Like Blog Ini...

Saturday, October 11, 2008

Dimensi Al-Quran Menerusi Sains

Posted by syamiligers

Arus dunia pada hari ini telah banyak mengubah paradigma masyarakat di dalam segenap aspek termasuk ekonomi, politik dan sosial sehingga ianya mampu membentuk satu cara hidup yang dahulunya di anggap klasik dan tidak maju, kini telah merubah kepada satu cara hidup yang serba moden.

Dahulunya dunia hanya menggunakan binatang-binatang liar sebagai kenderaan pengangkutan, kini, manusia menggunakan kenderaan-kenderaan yang menggunakan hasil bumi. Dahulunya juga, manusia hanyalah menggunakan kulit-kulit kayu dan kulit binatang untuk menulis ilmu-ilmu yang beharga, kini dunia menggunakan teknologi komputer sebagai alternatif kepada penggunaan kertas, kulit dan sebagainya. Malah pertukaran maklumat juga mampu dilakukan dengan pantas dan cekap dengan menggunakan kecanggihan internet.

Ledakan perubahan dunia kini, kian di rasai dan dinikmati akibat arus penyelidikan serta kajian menerusi ilmu-ilmu yang terdapat di dalam disiplin ilmu yang di namakan ilmu sains. Istilah sains juga semakin popular pada abad ke 14 sehinggalah pada hari ini dan menjadi satu aktiviti manusia yang dianggap penting dan tinggi nilainya kerana mampu merubah dan melengkapkan keperluan dan persoalan yang timbul di dalam diri manusia. Sains kini telah banyak membantu manusia dalam membentuk satu suasana kehidupan yang lebih bermakna.

Hal ini dapat dilihat sebagaimana ianya mampu membawa manusia kepada satu tahap kehidupan yang berkebolehan untuk menjawab persoalan-persoalan yang di anggap mustahil pada suatu ketika dahulu. Sebagai contoh, sebelum sains berkembang, persoalan berkenaan dengan ciptaan manusia, tidak mampu di jawab oleh manusia. Begitu juga halnya persoalan-persoalan berkaitan dengan astronomi seperti planet yang beredar mengelilingi matahari, proses kejadian malam dan siang, asal usul kejadian bumi malah persoalan mengenai keluasan angkasa. Persoalannya, adakah sebelum lahirnya ilmu sains ini, manusia mampu menjawab persoalan-persoalan ini?

Perkembangan Ilmu Sains Pada abad ke 11, manusia menggangap dunia ini rata. Dunia ini adalah seperti sekeping tikar yang dibentang luas. Manusia pada ketika itu juga ada menganggap bahawa di hujung dunia ini terdapat gunung yang tinggi yang mampu menegakkan langit biru. Malah mereka juga turut menyangkakan bahawa jika mereka mengembara ke hujung dunia, mereka akan jatuh ke bawah. Inilah sangkaan-sangkaan manusia tanpa melakukan kajian atau pemerhatian pada suatu ketika dahulu.


Tidak lama kemudian, persoalan-persoalan kian timbul di dalam diri manusia. Akhirnya mereka keluar untuk mencari kebenaran. Mereka keluar belayar dan ingin menjawab persoalan-persoalan yang timbul di dalam diri mereka. Tidak lama kemudian, manusia mampu menjawab persoalan bahawa dunia ini adalah bulat. Persoalan-demi persolan kian timbul lagi. Adakah bumi mengelilingi matahari atau matahari mengelilingi bumi? Pada saat itu, manusia semakin keliru dan bersungguh-sungguh di dalam menemukan jawapan. Akhirnya manusia menemui jawapannya iaitu bumilah yang mengelilingi matahari.

Apakah yang berlaku seterusnya? Kini, dengan menggunakan kehebatan dan kecanggihan teknologi yang kian berkembang, manusia menggunakannya untuk menjawab persoalan-persoalan yang sukar di jawab. Manusia menggunakan ilmu sains untuk menghantar sebuah satelit yang bernama ‘Satelit Hubble’ bagi melihat kandungan yang terdapat di angkasa. Akhirnya, manusia menemui jawapan yang lebih tepat dan benar mengenai angkasa ini. Mereka menemui bahawa terdapat lubang hitam atau ‘black hole’ di angkasa yang menjadi pusat kepada galaksi ini. Akhirnya manusia berjaya menemui jawapan bahawa, bukan hanya bumi serta planet-planet yang lain mengelilingi matahari, malah matahari itu sendiri berputar dan mengelilingi lubang hitam itu (Seed 2001).

Kejadian Manusia Perkembangan ilmu sains pada hari ini telah membuktikan bahawa manusia wujud di dunia ini adalah melalui proses pembiakan yang tersusun. Ilmu sains embriologi manusia telah menjawab persoalan-persoalan mengenainya. Sains juga mampu menolak serta menyangkal teori-teori yang di anggap tidak berasas sama sekali seperti teori Darwin yang mendakwa bahawa manusia berasal dari satu spesis haiwan yang mengalami proses evolusi. Manusia di anggap sebagai makhluk yang mengalami proses evolusi yang besar.

Proses tersebut mengambil masa beribu-ribu tahun malah di dalam tempoh tersebut, manusia turut di pengaruhi oleh keadaan sekitar dan akhirnya membentuk suatu sifat serta karakter manusia ( teori behaviorisme).
Adakah hal ini benar tanpa melalui kajian secara empirical seperti memerhati, mengukur, mengkategori, meramal, mengawal, menterjemahkan data-data serta maklumat sains, membuat penilaian kualitatif dan kuantitatif dan sebagainya di makmal-makmal? Ilmu Sains Membuka Minda Manusia Bukankah sains dapat memberi jawapan yang benar dalam membina keyakinan serta kesungguhan manusia di dunia ini untuk terus mencari kebenaran?

Manusia tidak jemu-jemu mencari, mengkaji dan mendalami hal-hal yang berkaitan dengan sains. Seperti contoh yang di atas, iaitu mengenai minda manusia. Dahulunya, pemikiran manusia adalah di anggap ketinggalan zaman. Ini adalah kerana mereka hidup di dalam zaman mereka yang mana ilmu yang diperolehi itu hanyalah setakat mana yang mereka tahu sahaja. Kemudian, ilmu itu berkembang dan bertambah maju apabila generasi demi generasi mengambil inisiatif untuk mengkajinya dengan lebih lanjut.

Penemuan sains mengenai angkasa juga, dapat menjelaskan seribu satu persoalan yang lama timbul di dalam pemikiran manusia. Sains telah menemukan manusia pelbagai jawapan yang kadangkala ianya tidak mampu dijawab pada zaman dahulu. Kemungkinan ini adalah kerana keterbatasan teknologi, alat dan sebagainya lalu menyebabkan mereka yang mengkajinya dahulu hanya mampu menimbulkan persoalan-persoalan dan teori sahaja. Perkembangan ilmu serta teknologi pada abad ke 21 ini, telah membuka gerbang minda yang cukup luas bagi manusia untuk menemui pelbagai ilmu sains yang sebelum ini dianggap mustahil. Kini, para saintis bebas melakukan kajian serta eksperimen dengan mengikut etika dan disiplin yang disusun. Hasilnya, kajian-kajian seumpama itu mampu meningkatkan mutu serta kualiti kehidupan. Sebagai contoh, sains bioteknologi, kini ianya semakin popular dan diminati kerana mampu meningkatkan produktiviti serta perkembangan ekonomi negara. Saintis telah melakukan penyelidikan dan kajian yang benar-benar efektif di dalam meningkatkan kualiti kehidupan.

Al-Quran dan Penemuan Sains
Sains terkini telah membuktikan bahawa ilmu sains mampu memacu manusia, tamadun dan perkembangan sosial yang cukup pantas. Hasilnya, manusia telah beralih dari suatu zaman yang lama dan kini berubah kepada suatu zaman yang baru dan moden. Sains juga terbukti dapat memberikan ruang serta peluang yang luas kepada manusia untuk terus membina kemajuan menerusinya.

Justeru iu juga, sains dapat melaksanakan satu tugas penting untuk manusia kerana mampu menjawab beberapa persoalan-persoalan yang besar. Sains dapat menjawab persoalan-persoalan seperti ‘bagaimana ?’ (HOW ?), ‘bila ?’ (WHEN ?), ‘apa ?’ (WHAT ?), dan ‘di mana ?’ (WHERE ?). Sebagai contoh, sains astronomi. Persoalan seperti ‘APA?’; ‘Apakah yang terdapat di dalam alam cakerawala ini?’ Sudah pasti manusia akan menjawab; ‘ia mengandungi planet-planet yang tersusun dan mempunyai saiz yang berbeza-beza’.

Persoalan ‘BAGAIMANA?’; ‘bagaimana alam cakerawala ini terbentuk?’ jawapannya ialah ‘Menerusi Teori Big Bang’. Persoalan ‘BILA ?’; ‘Berapa lamakah masa yang di ambil untuk bumi berputar? Jawapannya ialah ‘365 hari’ Persoalan ‘DI MANA ?’ ‘Di manakah kedudukan planet matahari ?’ jawapannya ialah ‘ Di tengah garis kedudukan planet-planet’ Jika kita lihat persoalan di atas; ‘WHEN’, ‘WHAT’, ‘HOW’ dan ‘WHERE’ mampu di jawab oleh manusia dan jika ada persoalan-persoalan yang lebih kompleks dari soalan di atas ini, manusia masih mampu menjawabnya dengan baik. Tetapi ada sau persoalan yang memang sukar di jawab oleh manusia dari dahulu sehinggalah sekarang ini. Persoalan itu adalah MENGAPA? (WHY?); Mengapa ia wujud? Mengapa ada planet-planet? Mengapa ada matahari, bulan dan bintang? Mengapa ada angkasa raya yang cukup luas ini? Mengapa angkasa ini di sini?

Inilah persoalan yang tidak mampu di jawab oleh manusia dengan persoalan-persoalan serta kajian-kajian di dalam makmal. Manusia tidak mampu memikirkan mengapa ianya wujud. Jika persoalan yang berkaitan dengan manusia, mengapa manusia wujud di dunia ini? Mengapa manusia diciptakan? Untuk apa mereka diciptakan? Dan mengapa manusia diciptakan berbagai-bagai bangsa dan warna kulit? Mengapa semuanya ada di dalam dunia ini? Al-Quran ada menyebut bahawa: "Aku tidak menciptakan Jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu (Adz Zariiyat 56)" .

Al-Quran Membuka Dimensi Pemikiran Manusia Sudah jelas dan nyata jika kita mengambil persoalan-persoalan yang berkaitan dengan ‘mengapa?’ tidak dapat dijawab dengan teknologi, teori-teori manusia serta sukar untuk dibuktikan di makmal-makmal. Sudah lama manusia mengkaji, mendalami serta menghayati kejadian alam, manusia dan seluruh yang terkandung di alam raya ini. Namun mereka masih tidak menemui jawapannya.

Mereka merasakan bahawa tidak ada jawapan dan kini, persoalan ini hanya dapat di jawab menerusi kitab Al-Quran. Al-Quran membawa suatu dimensi baru di dalam menjawab persoalan-persoalan yang sukar di jawab menerusi fizik. Dimensi ini merupakan suatu dimensi yang kukuh dan benar di dalam menjawab setiap persoalan yang berkaitan dengan ‘mengapa ?’.

Al-Quran turut membebaskan keberdayaan akal manusia yang terbeku kepada suatu keberdayaan untuk mereka berfikir dengan lebih mendalam fungsinya. Menurut Qaradhawi, manusia dan masyarakat yang pertama mendapat cahaya Al-Quran telah banyak merubah cara dan gaya hidup yang lebih sempurna. Mereka bagaikan menerima satu cahaya yang menerangi seluruh kegelapan kehidupan mereka. Sistem kehidupan mereka; sosial, politik serta ekonomi turut mengalami revolusi yang pantas dan lebih baik menerusi dimensi Al-Quran. Al-Quran juga telah mengubah mereka dari perilaku-perilaku jahiliah kepada kesucian Islam dan akhirnya generasi demi generasi berikutnya mengikut sistem yang telah diturunkan kepada seluruh manusia (Qaradhawi,1999).

Al-Quran telah membebaskan ramai manusia. Mereka bebas dari kebekuan minda, kejahilan pemikiran serta bebas dari sudut jasad dan fizikal. Masyarakat jahiliah Arab pada ketika dahulu, bukan sahaja terpenjara di dalam aspek fizikal malah minda mereka. Sebelum ini, mereka menyembah dan mengakui bahawa Tuhan itu adalah patung-patung yang diciptakan oleh mereka sendiri. Malah mereka mempunyai pegangan bahawa mempunyai anak perempuan adalah suatu yang mengaibkan keluarga. Begitu juga system sosial dan ekonomi. Mereka mengamalkan riba dan hamba. Mereka bebas menguasai dan memerintah kelompok sosial mereka mengikut keberdayaan dan kemahuan mereka sendiri.

Generasi Al-Quran Setelah Al-Quran menjadi asas di dalam kehidupan manusia generasi demi generasi, maka banyak kesan perubahan yang berlaku. Kehidupan masyarakat manusia semakin meningkat kualitinya sehinggakan mereka mampu membina negara yang bersumberkan Al-Quran dan sunnah. Mereka dapat melahirkan ramai tokoh-tokoh yang hebat dan gemilang menerusi dimensi Al-Quran ini. Menurut penulisan Sh. Mohd Saifuddeen di dalam artikelnya yang brtajuk ‘Kaitan Islam Dengan Sains’ ada menyatakan satu buku yang bertajuk ‘Introduction to The History of Science’ oleh George Sarton. Beliau telah menyenaraikan ramai nama-nama serta sumbangan tokoh ilmuan sains Islam di antara 750 dan 110 Masihi.

Mereka telah membuat sumbangan yang besar kepada institusi keilmuan sains pada zaman mereka dan pandangan George Saron menerusi fakta dunia yang mengatakan bahawa perkembangan sains banyak berlaku pada zaman renaissance sedangkan zaman kegemilangan dunia khalifah Islam telah lama berlaku dan perkembangannya cukup memberi kesan yang besar kepada dunia Barat (Saifuddeen, 2005).

Penulisafn George Sarton ini sebenarnya telah banyak mendedahkan individu-individu tertentu di dalam zaman kegemilangan Islam yang mana ia menunjukkan kehebatan serta kegemilangan yang telah dicapai oleh generasi Al-Quran ini. Generasi Al-Quran ini telah mendapat satu penduan dari acahaya Al-Quran dan mereka melihat bahawa Al-Quran mampu membawa manusia ke jalan yang benar.

Al-Quran ada menegaskan bahawa: "Tunjukkankah kepada kami jalan yang lurus. Jalan yang telah Engkau nikmat (jalan) dan bukan jalan yang murkai dan bukan jalan yang sesat (Al-Fatihah; 6-7)" Inilah jaminan daripada Al-Quran kepada mereka yang menjadikannya panduan serta pedoman. Generasi Al-Quran telah menggunakan petunjuk serta kandungan Al-Quran sebagai jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul di dalam diri manusia.

No comments: