DAN dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat; dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahala di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan. (al-Baqarah: 110)
Huraian
Amal kebajikan yang dilakukan oleh manusia adalah hasil dari Iman kepada Allah SWT. Kemuncak keimanan ialah amalan atau kewajipan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Solat merupakan kemuncak ibadah seorang hamba kepada Allah SWT.
Solat melahirkan kekuatan jiwa muslim. Solat juga merupakan kekuatan dan benteng yang mampu mencegah seseorang muslim melakukan perbuatan keji dan mungkar. Solat yang cukup syarat akan mampu melahirkan akhlak yang mulia serta memberi ketenangan jiwa.
Kewajipan mengeluarkan zakat pula boleh membantu memantapkan ekonomi umat Islam di samping membersih dan memberi keberkatan dalam pemilikan harta dan kebajikan kaum fakir miskin.
Amal soleh tersebut bukanlah sesuatu yang sia-sia di sisi Allah. Bahkan Allah membalas setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh hambanya dengan ganjaran setimpal.
Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat perlakuan hambanya yang dilakukan seikhlas jiwa.
Kesimpulan
Lakukanlah ibadah hanya kerana Allah semata-mata. Setiap amal yang dilakukan dengan ikhlas dan mengharapkan reda Allah dilihat oleh Allah dengan Rahmat-Nya. Allah SWT menjanjikan ganjaran setiap amalan yang dilakukan oleh hambanya.
lDisediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
No comments:
Post a Comment