabi Ismail kepada seekor kambing kibas sebagai menebus pengorbanan yang cuba dilakukan oleh hamba-Nya yang taat dan patuh pada suruhan Allah itu.

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat Allah yang menegaskan bahawa perintah pergorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail akan sejauh mana cinta dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Peristiwa ini kemudiannya menjadi sunah kepada setiap umat Islam supaya melakukan ibadat korban tiap kali melakukan ibadat Haji dan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Nabi Ismail kemudiannya membesar dan baginda turut mempelajari bahasa Arab dari kabilah Jurhum. Baginda kemudiannya dikahwinkan dengan seorang wanita daripada kabilah itu.

Diceritakan dalam buku ini mengenai kisah Nabi Ibrahim mengunjungi anaknya itu berikutan selepas kemangkatan isterinya Siti Hajar. Ketika sampai, Ismail tiada di rumah lalu tanpa dikenali oleh isteri Ismail, Ibrahim bertanyakan kepada menantunya mengenai kehidupan mereka. Lalu si isteri mengadu bermacam-macam kesusahan dan kesempitan hidup mereka.

Lalu ketika bertemu dengan Nabi Ismail, Nabi Ibrahim berpesan supaya anaknya itu menukar ambang pintu rumahnya itu. Ismail yang mengerti maksud bapanya itu lalu menceraikan isterinya dan berkahwin lain dengan puteri Ketua Kabilah Jurhum, Mudah bin Amru.

Pada ketika yang lain, Ibrahim yang datang semula lalu bertanya kepada menantu yang baru mengenai kehidupan mereka semasa ketiadaan Nabi Ismail. Lalu si menantu memuji Allah atas apa yang mereka miliki. Nabi Ibrahim begitu berpuas hati dan meminta Ismail supaya tidak perlu menukar ambang pintu rumahnya itu.

Ismail tersenyum kerana mengerti dan hasil perkahwinan baginda dengan isteri keduanya itu, mereka dikurniakan anak lelaki seramai 12 orang. Iaitu nama-nama seperti yang pernah disebutkan sebelum ini, Nabit atau Binalut, Qaydar, Adbail, Mibsham, Mishma, Duma, Misha, Hadah, Yatma, Yatur, Nafis dan Qaydum.

Jadilah Muslim berkualiti

Oleh NOR AIMI MOHD. TAHIR


PERUBAHAN peradaban manusia berlaku dengan begitu pantas sekali, Islam yang suatu ketika dahulu begitu gemilang dan cemerlang kini jatuh tersungkur di tangan Barat yang pada masa ini mendominasi dunia seluruhnya terutama dari segi ekonomi. 

Umat Islam dalam sejarah adalah satu umat yang kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi pada hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri selain dilabel dengan imej yang negatif atau dalam erti kata lain sebagai pengganas.

Berita mengenai keganasan, pembunuhan dan pencerobohan yang dilakukan oleh kuasa besar Barat ke atas umat Islam bukanlah perkara baru. Ia telah berlaku sejak lama dulu, sehingga ke hari ini penindasan ke atas umat Islam masih lagi berleluasa. 

Keganasan dan penindasan ke atas umat Islam di negara-negara seperti Palestin, Lubnan, Kosovo, Chechnya, Bosnia dan yang paling hampir dengan negara kita seperti Thailand berlaku begitu berleluasa tanpa pembelaan yang sewajarnya. 

Sehingga kini ini entah berapa banyak nyawa yang telah terkorban, harta yang musnah dan air mata yang tumpah membasahi bumi. Peristiwa seumpama ini sungguh mengguris jiwa umat Islam seluruhnya. 

Hari ini, ramai di kalangan pemimpin negara Islam bercakap dengan suara yang lantang menyeru agar umat Islam bersatu bagi menyelamatkan negara Islam daripada sebarang bentuk penjajahan. Namun usaha untuk merealisasikannya bukan sahaja begitu kabur, malah tidak bersungguh-sungguh serta tidak jelas dari segi matlamat dan kaedah kesatuan yang mesti dilaksanakan itu.

Ideologi

Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika sebarang bentuk ideologi yang menyesatkan seperti sekularis, komunis, sosialis dan kapitalis masih digunakan oleh pemimpin Islam itu sendiri. Sepatutnya setiap ideologi yang bertentangan dengan Islam perlu ditolak secara habis-habisan oleh seluruh umat Islam. 

Jelas jika kita lihat pada masa sekarang kesatuan Islam masih di tahap yang begitu lemah dan keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila umat Islam mengalami masalah dalaman sesama sendiri di dalam negara sendiri di samping masalah luaran dengan negara Islam yang lain. 

Negara Islam hari ini, secara umumnya mengalami kelemahan dari pelbagai segi merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Sehingga kini kesatuan dan kekuatan umat Islam secara keseluruhannya masih belum pulih. Perkara ini memang tidak dapat dinafikan lagi. Kelemahan umat Islam ini juga telah menjadikan kuasa Barat semakin berani menekan dan melakukan pelbagai penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam. 

Dalam situasi sekarang pemimpin di negara - negara Islam masih lagi gagal mencapai kata sepakat dalam menangani masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam seperti di Palestin semakin terancam. Mereka juga tidak memahami perkara awlawiyyat (keutamaan) sehingga menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam terabai. Kegagalan ini juga mengakibatkan negara Islam terpaksa tunduk kepada kehendak Barat.

Melihat kepada ancaman ke atas umat Islam hari ini, wajarkah kita sebagai saudara seagama hanya berpeluk tubuh melihat situasi yang menimpa umat Islam masa kini? Realiti yang berlaku ramai di kalangan umat Islam hanya menjadi pemerhati kepada penindasan yang berlaku terhadap Negara umat Islam lain dan tidak kurang juga yang hanya tahu mengkritik dan menghina kelemahan yang ada pada pejuang Islam yang ikhlas berjuang dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Apa yang nyata, sebenarnya kelemahan umat Islam itu sendiri yang menjadi punca kepada musibah yang berlaku, umat Islam telah dijadikan senjata utama untuk menjatuhkan umat Islam yang lain. 

Rata-rata kita mengaku sebagai umat Islam, namun setakat manakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai saudara seIslam dalam usaha untuk membantu umat Islam yang ditindas dan apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. (al-Anfaal: 73) 

Kini sudah sampai masanya umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah silapnya. Masyarakat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia. 

Para pemimpin negara Islam seharusnya bersatu dan memandang ke hadapan di samping mengatur strategi yang efektif ke arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha yang mampu pemimpin Islam lakukan adalah dengan cara memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi, ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah, persaudaraan dan persenjataan umat Islam agar segala bentuk penjajahan yang telah menzalimi, menindas dan menghina umat dapat dihindarkan.

Memboikot

Selain itu, umat Islam perlu berperanan sebagai individu pengguna yang bijak iaitu dengan cara memboikot barangan yang dikeluarkan oleh syarikat Barat yang mengaut keuntungan tersebut untuk menjatuhkan negara Islam. Walaupun usaha ini dilihat sebagai perkara yang remeh, namun jika seluruh umat Islam bersatu hati natijahnya amat besar ke arah mengurangkan sumber ekonomi Barat yang nyata tujuannya untuk membeli senjata bagi meneruskan serangan terhadap umat Islam.

Umat Islam seluruhnya juga perlu kembali kepada fitrahnya iaitu dengan kembali menghayati dan mengamalkan al-Quran dan hadis dengan sepenuhnya. Dalam dunia yang serba moden hari ini walaupun terdapat umat Islam yang kuat imannya, namun tidak kurang juga yang telah jauh terpesong daripada landasan Islam itu sendiri . 

Terdapat juga di kalangan mereka hanya Islam pada nama sahaja sedangkan segala kewajipan sebagai orang Islam tidak pernah ditunaikan malahan cara hidup mereka juga sama dengan penganut bukan Islam. 

Perkara ini perlu diambil perhatian dengan sewajarnya agar umat Islam pada hari ini dan generasi akan datang menjadi umat yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT serta mantap imannya seperti umat Islam di zaman Rasulullah SAW dan zaman para sahabat baginda.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang beriman. (al-Munafiqun: 8).

Jika perkara ini gagal ditangani di peringkat akar umbinya lagi, maka tidak mustahil suatu masa nanti umat Islam akan menjadi umat yang mundur, dihina dan diperlekeh oleh bangsa asing seperti yang terjadi kepada saudara seIslam di negara yang disebutkan sebelum ini. 

Oleh itu sebagai manusia yang dimuliakan dengan akal fikiran dan merupakan khalifah di muka bumi ini, maka jawapannya tepuk dada tanyalah iman dan tanyalah pada diri sendiri siapakah kita, apakah tujuan kita dijadikan dan ke manakah kita akan kembali suatu hari nanti. 

Apa yang kita miliki hari ini kuasa, pangkat, dan kekayaan harta benda di dunia ini merupakan pinjaman dan ujian semata-mata, maka pergunakanlah dengan sebaik-baiknya ke jalan yang diredai kerana tanpa bekalan yang secukupnya kita akan kembali kepada Allah dengan keadaan yang papa dan hina.

Friday, January 23, 2009

Konflik hubungan Islam-Yahudi

Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID
PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan, Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim)

Sejarah mencatatkan hubungan umat Islam dengan kaum Yahudi bermula setelah Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah. Hubungan ini lebih banyak bersifat politik sebab sebelum Nabi Muhammad berhijrah, di Madinah sudah terdapat orang Yahudi.
Mereka sangat berpengaruh dari segi politik dan ekonomi serta sukar untuk membezakan dengan orang Arab setempat kerana hubungan perkahwinan, pemakaian nama Arab dan juga terdapat orang Arab yang menganut agama Yahudi.
Antara suku Yahudi yang tinggal di Madinah ialah Bani Nadir, Bani Quraizah dan Bani Qainuqa. Persaingan serta permusuhan Bani Khazraj dan Bani Aus, dua suku utama asli Madinah amat menguntungkan umat Yahudi.

Untuk memelihara kerukunan dan keutuhan warga Madinah, melalui Piagam Madinah, Rasulullah SAW menyatukan mereka yang tidak hanya terdiri daripada orang Islam dengan orang Arab tetapi juga kaum Yahudi.
Dari segi politik antara Islam dan Yahudi sebenarnya tidak begitu baik kerana sejak zaman Rasulullah SAW kedua-dua umat ini sering terlibat dalam pelbagai konflik. Mereka menjalin hubungan dengan pihak yang memusuhi Rasulullah SAW seperti Abdullah bin Ubai (ketua orang Munafik). Begitu juga dengan orang Quraisy.
Konflik dengan Bani Qainuqa, Bani Nadir dan Bani Quraizah sering timbul sehingga kadang-kadang menyebabkan berlaku pertentangan secara fizikal yang menyebabkan pertumpahan darah. Bagi menghalang kegiatan dakwah mereka mengadakan sekatan ekonomi pada umat Islam, mencipta fitnah dan cuba menimbulkan kebencian antara sesama Muslim yang ada di Madinah pada waktu itu.
Ini semua merupakan lembaran hitam dalam sejarah hubungan umat Islam dan Yahudi di zaman Rasulullah SAW. Maknanya permusuhan Yahudi terhadap Islam sudah diketahui dan sudah ada sejak dahulu lagi. Sehinggalah masa mutakhir ini, mereka tidak henti-henti melakukan tipu daya dan permusuhan terhadap kaum Muslim.
Justeru perseteruan antara kaum Muslimin dan kaum Yahudi di Palestin sebenarnya bukan lagi berkaitan soal penguasaan wilayah. Pertikaian ini dilihat dari segi sejarah lebih kepada persoalan agama, akidah dan Islam. Justeru, kebiadapan dan kekejaman rejim Zionisme ke atas umat Islam di Gaza sekarang ini mengingatkan kita kembali peristiwa bersejarah pembunuhan beramai-ramai (penghapusan etnik) umat Islam Bosnia oleh Serb pada tahun 1992.
Manakala pada 1998, ribuan Muslim Kosovo dicincang oleh puak Serbia. Cita-Cita mereka adalah untuk menghapuskan agama Islam di muka bumi ini.
Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud: "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu".
Janji Allah SWT tentang kemenangan Islam ini akan tetap berlaku dan kita akan mencapai kemenangan ke atas musuh Islam. Ini ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dialah yang mengutuskan RasulNya dengan pertunjuk dan agama yang sebenar (Islam) untuk mengatasi atas seluruh agama sekaliannya meskipun orang musyrik membencinya." (Surah al-Taubah ayat 33).
Kemenangan ke atas Yahudi ini kemudian dikuatkan lagi oleh hadis daripada Abu Hurairah, yang mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kiamat tidak akan terjadi sehingga kaum Muslimin memerangi Yahudi, lalu kaum Muslimin akan membunuh mereka sampai setiap orang Yahudi bersembunyi di balik batu dan pohon, tetapi batu dan pohon itu berkata, 'Wahai Muslim, wahai hamba Allah, ada orang Yahudi di belakangku, kemarilah dan bunuhlah dia.'Kecuali (pohon) gharqad kerana ia adalah pohon Yahudi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis ini jelas bahawa peperangan yang dapat menjamin kemenangan itu ialah bila mana umat Islam benar-benar bersatu hati dalam ikatan ukhuwah Islamiah.
Mereka bersatu di bawah naungan kehambaan kepada Allah SWT sehingga mereka itu benar-benar layak mendapat gelaran Muslim sejati dan gelaran hamba Allah, bukan atas nama kebangsaan, assabiyah atau kaum tertentu seperti mana yang berlaku di Palestin hari ini.
Harapan yang dinanti-nanti ini pasti tiba masanya dan sekarang sudah bermula gelombangnya yang bergerak melalui tiupan kesedaran agama dan kebangkitan Islam diseluruh dunia. Ramalan dan firasat nubuwah telah banyak berlaku seperti pembukaan kota Konstantinople oleh Muhammad al-Fatih pada tahun 1453 M dan sesudah itu akan tiba masanya pembukaan kota Rom sebagaimana yang dijanjikan dalam hadis sahih riwayat Ahmad, al-Hakim dan lain-lain.
Menurut sesetengah ulama Islam akan kembali sekali lagi di Eropah dan untuk kali kedua ini Islam akan masuk melalui timur. Hakikat ini pasti berlaku dan akan menjadi kenyataan sama ada melalui jalan kekerasan dan peperangan atau kebijaksanaan dakwah dan pemikiran atau kerelaan dan penerimaan hati musuh itu sendiri.
Sepanjang sejarah bangsa Yahudi, selamanya menjadi buruan segenap bangsa kerana mereka memusuhi segala ajaran agama di dunia. Kita yakin dan percaya berita baik ini akan tiba di mana akhirnya situasi peperangan akan berpihak kepada umat Islam.
Dengan kemenangan ini bererti kiamat betul-betul telah dekat. Jadi terjadinya kiamat itu dikaitkan dengan tanda-tanda tersebut.
Namun demikian bukan bererti Allah SWT tidak berkuasa menegakkan kiamat tanpa tanda-tanda itu melainkan kerana adanya hikmah yang Allah kehendaki. Sekali gus,ini sebagai bukti rahmat Allah, agar hamba-Nya sentiasa berwaspada dan berhati-hati. Ini juga untuk menunjukkan kesempurnaan aturan Allah terhadap seluruh makhluk-Nya dengan kekuasaan dan kehendak-Nya.
Ini adalah berita ghaib dari Rasullullah SAW yang pasti benar dan pasti akan berlaku. Sesungguhnya Rasullullah tidak mengucapkan perkara syariat mengikut kehendaknya sendiri, apa lagi perkara-perkara ghaib yang tidak dapat beliau ketahui, melainkan ia berasal dari wahyu Allah.
Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan tiadalah diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya). (Surah An-Najm ayat 3 hingga 4)
Ada yang berpendapat peperangan yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah beberapa waktu sebelum kemunculan Dajjal dan turunnya Isa, kemudian berlanjutan hingga Dajjal muncul yang diikuti oleh Yahudi dan Isa turun lalu bergabung bersama barisan Muslimin.
Berita dalam hadis ini merupakan berita gembira bagi umat Islam. Ini merupakan janji Allah SWT yang akan memberi kemenangan kepada kaum Muslimin ke atas musuhnya Yahudi.
Hal ini pasti terjadi, berdasarkan kehendak kauniya (sunnah) Allah SWT. Namun ia bukan bererti kaum Muslimin boleh tidur lena, diam berpangku tangan menunggu datangnya kemenangan tersebut, tanpa mengambil sebab-sebab yang telah Allah tetapkan bersamaan dengan ketetapan takdir kauniya. Ini kerana Allah tidak menjadikan sesuatu, melainkan Allah tetapkan bersamanya sebabnya, sebagai suatu hikmah yang Allah kehendaki.
Sesungguhnya Allah tidak akan merubah suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah Ar-Ra'du ayat 11)
Ini bermakna Allah SWT menjadikan adanya perubahan keadaan, yang baik atau yang buruk pada sesuatu kaum dengan sebab-sebab yang diusahakan oleh kaum itu sendiri. Jika suatu kaum itu dalam keadaan baik, penuh kenikmatan, kemudian mereka melakukan sesuatu yang menyebabkan hilangnya kebaikan tersebut, maka Allah akan merubah keadaan mereka menjadi buruk dan sengsara.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah maha mendengar lagi mengetahui. (Surah Al-Anfaal ayat 53)
Oleh itu jika umat Islam ingin meraih kejayaan, kemuliaan dan kewibawaan, maka ia harus merubah diri dengan cara-cara yang sesuai dengan syariat.
Umat Islam perlu bersatu dan percayalah bahawa jika kita menolong agama Allah, nescaya ia akan menolong kita dan meneguhkan kedudukan kita. Maknanya jika kita mengamalkan apa yang diperintahkan dan menjauhi segala larangannya, sudah tentu Allah akan memenangkan kita ke atas Yahudi itu.

Perancangan tersusun capai impian hidup

Oleh SITI SHAMSIAH MOHD. SUFI
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia

SEBAGAI manusia, kita bertanggungjawab menjadikan kehidupan kita sebagai sesuatu yang bermakna dengan mewujudkan cita-cita dan matlamat unggul dan berusaha dengan bijak serta bersungguh-sungguh demi mencapainya. Tanpa menafikan bahawa makna kehidupan adalah untuk menikmati keindahan yang terdapat di dalamnya.
Apa pun yang perlu kita lakukan atau apabila kita mempunyai kehendak, membuat perancangan adalah perkara yang sangat perlu.
Contohnya, apabila seseorang berhasrat untuk melaksanakan ibadah haji, sebagai suatu tanggungjawab yang dilaksanakan oleh setiap Muslim sekiranya berkemampuan, perancangan yang tersusun perlu diwujudkan.
Bermula daripada membuat tabungan, mempelajari cara untuk melakukan ibadat itu sehinggalah kepada sekecil-kecil perkara seperti hal penjagaan harta yang ditinggal semasa berada di Tanah Suci.
Perancangan tersusun perlu dibentuk supaya matlamat-matlamat hidup dapat dicapai dengan jayanya dan ia menjadikan kehidupan yang dilalui merupakan kehidupan yang selesa dan tenang.
Sebaliknya, manusia yang mempunyai kehendak tertentu tetapi tidak membuat perancangan akan sentiasa berada dalam keadaan kelam kabut, sentiasa kekurangan wang malah mungkin hutang bertambah.
Perancangan amat berkait rapat dengan faktor masa. Merancang dengan teliti akan menjadikan masa digunakan secara optimum dan tidak berlaku pembaziran.
Sebagai seorang penganut Islam, kita seharusnya dapat menerima nasihat Hassan al-Banna yang menyatakan, tanggungjawab seorang Muslim itu lebih banyak berbanding masa yang dimilikinya.
Terdapat juga pepatah Cina yang mengatakan "masa itu emas tetapi emas tidak mampu untuk membeli masa." Kenyataan itu menunjukkan masa adalah sesuatu yang sangat berharga dalam kehidupan kita.
Begitu juga dengan pepatah Arab yang bermaksud, "sesungguhnya masa itu ibarat pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu."
Antara ciri-ciri manusia yang beriman ialah mereka tahu untuk menghargai masa. Penghargaan terhadap masa menyebabkan seseorang tidak akan melakukan perkara yang sia-sia apatah lagi perkara yang merugikan diri, agama dan masyarakatnya.
Keimanan seseorang akan melahirkan matlamat dan cita-cita yang jelas. Cita-cita, hasrat atau matlamat yang jelas tidak akan terbiar tanpa sebarang usaha. Usaha tersebut adalah himpunan tindakan bijaksana yang semuanya disusun dengan kemas mengikut kesesuaian urutan masa dan keadaan.
Dalam pada itu, setiap orang tentu memiliki matlamat yang unggul dalam tempoh tertentu yang memakan masa atau perancangan jangka panjang. Sebenarnya, perancangan jangka panjang adalah matlamat utama kepada perancangan jangka pendek seseorang.
Ibarat mereka yang bercita-cita hendak mendaki ke puncak Gunung Everest, mereka akan mempunyai kem induk (base camps) pada ketinggian tertentu untuk menjana tenaga dan membuat persediaan untuk mara ke peringkat atau ketinggian seterusnya. Barulah akhirnya mereka bermati-matian mengerah tenaga untuk menyempurnakan pendakian sebagai puncak cita-cita yang sebenar.
Perancangan seharusnya bersifat terancang sebagai suatu daya fikir membina persediaan dan pendekatan usaha secara teratur. Perancangan seharusnya bersifat lentur supaya peralatan atau sumber yang dimiliki atau yang digunakan oleh perancang boleh disesuaikan penggunaannya mengikut perubahan keadaan. Perancangan yang berkesan juga seharusnya memiliki modal yang ekonomi atau berhemat sifatnya.
Matlamat juga seharusnya jelas dan bersifat munasabah. Bagi seorang Muslim matlamat itu secara mudahnya adalah matlamat-matlamat yang selari dengan tujuan syariah. Ini kerana kehidupan di dunia ini akan berakhir dengan menuju hari akhirat; sebagai tempat dan waktu perhitungan dosa pahala manusia.
Perancangan itu juga perlu melalui aliran yang tidak bercanggah dengan agama dan norma-norma masyarakat. Syariah telah memberi garis panduan dan kaedah-kaedah tertentu yang boleh diambil dan digunakan, dan ia tidak seharusnya melangkaui lingkungan yang ditetapkan.
Untuk melaksanakan ibadah atau hendak mencari kejayaan dunia, kita tidak boleh menggunakan barangan curi, menipu, berjudi atau sepertinya.
Lima pesanan serangkai yang disampaikan Baginda Rasulullah SAW kepada umat Baginda; sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati. Ia selalu didendangkan kepada kita sejak kita mula mengenal dunia. Ini sebenarnya asas paling baik dalam kita membina sebarang perancangan untuk mencapai matlamat kehidupan yang diredai Allah SWT.
Maka antara yang kita boleh rumuskan; perancangan dan matlamat harus seiring sifatnya, iaitu bersifat syarie. Malah, tentunya Allah memberi kedudukan dan martabat yang lebih tinggi kepada usaha kita sekiranya matlamat yang hendak dicapai itu merupakan matlamat yang memberi kebaikan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada orang lain juga.
Kesimpulannya, kita harus menggunakan peluang dan juga kesempatan yang ada untuk mencipta cita-cita atau matlamat yang murni. Demi mencapai matlamat tersebut, seharusnya perancangan yang baik dan teratur dibina supaya kita tidak akan merasa kesal apabila peluang atau kemudahan sudah tiada.
Daripada satu sudut lain, jangan pula kita menyesali peluang dan kemudahan yang kita biarkan sebelum ini sehingga kekesalan tersebut menjadikan hati kita berat untuk bertindak.
Jadikan ia sempadan agar pada masa akan datang kita tidak mengulanginya, malah adalah lebih bijak sekiranya kita menjadikannya sebagai pencetus untuk kita menebus semula kesilapan masa lalu. Sambutlah kedatangan setiap hari esok dengan doa dan harapan agar Allah memberikan kita kebaikan di dunia dan di akhirat.

Menanti 'Solahuddin al-Ayyubi' kedua

Oleh W. RAHIMAH DRAMAN
(peserta misi menjejaki perjuangan Solahuddin Al-Ayyubi Aman Palestin Malaysia di Asia Barat)

SEJARAH sering kali berulang kerana sejarah tidak pernah berbohong. Cuma manusia yang selalu alpa.

Sejarah bukan untuk dibukukan dan disimpan dalam arkib atau sekadar di catat dan diulang sebut tanpa dihayati dan dijadikan iktibar serta panduan dalam kehidupan.
Tamadun yang cemerlang kerana khalifah dan umara yang berkuasa banyak belajar dengan mengambil iktibar dan teladan daripada sejarah.
Manusia yang berjaya lazimnya adalah yang mengkaji, belajar meneliti dan sentiasa ingat akan sejarah yang mencorak hidupnya.
Tetapi paling malang jika manusia buta sejarah. Buta sejarah bangsa keturunan dan asal usul boleh dimaafkan, kerana asal insan dari satu iaitu Adam dan Hawa yang Allah ciptakan dari tanah.

Tetapi jika buta sejarah agama kepercayaan, akidah anutan dan perjuangan Rasulullah SAW serta khalifah terdahulu, tidak akan ada maafnya.
Kerana itulah yang paling merugikan sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Namun itulah yang banyak berlaku kini.
Islam hanya satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah SWT. Allah berfirman yang mafhum-Nya: Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (ali-'Imran: 85).

Namun sejarah agama dan akidah yang digaris al-Quran serta al-Sunnah semakin jauh dari umat muslim. Maka itulah nilai iman terhakis dan wujud masalah dengan musibah silih berganti.
Kedajalan zionis Yahudi Israel adalah ulangan sejarah manusia nafsu syaitan yang buas, ganas dan kejam ke atas sesama insan bergelar Islam. Palestin terus bermandi darah oleh kedayusan tentera rejim zionis Yahudi Israel di bumi Palestin yang dijajah sekarang.
Jika kekejaman zionis Kristian Eropah di bumi ambia itu dapat dihapus dan dinyah oleh tokoh pejuang terbilang Islam tahun 1192, Solahuddin al-Ayyubi, apakah ada Solahuddin kedua abad ini akan muncul menghancurkan zionis Yahudi Israel yang gila darah dan sedang bermaharajalela di bumi Palestin sekarang?

Islam kini benar-benar memerlukan Solahuddin era moden untuk menyatukan ummah dan mengembalikan nilai iman serta membetulkan akidah bagi menyelamatkan Palestin dan membebaskan Al-Aqsa serta Baitul Maqdis dari penjajahan rejim Yahudi Israel.
Roh, semangat dan jiwa Solahuddin diperlukan oleh Muslim agar Islam kembali mengetuai urusan dunia agar dihormat dan ditakuti golongan kafir dan puak kufar yang bernafsu dan bertuhankan syaitan.

Sejarah kehebatan Solahuddin adalah jelmaan dari ketokohan khalifah terulung Islam di zaman Nabi dan para sahabat, Saidina Umar al-Khattab.
Kebijaksanaan dan pandangan jauh Solahuddin dalam membina semula daulah Islamiah selepas jatuhnya keagungan tamadun Islam belum ada tandingan hingga kini.
Kehebatannya menyusun strategi sama ada dalam peperangan mahu pun ketika mengurus tadbir pemerintahan dan penyatuan ummah terus jadi sejarah.
Namun keberanian dalam perjuangan, ketokohan memimpin dan kewarakan dalam melaksanakan tuntutan beragama Solahuddin tidak ditonjolkan kepada khalayak.
Solahuddin al-Ayyubi adalah nama gelaran. Nama sebenar dan nasab keturunannya ialah Solahuddin bin Najmuddin Ayub bin Syazi bin Marwan al-Kurdi.
Berasal dari puak Kurdis dari kabilah paling besar dan sangat mulia serta tinggi keimanan iaitu Rawadiyah, dari golongan al-Hazyaniah yang menetap di Duwain bersempadankan Wilayah Azerbaijan.

Dilahirkan di Tikrit, Baghdad tahun 1137 (532 Hijrah), Solahuddin yang bapanya pernah memerintah kota itu sebelum dihalau ketika dia masih kecil oleh Raja Baghdad, Sultan Majuhid Bahruz adalah pejuang dan mujahid sejati era pasca moden.
Berhijrah ke Mosul
Berhijrah ke Mosul bersama bapanya, Najmuddin Ayub, keluarganya disambut baik oleh pemerintah di situ, Imaduddin Zinki kerana jasa bapanya sewaktu memerintah Kota Baghdad.
Sejarah tokoh dan panglima terbilang selepas malapnya tamaddun Islam itu bagaimanapun tidak diuar-uarkan oleh dunia dan umat Islam sendiri.

Sebagai tokoh, pejuang, mujahid dan khalifah paling hampir kepada ummah kini, roh dan semangat Solahuddin penting untuk ditiup ke sanubari Muslim kini.
Terutama ketika rejim Yahudi Israel sedang bermaharajalela mengganas dengan membunuh serta mengusir rakyat Palestin sesuka hati sejak tahun 1948 hingga hari ini dengan bangsa Arab yang berpecah belah.
Solahuddin kedua diperlukan bagi menyatukan bangsa Arab yang berpecah dan berpuak untuk bersekongkol dengan puak kafir kini. Golongan kufar Kristian sememangnya ngeri dengan nama dan bayangan Solahuddin Al-Ayyubi.
Perang Salib yang berlarutan hampir 200 tahun (1096-1192) akan terus menghantui kuasa penjajah zionis Kristian Eropah. Sebab itulah ketokohan Solahuddin tidak dikaji dan dikembangkan oleh sarjana orientalis barat.
Malangnya, umat Islam juga turut 'menyembunyikan' kepahlawanan tokoh terbilang awal abad moden itu daripada generasi kini.

Menyatupadukan ummah (Arab) dan menegakkan Islam serta mengembalikan hak Muslim ke atas Masjid Al-Aqsa dan Baitul Maqdis daripada penaklukan zionis Kristian Eropah adalah misi dan hasil perjuangan tinggalan Solahuddin yang hanya ada dalam lipatan sejarah Islam.
Menyedari besar dan agungnya ketokohan serta sumbangan Solahuddin dalam menyatu ummah dan menegakkan Islam serta kewarakannya, Aman Palestin Malaysia (APM) tampil menyelusuri jejak-jejak perjuangannya untuk didedah kepada umum.
Dengan matlamat membangkitkan semangat Solahuddin al-Ayyubi ke jiwa generasi muda Muslim negara ini dan dunia Islam seluruhnya, APM merealisasikan usha itu melalui program Rehlah Jejak Solahuddin pada 2 hingga 11 Disember lalu.
"Kami menyahut cabaran selepas salah seorang pejuang Palestin di Jordan, Sheikh Abu Habib, menyuarakan gagasan itu dua tahun lalu.

"APM terpanggil bagi merealisasikan idea itu selepas tiada pihak tampil menyambut gagasan beliau," kata Ahli Lembaga Pengarah APM yang berpusat di Shah Alam, Selangor, Hashimah Saleh.
Menurut beliau, APM mengambil risiko kerana pentingnya ada ikon Islam tulen paling hampir dengan generasi zaman ini untuk dijadikan idola dalam perjuangan Muslim sekarang.
Hashimah antara tunggak utama APM dalam menyingkap sejarah perjuangan Solahuddin untuk didedahkan kepada umat Muslim.
Menjejaki tinggalan kubu-kubu kota tinggalan perjuangan Solahuddin dan tenteranya melalui Rehlah Jejak Salahuddin berlangsung ketika kemuncak 'jihad' dalam ibadah Haji musim 1429.
Semangat pengorbanan
Mengambil semangat pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s serta ketabahan jiwa rakyat Palestin menghadapi penyiksaan rejim zionis Yahudi Israel, 13 peserta di mana lapan adalah wanita diketuai Mohd. Nadzmaimi Mohd. Nadzir, selaku Pengarah program tersebut.
Perjalanan 10 hari meninggalkan keluarga dan kemeriahan Hari Raya korban di tanah air, melalui perjalanan hingga melewati 24 jam sehari untuk pergi dan balik ke satu-satu lokasi tinggalan Solahuddin merentasi gurun dan laluan bergunung ganang ke pendalaman Jordan dan Syria di jalan berliku yang sempit bukan perkara mudah.
Sedangkan muncung M-16, pelancar roket dan mortar di kubu kawalan yang sedia di petik picu ada di mana-mana dengan kelibat kereta kebal berkeliaran terutama di kawasan bersempadankan Palestin dan sekitar Beirut.
Adakalanya pula, makan dan minum perlu 'diqada dan jamak' sebagaimana amalan ibadah solat ketika bermusafir.
"Alhamdulillah usaha terlaksana, selepas beberapa kali tertangguh kerana melibatkan soal keselamatan selain wang ringgit dan komitmen serta sokongan telus mereka yang benar-benar prihatin," kata Hashimah.
Menyelusuri jejak perjuangan Solahuddin perlu menjelajah seluruh kawasan bersempadankan Palestin di Jordan, Syria dan Lubnan.
Ketiga-tiga negara ini adalah laluan utama dan benteng strategik tentera Solahuddin ketika menyerang dan menawan penjajahan tentera Salib untuk mengembalikan keadilan dan hak Islam ke atas Aqsa serta Baitul Maqdis..
Di Jordan sahaja terdapat tidak kurang 40 buah kubu kota (qol'ah) yang dibina semula oleh Solahuddin selepas menawannya daripada tentera Salib, di samping membina banyak lagi kubu-kubu pertahanan baru bagi mengukuhkan kekuatan Islam.
Kubu kota di banjaran pergunungan atas puncak bukit di pendalaman daerah Lattakia, Syria, di mana puncak bukit batu granit setinggi menara berkembar Petronas di belah untuk membina jalan oleh pemerintahan Bizantin era empayar Rom yang dijajah tentera Salib, turut di tawan dan dibina semula oleh tentera Solahuddin.
Kubu di pergunungan Lattakia adalah kota pertahanan terbesar (lima hektar) dalam sejarah pembinaan kubu-kubu pertahanan era tamadun Rom yang berjaya 'diislamkan' oleh Solahuddin, di samping kubu kota Karak di utara Jordan yang menghadap Laut Mati dan menjadi benteng paling hadapan untuk menawan semula Al-Aqsa dan Baitul Maqadis dari penjajahan zionis Kristian.
bukti ketinggian iman
Sebuah masjid serba lengkap dibina oleh Solahuddin di setiap kubu kota yang diduduki dan dibinanya semula adalah bukti ketinggian iman serta kewarakan beliau dalam perjuangannya.
Kehebatan seni bina kubu-kubu yang turut dilengkapi dengan pusat pentadbiran, perniagaan dan penjara itu utuh hingga kini dan tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana seni bina era moden.
Semua kubu yang ditawan dan dibina semula oleh tentera Solahuddin berada di kawasan strategi, atas bukit di banjaran pergunungan jauh ke pendalaman dan menghadap ke arah kiblat pertama Islam, Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis.
Ini kerana misi perjuangan Solahuddin semata-mata untuk membebas dan mengembalikan hak Al-Aqsa dan tanah haram Baitul Maqdis kepada pemilik mutlak, Islam.
Tentera kaum Arab dari pelbagai suku puak bangsa dan warna kulit bergabung atas kerja keras Solahuddin menyatukan mereka yang berpecah belah, bermula tahun 569 Hijrah (1173 Masihi), iaitu setelah lima tahun dia dilantik memimpin Mesir.
Mereka berjihad melalui semangat Solahuddin dan berpegang pada firman Allah SWT dalam mafhum-Nya: Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan besar (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (al-Anfaal: 41).
Bertahun-tahun Solahuddin berusaha menyatukan wilayah-wilayah Islam Arab yang berpecah ketika itu, bagi memerangi penjajahan zionis Kristian dalam tiga Perang Salib sebelum dapat mengembalikan Al-Aqsa dan Baitul Maqdis ke pangkuan Islam.
Ketika tentera salib hampir memusnahkan Masjid Al-Aqsa dengan lautan darah dari pembunuhan lebih 5,000 umat Muslim Palestin, bagai 'singa lapar' Solahuddin dan tenteranya bangkit menamatkan kedajalan zionis Kristian hampir 200 tahun itu (1096/489H - 1192/588H), pada tahun 1192.
Ribuan tentera Salib diketuai raja-raja Eropah ketika itu, (Raja Jerman, Frederick I Barbarossa, Raja Perancis, Philip II Augustus dan Raja England, Richard The Lion Heart) mati serta tunduk kepada perjanjian damai yang diputuskan oleh Solahuddin pada bulan Syaaban 588 Hijrah (1192 Masehi).
Namun kejayaan perjuangan Solahuddin yang benar-benar berlandaskan al-Quran dan al-sunnah serta apa yang menjadi amalan Rasulullah SAW tidak terus dinobatkan.
Hingga akhirnya rejim zionis Yahudi Israel pula bertindak menjajah bumi Palestin dengan membunuh serta mengusir Muslim bermula tahun 1948 hingga hari ini.
"Diharap jihad kecil AMP bagi mendedahkan perjuangan tentera Solahuddin menyelamatkan Palestin, Aqsa dan Islam ini akan menghidupkan semula roh serta semangat Solahuddin Al-Ayyubi di sanubari umat Muslim.
"Ia bagi mengembalikan semula hak Islam ke atas Aqsa dan Baitul Maqdis dari penjajahan zionis Yahudi Israel pula," kata Mohd. Nadzmaimi.
Menurutnya, semangat perjuangan yang tidak pernah kenal penat dan putus asa Solahuddin dalam jihad mempertahankan Islam inilah yang mahu dipupuk oleh APM ke jiwa setiap Muslim hari ini.

Wajib cari rezeki halal

SOALAN:Saya berumur 17 tahun dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), November ini. Ayah saya selalu bermain nombor ekor dan kadangkala dia menang. Dia juga sering melayari Internet untuk melihat sama ada dia menang atau tidak. Duit kemenangan daripada aktiviti perjudiannya itu diberikan kepada saya dan adik-adik yang lain sebagai belanja sekolah.
Saya membeli makanan keperluan harian dengan menggunakan duit tersebut dan sudah tentu ia menjadi ‘darah daging’ saya. Kemusykilan saya adakah segala ibadah dan pembelajaran saya akan diterima oleh Allah SWT kerana memandangkan saya akan menduduki peperiksaan SPM pada hujung tahun ini?

Jawapan:
Allah SWT mengharamkan perjudian serta hasilnya, perbuatan berjudi hukumnya haram, berdosa besar. Enakmen undang-undang Agama Negeri juga peruntukan hukuman ke atas penjudi. Dalam melihat pengharamannya Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (al-Maidah: 90).
Dalam hadis baginda, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada penghasilan yang haram maka nerakalah tempat yang paling utama baginya”. (riwayat al-Baihaqi, Syu’abul Iman, jld: 5, hlm: 56).

Dalam riwayat yang lain baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan memasukkan ke dalam syurga daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah tempat paling utama baginya”. (riwayat Hakim, al-Mustadrak, no:7162, jld: 4, hlm: 141).
Saudara tidak bersalah kerana saudara masih dalam penjagaan ayah dan saudara masih menuntut di sekolah menengah. Namun makanan yang bersumberkan dari perolehan yang haram akan memberi kesan yang amat negatif kepada saudara sekeluarga.
Ini kerana saya yakin makanan yang baik akan membuahkan hasil yang baik tetapi kalau sumbernya haram pasti hasilnya juga akan mendukacitakan.
Kalau sumber perolehan itu haram seperti hasil dari wang yang diperoleh dari judi, maka ia tetap haram, maka apa sahaja yang dibeli dengan menggunakan duit yang haram maka haram jugalah ia.

Maksudnya baju, seluar yang dibeli dari sumber yang haram juga menjadi haram. Haram bukan kerana sifatnya tetapi haram kerana cara barang itu diperoleh. Namun saudara tidak berdosa. Saudara belum mampu untuk memperolehnya dengan sendiri melainkan saudara berkerja, tetapi sekarang tanggungjawab saudara ialah belajar dan mencapai kejayaan dalam SPM.
Walaupun pada zahirnya sumber itu dari punca yang haram tetapi ia tidak bermaksud ibadah saudara tidak diterima Allah. Allah SWT lebih mengetahui keadaan saudara.
Ibadat saudara sah dari sudut hukumnya, kerana yang bersalah bukan saudara kerana bukan saudara yang berjudi. Bagaimanapun, sedikit sebanyak pasti ada kesan yang tidak baik, sama ada dalam pencapaian pelajaran mahupun kesempurnaan ibadat. Walaupun tidak sekarang, kelak masing-masing akan lihat kesan dari sumber yang haram.

Sebab itu sebagai ibu bapa punca rezeki mestilah di atas landasan yang halal. Jangankan yang haram, barang yang syubhat (yang ada keraguan) pun Islam suruh kita jauhi, inikan pula yang jelas keharamannya.
Namun saudara perlu mencari jalan untuk menghalang ayah saudara dari terus melakukan dosa perjudian. Kalau boleh nasihat itu disampaikan oleh orang yang lebih tua, atau saudara ayah yang ayah segani dan hormati.

Jika dibiarkan dikhuatiri akan mendatangkan kesan yang negatif dan paling ditakuti ialah mengundang kemurkaan Allah. Saya berasa sangat sedih bila ada ayah yang masih mencari rezeki dari sumber yang haram, bukannya dia tidak tahu judi itu haram, tetapi sikapnya yang tidak peduli kepada perintah Allah SWT dan tiada sifat gerun terhadap hukuman-Nya.

Tangisan Air Mata Tigris untuk Gaza

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS



“ASSALAMUALAIKUM, disampaikan sari berita utama hari ini. Serangan rejim Israel telah meragut 10 lagi nyawa penduduk awam Palestin…Tappp!” ku tekankan punat TUTUP pada alat kawalan jauh televisyen itu sekuat hatiku.
Geram, marah, sedih rasanya mendengar khabar penderitaan saudara seagama atas pencerobohan tentera Israel terhadap tanah air mereka. Sungguh tidak berhati perut mereka menyerang insan yang tidak berdosa sewenang-wenangnya.
Sebelum itu, siaran berita menunjukkan klip video bom berangkai milik Israel yang menerangi langit Gaza dengan begitu indah...Indah?!! Indah yang tidak membawa erti, malah mengundang seribu satu penderitaan buat warga Palestin yang teraniaya.
Andai saja diri ini adiwira ingin saja terbang ke sana menghapuskan para penzalim itu, getus hatiku. Ingin saja diri ini berjihad bersama-sama mereka yang berjuang mempertahankan tanah air Gaza daripada pengganas zalim itu.
Tetapi siapalah aku, negaraku sendiri telah terperosok ke dalam kancah peperangan hasil pencerobohan rakan sekutu si pengganas. Negaraku kini sudah bobrok semata-mata kerana dakwaan palsu Encik Sam bahawa kami menyimpan senjata berbahaya.
Lalu dakwaan itu dijadikan dalil oleh Encik Sam bagi menghalalkan tindakannya menceroboh negaraku, menggulingkan pemerintahan sedia ada kemudiannya memacakkan pemerintahan baru di bawah telunjuknya.
Tetapi di mana letaknya senjata pemusnah yang diuar-uarkan selama ini? Tidak pun ku dengari penemuan sedemikian rupa? Ah! Ternyata ia propaganda palsu pihak mereka bagi melindungi matlamat sebenar yakni kekayaan simpanan minyak kami.


Apakah Usaha Kita?
Berbalik kepada konflik di Palestin, aku tidak mengerti mengapa negara-negara Arab yang berjiran masih membisu, tidak berganjak malah sempat berbeza pendapat tentang tindakan yang hendak diambil termasuk soal tempat penganjuran mesyuarat tergempar.
Juga aku berasakan bahawa idea pembentukan tentera pengaman Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) itu sendiri merupakan satu idea yang bernas memandangkan itulah usaha proaktif terbaik yang dapat dilakukan oleh seluruh negara Islam secara kolektif dalam hal ini.
Buat masa ini strategi boikot barangan keluaran pihak yang tersebut memang akan memberi kesan kepada mereka. Namun, kadang kala kita tidak punyai alternatif untuk sesetengah barangan tersebut lalu membuatkan ada yang tetap membelinya.
Puncanya, kita sendiri masih tidak punyai upaya untuk mengeluarkan barangan seumpamanya yang setanding dari segi kualiti dan harga. Justeru, untuk tempoh jangka panjang, umat Islam seharusnya berusaha membina kemandirian dalam keusahawanan demi memenuhi permintaan di pasaran.


Jihad Ilmu Menjadi Keutamaan
Ketika negaraku mula-mula diceroboh dahulu memang aku terasa wujud keperluan untukku pulang dan berjihad bersama-sama untuk mempertahankan kedaulatan negaraku.
Namun setelah berbincang daripada salah seorang pensyarahku di sini, dia menasihatkan agar aku tetap kekal di sini mengharungi perjuangan dalam bidang keilmuan.
Ujarnya, perlu ada belia bangsaku yang meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi agar kelak apabila negara kembali aman maka watak tersebutlah yang seharusnya berperanan dalam memimpin negara keluar daripada kesan peperangan.
Apabila negaraku benar-benar bebas merdeka kelak, sudah tentu ia memerlukan para pakar dan cendekiawan serta pemimpin berpotensi demi memacu pembangunan negara. Maka di kala itu aku seharusnya bersedia untuk kembali menabur bakti kepada tanah air tercinta.
Justeru, perananku di sini, di sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia, adalah untuk berjihad dalam lapangan ilmu. Yakni menuntut ilmu dan kemahiran, membina keperibadian Muslim sejati serta mengasah bakat kepimpinan diri.
Jihad ilmu juga merupakan strategi terbaik yang mampu dilalui oleh kebanyakan remaja di Malaysia kerana pihak kerajaan di sini menyediakan peluang pendidikan seluas-luasnya untuk dinikmati semua.
Dengan latar pendidikan yang baik, remaja Islam akan dapat pergi lebih jauh dalam bidang yang diceburi dan seterusnya mencetuskan kemajuan buat umat Islam, bangsa dan negara.


Doaku Buat Semua
Dalam pada kita sama-sama berusaha membantu mengurangkan kesengsaraan penduduk Palestin dan membantah tindakan pencerobohan Israel, kesabaran dan doa merupakan penawar buat kita semua bagi menghadapi tempoh-tempoh sukar ini.
Solat hajat aku lakukan demi mendoakan kesejahteraan mereka. Sedekah jariah ku hulurkan buat pihak yang berusaha menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan buat mereka.
Aku doakan semoga umat Islam Palestin dikurniakan kemenangan dan keselamatan dalam perjuangan mereka menentang Israel. Semoga para pejuang yang terkorban dikurniakan pahala mati syahid buat mereka. Semoga penduduk Palestin dilindungi daripada kezaliman tentera Israel.


Aku juga doakan agar Malaysia serta umat Islam di sini akan sentiasa diberkati-Nya, dilimpahi rahmat, dan dijauhi daripada menerima ujian seperti di Iraq, Afghanistan dan Palestin. Amin.