Like Blog Ini...

Wednesday, October 29, 2008

Kepentingan masjid Cina

Oleh ZULKIFLEE BAKAR(WARTAWAN UTUSAN)

KETIKA isu perkauman dikhabarkan agak ketara diperkatakan, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru, Zulkifli Noordin melontarkan idea agar sebuah masjid Cina dibina di Kuala Lumpur dengan segala aktivitinya termasuk kuliah dan khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa Mandarin.

Cadangan Zulkifli bukanlah sesuatu yang janggal kerana di Indonesia masjid berkenaan sudah lama wujud. Ia bukan sahaja mendapat sokongan penuh pemerintah negara itu malah umat Islam di Indonesia juga berasa bangga dengan kewujudannya.

Oleh itu, mana-mana pihak tidaklah perlu prejudis terhadap cadangan membina masjid Cina di negara ini. Sebaliknya sebagai umat Islam kita harus menyambut baik cadangan tersebut kerana ia juga merupakan salah satu usaha memperkembangkan syiar Islam di negara ini.
Pembinaan masjid itu juga sudah pasti akan memberi peluang kepada kaum Cina yang bukan beragama Islam mengenali Islam dengan lebih dekat.

Ini kerana melalui khutbah Jumaat, tazkirah atau ceramah yang disampaikan, walaupun mereka tidak berada di dalam masjid namun mereka dapat mendengar mesej yang hendak disampaikan.
Melalui cara itu mereka akan memahami ajaran Islam sebenarnya dan sekali gus menyingkirkan sebarang tafsiran buruk mengenai Islam. Mereka pasti akan mendapati bahawa Islam adalah agama perpaduan dan cintakan keamanan.

Selain itu kita tidak harus menafikan bahawa selama ini wujud tafsiran bahawa masjid adalah eksklusif milik orang Melayu sehingga timbulnya persepsi bahawa apabila memeluk Islam bererti masuk Melayu. Pandangan sempit ini harus disingkirkan daripada fikiran mana-mana juga pihak terutama bukan Islam.
Jika kita mengkaji lebih mendalam isu masjid Cina ini, ia hakikatnya sudah dibangkitkan oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin pada Januari 2007.

Tetapi malangnya ketika itu cadangan berkenaan seperti mana kata Dr. Mohd. Asri mendapat tentangan daripada kelompok tertentu yang melihat Islam daripada sudut yang sempit.
Kelompok berkenaan langsung tidak mahu memikirkan bahawa pembinaan masjid itu akan mampu memartabatkan Islam di negara ini.
Justeru cadangan terbaru yang dibuat oleh Zulkifli harus dipandang serius oleh kerajaan dan usaha perlu dilakukan agar pembinaannya dapat disegerakan.

''Hari ini, masih kelihatan prejudis yang tinggi antara Muslim dan bukan Muslim dalam keadaan tertentu. Jumlah yang tertarik kepada Islam juga tidak setara dengan bajet dan belanja atas nama Islam yang begitu banyak dikeluarkan. Maka rancangan mewujudkan masjid Cina mestilah diteruskan agar komuniti kaum yang begitu besar dalam negara ini lebih dapat memahami Islam,'' kata Dr.Mohd Asri dalam blognya.

Sesungguhnya dengan adanya Masjid Cina ini, secara tidak langsung ia akan menunjukkan bahawa Islam adalah agama universal yakni milik semua kaum.
Sekurang-kurangnya golongan Cina bukan Islam di luar sana dapat memahami bahawa Islam ini milik semua bangsa.

Jika sebelum ini di Kuala Lumpur sudah ada masjid India, kenapa pula cadangan untuk mewujudkan masjid Cina harus menjadi isu?

Apa yang perlu difahami masjid Cina tidak bermakna itu khusus untuk orang Cina sahaja, ia untuk faedah semua umat Islam. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu bersaudara.

Justeru tidak kira apa pun latar belakang keturunannya, umat Islam tetap bersaudara. Oleh itu tidak salah jika bahasa Mandarin digunakan sepenuhnya di masjid berkenaan, ia bukanlah sesuatu yang harus menjadi isu.

Islam menggalakkan persaudaraan dan bukannya permusuhan, oleh itu dalam apa pun keadaan kita harus mencari titik persamaan melalui agama suci berkenaan.

Kejayaan Masjid India seharusnya menjadi contoh ke arah merealisasikan masjid Cina berkenaan. Biarpun menggunakan bahasa Tamil, namun masjid itu tetap dikunjungi orang Melayu untuk beribadat. Ini kerana masjid tidak kira apa pun bahasa perantaraannya ia tetap sebuah tempat ibadat untuk semua umat Islam.

Hakikatnya penggunaan bahasa bukanlah satu masalah dalam mencari titik persamaan antara umat Islam, apa yang lebih penting sebagai seorang Islam kita semua mencari keredaan Allah.
Berdasarkan kepada keadaan itu adalah wajar jika kerajaan memandang serius cadangan Zulkifli biarpun beliau seorang Ahli Parlimen daripada parti pembangkang.

Apa yang beliau cadangkan bukanlah bermotif politik apatah lagi jika kita melihat latar belakang perjuangan beliau yang sanggup menempuh apa sahaja dugaan demi mempertahankan Islam.
Namun begitu sebelum cadangan berkenaan diterima, kita juga harus bertanya apa sudah jadi dengan cadangan pembinaan masjid Cina yang dikemukakan oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Kalau menurut Naib Presidennya, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, pembinaan masjid itu telah dipersetujui dari segi konsepnya oleh Jabatan Perdana Menteri.

Oleh itu adalah wajar jika pembinaan masjid berkenaan diteruskan dan mungkin tapak bekas Penjara Pudu seperti mana yang dicadangkan oleh Zulkifli boleh dijadikan pilihan.
Ini kerana ia terletak berdekatan Bukit Bintang yang didiami majoriti Cina. Apa yang diharapkan tidak ada mana-mana pihak cuba mempolitikkan isu ini apatah lagi berusaha mengumpul tanda tangan bagi menghalang projek tersebut.

Mereka seharusnya bersikap terbuka kerana perkembangan agama Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan dan sama sekali tidak boleh diganggu gugat.
Janganlah semua isu hendak dipolitikkan sehingga ia akhir memecahbelahkan perpaduan kaum dan agama di negara ini.

Semoga impian untuk melihat sebuah masjid Cina didirikan akan menjadi kenyataan dan tidak lagi sepi begitu sahaja.

Dalam soal ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh memainkan peranannya bagi merealisasikan impian itu.
Beliau yang dikatakan semakin disenangi pemimpin-pemimpin politik Islam daripada semua parti perlu menggerakkan segera langkah membina masjid itu.

Kita yakin kerajaan mempunyai peruntukan yang cukup bagi membina masjid itu dan sekali gus akan memastikan perkembangan Islam di negara ini melangkah setapak lagi.

No comments: